Saintis angkasa lepas dan fizik
di New Zealand, Duncan Steel, menyatakan perkara itu dalam wawancara
menerusi e-mel dengan Bernama susulan pengumuman Biro Keselamatan
Pengangkutan Australia (ATSB) baru-baru bahawa pesawat berkenaan tidak
berada di sekitar tempat isyarat akustik, yang dikesan sebelum ini.
"Itu semua bukan petunjuk
sebenarnya (bagi dakwaan pengesanan isyarat akustik). Langkah menolaknya
adalah sesuatu yang baik kerana ini membolehkan pertimbangan diberi
terhadap kemungkinan yang lain pula," kata Steel, yang juga Profesor
Pelawat bidang Astrobiologi di University of Buckingham, England dan
saintis angkasa lepas di Pusat Penyelidikan NASA-Ames di California,
Amerika Syarikat.
Beliau percaya berdasarkan
maklumat data mentah yang dikeluarkan, besar kemungkinan MH370 menuju ke
selatan pada kelajuan hampir 500 knot dan berakhir lebih jauh dari
kawasan pencarian sekarang.
Steel memuji syarikat
telekomunikasi Britain, Inmarsat kerana usahanya mengeluar dan membuat
analisis terhadap data berkenaan, yang memberikan hasil yang baik.
"Bagaimanapun, ini bukanlah bermakna saya yakin hasilnya adalah tepat kerana kami tidak diberi maklumat penting tentang komposisi BFOs (Burst Frequency Offsets) dan model tugas yang dilakukan Inmarsat.
"Sekiranya kami mendapat
maklumat itu, kami boleh meneliti apa yang telah dilakukan untuk
mengesahkannya atau mungkin menemui kesilapannya," kata beliau.
Steel berpendapat
sekurang-kurangnya pertimbangan patut diberikan terhadap koridor utara,
sebelum kemungkinannya diketepikan secara mutlak.
"Sebagai contoh, ada orang yang
perlu pergi melihat tempat pesawat berkenaan dikatakan terhempas di Besh
Tash Valley (Kyrgyzstan) berikutan terdapat andaian adanya gumpalan
asap selepas pesawat berkenaan terhempas.
"Secara realiti, itu hanyalah satu per 1,000 daripada kemungkinan yang ada, tetapi mengapa tidak ke sana terlebih dahulu sebelum menolaknya?" kata beliau.
Sementara itu, bekas ketua juruterbang Malaysia Airlines Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata beliau tidak mempunyai sebab untuk tidak mempercayai hasil analisis dan kiraan yang dibuat Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Nahas Udara (AAIB) berikutan pengumuman ATSB itu.
"Kiraan yang dibuat berdasarkan data Inmarsat itu disahkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika, AAIB, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia dan Pusat Penyelarasan Tindakan Bersama (JACC) yang berpangkalan di Perth," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, semua badan itu, selain DCA dan NTSB, boleh dianggap sebagai badan luar yang hampir tidak langsung mempuyai kepentingan secara langsung dan mereka bersetuju dengan hasil itu.
Nik Ahmad Huzlan juga berkata semua kiraan itu turut disahkan pakar tempatan yang mahir dalam bidang komunikasi satelit daripada sudut teknikal.
"Bagaimanapun, terdapat margin
kesilapan yang berpunca daripada penggunaan andaian, yang memungkinkan
kawasan mencari diperluaskan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan