Selasa, 2 Disember 2014

Ucapan Penggulungan Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin

Tinggi Terbang Burung Kenari
Hinggap Menyanyi Di Pohon Jati
Buat Pejuang UMNO Sejati
Doa dipanjat diberkati Illahi

Ayahanda Pengerusi Tetap dan sidang perwakilan sekalian,

Hari ini saya berdiri di dalam dewan yang mulia, sebagai anak bongsu dalam keluarga besar UMNO.

Namun, saya sedar dan insaf bahawa saya punyai satu tanggungjawab yang besar kepada bukan sahaja kelangsungan survival parti keramat ini, tetapi adalah juga untuk memastikan lebih 375 ribu ahli Puteri Umno diseluruh negara menjadi benteng yang ampuh mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan tanahair tercinta ini.


Para soldadu merah jambu muda ini sudah semakin matang, bijak dan pastinya juga mampu untuk melangkah seiringan dengan anggota lain dalam keluarga kita ini. Sudah terbukti juga, berjaya melaksanakan tanggungjawab yang lebih penting, khususnya sebagai jentera pilihanraya.

Sejak dari awal penubuhan, Puteri telah diletakkan satu harapan yang tinggi bukan sahaja oleh pucuk pimpinan parti, penyokong umno malah rakyat diluar sana yang mengharapkan Puteri memberi nafas baru kepada Umno.

Sekaligus membawa maksud soal meremajakan parti telah diperkatakan sejak dari pasca PRU yg ke 11 lagi dan telah dipandang serius oleh Presiden Parti ketika itu iaitu Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir bin Mohammad, lantaran dari itulah telah menubuhkan sayap Puteri pada tahun 2001.

Sejak itu, Puteri telah memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam setiap PRU dan PRK. Saya masih ingat lagi pesanan Ayahanda Tun dalam Ucapan Dasar nya pada Perhimpunan Agung UMNO tahun 2002 iaitu Perhimpunan Agung UMNO yang pertama menerima kehadiran para perwakilan Puteri secara rasmi.

Pesan beliau berbunyi "Tugas Umno, tugas kepimpinan Umno, juga semua ahli Umno ialah untuk menyeru dan memberi panduan serta contoh teladan kepada semua orang Melayu"
Pesanan ini masih terngiang-ngiang ditelinga saya sehingga hari ini dan ianya menjadi panduan.

Sidang perwakilan yang dihormati sekelian,

Dalam soal peranan dalam parti, Puteri telah di asuh sejak awal lagi untuk menggunakan kepakaran yang ada dalam mengendalikan teknologi maklumat. Hari ini, seperti yang telah dijangkakan, dunia siber telah pun berkembang dengan begitu meluas sekali dan telah menjadi gaya hidup orang dimasa kini menggunakan IT (hyperconectivity).
Setiap maklumat, kini bukan sahaja boleh diperolehi sekelip mata dihujung jari malah telah mula membimbangkan kita semua dengan perkembangan penyebaran fitnah dan jenayah siber yang berleluasa. (Dah sebut pasal hyperconectivity, saya nak ucapkan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Dulu semasa Perhimpunan Agung, capaian internet E tetapi tahun ini jangkauan 4G dan wifi percuma lagi).
Menyedari hakikat itu, soldadu merah jambu mengorak langkah untuk menjadi soldadu di alam maya dengan mewujudkan Barisan Semut Api. Barisan Semut Api akan menggabungkan jentera penerangan dan IT Puteri bukan sahaja menangkis dakyah yang disebarkan di alam maya, tetapi juga menggunakan setiap inci ruang dialam maya itu kearah yang lebih positif. Terima kasih kepada Wakil dari Negeri Kedah yang juga menyebut tentang semut api.
Semut Api ini akan membina jaringan yang luas dikalangan wanita muda diseluruh negara, bukan sahaja menyampaikan maklumat yang sahih dan benar bagi menolak fitnah-fitnah yang disebarkan kepada rakyat malah akan menjadi mata dan telinga kerajaan bagi membendung gejala yang tidak sihat yang tersebar melalui alam maya. Barisan Semut Api akan menyelinap masuk ke dalam setiap rumah rakyat di negara ini untuk memastikan agenda kerajaan barisan nasional ke arah perpaduan dan keharmonian kaum dapat dipertingkatkan.
Kecil-kecil cili padi, sekali semut api mengetip, usahkan harimau gajah dapat ditumbangkan TETAPI kami bertekad...berazam Pakatan Pembangkang, KITA BENAMKAN!
SOLDADU MERAH JAMBU
Soldadu Merah Jambu
Bukan satu perjuangan baru
Soldadu Merah Jambu
Perjuangan wanita muda melayu
Soldadu Merah Jambu
Tanda Melayu itu bersatu
Soldadu Merah Jambu
Demi Negara Malaysia yang maju
Soldadu Merah Jambu
Kepada ALLAH dipohon restu
Sidang perwakilan sekalian,
YAB Presiden Parti yang kita semua kasihi, sewaktu menyampaikan amanat beliau dalam Taklimat Presiden pada hari Selasa yang lepas, telah mengingatkan kita semua untuk sentiasa membuat Pemeriksaan Realiti ataupun Reality Check. Realitinya hari ini, rakyat diseluruh negara merungut, mengeluh dan merasa terhimpit dengan keadaan ekonomi. Walaupun pelbagai usaha dan insentif telah diperkenalkan tetapi REALITINYA, kadar pengangguran dikalangan siswazah masih tinggi, dan kemiskinan bandar semakin meningkat. Pada tahun lepas sahaja, lebih 34,641 Graduan wanita dilaporkan gagal mendapat peluang pekerjaan. Dimanakah silapnya?
Mereka ini adalah dari kalangan anak muda yang berpendidikan, alangkah ruginya jika kebijaksanaan dan kebolehan yang ada dalam diri mereka ini tidak dipotensikan, ini juga keresahan yang dilahirkan oleh wakil Kelab UMNO Luar Negara. Justeru itu, Puteri akan membantu graduan-graduan wanita bukan hanya di Bandar tetapi graduan di Luar Bandar sudah pastinya akan turut serta dalam Program Aspirasi Graduan yang bukan sahaja membantu mereka untuk mendapatkan peluang pekerjaan tetapi juga, bagaimana untuk merebut peluang bagi mendapatkan dana perniagaan RM 50 juta melalui Program Pembangunan Usahawan Wanita Muda Professional yang diumumkan dalam Bajet Kerajaan Persekutuan baru-baru ini. Kami bersedia untuk menjadi pemudahcara dalam melaksanakan Program tersebut.
Ayahanda Tan Sri Pengerusi Tetap,
Keadaan ekonomi hari ini juga seperti mana yang telah saya katakan diawal tadi, memaksa kaum wanita turut menjadi penyumbang utama kepada pendapatan keluarga. Realitinya, ramai juga wanita diluar sana yang nasibnya tidak terbela dan tidak mendapat nafkah yang sewajarnya dari suami mereka. Dalam hal ini, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kementerian Pertahanan yang telah memperkenalkan Peruntukan Keluarga, daripada suami kepada isteri...Diwajibkan kepada semua pegawai yang telah berkahwin, sebanyak 10% dari gaji pokok akan terus masuk ke dalam buku bank isteri. Selain itu ada juga peruntukan sukarela dimana potongan gaji dibuat kepada ibu. Jumlah potongan tersebut adalah mengikut berapa banyak yang hendak dipotong. Ini baru lah boleh kita kata Hero Tuan-tuan...macho, perkasa dan budiman (Menterinya tak tahulah pulak saya,dia potong 10% atau tidak untuk Datin Seri....hehehe)
Oleh yang demikian, saya berpendapat mungkin boleh Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga bersama Kementerian Kewangan duduk berbincang kemungkinan untuk Peruntukan Keluarga ini dapat satu hari nanti di laksanakan juga diseluruh sektor awam dan swasta! saya yakin, Menteri Kewangan yang juga Presiden Yang kita kasihi akan mempertimbangkan saranan ini kerana beliau tahu bahawa wanita lah yang bukan sahaja menjadi tulang belakang ( pandang kak ijat ), atau menjadi penyejuk belaian jiwa ( sambil memandang kearah datin sri rosmah )
MALAH wanita jugalah penyumbang kepada undi majoriti yang memungkinkan BARISAN NASIONAL memerintah sehingga kehari ini.
Ayahanda pengerusi tetap dan sidang perwakilan sekalian....
Pergerakan puteri ingin merakamkan ucapan tahniah di atas ketegasan YAB Presiden Parti bagi mengekalkan Akta Hasutan 1948 serta jaminan penambahbaikan dan penambahan akta yang bakal dilaksanakan. Ini adalah kerana, betapa penting bagi kita semua, agar dapat memastikan keharmonian kaum dapat kita nikmati bersama.
SEBAGAI PENUTUP BICARA, izinkan saya memetik kata-kata BAPA KEMERDEKAAN NEGARA, Almarhum Tunku Abd Rahman Putra Al Haj sewaktu merasmikan perhimpunan Agung UMNO lebih 50 tahun yang lalu..iaitu dengan lebih tepat lagi pada 6hb September 1964, setahun selepas penubuhan Malaysia. Beliau, ketika itu menyifatkan Malaysia yang baru terbentuk sebagai seorang anak yang baru dilahirkan, beliau telah pun berpesan...
"Kita tidak boleh membiarkan anak kita yang baharu lahir ini lemah,dan dihinggapi penyakit. Ia mesti dipelihara dan dididik sama seperti tiap-tiap seorang dari kita mendidik dan memelihara keluarga kita sendiri. Anak kecil kita ini, tidak ternilai harganya. Ia muncul sebagai satu benda yang kita sama-sama pusakai, dan sama-sama kita bergantung harapan.
Kesejahteraannya bergantung kepada cara bagaimana ia dididik dan dipelihara supaya sentiasa sihat dan bertambah kuat dari masa ia masih kecil sehingga kepada masa meningkat umur dewasa. Oleh itu, masa hadapannya bergantung kepada panduan dari jagaan yang diberi oleh rakyat negeri ini sendiri."
"Malaysia ini ialah anak yang bertuah, anak yang diturunkan kepada kita oleh Allah yang Maha Kuasa yang kiranya dapat hidup dengan subur sehingga menjadi orang dewasa yang kuat sebagaimana yang telah saya sebutkan. Akan menjadi Bapa yang boleh memberi rahmat kepada kita semua dan akan menjadi satu kebanggaan kita yang berkekalan dan kepada semua mereka yang akan datang kemudian dari kita.
Hendaklah menjadikan kewajipan kita dan cita-cita kita yang besar untuk memberi perlindungan dan menjaga anak itu dengan segala kuasa yang ada kepada kita sekalipun dengan jiwa kita. Kita rasa negara dan bangsa kita ini ialah pemberian Allah SWT yang telah dianugerahkan kepada kita setelah mula-mula sekali orang melayu memohonnya, dan kemudian dari itu di ikuti oleh org cina, india dan lain-lain. Kita semua mestilah melindunginya, membersihkannya dari segala pengaruh yang jahat, menjauhkannya dari sebarang penyakit yang mengancam atau membahayakan nyawa".
"Malaysia pada ketika itu sebagai SEBUTIR bintang yang memancarkan harapan...hari ini, selepas 50 tahun...bintang itu telah membuktikan bahawa ianya telah bukan sahaja menyinari harapan orang melayu dan seluruh rakyat malaysia tetapi bintang itu jugalah yang telah menjadi penyuluh daripada kegelapan."
Ayahanda Presiden, Para Perwakilan Sekelian, Sahabat-sahabat Puteri dan seluruh pejuang keluarga UMNO ku,
Demi mempertahankan amanat ini, walaupun beribu tohmahan datang menghujani, jutaan, sindiran menusuk sanubari, kami barisan Puteri masih teguh berdiri. Kami terima semua ini dengan hati terbuka, walau betapa perit hakikatnya, untuk memperbaiki diri agar terus gagah menjulang panji-panji parti keramat ini. Dugaan ini kami jadikan cabaran yg akan depani bersama. Bak kata peri pujangga, sesuatu yang tidak membunuh kamu hanya akan menjadikan kamu lebih kuat.
Berbekal kecekalan hari, berperisai semangat perjuangan sejati, bersenjatakan akal kurniaan Ilahi, kami akan bangkit dengan kesatuan hati dan kepaduan azam untuk membuktikan Puteri masih tangkas di medan juang.
PUTERI akan mempertingkatkan komitmen dengan hala tuju yang jelas dalam mengharungi dinamika politik abad ke 21. Saya selaku Ketua Puteri UMNO Malaysia akan memastikan amanah yang telah diberi oleh pucuk pimpinan parti akan disempurnakan dalam meneruskan obor perjuangan.
Akan saya pertahankan pergerakan ini selarat kederat!!
PUTERI
PUTERI
KAMI TAK AKAN GENTAR
AKAN KITA KEJAR
PUTERI UMNO AKAN TETAP SETIA...PUTERI UMNO AKAN TERUS MARA.
Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatulahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan: