Jumaat, 9 November 2012

Tiada Kompromi Dalam Soal Akidah - PM


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan soal akidah Islam mesti dipertahankan tanpa kompromi walaupun negara berkongsi nilai sejagat dengan pelbagai bangsa dan masyarakat.

Menurutnya, fahaman yang sedang menular itu mengancam keharmonian dan kestabilan kehidupan beragama dan bermasyarakat, berikutan silap tafsir mengenai konsep kemajmukan.

Ada pihak tertentu yang ternyata silap mengenai konsep kemajmukan, dan ini menjurus kepada mereka melihat semua agama mempunyai nilai yang sama, katanya pada majlis ramah mesra bersama warga pondok dan pelancaran Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) di sini, Khamis.

Najib berkata: "Sungguh malang kerana ada golongan yang mengamalkan fahaman ini, disokong pula oleh pihak berkepentingan yang bersekongkol dengan golongan yang berfahaman demikian."

Dalam pada itu, Najib berkata, mutakhir ini banyak tuduhan dan kenyataan yang tidak bertanggungjawab dibuat pihak tertentu mengenai agama Islam yang tidak berdasarkan ilmu, sebaliknya bagi memenuhi agenda atau kepentingan tertentu.

"Apa yang lebih malang, pengikut mereka pula mudah mempercayai dan mengulangi apa yang didengar tanpa memahami konsep sebenar serta tidak mampu membuat penilaian objektif.

"Disebabkan kurang pengetahuan, salah tafsir tentang konsep atau istilah, atau sengaja diselewengkan, maka ini boleh membawa kepada ketegangan antara kaum dan penganut agama berlainan," katanya.

Justeru itu, Najib mahu semua pemimpin masyarakat bersikap bijaksana dan berhikmah dalam membicarakan sesuatu isu yang boleh menyentuh perasaan kaum atau penganut agama lain.

Perkara itu elok dibawa berbincang menggunakan saluran yang betul dan forumyang terkawal tanpa melibatkan perasaan marah dan prasangka, katanya.

"Sesungguhnya isu agama merupakan isu yang sensitif. Begitu juga isu berkenaan soal bahasa, pendidikan dan tempat beribadat.

"Janganlah terbawa-bawa dengan sikap liberal dan demokrasi melampau, yangtidak mengambil kira perasaan atau sensitiviti dan ketegangan kaum ketikamembicarakan sesuatu isu secara terbuka dan bebas," katanya.

Najib berkata, dalam situasi masa kini, "kita perlu kuatkan bidang ekonomi,pendidikan dan sosial dengan mengenepikan segala perbezaan pendapat dan fahaman." - BERNAMA

Tiada ulasan: