Datuk Dr Mashitah Ibrahim
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengatakan Islam di negara ini 'dikurung' di pejabat agama, malah skopnya juga disempitkan demi mempertahankan sistem sekular warisan penjajah. Katanya lagi, Islam hanya tertumpu kepada sembahyang, puasa, perkahwinan dan zakat, berbeza dengan pendekatan kepimpinan yang diamalkan Rasulullah SAW.
Tentunya beliau merujuk kepada negara yang ditadbir oleh Barisan Nasional (BN), yang mana UMNO adalah parti penerajunya. Gambaran yang hendak diberikannya ialah kerajaan BN tidak mementing atau menitik beratkan syiar Islam dalam pentadbirannya, yang memungkinkan mereka melihat proses penerapan nilai Islam di negara ini sebagai agak terbatas atau tidak betul pada kacamata mereka.
Ini sekadar cakap politik. Sebagai Presiden Pas, beliau cuba mendapat ganjaran politik daripada kenyataan sebegini, walaupun masyarakat umum dapat menilai dan melihat sendiri betapa menyimpang dan tersasarnya pandangan beliau itu. Ini kerana kerajaan pimpinan UMNO sejak zaman negara belum Merdeka lagi sehingga ke hari ini berterusan menegakkan syiar dan mengutamakan Islam dalam Perlembagaan negara.
Status Malaysia sebagai negara Islam tidak harus dipersoal lagi. Pelbagai kejayaan dan pencapaian sejak lebih lima dekad lalu kini meletakkan Malaysia sebagai negara termaju dikalangan semua negara Islam di dunia. Model pembangunan ekonomi dan kestabilan politik hasil pentadbiran dan pengurusan negara berasaskan model BN menjadi contoh dan dihormati negara lain. Malaysia juga pernah mengetuai Persidangan Negara-Negara Islam dan peneraju sistem kewangan dan perbankan Islam.
Dalam kita mendaulatkan agama Islam, sememangnya kita memberi penekanan kepada urusan fardu ain, khususnya pembelajaran agama serta akhlak dan pembentukan peribadi (sistem sekolah agama), solat (pembinaan surau dan masjid), puasa, zakat dan sebagainya.
Namun, fokus juga diberi kepada pembangunan fardu kifayah, termasuk pembasmian kemiskinan dalam kalangan orang Melayu-Islam (antara lain program 1Azam, TEKUN, Amanah Ikhtiar), pengurusan dan pentadbiran hal ehwal agama (Jabatan Agama Islam, Majlis Agama Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Tabung Haji dan sebagainya), program dakwah melalui penubuhan pelbagai jabatan dan agensi seperti Institut Kefahaman Islam Malaysia, dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, ekonomi dan kewangan (Bank Islam, Bank Muamalat, Takaful, Ar-Rahn, hab halal dan sebagainya) serta pendidikan (Universiti Islam Antarabangsa, ISTAC, Kolej Islam, maktab dan sekolah).
Pemimpin agama dunia, ahli ekonomi dan tokoh akademik, termasuk Sheikhtul Al-Azhar dan Rektor Universiti Antarabangsa Al-Madinah telah mengiktiraf kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara Islam, baik dari segi politik, ekonomi, sosial atau pendidikan. Mereka kagum dengan kejayaan Malaysia mengekalkan keamanan dan keharmonian berasaskan kepimpinan wasatiyyah, yang bukan sahaja diterima baik rakyat pelbagai kaum, malah membuka ruang luas terhadap pencapaian kaum wanita.
Untuk tahun ini sahaja, pelbagai program padat diatur untuk meraikan syiar Islam termasuk Ijtima’ Mufti dan Ahli-ahli Fatwa Seluruh Negeri serta Persidangan Mufti-Mufti Seluruh Malaysia (Mac), Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan (April), Dialog Intelektual Fatwa (Mei), Persidangan Mufti-Mufti Negara ASEAN (Jun) dan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa (Julai).
Di peringkat negeri dan daerah seluruh negara, pelbagai aktiviti dan program agama berjalan sepanjang tahun, seperti kuliah, tazkirah, bicara ilmu, kelas mengaji dan sebagainya yang turut disertai belia dan golongan muda.
Media cetak dan elektronik di negara kita banyak menyiarkan rancangan agama seperti Akademi Al-Quran, Imam Muda, Forum Perdana, Tanyalah Ustaz, Tanyalah Ustazah Halaqah, Al-Kuliyyah, Bicara Mufti, Semanis Kurma, Usrah di Hati, Tilawah Interaktif, Mari Bertaranum dan tidak lama lagi, Dari Suri ke Suri. Buku dan majalah agama juga terjual luas, seperti yang dapat dilihat di toko-toko buku dan pameran yang diadakan sepanjang tahun di serata pelusuk negara kita. Ini menggambarkan penjiwaan pemimpin dan masyarakat terhadap Islam.
Mustahil Abdul Hadi atau pemimpin dan penyokong Pas lain tidak nampak semua ini. Adakah mereka bagaikan katak di bawah tempurung? Ataupun doa membutakan mata pemimpin UMNO rupa-rupanya sudah terbalik dan menjadikan mereka ‘buta’ terhadap perkembangan semasa serta perkembangan Islam yang pesat berlaku di sekeliling mereka?
Pas tidak sedar atau sengaja tidak mahu menerima hakikat usaha yang dilakukan kerajaan BN dan UMNO. Mereka hanya mahu mengiyakan apa yang mereka lakukan, sedangkan semuanya retorik dan lebih politik daripada dakwah atau tarbiah. Pada hal, kalau hendak dibandingkan, apalah yang dapat dimegahkan kerajaan Pas Kelantan walaupun sudah memerintah negeri itu sudah 21 tahun?
Banyak peraturan dan undang-undang yang kononnya ingin menegakkan Islam akhirnya tidak terlaksana. Kaunter lelaki berasingan perempuan di kompleks membeli belah serta pembinaan stadium dan perkhidmatan bas khusus untuk wanita hanya hangat-hangat tahi ayam.
Hukum hudud yang menjadi bahan kempen untuk menang pilihan raya tahun 1990 tidak menjadi realiti sehingga hari ini. Kononnya ia tidak terlaksana kerana pernah diugut Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi Perdana Menteri. Tapi sepatutnya tiada alasan lagi. Tun sudah hampir 10 tahun bersara, namun kerajaan Pas Kelantan tetap tidak melaksanakan hudud.
Malah, kerajaan Pas Kelantan banyak meniru inisiatif Tun Mahathir, termasuk mencetak wang dinar emas dan menubuhkan kedai ar-rahn. Walaupun pernah kutuk penubuhan Bank Islam oleh Tun Mahathir, akhirnya kerajaan Pas Kelantan terpaksa menelan semula ludahnya apabila mengakui ia sistem perbankan terbaik dan menyimpan wang dalam bank tersebut.
Di Kedah, sebuah lagi negeri yang dikuasai Pas,kini sudah nampak jelas pelbagai kelemahan pentadbiran seperti yang berlaku di Kelantan dan Terengganu semasa Abdul Hadi menjadi menteri besar antara 1999 dan 2004 dulu. Masalah pengurusan syarikat milik kerajaan negeri, tarif air dan bencana banjir yang lembab menyebabkan ahli-ahli Pas memprotes terhadap pemimpin mereka sendiri.
Pendek kata, sebelum menuduh kerajaan UMNO dalam hal pentadbiran Islam, eloklah perbaiki dulu keadaan di negeri-negeri yang ditadbir Pas. Lagipun, tujuan program keagamaan yang dijalankan oleh kerajaan BN-UMNO ialah untuk mendaulatkan Islam, membasmi sikap suka mentakfir, memfitnah atau menyebarkan perkara palsu, berburuk sangka serta memecah belahkan masyarakat sesama Islam. Insya-Allah kerajaan BN-UMNO akan terus menganjurkan program sebegini yang bertujuan mendekatkan anak muda kepada agama.
Kita inginkan Islam terbuka kepada semua umat, bukan menyempitkan. Jika Pas rasa ada yang di ‘kurung’, itu mungkin merujuk kepada pemikiran sebahagian pemimpin dan penyokong mereka.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan