KUALA LUMPUR, 29 Nov – Perhimpunan Agung UMNO 2014, berakhir dengan
mesej tegas dan lantang Presiden UMNO bahawa hak keistimewaan orang
Melayu, Raja dan agama Islam yang termaktub dalam perlembagaan negara,
tidak boleh dipertikaikan lagi.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata seluruh rakyat
Malaysia perlu berhenti berbalah mengenai perkara berkenaan, sebaliknya
memberi tumpuan penuh kepada usaha memajukan negara.
“Kebebasan pun ada had. Kebebasan bukan mutlak. Tak boleh hina agama
Islam, tak boleh cabar hak istimewa Melayu, tak boleh persoal sistem
Raja-Raja Melayu, askar Melayu dan kita jaga kepentingan kaum lain.
“Jadi, amanlah kita. Asyik berbalah memanjang…kerja lain tak jadi.
Saya nak kita memberi fokus bahawa kita majukan negara Malaysia tercinta
ini. Kita nak bawa Malaysia ke depan. (Bukan) asyik berbalah saja,”
katanya dalam ucapan penggulungan perhimpunan itu di Pusat Dagangan
Dunia Putra di sini hari ini.
Ketegasan
Perdana Menteri itu disambut sorakan dan tepukan gemuruh lebih 2,700
perwakilan yang berada di Dewan Merdeka, malahan mereka yang mengikuti
ucapan itu di luar dewan.
Najib berkata, atas rasa tanggungjawab bagi mengekalkan keamanan dan
keharmonian negara serta menangani tindakan pihak tertentu yang
mempertikaikan perlembagaan negara, maka Akta Hasutan 1948 dikekalkan.
“Orang kata Akta Hasutan tak demokratik, akhbar antarabangsa serang saya. (Tuduh) saya mungkir janji, guna kekerasan.
“Saya nak beritahu, tanggungjawab saya sebagai perdana menteri jaga
keamanan dan keselamatan dalam negara kita,” kata Najib, yang
mengumumkan pengekalan Akta Hasutan 1948 semasa menyampaikan Ucapan
Dasar Presiden pada Khamis.
Menyorot kembali bagaimana Malaysia mencapai kemerdekaan, mengecapi
keamanan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama, beliau
menekankan bahawa konsep solidariti adalah asas kejayaan itu.
Najib turut menjelaskan bahawa solidariti yang beliau tegaskan semasa
menyampaikan Ucapan Dasar Presiden dan telah menjadi antara topik
perbahasan Perhimpunan Agung UMNO kali ini bermaksud: ‘bersatu dalam
satu angkatan yang kukuh dan padu’.
Sambil menunjukkan salinan akhbar terbitan 1 Sept 1957, Najib
berpendapat kata-kata Perdana Menteri pertama Almarhum Tunku Abdul
Rahman: “Look at the past with gratitude, look to the future with
confidence” (Lihat masa lalu dengan rasa terhutang budi, lihat kepada
masa depan dengan keyakinan), masih relevan diguna pakai pada hari ini.
Kata Najib, keyakinan itu sebenarnya dibentuk hasil daripada
perjuangan parti keramat UMNO sejak sebelum merdeka sehinggalah ke hari
ini.
Bagaimanapun, Perdana Menteri turut menarik perhatian perwakilan akan
peri pentingnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus meraih sokongan
kaum lain.
Katanya, tidak mungkin pemimpin negara terdahulu menubuhkan Parti
Perikatan yang mewakili tiga kaum terbesar di negara ini, yang
seterusnya dijenamakan semula sebagai BN, jika ia tidak memberi faedah
kepada orang Melayu.
“Sebab itulah penting bagi kita jaga BN, tapi tidaklah sampai mengorbankan prinsip-prinsip yang dekat di hati orang Melayu.
“Orang kata Melayu adil, tegas, kontrak sosial dan sebagainya itu
kenapa? Sebab kita bukan hanya nak tengok soal pilihan raya, tapi nak
bina sebuah negara Malaysia, negara bangsa yang berjaya,” katanya.
Dalam pada itu, Najib turut menempelak pakatan pembangkang yang
disifatkan sebagai ibu segala rasuah kerana cuba menawarkan sejumlah
wang yang besar kepada seorang pemimpin UMNO untuk membawa Anggota
Parlimen BN menyertai pembangkang pada 2008.
Perdana Menteri turut menyelar amalan nepotisme pihak pembangkang
yang ‘mengorbankan’ anggotanya yang tidak bersalah semata-mata untuk
memberi laluan kepada orang lain untuk memegang jawatan.
“(Pembangkang) boleh pula suruh wakil rakyat (mereka) letak jawatan
(sebab) isteri nak bertanding. Suruh menteri besar (MB) yang tak ada
kesalahan letak jawatan sebab isteri nak jadi MB.
“Inilah nepotisme terbesar. Kenapa kita tak persalahkan dia. Seranglah pembangkang,” tegasnya.
Menyentuh isu peremajaan yang hangat dibahaskan perwakilan pada
perhimpunan agung tahun ini, Najib mengingatkan 3.47 juta anggota parti
itu bahawa UMNO perlu menyusun strategi terbaiknya dalam merealisasikan
agenda pengkaderan parti.
Menyedari ‘kedinginan’ antara segelintir pemimpin lama dan baharu
yang wujud sejak dahulu, beliau sekali lagi menegaskan kepentingan
seluruh generasi dalam UMNO bekerjasama dalam satu haluan.
“Kalau kita dok kerling belakang kita dan rasa ada orang nak serang
kita, sampai bila pun tak akan wujud solidariti. Tapi, dalam masa itu,
mana yang patut..(kita) berilah peluang,” kata Najib.
Bagaimanapun, katanya, peluang itu hanya akan diberikan kepada orang
muda yang benar-benar layak dan menepati ciri-ciri Jil UMNO yang telah
digariskan.
Najib berkata apa yang penting adalah setiap anggota parti itu perlu
meremajakan semula roh perjuangan UMNO dalam diri masing-masing.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan