Selasa, 16 Disember 2014

Nizar tawar diri jadi Pengerusi PAC Perak

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menjelaskan keputusan menawarkan dirinya mengetuai  Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) Perak dibuat atas dasar tanggungjawab untuk memastikan aliran tunai kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) itu berintegriti, telus selain bebas daripada amalan rasuah.

Ketua pembangkang Perak ini menegaskan tindakan berkenaan tidak melanggar sebarang prosedur sebaliknya tambah Nizar ia merupakan protokal dalam amalan sistem Westminster yang dilaksanakan di kebanyakan negara-negara Komanvel.

Selain itu, ujar Mohammad Nizar, beliau berhasrat untuk memeriksa dan memantau urusan kewangan negeri serta memastikan ketelusan pengurusan dan pentadbiran kewangan ditadbir secara baik dan sempurna.

"Sebab ia merupakan protokol amalan di kebanyakan Parlimen ala westminster yang diamalkan di Parlimen-parlimen seperti di India sejak tahun1967, UK dan Kanada.
"Kedua sebagai ketua pembangkang yang mempengerusikan Jawatankuasa PAC akan dapat memperbetulkan setiap komen dan teguran dalam laporan audit.
"Sebab di Malaysia dah jadi kebiasaan teguran ketua audit negara tak dipandang indah oleh kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang mana berlakunya teguran berulang atas penyelewengan yang sama setiap tahun," katanya kepada Antarapos.
Justeru bekas menteri besar Perak ini berharap dengan kedudukannya sebagai ketua pembangkang akan mendorong pihak pentadbiran kerajaan negeri memastikan  pengurusan kewangan berjalan dengan teratur serta berteraskan peraturan dan undang-undang.
Sebelum ini Mohammad Nizar mengumumkan untuk menawarkan dirinya mengetuai Jawatankuasa PAC Perak, menjelang persidangan DUN pada masa hadapan.
**BN Selangor enggan terima jawatan Pengerusi PAC sebab tidak berfikir di luar kotak**
Ditanya mengenai senario yang berlaku di Selangor, Mohammad Nizar yang juga ADUN Changkat Jering menganggap wakil rakyat BN di negeri berkenaan tidak berfikiran terbuka selain melihat dari sudut politik semata-mata.
"Bukan begitu, di Selangor ketua tolak kerana perkiraan politik.
"Bermakna jika dia terima makanya negeri-negeri lain di bawah BN juga kena terima dan di Parlimen, BN kena setuju bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi pengerusi PAC dan ini yang BN tak mahu," katanya.
Ini kerana menurut beliau, mana-mana individu yang memegang jawatan Pengerusi PAC mempunyai bidang kuasa serta capaian yang luas termasuk dalam urusan perbelanjaan negara.
"Kerana pengerusi PAC ada kuasa boleh probe setiap urusan perbelanjaan negara.
"Ini akan mendedahkan peluang-peluang penyelewengan oleh BN dan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) seperti MAS, petronas, TNB dan lain-lain termasuk syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB),  Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kontrak kerajaan dan banyak lagi," katanya.
Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Shamsudin Lias bertindak melepaskan jawatannya kerana enggan menerima pelantikan itu, ekoran komposisi ahli yang tidak seimbang dalam PAC.

Tiada ulasan: