Hari ini (30hb Jan 2011) beribu-ribu pengundi Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa dalam DUN Tenang di Labis Johor keluar mengundi. Sudah tentu, sebelum keluar dari rumah, ketika nak mulakan langkah kaki kanan, mereka sudah tekad dalam hati nak pangkah siapa.
Ada dua calon dalam sekeping kertas undi. Calon BN dan calon Pas. Satu guna lambang dacing warna biru, satu lagi guna lambang bulan purnama penuh warna hijau. Seorang lelaki, seorang lagi wanita. Dua-duanya nampak segak dan manis. Dua-duanya juga sudah ada isteri dan suami. Dua-dua pasangan ini jadi 'pengurus' peribadi kepada suami dan isteri masing-masing. Pakai baju pun sedondon. Eloklah, baru nampak serasi dan sejiwa.
Apa yang Yeop nak bincangkan hari ini, sikap seorang 'pengurus' peribadi kepada seorang calon. Kerana bini dipilih calon, tiba-tiba saja 'si pengurus' ini 'demam' dan 'kemurungan'. Lalu dia pun pergi ke sebuah klinik dan dimintanya cuti sakit. Maka dapatlah bercuti selama 21 hari. Wow!!!... dua puluh satu hari... banyak tu. Yeop demam panas pun dapat cuti dua hari. Kalau nak tambah cuti lagi, Yeop diberi syarat, kena masuk wad dulu. Kedekut punya doktor.
Bagi Yeop jumlah yang cikgu Maarof dapat ni boleh dicatatkan dalam Malaysia Book of Records. Seorang guru yang selama ini tidak pernah sakit, tiba-tiba 'sakit' dan dapat cuti paling lama pula tu. Bagi anak murid pula, kalau cikgu sakit mestilah cikgu mereka ada berehat di rumah atau terlantar di hospital. Tapi bila mereka nak ziarah, cikgu tak ada di rumah. Malam tengok televisyen, terpapar wajah cikgu mereka bersama isteri sedang berkempen. 'Sakit', tapi boleh bergerak ke hulu ke hilir.
Ini yang Yeop rasa tak puas hati. Kalau betul-betul 'sakit' pun, duduklah di rumah. Kita tu dah jadi tumpuan masyarakat. Kalau sebelum ini orang ramai tak tahu kerjaya kita, kini mereka dah tahu kita ni cikgu dan sedang bercuti kerana 'sakit'. Sakit apa kalau setiap waktu bertempek dengan isteri dan pemimpin parti masuk kampung keluar kampung. Kalau sakit, berehatlah di rumah. Ini barulah tak menimbulkan syak.
Sekarang cuti sakit yang cikgu Maarof dapat sudah jadi isu besar. Pergi ke mana-mana dalam DUN Tenang, orang ramai berbual, berbicara pasal cikgu Maarof 'sakit'. Sampai si isteri terpaksa buat kenyataan minta pihak berkenaan siasat suaminya betul-betul sakit atau sengaja 'sakit'.
Yeop nak ingatkan kepada cikgu Maarof atau mana-mana penjawat awam atau swasta. Kalau nak cuti, mohonlah cuti tanpa gaji. Barulah orang ramai tak pertikai kita makan gaji buta. Ya, memang makan gaji butalah kalau hampir satu bulan tak kerja. Kecuali sakit terlantar. Dan Yeop harap isu ini tak benar sama sekali. Mustahil orang terpelajar macam cikgu Maarof sanggup berbuat demikian. Harap tak begitulah.
Penentu malam ni
Bagaimanapun, malam ni adalah penentu kepada cikgu Normala dan Mohd Azahar. Bukan senang nak menang. Dan bukan susah nak kalah. Yang menang sebelum ini pun belum tentu kemenangan akan berpihak kepadanya. Yang kalah sebelum ini pula tak semestinya akan kalah lagi. Semuanya terletak di tangan pengundi. Pencil yang mereka pegang akan menentukan calon mana mereka nak pangkah. Undi itu rahsia, tapi biasanya situasi di tempat pembuangan undi sudah boleh menentukan kedudukannya.
Yeop tak sempat nak pergi ke Tenang, sebab sehari dua ni hati Yeop tak berapa tenang. Asyik berkecamuk saja sepanjang masa ni. Entah kenapa. Cuma Yeop doakan hari ni sentiasa tenang. Setenang nama DUNnya. kepada pengundi, pemancing undi dan perayu undi, jalankan tugas secara profesional. Jangan kata mengata, maki hamun dan berbalas pantun. Semua tu politik semata-mata. Tugas kita sebagai rakyat ialah pilih wakil rakyat yang benar-benar berjiwa rakyat.
Kita nak wakil rakyat yang bekerja untuk kita. Kita nak mereka jadi hamba kita, wakil kita, penyelesai kepada masalah kita. Merekakan selalu kata, dan tak habis-habis berkata sehingga hari ini... kita didahulukan. Petrol naik, minyak masak naik, bawang naik, telur naik dan macam-macam lagi naik pun kita yang mula-mula dulu merasa. Itulah kebarangkalian maksud kepada rakyat didahulukan.
Sekarang ni, sejak petrol naik, isi satu tangki penuh Proton Wira pun kena RM70. Dulu RM50 saja. Isi banyak tu dah boleh balik Kelantan, tak perlu tambah di mana-mana stesen lagi. Begitu juga kalau singgah minum kedai mamak. Dulu minum satu cawan teh RM1.50, hari ni hulur RM2 dah tak ada 'balance' lagi. Mamak terus ambil dan masukkan dalam poket apron, dan terus berlalu masuk tanpa toleh-toleh ke arah Yeop lagi. Dulu ada juga bunyi syiling berlaga apabila tangan mamak meraba-raba cari duit baki dalam poket apron.
Begitulah dunia politik. Tak naik, kerajaan akan tanggung kerugian. Naik, rakyat pula merana. Bagi Yeop sesiapa jadi pentadbir pun sama. Pandai mengurus dan jaga ekonomi negara ni memang penting. Perlukan pemimpin yang bijak sifir, bukan sekadar pandai dan tahu sejarah. - YEOP siaran 30hb Jan 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan