Ahad, 15 Jun 2014

MH370 sentiasa dalam fikiran sejak 100 hari lalu: CEO MAS

Kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang kini memasuki hari ke-100 tidak pernah dilupakan syarikat penerbangan berkenaan.
Malah, bagi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya, tempoh berkenaan adalah satu tempoh panjang yang menyakitkan bagi syarikat penerbangan tersebut.

ahmadjauhari

Ahmad Jauhari berkata, pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu tidak pernah dilupakan manakala ini menjadi tempoh 100 hari paling panjang dalam sejarah sejak kehilangan pesawat MH370.

Dalam satu kenyataan media Ahad, katanya doa dan harapan pihaknya tetap bersama-sama anggota keluarga 239 penumpang.

"Mereka sentiasa berada dalam fikiran kami sejak 100 hari lalu," katanya.

Katanya, MAS akan terus mencari jawapan terhadap misteri kehilangan pesawat berkenaan.

"Malaysia Airlines akan terus berharap untuk mencari jawapan bagi mengetahui apa sebenarnya yang berlaku kepada MH370," katanya.

MH370 hilang pada 8 Mac dengan 239 penumpang termasuk 12 anak kapal selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam perjalanan ke Beijing, China.

Sejak tempoh itu, usaha misi pencarian melibatkan 26 negara digerakkan untuk mengesan pesawat berkenaan, namun sehingga kini masih belum membuahkan hasil.

Antara negara yang terlibat dalam misi pencarian yang dikoordinasikan Malaysia termasuklah Australia, China, Singapura dan Amerika Syarikat.

Ahmad Jauhari turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan agensi terlibat dari Malaysia, Australia dan China dan negara-negara lain yang tampil membantu mencari dan mengesan MH370.

"Meskipun pelbagai usaha dilakukan sejak 100 hari lalu, misteri kehilangan pesawat masih belum terungkai," katanya.

Tiada ulasan: