Rabu, 18 Jun 2014

Konflik Iraq: Kanak-Kanak Saksi Pembunuhan Kejam

Pemberontak menembak mati tahanan tanpa belas kasihan di Iraq.

KONFLIK di Iraq makin meruncing apabila kanak-kanak seawal usia lapan tahun diheret menjadi anggota militan dan menyaksikan pembunuhan kejam.


Kejadian itu dicetuskan pemberontak Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) yang menguasai bandar Mosul sejak minggu lalu.

Beberapa gambar yang diedarkan media menunjukkan pemberontak kumpulan itu mengarahkan tahanan berbaris dan melutut sebelum ditembak di belakang kepala sambil disaksikan kanak-kanak militan yang turut memegang senjata api itu.



Pelbagai cara lain juga digunakan pemberontak untuk menguasai beberapa bandar di Iraq, terutama pembunuhan beramai-ramai.

Juga dilihat gambar pemberontak mengarahkan sekumpulan tahanan dengan tangan diikat ke belakang meniarap sebelum mereka ditembak.



Tentera Iraq juga menjadi mangsa apabila ditawan pemberontak dan dibunuh tanpa diberi peluang mempertahankan diri.

Di Baqubah, kira-kira 50 kilomter dari Baghdad pula dilaporkan seramai 44 tahanan dibunuh pengawal penjara dalam kalangan Syiah ketika militan Sunni menyerang balai polis di bandar itu.

Tentera Iraq memaklumkan, 52 tahanan dibunuh dalam serangan di balai polis berkenaan menggunakan motar.

Bagaimanapun, serangan balas tentera Iraq mengorbankan 30 pemberontak Isis, kata pegawai tentera dan polis.

Berikutan serangan itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barrack Obama memaklumkan Kongres, sebanyak 275 anggota tenteranya akan dihantar ke Iraq untuk membantu mengawal keselamatan rakyat AS di kedutaannya di Baghdad.

Pasukan tentera itu dimana 170 daripadanya telah tiba di Iraq, manakala 100 lagi akan berpusat di Kuwait untuk pengurusan lapangan terbang, keselamatan dan sokongan logistik.

Selain itu, kapal pengangkut George HW Bush dan lima kapal perang kini berada di Teluk Parsi.

Tiada ulasan: