Siapa tak kenal dengan adik Muhamad Haruman Miskon. Anak yatim 10 beradik yang terkena kejutan elektrik ketika mengait buah kelapa sawit di sebuah ladang di Masjid Baroh, Tanjung Karang, Selangor pada 26 November tahun lalu. Dalam kejadian itu, hampir 70 peratus badan anak kesembilan ini melecur dan terbakar.
Yeop mengikuti rapat perkembangannya sejak kisah perit itu dipaparkan dalam akhbar. Cuma Yeop tidak kesempatan menziarahinya yang ketika itu ditempatkan di wad kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor. Lagipun, dalam keadaan yang baru berlaku itu, tentulah pengurusan hospital tidak membenarkan sesiapa pun masuk, melainkan ahli keluarga terdekat. Sebab itu Yeop tangguh dari sehari ke sehari.
Sehinggalah pada malam Khamis lalu, ketika Yeop dan isteri sedang menikmati makan malam di sebuah restoran, kisah adik Haruman disiarkan dalam sebuah rancangan di TV3. Kawan baik Yeop, Zakiah Anas pengacaranya. Sepanjang siarannya selama 30 minit itu, Yeop dan isteri terkedu. Makanan yang sudah separuh dijamah, tak habis. Hilang selera tiba-tiba. Timbul rasa sedih, simpati dan belas kasihan. Tak sedar air mata menitis jatuh. Tutur kata pula tak terkeluar. Sebak amat sangat.
Sebaik selesai rancangan tu, isteri Yeop bingkas bangun pergi ke kaunter. Dia mengeluarkan beberapa keping wang. Maknanya, makan malam malam tu isteri yang belanja. Walaupun dia juga dalam keadaan sebak, dia sempat lagi pergi bayar. Yeop yang dalam keadaan kelu dan pilu, tak tau apa-apa lagi dah. Perasaan asyik terbayangkan keperitan dan kesakitan yang ditanggung adik Haruman. "Bagaimana ya, dia boleh tahan kesakitan yang sudah berlarutan lebih dua bulan itu? Ya, Allah... Hanya Engkau Yang Maha Mengetahui."
Malam itu, ketika di rumah... isteri nyatakan hasrat nak pergi tengok adik Haruman di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Katanya, nak tengok secara dekat keadaan anak yatim piatu itu yang terlantar di Wad 3. Yeop tak kata apa-apa, melainkan angguk. Tengah hari keesokan hari Yeop memandu ke Kuala Lumpur dan sampai di pekarangan HKL jam 4 petang pada Jumaat.
Yeop hubungi operator HKL tanya waktu melawat. Katanya, jam 4.30 petang hingga 7 malam. Maknanya ada setengah jam lagi waktu melawat dibuka. Yeop singgah di sebuah hotel, isi perut dan bincang dengan isteri apa harus dilakukan kalau pengurusan hospital tidak benarkan kami masuk? Isteri kata, kita cuba dulu. Belum cuba, belum tahu apa yang berlaku. Mana tahu Allah membuka pintu hati semua mereka untuk menerima kedatangan Yeop sekeluarga.
Alhamdulillah, sebaik sampai ke Wad 3 (Kebakaran), Yeop tengok ada dua tiga pelawat sedang beratur di pintu masuk. Mereka ialah wakil dari Majlis Belia Malaysia, Majlis Peguam dan Jabatan Kajian Sosial. Semuanya ada nama, melainkan Yeop dan isteri orang awam yang tak ada nama, darjah dan pangkat. Tapi, Allah Maha Besar, Allah temukan Yeop dan isteri dengan abang ipar adik Haruman di pintu masuk Wad 3.
Lelaki ini yang kelihatan agak pucat dan kurus sentiasa melemparkan senyuman kepada kami (Yeop dan isteri). Dia tanya kami dari mana. Yeop kata kami hanya orang perseorangan dan hati tergerak nak datang tengok adik Haruman selepas tonton televisyen semalam. Lelaki itu minta kami tunggu sekejap kerana hanya dua orang dibenarkan masuk untuk satu-satu masa. Dia juga memberi jaminan kami boleh masuk. Ketika menunggu itu, dia menunjukkan gambar adik iparnya yang cedera.
Masya-Allah. Dua-dua tangan adik Haruman sudah hangus dan rentung. Memang patut doktor buat keputusan untuk potong. Dan lelaki itu menceritakan dari A sampai Z mengenai kejadian yang menimpa adik iparnya. Yeop tak sangka, sungguh mulia sekali hati seorang abang ipar ini. Sanggup tinggalkan kerja semata-mata nak jaga adik iparnya. Dialah yang memberi motivasi dan semangat kepada adik Haruman ketika kedua-dua tangan dan sebelah kakinya hendak dipotong.
Pada jam 5.30 petang, Yeop dan isteri dibenarkan masuk, setelah rombongan Majlis Belia Malaysia dan Jabatan Kajian Sosial beredar. Kami dijemput kakak adik Haruman dengan senyuman manis di pintu masuk ke bilik yang menempatkan adik Haruman. Walaupun nampak jelas pada wajah keletihan dan penat, dia tetap tabah melayan tetamu. Kami dilayan bagaikan VVIP. Patutlah Allah limpahkan cahaya keimanan kepada ahli keluarga ini. Mereka tabah dan kuat ketika salah seorang ahli keluarganya ditimpa musibah.
Yeop cukup kagum dengan pengorbanan kakak, suami (abang ipar) dan seorang lagi abang Haruman. Haruman ada 10 adik beradik. Dia dan seorang abangnya yang lelaki, selebihnya perempuan dan sudah berumah tangga. Semuanya bergilir-gilir menemani adiknya (Haruman). Ketika nak melangkah keluar, Yeop berdoa: "Ya Allah, Engkau Kuatkan iman keluarga Allahyarham Miskon. Engkau tabahkan hati mereka dan berikanlah mereka kekuatan dalam mengharungi kehidupan. Amin." - Yeop siaran 20hb Feb 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan