Mereka yang melihat nasib Muhammad Firdaus Dullah, 15, hanya mampu mengurut dada. Apakah sebenarnya yang berlaku ke atas remaja orang kurang upaya (OKU) ini sehingga diperlakukan dengan begitu buruk?
Tubuhnya kurus kering, kotor, hanya memakai baju T yang sudah koyak dan reput serta berlumuran najis. Bilik tempatnya berlindung seperti reban yang tidak dibersihkan dalam tempoh lama.
Mujurlah segala kesengsaraan yang dialami oleh remaja umpama mayat hidup ini berakhir apabila ditemui oleh sepasukan anggota Jabatan Imigresen Negeri Sembilan dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia yang menjalankan operasi pendatang asing tanpa izin di salah satu unit kediaman di Flat Taman Semarak, Nilai dekat sini awal pagi ini.
Muhammad Firdaus yang hanya boleh bergerak dengan mengengsot semasa ditemui anggota penguat kuasa kelihatan terpinga-pinga sambil bertutur dalam bahasa yang tidak jelas.
Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, pihaknya menemui remaja itu di dalam sebuah bilik ketika melakukan Operasi Bersepadu 6P bagi memburu pendatang asing tanpa izin.
"Remaja ini berada dalam keadaan terlalu kurus sehingga menampakkan tulang rusuk menyebabkan dia kelihatan seperti kanak-kanak berusia lima tahun. Mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban untuk rawatan.
"Hasil penelitian juga mendapati remaja itu disyaki dikurung di rumah berkenaan dalam tempoh yang lama.
"Ini berdasarkan keadaan fizikal, pakaian, rambut yang tidak terurus. Kita juga percaya dia memakan najisnya sendiri daripada kesan kekotoran itu di mulutnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kata Faizal lagi, dalam rumah terbabit terdapat bungkusan makanan polisterin yang bersepah dan berbau busuk.
"Keadaannya amat menyayat hati dan kita dapati mangsa memiliki sijil kelahiran. Ibunya berusia 39 tahun dan berasal dari Sabah juga telah dikesan dan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya," katanya di sini hari ini.
Difahamkan, ibu mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Sepang telah berkahwin lain dan memiliki seorang lagi anak tetapi menetap di salah sebuah unit lain berdekatan.
Mengulas lanjut mengenai Operasi Bersepadu 6P, Faizal Fazri memberitahu, seramai 284 individu telah diperiksa dalam operasi tersebut yang bermula pada pukul 2 pagi melibatkan anggota dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Koperasi Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Sembilan Berhad (Kopens).
Penduduk flat dakwa ibu remaja OKU jarang bergaul
Beberapa penduduk flat Taman Semarak Nilai, di sini yang masih terkejut dengan penemuan seorang remaja lelaki yang menderita kurus kering di dalam sebuah bilik di flat itu awal pagi semalam mendakwa keluarga mangsa tidak pernah bergaul dengan penduduk setempat.
Pengerusi flat berkenaan, Abdul Razak Nasir berkata, kelibat ibu kepada mangsa yang merupakan orang kurang upaya (OKU) hanya kelihatan pada awal pagi dan lewat malam ketika dia ingin pergi dan pulang dari tempat kerja.
Selama saya menetap di sini tidak tahu ada OKU tinggal di flat ini. Ibu mangsa juga tidak bergaul dengan penduduk di sini," katanya.
Mangsa keturunan Bajau, Sabah yang berusia 15 tahun diselamatkan oleh pasukan Jabatan Imigresen yang memecah masuk rumah berkenaan semasa melakukan Operasi Bersepadu 6P bagi memburu pendatang asing tanpa izin di kawasan tersebut pada pukul 2.30 pagi semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan