Sabtu, 19 Februari 2011

Bencana sosial mengancam nilai Islam

Datuk Dr Mashitah Ibrahim
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri


Menurut satu kajian terbaru, 60 peratus remaja Malaysia hilang dara menjelang umur 18tahun, manakala 42 peratus daripada mereka mengaku mengadakan hubungan seks dengan ramai pasangan. Sejumlah 43 peratus berkata mereka "gembira" selepas melakukan seks, malah 30 peratus remaja mengaku menjalin hubungan jantina sekadar bersuka-suka.

Kajian membabitkan 2,800 responden berusia 15 hingga 25 tahun yang dijalankan sebuah universiti tempatan dengan portal YouthSays.com juga menunjukkan di kalangan mereka yang mengadakan hubungan seks, 74 peratus tidak mengamalkan sebarang perlindungan.

Maklumat kajian ini sangat merisaukan. Walaupun soal selidik dijalankan secara rambang membabitkan responden remaja pelbagai kaum dan agama, dan kita juga terima hakikat bahawa soal selidik yang dijalankan secara online mempunyai beberapa kelemahan dari segi ketepatan maklumat, ia masih membimbangkan.

Ini mendorong kita berfikir sama ada pelbagai usaha dan inisiatif yang dilakukan oleh pihak kerajaan, NGO dan sukarelawan serta kempen saban hari melalui media sebenarnya tidak berhasil? Pelbagai dasar, strategi dan program yang dilaksanakan rupanya tidak ke mana. Adakah tenaga, masa, wang ringgit dan pelbagai kajian yang dijalankan oleh penyelidik masih sia-sia?

Saya tidak percaya kita menemui jalan buntu. Namun statistik yang diperoleh daripada kajian ini bukan sahaja menyedihkan, malah menggerunkan. Kira-kira 30 peratus remaja berkata, mereka memikirkan seks setiap hari dan 50 peratus tidak pasti yang mereka mempunyai pengetahuan yang cukup mengenai seks sebelum mengadakan hubungan jantina.

Sebagai Penaung Rumah Perlindungan Baitul Fiqh di Subang Jaya, saya cukup mengambil berat mengenai bencana sosial yang melanda remaja di negara kita dan mengancam keharmonian kehidupan bermasyarakat. Moral remaja dan nilai agama terancam.

Keadaan ini menuntut perhatian yang serius dan usaha yang berterusan dari pelbagai pihak, termasuk kerajaan, agensi dan jabatan, NGO dan badan sukarela, polis, sekolah dan universiti, pengurusan surau dan masjid, pihak media dan ibu bapa. Bayangkan, rumah perlindungan Baitul Fiqh yang kecil ini (cuma boleh mengambil 15 penghuni pada satu-satu masa) sudah mengendalikan 600 kes remaja hamil dalam tempoh enam tahun.

Di Lembah Kelang sahaja, terdapat puluhan rumah perlindungan dan pusat bimbingan yang menampung remaja hamil pelbagai kaum dan agama. Di Baitul Fiqh, kita mengisi waktu penghuni dengan kelas-kelas mengaji al-Quran dan tajwid, fekah dan tauhid selain sesi motivasi dan pembelajaran kemahiran, seperti memasak, membuat roti dan kek serta menjahit.

Alhamdulillah, dengan kurniaan Allah SWT dan kerjasama pihak pengurusan serta sukarelawan, majoriti kes yang telah kita urus di Baitul Fiqh berakhir dengan penghuni yang mampu khatam Quran, menyambung pelajaran di sekolah atau universiti, menyambung kerjaya atau menjadi isteri dan ibu yang baik selepas berkahwin. Tidak ada kes yang berulang.

Tapi tanggungjawab kita tidak berhenti di sini. Kita juga tidak boleh berlapang dada dengan pencapaian setakat ini. Justeru, saya amat menghargai lawatan yang dilakukan oleh pelbagai pihak ke Baitul Fiqh termasuk Perkasa, wakil rakyat, syarikat korporat, penyelidik, sukarelawan dan para dermawan.

Satu keadaan yang terpaksa kita hadapi ialah tanggapan bahawa rumah perlindungan seperti Baitul Fiqh sebenarnya menggalakkan lagi kes zina dan menambah bilangan bayi luar nikah.

Kita boleh berdebat berhari-hari atas tajuk ini. Tapi bagi saya, apa yang kita lakukan di Baitul Fiqh menepati tiga komponen amal jariah yang wajib dilaksanakan setiap umat Islam iaitu pembangunan ilmu, fizikal dan rohani.

Realiti di negara Malaysia yang berbilang kaum, budaya dan agama ialah sesuatu langkah atau inisiatif yang difikirkan sesuai dan bagus untuk dilaksanakan ke atas mangsa remaja perempuan Melayu-Islam mungkin tidak begitu pada kaca mata masyarakat bukan Islam. Sebalik, sesuatu langkah atau pendekatan yang difikirkan baik bagi orang bukan Islam tidak boleh diterima oleh umat Islam.

Misalnya, pembukaan Sekolah Harapan oleh Kerajaan Melaka dan baby hatch oleh OrphanCare di Petaling Jaya. Ada pihak yang menyokong tapi banyak juga yang mengkritik dan mencaci.

Pada saya, kedua-dua aspek pencegahan dan perlindungan (pemulihan) adalah penting. Ibu bapa, keluarga, guru dan sekolah serta masyarakat setempat mempunyai peranan utama dalam mendidik, memberi kasih sayang dan pelajaran awal kepada anak-anak serta menanam pengetahuan agama yang kuat dan mencukupi.

Ibn Umar berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mengabaikan anaknya dan mencelanya di dunia ini, maka Allah Yang Maha Suci dan Maha Tinggi akan membongkar cacat celanya pada hari Kiamat di hadapan para saksi sebagai balasan yang setimpal.”

Abu Hurairah juga meriwayatkan: "Bahawasanya Rasulullah SAW mencium Husin bin Ali (cucu baginda), maka berkatalah Al-Aqra’ bin Habbas: “Sesungguhnya bagiku ada sepuluh orang anak tetapi aku tidak pernah mencium satu pun dari mereka. Maka bersabdalah baginda: "Barangsiapa tidak merahmati, dia tidak dirahmati.”

Hadis ini menceritakan bagaimana baginda Rasulullah SAW menegur sikap seorang sahabat yang tidak pernah menzahirkan kasih sayang terhadap anaknya. Baginda mengingatkan barang siapa tidak merahmati atau mengasihi, maka Allah SWT tidak merahmatinya. Baginda menyarankan kepada umatnya supaya mengasihi zuriat masing-masing dan bergaul mesra dengan mereka agar ikatan kekeluargaan yang kukuh terbina.

Dalam masyarakat kini hari ini, berlakunya kes remaja hamil luar nikah adalah manifestasi kegagalan pada tahap ini. Di sinilah pula agensi kerajaan, NGO dan sukarelawan terpaksa memikul tanggungjawab. Sebagai manusia, kita perlu sedaya upaya melindungi dan menyelamatkan mana-mana nyawa yang masih hidup. Kepada remaja terbabit, kita perlu membuka pintu taubat dan memberi peluang kedua kepada mereka.

Sehubungan ini, kami sangat mengalu-alukan kunjungan Bahagian Helwa HIKMAH, Majlis Agama Sarawak pada 13 Februari lalu. Rombongan diketuai Puan Aminah Ismail bertujuan berkongsi pendapat dan mempelajari modul yang diguna pakai di Baitul Fiqh dan beberapa pusat perlindungan lain di Lembah Kelang. Harapan mereka ialah menubuhkan rumah bimbingan yang seumpama di Kuching, mewujudkan safety net kepada remaja yang memerlukan bantuan dan melaksanakan kegiatan dakwah di kawasan pedalaman Sarawak.

Kita mendoakan kejayaan mereka.

Sesungguhnya bertukar-tukar pengalaman, maklumat dan pengetahuan sesama NGO atau dengan agensi dan jabatan lain, serta perkongsian hasil kajian atau penyelidikan akademik memberi manfaat besar. Kerjasama sebegini membolehkan kita belajar antara satu sama lain selain mencari jalan lebih berkesan menangani bencana sosial ini.

Tiada ulasan: