Sabtu, 12 Februari 2011

Jangan nafi usaha murni kerajaan

LANGIT TERBUKA
Datuk Dr Mashitah Ibrahim
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri


Operasi memindahkan kira-kira 13,000 pelajar Malaysia sama ada tajaan kerajaan ataupun swasta yang menuntut di Mesir sudah selesai. Terima kasih kepada Penerbangan Malaysia (Mas), syarikat penerbangan tambang murah AirAsia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang bertungkus lumus menjalankan kerja-kerja itu tanpa wujud sebarang sikap prejudis.

Selain pelajar, rakyat negara ini yang bekerja di sana juga telah dibawa pulang dengan selamat ke Jeddah, sebelum dibawa balik ke tanah air secara berperingkat peringkat. Proses membawa pulang semua mereka itu juga menggunakan pesawat yang dihantar Kerajaan Malaysia. Di samping itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut memberi jaminan setiap perbelanjaan pulang pelajar dari Jeddah ke Malaysia akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

Sekali lagi ucapan terima kasih tidak terhingga kepada Kerajaan Malaysia dengan kerjasama Pergerakan Pemuda, Wanita, Puteri, Kelab Putera UMNO, badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan sukarelawan kerana bertindak cepat dan pantas menghantar bantuan menerusi misi menyelamat warganegara kita yang berada di negara bergolak itu.

Namun, ketika jentera kerajaan, sayap parti, NGO dan badan sukarelawan bekerja keras siang malam memastikan pelajar dan rakyat kita di sana berada dalam keadaan selamat, masih ada suara-suara sumbang berkokok di sebalik tabir. Tanpa rasa malu atau rasa tanggungjawab, mereka melemparkan pelbagai tuduhan negatif atas usaha murni kerajaan. Amat sedih dan sungguh mengecewakan apabila Malaysia mempunyai pembangkang yang tidak ada ciri-ciri sifat kemanusiaan.

Tidak cukup dengan kapal terbang, Perdana Menteri turut menimbangkan untuk menggunakan kapal serba guna Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang bertugas di Teluk Aden, Timur Tengah bagi operasi pemindahan itu. Kapal berkenaan diguna untuk memindahkan pelajar di Mesir ke Jeddah, Arab Saudi, bagi membolehkan mereka menaiki penerbangan pulang ke Malaysia.

Apa yang pembangkang mahu atau tidak berpuas hati dengan usaha kerja kerajaan? Hanya Allah sahaja yang tahu. Mereka asyik mengkritik, menegur, memperlekeh dan mempersendakan apa sahaja yang dilakukan kerajaan. Tidak cukup dengan itu, mereka melemparkan pula pelbagai tuduhan serta tohmahan kononnya kerajaan mengamalkan sikap pilih kasih dalam misi membawa pulang pelajar Malaysia. Ini semua kerja karut dan dimurkai Allah.

Firman Allah: "Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)." - Ali -Imran: 200.

Begitulah Allah memperturunkan wahyu kepada Nabi Muhammad SAW menerusi Surah Ali-Imran sebagai memberi peringatan kepada umat yang tekad dan nekad dalam melakukan kerja kebajikan kepada saudaranya yang dalam kesusahan tanpa mempedulikan apa sahaja suara daripada pihak yang dengki dan cemburu dengan usaha itu.

Kepada pembangkang, tidak salah atau tidak jatuh maruah diri sekiranya berganding bahu bersama kerajaan mencari jalan untuk menyelamatkan saudara mara kita yang nyawa mereka berada dalam keadaan terancam di Mesir. Apa salahnya memberi pandangan, menyediakan pasukan sukarelawan, wang ringgit dan mendapatkan bantuan daripada para sahabat di sana bagi melancarkan proses membawa pulang anak beranak kita.

Tetapi ini tidak berlaku, mereka tambahkan lagi kemarahan rakyat dengan menyebar fitnah kononnya kerajaan bersikap prejudis dan mengamalkan sikap pilih kasih dalam proses itu. Kenapa ini harus berlaku? Tidak adakah sekelumit rasa simpati, belas kasihan, terima kasih atau perikemanusiaan kepada rombongan yang dihantar kerajaan bagi misi membantu.

Selain nyawa pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir terancam. Nyawa rombongan ini juga turut berada dalam bahaya. Mereka berdepan dengan pelbagai kerenah birokrasi kerajaan Mesir sehinggakan ada pasport sukarelawan kita diludahi oleh polis Mesir. Ini pengorbanan nyawa yang sanggup digadaikan mereka. Pembangkang harus tahu dan ambil kira semua ini sebelum membuat kenyataan memfitnah dan menghasut rakyat dengan tuduhan yang bukan-bukan.

Saya sedih dengan apa yang dilakukan pembangkang. Mereka anggap mereka handal, tetapi mereka tidak berani berdepan dengan negara yang berhadapan dengan kemelut. Mereka hanya mengambil kesempatan dari jauh dan dalam keadaan berpeluk tubuh untuk menidakkan usaha yang dilakukan kerajaan. Rakyat harus fikir dan membuat penilaian antara kaca dengan permata. - Siaran 11 Feb 2011

Tiada ulasan: