UCAPAN DASAR
KHAIRY JAMALUDDIN ABU
BAKAR
KETUA PERGERAKAN PEMUDA
UMNO MALAYSIA
SEMPENA PERHIMPUNAN
AGUNG
PERGERAKAN PEMUDA UMNO
MALAYSIA 2014
26 NOVEMBER 2014, 8.30
PAGI, DEWAN TUN HUSSEIN ONN, PWTC
“MELAYU”
Yang Berbahagia Dato’ Pengerusi Tetap
Yang Berbahagia Saudara Timbalan Pengerusi Tetap
Wakil-wakil Majlis Tertinggi
Yang Berbahagia Saudara Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Ahli-ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Ketua-ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri
Para Perwakilan dan Pemerhati
Perahu dikatup dengan
daun
Penuh sarat berisi lokan
Kalau hidup seratus
tahun
Sepanjang hayat Pemuda
berkorban
Sampan kotak mengapa
dikayuh
Hendak belayar ke tanah
seberang
Patah kepak bertongkat
paruh
Pantang menyerah di
tengah gelanggang
1)
Berdiri saya di hadapan anda pagi ini – menyirat
semula nirmala perjuangan parti, menginsafi amanah yang diberi, mensyukuri
rentetan pengorbanan tokoh-tokoh UMNO sebelum ini.
2)
Alhamdullilah, mari kita zahirkan rasa syukur ke
hadrat Tuhan Rabbul Izzati,
yang maha pengampun lagi maha mengasihani. Kerana dengan zat limpah
kurnia yang diberi, seperti tradisi tahun-tahun sebelumnya, dapat kita
berkumpul semula dalam dewan yang gemilang ini. Juga selawat dan salam ke atas junjungan
kita Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat.
3)
Sebagai sebuah organisasi, kita berhimpun bukan
sekadar memenuhi keperluan perlembagaan tetapi lebih daripada itu – bagi
menyusun strategi dan agenda jemaah,
mengangkat martabat bangsa dan pertiwi.
Ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam Surah Al-Maidah ayat 2:
Yang bermaksud: “… dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”
Sidang perwakilan sekalian,
4)
Jika diperhalusi, kebelakangan ini banyak perkara
telah terjadi, yang telah mendorong kita untuk mendalami dan menyoal semula
identiti kita. Lalu identiti Melayu yang bagaimana harus kita bawa untuk
menongkah arus, melawan gelombang serba tak tentu haluan ini?
5)
Saya teringat pesan para cendekiawan: jangan malu
jadi orang berbangsa. Dalam konteks kita pagi ini, jangan malu jadi Melayu. Tak
perlu rasa segan bila bercakap tentang halatuju dan masa depan bangsa sendiri.
Dan yang paling penting, tak perlu minta maaf dengan orang lain kerana ini
tentang kita, kalau bukan diri sendiri yang membela bangsa, nak harapkan siapa
lagi?
6)
Tapi jadi orang berbangsa besar
tanggungjawabnya. Bukan setakat
mempertahankan perjuangan, meluaskan legasi atau menyambung tradisi semata.
Orang berbangsa yang bermaruah akan sentiasa melihat cerminan diri di mata
masyarakat. Orang berbangsa yang progresif sentiasa tahu ufuk halatuju
masing-masing.
7)
Kita sebagai orang muda dalam parti wajib
menunjukkan kepada setiap yang meragui, bahawa kita memilih harapan bukan
kemusnahan. Kita mahu menyangkal dengan adat, berdebat dengan ilmu, menyanggah
dengan adil. Jika itu langgam kita, insyaAllah, Pemuda UMNO akan mendokong etos
bangsa Melayu yang benar-benar merdeka!
Sidang perwakilan sekalian,
8)
Sudah lama kita sepakat perlu meremajakan semula
UMNO ini. Atas kesinambungan yang sama, bila bercakap soal meremajakan, soal
menarik minat orang muda, kita tahu Pemuda lah benteng paling hadapan parti.
Merujuk kepada kata-kata keramat Presiden Parti semasa Konvensyen UMNO di
Johor: berilah ruang dan peluang untuk orang muda. Dan seperti yang saya kata
di Town Hall Pemuda baru-baru ini,
orang muda tidak sepatutnya dilihat sebagai ancaman malah sebagai harapan.
9)
Namun sejarah dan tradisi tak pernah menipu, sejak
dari awal penubuhan sayap Pemuda UMNO hingga ke hari ini, kita kekal menjadi
pemangkin utama dalam menarik minat orang muda untuk menyertai parti kita. Hari
berganti bulan, bulan berganti tahun, tahun berganti dekad... Pemuda UMNO terus
mara jadi obor menyuluh jalan denai perubahan
untuk generasi muda. Cuma gaya mungkin berbeza, bergantung dengan keadaan dan
trend semasa.
10)
Lewat ini, Pemuda UMNO
banyak memberi fokus dengan membawa perubahan hakiki kepada orang muda melalui
politik khidmat bakti. Kita juga menitikberatkan perihal isu yang benar-benar
relevan dalam kehidupan mereka, agar perjuangan lebih bersasar, khidmat bakti
boleh diperbesar.
11)
Cuma kadang-kadang yang tak sedapnya, keikhlasan
kita diragu, dicela, dicatu. Bukan dari orang luar, tapi dari parti kita
sendiri. Namun begitu, Pemuda UMNO ini bak kata orang putih, an easy punching bag. Kalau ada apa-apa
yang tak kena dalam parti, ada yang tersalah, terkhilaf bila buat kerja, mesti
kita kena dulu. Bila tak dipilih jadi calon pilihan raya, kita dituduh akan
sabotaj parti. Padahal kita ini juga yang bersengkang mata, bergaul bahaya
berdepan dengan lawan di malam buta. Ini bukan cerita lama, ini cerita selalu
dan baru!
12)
Di Pengkalan Kubor, kita dituduh akan mensabotaj
kempen bila calon terpilih bukan dari kalangan Pemuda. Laporan diberi konon
Pemuda sengaja tak gerak jentera. Pemuda boikot. Pemuda protes. Laporan yang
kononnya sahih. Tapi keputusan undi terbukti sebaliknya. Demi rasa cinta tanpa
sempadan terhadap parti, Pemuda kekal komited melakar semangat perjuangan yang
sebenar. Pendek kata, kita berkerja setulus rasa, kita buktikan pada semua!
Pemuda Tumpat dan Kelantan benar-benar membuktikan kita tak pernah tersasar
dalam memberi apa yang terbaik untuk parti. Walau apa pun tohmahan, Pemuda
melaksanakan tugas sebab bagi kita bukan kepentingan peribadi yang penting
tetapi perjuangan. Berbaloi penat lelah mereka bila undi orang muda meningkat
naik. Dan begitu juga saya ucapkan tahniah kepada Pemuda Teluk Intan sebab
berjaya membantu BN menawan semula kerusi Parlimen yang kita kalah sebelum ini.
13)
Ada yang kata Pemuda sekarang memang berbakti
kepada orang muda, banyak idea, tetapi tidak lagi bertaring seperti dahulu. Tak
menjadi kumpulan pendesak, tak gah membenteng parti, tak lantang dalam
berjuang. Saya nak bagi tahu, Pemuda tidak lupa asal usul. Bila tiba masa untuk
lawan kita lawan! Berani kata begitu pada Pemuda Wilayah, pada Pemuda Pulau
Pinang? Bila maruah UMNO dicabar, bila DAP panggil parti kita celaka, mereka
inilah yang di depan sekali mengambil risiko ditangkap polis, didakwa di
mahkamah – atas nama mempertahankan martabat parti.
14)
Saya tak pernah ragu walau sekelumit bahawa jiwa
Pemuda kental, semangat kita menyala-nyala tak kira masa, kudrat kita melangit
demi parti tercinta – sayang bila tiba masa, kita tercorot di belakang tak
diberi perhatian. Ralat sungguh rasa di hati.
15)
Walaupun ralat, Pemuda tak pernah membenarkan ia
melarat jadi dendam dan amarah yang boleh memusnahkan parti. Kita pegang
pesanan Saidina Ali Abu Talib: sifat pemarah itu musuh utama akal. Tapi
ingatlah kawan, proses peremajaan parti tak boleh disudutkan dari aspek retorik
semata – itu sebenarnya pantang perjuangan. Peremajaan semula parti harus
ditonggak setinggi mungkin di pentas realiti. Agar semua boleh lihat, agar
semua faham kita benar-benar mahu meremajakan semula UMNO.
16)
Anak muda tidak melihat kepada Pemuda semata,
mereka meneliti parti secara keseluruhan. Jika mereka punyai persepsi UMNO ini
tidak membuka ruang untuk orang muda, mana mungkin orang muda nak masuk parti
kita? Seterusnya, identiti parti kita
ini macam mana? Mudakah layaknya di mata orang ramai? Adakah kita ini rasa
parti kita muda dan kontemporari di mata mereka? Anda dan saya tahu jawapannya.
17)
Walaupun kita tak kurang sokongan orang muda,
kenapa masih ada anak muda yang sokong parti lawan – lebih membimbangkan ada
pula yang masuk parti cauvinis itu? Jawapannya mudah, sebab parti lawan dilihat
beri peluang pada orang muda. Setahun jagung, dah boleh jadi calon. Kalau kita
tengok di Dewan Rakyat muka-muka muda lebih ramai di belah sana berbanding
dengan kita. Keadaan ini membentuk persepsi bahawa parti lawan lebih terbuka
untuk angkat orang muda.
18)
Kalau belah lawan begitu rentaknya, mana wow factor kita? Tak cukupkah cerdik
pandai, orator hebat, pendebat ulung
di kalangan orang muda dalam UMNO untuk diangkat? Atau kita masih lagi melihat
orang muda sebagai budak suruhan penaik bendera, mengusung pengundi dengan
motor setiap kali pilihan raya? 50 tahun dulu mungkin, tapi dunia dan perabadan
sudah jauh berubah. Kalau kita tak berubah, alamatnya kita akan ‘diubah’ dengan
kuasa peti undi orang muda.
19)
Jika kita lalui semula jalan kenangan, UMNO
sebenarnya parti orang muda. Suatu ketika dulu barisan pimpinan kita sarat
dengan tenaga muda di peringkat tertinggi.
·
Tan Sri Rais Yatim jadi Menteri Besar Negeri
Sembilan di usia 36 tahun;
·
Tan Sri Shahrir Samad jadi Timbalan Menteri Kabinet
di usia 31 tahun, jadi Menteri Wilayah Persekutuan pada umur 34 tahun;
·
Tan Sri Isa Samad jadi Menteri Besar Negeri
Sembilan pada usia 33 tahun;
·
Tan Sri Rahim Tamby Chik pun sama, jadi Ketua
Menteri Melaka di usia 32 tahun juga.
·Tun Musa Hitam jadi
pemangku Setiausaha Agung UMNO di umur 32 tahun, jadi menteri kabinet bila
masuk 40;
·Tan Sri Annuar Musa, di
usia 34 tahun, sudah jadi menteri kabinet;
·Tengku Razaleigh Hamzah
Pengerusi Petronas umur 35 tahun, menteri kewangan 39 tahun .
·Begitu juga dengan bapa
kepada Presiden kita, Allahyarham Tun Razak yang diangkat jadi Menteri Besar
Pahang pada umur 33 tahun, jadi Timbalan Perdana Menteri usia 35 tahun;
Sayang sekarang kita membelakangi masa. Hanya saya
seorang – Ketua Pemuda UMNO Malaysia sahaja – satu-satunya menteri kabinet di
bawah usia 40 tahun. Saya tak mahu begitu, tak boleh saya seorang sahaja yang
lepas – itupun baru lepas – saya mahu
saudara-saudara dan ramai lagi orang muda sebaya kita ada bersama saya! Barulah
ada transformasi.
Bukan kita tamak mengejar pangkat dan kedudukan,
namun kita tidak boleh menafikan peralihan generasi dan anjakan demografi yang
sedang berlaku di hadapan mata kita.
20) Perahu sudah di air, pendayung sudah di tangan. Tunggu apa lagi kongsilah kemudi itu dengan kami orang muda. Segerakan gandingan orang berpengalaman dengan anak muda untuk menentukan kegemilangan bangsa. Kami mahu suara orang muda di segenap ceruk pimpinan negara. Pemuda di Dewan Rakyat, Pemuda di Dewan Undangan Negeri, Pemuda dalam GLC, Pemuda jadi Timbalan Menteri dan lebih ramai Pemuda jadi Menteri!
Sidang perwakilan sekalian,
21)
Menyisir waktu, hakikat tak tersangkal kita ini
pelbagai. Malaysia identitinya majmuk; agama, budaya dan cara
hidup kita berbeza. Lantaran bukan senang untuk sampai ke
titik
ini, maha berliku jalan perpaduan yang dirintis, dibaja, ditara sejak pra
kemerdekaan hinggalah sekarang.
22)
Keamanan kita hari ini sebenarnya ditopang
kemampuan dalam mengimbangi masyarakat berbilang kaum. Pancang kemampuan itu
pula bermula dengan Kontrak Sosial yang membentuk negara
57 tahun lampau.
23)
Tatkala itu, bapa-bapa kemerdekaan negara bertegang
urat, bertaruh tulang-temulang dalam menentukan formula terbaik untuk semua
kaum, melalui kontrak sosial. Getir lagi payah untuk mereka mencari jalan
tengah yang adil tanpa melukakan hati, tanpa menjarah hak sesiapa.
24)
Teras Kontrak Sosial ialah sementelahan orang
Melayu bersetuju kepada pemberian kerakyatan berasaskan prinsip asas “Jus Soli”
namun ianya perlu bertimbal balas dengan penerimaan Perkara 153 iaitu kedudukan
istimewa orang Melayu, Perkara 152 Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan
Perkara 181 Kedaulatan Raja-Raja Melayu. Secara menyeluruh semangat tolak ansur
ini juga merangkumi status quo pendidikan vernakular yang sedia wujud pra
merdeka terus dikekalkan.
25)
Sekaligus demografi negara berubah drastik bila
orang Melayu membuka pintu negara kepada bangsa lain untuk sama-sama membina
nusa. Kita tidak boleh membayangkan pengorbanan setala ini. Maha besar
pengorbanan orang Melayu, apa yang diharapkan pula hanya untuk kaum bukan
Melayu mengakui beberapa perkara tadi sebagai timbal-balas.
26)
Dalam semangat Kontrak Sosial ini, terdapat
peningkatan signifikan dalam kuasa politik bukan Melayu. Dari 1.28 juta
pengundi berdaftar pada tahun 1955, terdapat 84% pengundi Melayu, 11% Cina dan
4% India. Dan bayangkan saudara, hanya empat tahun selepas itu, semasa pilihan
raya 1959, pengundi Cina dan India masing-masing meningkat di paras 36% dan 7%.
Ini adalah antara perubahan demografi paling besar dalam sejarah negara-negara
moden.
27)
Begitu rencam kita menakhoda negara, kita
timbang-tara hak dan kepelbagaian atas dacing saksama. Tidak lagi wujud
suara dari kaum Melayu yang mempersoal hak kerakyatan orang bukan Melayu, pimpinan UMNO dan
kerajaan sudah lama menerima dan mengangkat Kontrak Sosial.
Kita tak pernah mengungkit soal kerakyatan yang diberi, kita terima lontaran
hakikat bahawa saudara bukan-bumiputera tetap warganegara,
tetap rakyat negara kita. Negara saya, negara anda,
negara kita semua!
28)
Dan walaupun mungkin ada bunyi sedikit suara yang
mempersoal kewujudan sekolah vernakular, kepimpinan UMNO sudah lama menerima aliran ini.
Sudah terpateri dalam undang-undang negara, tiada seorang Menteri Pendidikan pun boleh
mengubah status sekolah vernakular. Malah bila tiba pembentangan
belanjawan tahunan, YAB Perdana Menteri, iaitu Presiden UMNO, tegar memberi
peruntukan khas untuk sekolah-sekolah vernakular.
29)
Dalam premis ini, kita bersetuju memberi hak
kerakyatan untuk kaum bukan Melayu dan mengekalkan bahasa ibunda mereka;
sementara itu orang bukan Melayu pula mengakui kedudukan istimewa orang Melayu,
bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Orang
Melayu terima, dan orang Melayu tak pernah pertikaikan persetujuan yang telah
kita beri.
30)
Tetapi, kenapa pula masih ada mereka yang tidak
menghormati perjanjian yang sama. Kalau orang Melayu boleh terima, tak ungkit
kerakyatan dan mengiktiraf bahawa kita tak boleh tutup sekolah vernakular,
kenapa ada pula yang sekarang ini tidak pegang janji asal mereka. Kenapa ada
yang minta dihapus kedudukan istimewa orang Melayu, ada yang mempertikaikan
kedaulatan Raja-Raja Melayu, ada yang tak faham Bahasa Kebangsaan. Kalau orang
Melayu tegas dengan prinsip kita mempertahankan perjanjian asal, kita tuntut
yang lain juga pegang pada janji asal mereka. Tak perlu lagi pertikaikan hak
kami. Kita tak minta mereka menggadai apa yang ada, kita cuma minta jaga apa
yang telah dipersetujui bersama.
31)
Adat bila berjanji wajib dikota, saudara. Kalau tak
mahu kita mengungkit apa yang diberi, janganlah disoal hak dan keistimewaan
peribumi. Atas janji inilah kita mengasas, membentuk Malaysia yang harmoni. Ini
cara kita, yang terbaik untuk semua.
32)
Bersama obor perpaduan yang
menyala-nyala ini, Pemuda percaya perlu ada batas dalam setiap nas kebebasan. Apa
yang sensitif, apa yang boleh merosakkan pembuluh perpaduan, jangan disentuh
sama sekali. Sama ada Akta Hasutan dikekal
atau ditambah baik, ini semua lompong makna kalau kita tak faham
semangat dan halutuju kita orang berbilang bangsa. Tak kira apa akta, apa bylaws, apa kekangan, perkara-perkara yang sensitif dicanang
jangan. Buat apa meniup api dalam sekam semata membangkit kemarahan?
33)
Apa yang kita perlukan sekarang adalah perisai tempat
berlindung – bukan hanya untuk orang Melayu – tapi untuk semua rakyat Malaysia.
Justeru itu, sekiranya Akta Hasutan dipinda atau ditambah
baik,
yang paling mustahak perlu ada terma yang melarang
dan menghukum sebarang kenyataan atau kelaku menghasut. Terma-terma
ini kelak bakal jadi pelindung bukan sahaja untuk orang Melayu, tetapi untuk
semua kaum lain. Jika ada yang melangkaui batas menghina bangsa atau Raja-Raja
Melayu, Pemuda mendesak agar mereka cepat-cepat didakwa. Sementelah itu, jika
ada yang menghina atau mencerca kaum lain, kita juga harus jadi barisan pertama
yang mengasak agar mereka itu dikenakan tindakan! Kepada pucuk pimpinan
kerajaan, Pemuda berpesan, walau apa pun akhirnya Akta Hasutan ini, walau apa
pun nama baru yang diberi, kita mahu kuasa yang ada dalam akta ini dikekalkan
dan jadi perisai untuk semua. Kerana percayalah, tanpa perisai ini negara kita
pasti hancur.
34)
Mengatur hidup dalam arus moden, tak cukup sekadar
bergantung dengan Akta Hasutan itu semata. Tak cukup juga setakat kita menahan
diri dari menyoal hak masing-masing. Kita mesti mantap pendirian, jadi tiang
seri Malaysia yang bersatu. Kita mesti komited dalam mencorak
fabrik perpaduan nasional.
35)
Kita tidak mengamalkan asimilisasi; kita tak boleh
menerap secara paksa budaya kita terhadap orang lain – seperti yang diamalkan
di negara-negara keliling kita. Apa yang kita mahu adalah satu integrasi yang
mampu mengekalkan rasa hormat bila berdepan dengan budaya masing-masing. Apa
yang masih jadi harapan agar kita ada beberapa perkara yang boleh mengikat kita
bersama – contohnya bahasa kebangsaan.
36)
Tapi lihat saja statistik peserta
PLKN, masih ramai yang tak mampu bertutur dalam Bahasa Kebangsaan.
Petaka apa kah ini untuk bangsa merdeka? Bahasa
Melayu itu Bahasa Kebangsaan, di dadanya
tersimpan segala rahsia untuk menyatukan kita, tapi masih ramai yang tak mampu
bertutur dalam bahasa Melayu – terutama mereka yang memilih sekolah vernakular.
37)
Sekolah vernakular teruskanlah, tapi buatlah
sesuatu untuk mengukuhkan perpaduan nasional pertiwi ini. Pastikan murid-murid
sekolah vernakular fasih dalam bahasa kebangsaan. Jadilah sebahagian daripada
proses integrasi, jangan jadi masyarakat yang tersisih dari yang lain.
Tunjuklah sikit semangat cintakan negara. Janganlah banyak mengomel kalau tak
boleh berdiri bila Negaraku
berkumandang! Tunjukkan pada dunia, bahawa kita rakyat Malaysia.
38)
Merintihlah merdeka, pincanglah perpaduan jika kita
terus-terusan begini. Dokonglah kerakyatan cara orang terhormat, busungkan dada
mu menjulang Malaysia tanpa sebab atau alasan. Kerana jadi rakyat itu maknanya
kita sama, kita satu, kita serupa, kita rakyat Malaysia!
Sidang perwakilan sekalian,
39)
Menjelang ambang 2020 – kita sudah bercakap soal
peremajaan parti, kita juga sudah bercakap tentang hubungan antara kaum –
sekarang molek jika kita menyentuh tentang Melayu itu sendiri. Kerana nadi
perjuangan UMNO selamanya berdenyut untuk membela bangsa kita. Retorik banyak
kedengaran, tapi keputusannya apa? Gerak kerjanya bagaimana?
40)
Umum tahu kedudukan ekonomi kita masih berada di
paras lebih rendah berbanding kaum lain – itu hakikat. Sehingga kini, pendapatan orang Melayu
tetap rendah
berbanding kaum lain. Ramai
yang cakap, Melayu ada Amanah Saham! Tapi mengikut kajian terkini Dr. Muhammad
Abdul Khalid dalam buku Colours of
Inequality, ironis sekali bila pelaburan
purata orang kita dalam Amanah Saham hanya RM 600.
Bayangkan hanya RM 600 sahaja, sedangkan kita tahu had
pelaburan RM 200 ribu.
41)
Bila menyentuh soal pendidikan,
walaupun kerajaan dah beri insentif pengecualian bayaran balik PTPTN untuk
pelajar cemerlang, 78% yang dapat pujian kelas pertama
dan tak payah bayar balik itu bukan budak Melayu.
42)
Apalah nasib badan, sudahlah
tersadung di ruang ekonomi dan pendidikan, di kancah gejala sosial pula,
orang
Melayu berada paling depan. Dalam 10 penagih dadah, 8 anak
Melayu. Itu belum lagi dikira, dihitung kes-kes buang
bayi, sumbang mahram dan jenayah jalanan.
43)
Tapi tak guna kita berbahagi siapa salah, siapa
berdosa. Saya mahu kita bangkit, kita tahu, kita faham betapa Melayu memerlukan
halatuju yang mantap dalam usaha meningkatkan martabat. Masa
tak menyebelahi kita sahabat, sungguh bangsa
bertelekan malu kalau kita orang Melayu belum betul-betul maju, tatkala Malaysia
mencapai status negara maju pada tahun 2020 kelak. Lalu bagaimana
kita
mahu mengubah nasib?
44)
Betul kita punya kuasa, tapi setakat
ini,
apa yang telah kita buat dengan kuasa itu? Cukupkah menggalas perjuangan
setakat kuat bertempik “Hidup Melayu” tanpa sebarang strategi?
Tanpa pemikiran dan perancangan yang mapan?
45)
Perkara wahid dalam hidup adalah semangat dan
keberanian untuk mengubah nasib. Kata penulis buku Bumi Manusia, Pramoedya Ananta Toer, “Dalam hidup
kita, cuma satu yang kita punya, yaitu keberanian. Kalau tak punya itu, lantas
apa harga hidup ini?” Dalam konteks kita mahu
membangunkan martabat bangsa di alaf ini, saya menyeru semua bertindak
tanpa lengah, dalam menjayakan agenda Melayu dengan keberanian
dan perancangan yang rapi. Apa guna kita gegak gempita mempertahan
kedudukan, tanpa menzahirkan aksi dan jasa. Halatuju baharu ini
perlu dibaja dengan pencapaian yang jelas nyata, terbukti dengan keberhasilan
yang boleh diukur kira.
46)
Anggaplah senarai ringkas ini selaku pemangkin
aksi, tiupan semboyan yang menyeru untuk kita
bertindak. Pertama, soal tanah rizab Melayu. Baru-baru ini kita dikejutkan
dengan siri laporan bahawa keluasan tanah rizab, jatuh mendadak dari 50% kepada
12%. Saya mengajak Pemuda ke hadapan, mencari
penyelesaian memastikan hak yang termaktub dalam enakmen sejak 1914,
juga wasiat Raja-Raja Melayu, tak tergadai. Di manakah salahnya kita
dalam soal ini? Kajian menunjukkan
salah satu sebabnya adalah: bila pihak
berkuasa tak menggantikan tanah
rizab yang diwartakan keluar dengan merizabkan semula
satu
kawasan yang mempunyai keluasan sama dengan tanah
asal.
47)
Pemuda tidak akan sama sekali berdiam diri dalam
hal ini, kita akan membawa isu ini untuk ke pentas
nasional dan menggesa agar Enakmen Rizab Melayu Negeri-negeri dikuatkuasakan
sepenuhnya. Kita harus semak semula senarai tanah rizab yang
diwarta keluar dan memastikan tanah-tanah tersebut
digantikan dengan segera. Jangan sampai hak kita di bumi ini terus-terusan
dicabuli
oleh mereka yang tak
bertanggungjawab. Rentung martabat
dibakar cuai, kelak bangsa bakal melarat.
48)
Pemuda mencadangkan agar diwujudkan satu Majlis
Amanah Tanah Melayu melibatkan semua negeri. Majlis Amanah ini pula jangan
hanya melindungi tanah rizab melayu, tetapi juga harus bertanggungjawab
memastikan pembangunannya. Apa guna jadi orang bertanah, jika tak dapat
menggandakan nilai untuk bangsa nusantara sendiri.
49)
Kedua, soal pemilikan hartanah Melayu. Data terkini
menunjukkan bumiputera memiliki hanya 5%
jumlah hartanah di Malaysia. Pemuda memandang serius perangkaan yang
menunjukkan bahawa – meskipun 58% penduduk
Malaysia yang menetap di bandar adalah bumiputera
– namun peratusan yang sama
tidak diterjemahkan menerusi peratusan pemilikan hartanah.
50)
Banyak sebab musibat ini berlaku. Pemaju perumahan
kalau tak boleh jual kuota bumi dalam tempoh 6 bulan, mereka dapat
pengecualian. Ada yang tak bertanggungjawab lagi kuat mengelat. Mereka akan
kurangkan promosi sebab tahu akan dapat pengecualian dan boleh jual di pasaran
terbuka. Pemuda cadangkan tempoh untuk mencari pembeli bumiputera dilanjutkan
selama 3 bulan lagi. Dalam tempoh ini, Pemuda mencadangkan Kementerian
Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diberi peluang
untuk mencari pembeli bumiputera atau terus menjual unit-unit tersebut kepada
GLC-GLC, bagi tujuan memperkasa agenda bumiputera.
51)
Seterusnya saudara, siapa tak pernah masuk pusat
beli belah di bandaraya-bandaraya besar di negara kita? Kiri kanan kita tengok
kebanyakan kedai-kedai ini tak dimiliki orang Melayu. Bila kita hitung kita
dapati bahawa di pusat beli belah utama di bandaraya Kuala Lumpur yang mana
pemiliknya bukan Melayu, peratusan peniaga bumiputera tak sampai 1%. Yang lebih
menyakitkan hati kita, pusat-pusat beli belah yang dimilikki oleh GLC-GLC,
termasuk pusat beli belah yang paling tersohor di Kuala Lumpur, hanya ada
kurang daripada 3% peniaga bumiputera dalam premis mereka. Bukan kerana tak
cukup peniaga-peniaga runcit Melayu tetapi kita pernah dengar cerita di mana mereka
diusir keluar dari pusat-pusat beli belah. Kononnya peniaga-peniaga Melayu ini
cikai. Keadaan ini perlu berhenti, janganlah Melayu pergi ke kompleks beli
belah sekadar tengok-tengok, window
shopping sahaja. Intailah juga peluang untuk berniaga dan menambah
pendapatan.
52)
Program yang ada perlu diperkemas, ruang untuk
membantu golongan ini harus diperluaskan untuk menyokong peniaga bumiputera
menembusi pasaran runcit ini. Kita tak
mahu peniaga Melayu sekadar menembusi pasaran, kita nak mereka kekal dan
mengembangkan perniagaan.
53)
Keempat, soal
kemahiran dan pendapatan profesional Melayu. Kita
amat bangga
bila ramai anak Melayu mengorak langkah dalam
bidang profesional,
berbanding beberapa dekad lalu – satu perkembangan positif untuk negara yang hampir mencapai
status maju. Ia juga membuktikan kita orang
Melayu tak tercicir dari arus perdana pembangunan.
54)
Namun kita bukan mahu berbangga dengan kuantiti
anak Melayu dalam sektor korporat sahaja, tetapi juga ingin memastikan lebih
ramai orang Melayu berada dalam pekerjaan berpendapatan tinggi. Jika hari ini
majoriti pekerja berpendapatan RM 2 ribu sebulan dan ke bawah, rata-ratanya terdiri
daripada golongan orang
Melayu, kelak biarlah Melayu turut menguasai pekerjaan-perkerjaan
bergaji RM 10, 15 hatta 20 ribu
sekalipun!
55)
Program-program di bawah Yayasan Peneraju
Pendidikan Bumiputera perlu ditambah. Kita mahu ramai lagi anak muda Melayu ada
pentauliahan profesional. Ini bila kita tengok akauntan dan pakar kewangan –
jenuh nak cari Melayu. Atau bila kita tengok dalam bidang baru seperti Sains
& Teknologi – payah nak cari Melayu. Tapi saya tahu, dalam dewan sekarang,
ada profesional-profesional ini. Pemuda sendiri ada program seperti ProSkill
bawah Biro Profesional Muda untuk memberi latihan kemahiran insaniah buat para
profesional. Tetapi ini tak cukup, kita mesti menggandakan usaha untuk
memperkasa dan seterusnya memastikan anak Melayu jadi majoriti dalam bidang
profesional.
56)
Yang kelima, kita nak bangkitkan sekali lagi isu
diskriminasi di tempat kerja terutamanya terhadap orang Melayu dalam sektor
swasta. Walaupun sudah diulang berkali-kali, masih ada lagi yang berani
mempromosi jawatan kosong, khusus untuk satu bangsa sahaja. Dalam kerajaan,
kita tak mengamalkan diskriminasi. Polis dan tentera, juga begitu. Jadi tolong
berhenti buat perkara macam ini. Sudah tiba masa kita ada satu akta
anti-diskriminasi dalam pengambilan pekerja.
57)
GLC pula perlu ingat kepada agenda bumiputera yang
diberi. Prestasi Ketua Pegawai Eksekutif jangan hanya dilihat setakat untung
sahaja, tetapi agenda bumiputera yang digalas wajib disempurnakan. Ingat
pesanan Y.A.B. Presiden semasa ucapan beliau di Majlis Pemerkasaan Ekonomi
Bumiputera, di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada tahun lepas, dengan jelas
disebut bahawa semua Ketua Pegawai Eksekutif di GLC diwajibkan meletak sasaran
ke atas penyertaan bumiputera, dan ini dimasukkan sebagai KPI kepada
C.E.O-C.E.O tersebut. Jadi Pemuda nak tanya, dah setahun dah, kita nak tahu
sejauh mana C.E.O-C.E.O telah mencapai KPI mereka? Kalau tak lepas KPI untuk
tolong orang Melayu, ramai yang dapat ambil tempat Datuk-Datuk semua.
58)
Bila sebut soal perolehan kerajaan dan agenda
bumiputera, ada pulak yang memandai mengambil peluang. Penat cari orang, isi
borang, kejar status syarikat bumiputera, tapi bila dah dapat kontrak kerajaan eksklusif
untuk bumiputera, dijualnya pula kontrak ini kepada syarikat bukan bumiputera.
Ada yang berstatus bumiputera, tapi hanya pada nama, hanya pada kertas, untung
dan kawalan syarikat di tangan orang lain.
59)
Rentetan dari masalah ini, Pemuda bersetuju dengan
cadangan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) untuk menubuhkan satu agensi
perakuan di bawah SPRM untuk memastikan fenomena ini dapat dikekang. Pemuda
juga bersetuju agar syarikat-syarikat yang buat perangai dapat
disenaraihitamkan, agar agenda bumiputera kembali ke landasan objektif asal
penubuhan.
60)
Apa makna pencapaian ekonomi bagai, kalau orang
Melayu sebagai orang beragama Islam, akidah tidak dipelihara, syiar agama tidak
ditegakkan, nilai murni tidak disemai. Hari ini kita dikepung oleh ekstremisme
yang datang dari kiri dan kanan. Dari satu sudut, ektremisme datang dalam
bentuk ideologi militan yang menyalahgunakan agama untuk menghalalkan
pembunuhan dan kemusnahan. Lihat sahaja kepada usaha kumpulan militan Islamic
State (IS) memimpin anak muda kita ke arah durjana. Rakyat Malaysia yang
terlibat dengan kumpulan ini, yang terpedaya bahawa ini jihad sebenar,
majoritinya anak muda. Hari ini, satu kertas putih kerajaan tentang ancaman IS
terhadap Malaysia sedang dibentang di Dewan Rakyat oleh YAB Presiden sendiri.
Ancaman ektremisme agama
ini perlu dihentikan serta-merta. Yang perlu kita didik mereka adalah tentang
pegangan Wasatiyyah, sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah,
ayat 143:
Yang bermaksud: “Dan demikianlah Aku (Tuhan) jadikan
kalian umat yang “wasat” (adil, tengah-tengah, terbaik) agar kalian menjadi
saksi (syuhada’) bagi semua manusia, dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi
(syahid) juga atas kalian.”
Baik kita beri anak muda Islam kita, yang cukup
idealistik, peluang lain nak salurkan kudrat mereka. Kita ajak mereka bantu
anak muda Islam berniaga tambah pendapatan, ajak mereka mengajar rakan seagama
yang tiada peluang pendidikan, ajak mereka bina rumah untuk mereka yang tak
berumah kerana negara mereka miskin yang amat. Bina perigi di kampung pedalaman
tanpa bekalan air dapat pahala. Bunuh orang awam secara kejam ikut perjuangan
IS yang dapatnya dosa.
61)
Dari sudut lagi satu, masyarakat kita berdepan
pengaruh buruk dibawa gaya hidup bebas dan songsang. Kalau ini kita tak
bendung, alamat runtuhlah akhlak anak bangsa kita dek ekstremisme sosial. Yang
paling baik kalau kita didik mereka, ajar mereka untuk jauhi gejala sebegini.
Tapi didikan dan ajaran bagus mana sekalipun perlu disokong dengan pengukuhan
pentadbiran undang-undang syariah. Kami menyeru kerajaan untuk benar-benar
merungkai konflik antara perundangan syariah dan sivil dengan mengambil kira
keresahan umat Islam, kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan prinsip
ketertinggian Perlembagaan Persekutuan.
62)
Agenda Melayu seperti yang saya perbutirkan tadi
perlu dijadikan KPI kolektif di setiap paras perjuangan kita. Selesai
persidangan cepat-cepat ambil tindakan,
jangan berdiam diri, jangan berlengah lagi. Gunalah kekuatan kudrat Pemuda
untuk menggerakkan, memperkasa agenda bangsa kita sendiri.
63)
Saya merayu agar Pemuda jadi mata dan telinga
kerajaan. Kita pantau di peringkat bahagian, kita buat satu mekanisme
pengumpulan data, agar boleh diguna pakai oleh kerajaan. Saya nak beri anda
semua satu tugasan, satu KPI. Sila kenal pasti berapa banyak profesional Melayu
di bahagian anda; sila kira berapa banyak kontraktor Melayu dapat kontrak
kerajaan di bahagian anda; sila hitung berapa ramai anak Melayu masuk
universiti di bahagian anda; sila sukat berapa banyak anak muda Melayu terlibat
dalam gejala sosial, merempit sana sini, dan hisap dadah di bahagian anda. Kita
akan tubuhkan satu sekretariat khas di peringkat pusat bagi membantu pemantauan
perlaksanaan agenda Melayu di peringkat akar umbi dengan memperkenalkan Skor
Kad Pematuhan untuk agenda Melayu. Kita selalunya ada perancangan tapi kurang
menyerlah bila tiba bab implementasi. Sekarang Pemuda akan tampil ke hadapan
untuk memastikan agenda Melayu ini dipatuhi sepenuhnya.
64)
Melayu itu bukan bangsa yang gagal; Melayu itu
bukan bangsa yang sentiasa perlu ditongkat, Melayu tak tohor pencapaian. Sungguh
Melayu maha perkasa, dari Kerajaan
Langkasuka dan Kedah Tua, Gangga Negara mahupun Srivijaya, orang Melayu lah
yang membawa ketamadunan ke Tanah Melayu sejak kurun pertama lagi.
65)
Kerajaan Melayu lah yang mula mencipta struktur
perundangan dan menyemai benih kesatuan penduduk Nusantara. Bibit yang
kemudiannya mencetus konsep budaya dan
bangsa, atas asas kejayaan kuasa
politik Melayu. Kepimpinan Melayu lah yang mula membawa perdagangan dan
pendedahan kepada dunia luar. Kemudian datang
kejayaan yang lebih berganda di zaman Kesultanan Melayu
Islam yang masih kekal hingga sekarang,
di mana wilayah ini pernah menjadi pusat perdagangan utama dunia – digores
pengaruh ketamadunan hebat Arab dan
Parsi, China dan India – diiktiraf pula oleh para penulis
dan pengembara ternama, dari Marco Polo hinggalah ke
Laksamana Cheng Ho. Tetapi mewarisi legasi itu
payah, justeru “Hidup Melayu” mu jangan murah. Perjuangan itu perlaksanaan
kata-kata yang tak gawat di tengah jalan, yang tak digentar ditabuh halangan.
Nah, sejarah sudah menunjukkan Melayu ini tamadun yang hebat, inilah masanya
untuk membuktikan kehebatan kita bukan setakat dalam buku sejarah – Melayu itu
hebat dulu, kini dan selamanya!
Sidang perwakilan sekalian,
66)
Sudah lebih setahun kita menewaskan
pembangkang dalam PRU13. Walaupun kita tawan 54% anak muda
Melayu, pertempuran PRU14 bakal jadi lebih sengit lagi. Apatah lagi dengan
penambahan hampir 5 juta pengundi baharu.
67)
Sebelum saya memberi cadangan-cadangan Pemuda untuk
pertimbangan kerajaan, ingin saya ucapkan terima kasih tak terhingga kepada
Y.A.B. Presiden yang telah menzahirkan keinginan anak muda melalui pembentangan
belanjawan yang lalu. Bukan hanya peruntukan untuk belia dipertingkat, isu-isu
umum seperti perumahan dan keusahawanan nampak digubal mengikut langgam orang
muda.
68)
Dan ini memantapkan lagi evolusi Pemuda UMNO di
bawah pimpinan kita semua. Jika empat tahun lalu kita ubah haluan ke arah
politik khidmat bakti, kini kita pertajamkan lagi strategi ini. Kita tajamkan
dengan cara berpolitik berpengaruh di mana Pemuda terus membentangkan cadangan
untuk orang muda kepada pucuk pimpinan kerajaan, yang terbukti senantiasa
bersedia menerima cadangan bernas. Contoh politik berpengaruh yang saya
maksudkan tadi adalah rumah transit yang tercetus daripada idea Pemuda sendiri,
yang telah menyempurnakan impian belia berkahwin untuk menyewa tempat berteduh
yang tak jauh dari ibu kota. Terima kasih kepada mantan Setiausaha Pemuda UMNO,
Y.B. Datuk Abdul Rahman Dahlan, kerana telah mengotakan cita-cita Pemuda ini.
Kerana menjadi seorang Menteri yang bukan hanya mendengar suara Pemuda, tetapi
yang telah bertindak atas desakan kami.
69)
Memang benar sudah banyak yang diberi untuk anak
muda. Tapi izinkan saya menyatakan keinginan Pemuda untuk sebuah urus janji
baharu berkenaan anak-anak muda Malaysia. Halangan tak pernah surut, kos sara
hidup terus meningkat, begitu juga dengan keperluan dan kebajikan generasi muda
negara.
70)
Dalam akad urus janji baharu ini, dari aspek kos
sara hidup, isu perumahan kekal jadi faktor utama kesempitan anak muda. Sejak
tahun 2012, kenaikan tahunan purata harga rumah meningkat 10%, berbanding
kenaikan tahunan pendapatan median yang hanya sebanyak 8%. Purata harga rumah
pula 5.5 kali ganda berbanding pendapatan median, walhal hanya 5.1 kali ganda
di Singapura dan 4.7 kali ganda di UK. Mana mungkin dapat kita membentuk
generasi yang mencintai Malaysia sebagai rumah mereka, jika mereka hanya mampu
pandang, mampu idam, tapi tak boleh nak beli rumah sendiri.
71)
Walau begitu, Pemuda berterima kasih atas usaha
kerajaan untuk terus membantu anak muda dalam kemelut ini. Pemuda menyambut
baik Bandar Belia yang diterjemahkan melalui 1Malaysia Youth Cities. Idea yang
dibawa Pemuda sendiri akan bermula dengan tiga projek perintisnya, di
Semenanjung, Sabah dan Sarawak, dengan objektif mengikuti naluri kehendak
belia. Skim Perumahan Belia juga diumumkan untuk belia dalam Belanjawan 2015. Semua
Ini kami amat alu-alukan.
72)
Walaubagaimanapun, di Kuala Lumpur untuk tahun ini sahaja, jumlah
pasangan belia yang berkahwin, sudah lebih 14,000. Mana cukup 20,000 unit melalui Skim Perumahan
Belia yang saya sebut tadi untuk seluruh negara. Justeru skim ini biar jadi
skim tahunan yang kekal dengan unitnya diperbanyakkan lagi untuk tahun-tahun
mendatang. Rumah transit sebanyak 632
unit pun tak cukup. Walaupun lokasinya molek, intipatinya bersesuaian, mesti
ditambah lagi demi menjaga kebajikan anak-anak muda yang baru mahu memulakan
keluarga.
73)
Bukan itu sahaja, pemaju-pemaju juga perlu beri
kemudahan bina kemudian jual atau tidak kembalikan Skim Pemaju Tanggung Kadar
Faedah (DIBS) untuk golongan muda.
Jangan kita rosakkan harapan mereka memiliki rumah pertama dengan hutang bunga
dan rumah terbengkalai. Tapi ada yang bantah yang kata pemaju kurang untung
sebab kena bayar kos pembiayaan. Jangan sembang sembarang, jangan nak tamak –
kita tahu margin untung pemaju di AS hanya 12%, di Thailand hanya 14%, tapi
untung pemaju Malaysia melambung setinggi 21%.
74)
Pemuda juga sambut baik tindakan kerajaan negeri
Johor yang menyenaraihitamkan 28 pemaju kerana gagal membina rumah mampu milik.
Jangan beri mereka projek baharu, jika tak dapat penuhi amanah bina tempat
berteduh pada harga berpatutan. Pemuda rasa amat wajar jika tindakan sebegini
diperluas ke seluruh negara.
75)
Bila cakap pasal isu sara hidup, bebanan hutang
orang muda sudah lama berada dalam radar perhatian Pemuda. Lebih merunsingkan,
kadar anak muda bawah umur 25 tahun yang bankrap pada separuh pertama tahun ini
sahaja, meningkat sebanyak 178% berbanding tahun lepas. Bayangkan anak muda
kita, yang baru keluar universiti setahun dua, yang baru ingin mendirikan rumah
tangga tapi diisytihar bankrap. Gelap dan punah masa depan mereka.
76)
Tak tersangkal hutang perlu dibayar balik. Kesannya
pada orang lain, pada peminjam di masa depan. Tetapi ada pula tukang kutip
hutang atau ‘debt collector agents’ yang melampaui batas. Ada yang tak berhenti
telefon, padahal hutang tak sampai satu ratus ringgit. Ada yang mengugut,
bahasa kasar macam Ah Long, padahal baru seminggu terlewat bayar. Malahan ada
yang datang ke rumah penghutang, datang dengan geng, ugut nak sita rumah, ugut
nak rantai pintu rumah, ugut nak guna kekerasan. Pemuda nak beri amaran kepada
tukang kutip hutang dan pelanggan mereka, nak kutip hutang tu kutip lah, tapi
jangan sampai biadap, jangan sampai ada yang tertiarap.
77)
Berbalik pada akar masalah ini, antara sebab hutang
anak muda yang tinggi, adalah tahap kefahaman kewangan yang rendah. Ini lebih
serius bagi golongan berpendapatan rendah. Mereka lebih cenderung memilih
pinjaman yang mana ansuran bulanan atau mingguan nampak rendah, tapi bila
dikumpulkan setahun, kadar peratus tahunannya jauh lebih tinggi berbanding
pinjaman ansuran lain.
78)
Nak gubal undang-undang hutang pengguna memang
makan masa. Undang-undang bankrap yang Pemuda dah lama minta dipinda itu pun
belum dizahirkan. Tapi buat sementara waktu, mereka ini perlu dilindungi.
Pemuda mencadangkan kerajaan agar mewajibkan semua pemberi hutang menyatakan
secara jelas jumlah sebenar kadar bunga mereka.
79)
Hal sebegini nampak kecil, tapi besar kesannya.
Tambahan pula apabila GST akan dilaksanakan pada tahun 2015. Namun tatkala
ramai yang risau, ada pula pihak yang cuba mengambil kesempatan. Pemuda juga
gesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)
untuk memastikan pemantauan yang menyeluruh dan berkesan. Jangan kerana peniaga
yang mengambil kesempatan mengaut untung beralasankan GST dan pegawai tak kuat
kuasa – kita pula yang kalah pilihan raya.
80)
Kita juga tahu ramai orang muda yang muflis kerana
gagal bayar hutang kenderaan. Hutang pinjaman kenderaan adalah yang kedua
tertinggi, setinggi 18% selepas hutang beli hartanah. Ramai anak muda bawah 35
tahun jadi muflis, mana tidaknya, nak beli kereta kena bayar 36 kali gaji
bulanan. Di negara maju hanya 12 kali ganda.
81)
Sudah terang lagikan bersuluh, kita perlukan satu
inisiatif untuk membantu anak muda membeli kenderaan, meringankan beban hutang
dan harap-harap mereka dijauhi daripada sumpahan muflis. Mengambil kira perkara
ini, Pemuda mengusulkan kepada kerajaan Skim Kenderaan PertamaKu di mana anak
muda yang berpendapatan kurang RM4000 sebulan boleh beli kenderaan pertama
mereka tanpa membayar cukai atau duti eksais. Ini akan mengurangkan harga
kenderaan khusus untuk anak muda yang membeli buat kali pertama sahaja. Kenderaan-kenderaan
yang dibenar beli biar lah yang berharga sederhana, yang dipasang dalam negara.
82)
Sebelum ada yang kata macam pernah dengar idea ini,
bukan ini idea dari pihak lawan? Saya nak jelaskan ini bukan seperti pihak
lawan yang telah mencadangkan satu dasar populis iaitu potongan cukai untuk
semua pembeli kenderaan yang boleh menambah hutang kerajaan, meningkatkan
kesesakan jalan raya, merosakkan alam sekitar dan memberi diskaun kepada orang
kaya. Cadangan Pemuda bersasar kepada golongan yang memerlukannya iaitu anak
muda sahaja – dan tidak melibatkan semua pembeli kenderaan.
83)
Namun di kala kita bercerita tentang kehendak
belia, jangan dilupakan belia-belia luar bandar. Kita kena ingat, suka tak suka, kekuatan UMNO
hari ini masih datang dari luar bandar. Dan kemenangan kita hari ini datang
dari sokongan belia luar bandar. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita
perlu mengupayakan anak muda luar bandar. Biar mereka ini lebih berkualiti,
lebih berkeupayaan, lebih mudah dipasarkan.
84)
Y.A.B. Presiden telah umumkan dalam Belanjawan 2015
bahawa Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan ditransformasikan. Pemuda
cadangkan transformasi tersebut memberi fokus kepada belia luar bandar, diberi
keutamaan untuk mengikut PLKN versi baharu di mana mereka bukan hanya diterap
semangat patriotisme tetapi juga diberi kemahiran. Biar mereka menamatkan
program ini dengan satu pentauliahan kemahiran – moga mudah mereka mendapat
kerja di pasaran.
85)
Pada masa yang sama, Pemuda menyokong segala usaha
untuk melahirkan lebih ramai lagi usahawan di kalangan belia luar bandar.
Program-program seperti Rural Business Challenge di bawah Kementerian Kemajuan
Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan Agropreneur Muda di bawah Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani harus kita sokong. Pemuda bercadang supaya
lebih banyak lagi peluang ekonomi diberi kepada anak muda luar bandar , agar
mereka tak perlu berhijrah ke bandar untuk mencari rezeki.
86)
Bagi merekayasa ekonomi anak muda luar bandar
Pemuda cadangkan agar Revolusi Ekonomi Anak Muda Luar Bandar dilancarkan.
Gunakanlah 120 ribu hektar tanah terbiar di negara ini, panggil anak-anak muda
luar bandar untuk mengusahakannya, ini akan mencetus revolusi ekonomi ke arah
menambah pendapatan masyarakat muda luar bandar.
87)
Ini urus janji kita yang baharu, prakarsa yang
bakal mencorak perjuangan kita di alaf baru. Kalau orang muda dekat dengan
kita, kepentingan mereka kita jadikan tonggak perkhidmatan, hati mereka kita
tawan, nescaya pilihan raya akan datang kita menang lagi!
Sidang perwakilan sekalian,
88)
Tak ke mana seluang melaut, akhirnya balik ke tepi
jua; tak ke mana Melayu merantau, ke tanah asal pulanglah mereka. Kita ini
parti Melayu – walau
ditala, ditabuh, diterajang bagaimana sekalipun – begitulah kita. Kalau
asalnya benih yang baik, dicampak ke laut jadi pulau. Kalau asalnya berdarah
pahlawan, dihumban ke mana tetap melawan!
89)
Kalau dulu Melayu corot
kelas bawahan, parti
inilah yang mengangkat orang Melayu jadi
usahawan, saintis dan pakar
perubatan. Kalau dulu kita buta huruf, miskin ilmu, bangsa yang tiada visi
mahupun misi, parti inilah yang menjadikan kita profesor, pensyarah dan pakar
ekonomi. Kalau dulu ada yang kata Melayu itu koman, parti inilah yang
mengangkat Melayu ke depan – dari Melayu macai jadi Melayu bijak pandai!
Anak watan
Jangan malu jadi orang
berbangsa
Jangan silu mempertahankan hak kita
Jangan dipersia tradisi yang mulia
Jangan kau gadai harga diri
Jangan dinafi apa yang hakiki
Jangan berbohong dengan diri
Jangan pohon maaf, pohon kebenaran
dari sesiapa
Kerana walau kita mati-matian berjuang demi bangsa
Kita tak pernah berjuang atas sengsara orang lain!
Maqasid perjuangan kita bukan untuk
Melayu semata
Kita berjuang untuk semua
anak Malaysia!
90) Jadi anak bangsa, lekas
kau bangun dari lena. Akarkan legasi dalam hati, cekalkan perjuangan di
sanubari, perjuangan untuk selamanya membela kedudukan
bangsa, memacu negara ke puncak dunia, mendokong
nusantara hingga ke akhir masa!
Demi parti
kita saudara-saudara, kau apikan lah obor yang
menyala-nyala, tiupkan lah sangkakala sekuat rasa, luruskan barisan, rapatkan
jurang antara mu para pahlawan! Yakinlah ini yang kamil untuk
bangsa, untuk anak-anak kita,
untuk para sarjana yang
bakal mewaris negara!
Hidup mati kami untuk agama!
Hidup mati kami untuk bangsa!
Hidup mati kami untuk keramat parti tercinta!
Hidup UMNO!
Hidup UMNO!
Hidup UMNO!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan