Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob berkata keputusan itu diambil ekoran banjir di negeri ini yang semakin buruk.
“Sidang DUN pada 29 Dis ini kita
tunda…keadaan banjir menyebabkan kita tunda oleh sebab keadaan tidak
mengizinkan…kita akan beri semula (tarikh) selepas ini bila masa yang
sesuai untuk sidang dewan khas.
Persidangan khas itu bertujuan
untuk membuat pindaan terhadap Kanun Jenayah Syariah II (Hudud) 1993
sebelum rang undang-undang persendirian dibentangkan di Parlimen bagi
mendapatkan kebenaran pelaksanaan hudud di Kelantan.
Ahmad ditemui ketika sedang
menunggu ketibaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk
bersama-sama mendengar taklimat Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai
situasi semasa banjir serta operasi menyelamat mangsa yang sedang
dijalankan di negara ini.
Menteri Besar turut mengumumkan
esok (28 Dis) sebagai cuti peristiwa di Kelantan ekoran keadaan yang
tidak menentu berikutan bencana banjir yang melanda.
Pada masa sama, Ahmad turut
melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi
pengurusan bencana banjir di negeri ini.
“Saya sangat-sangat berterima
kasih kepada semua pihak yang membantu Kelantan. Baik dari pihak
kerajaan persekutuan, agensi-agensi, kerajaan negeri serta pasukan
keselamatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut
menyeru semua pihak agar menolak ke tepi ideologi politik sebaliknya
bekerjasama bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Kelantan
terjaga, terutamanya ketika menghadapi musibah besar sebegini.
“Dalam menyelamatkan rakyat,
kita tiada parti. Kita selamatkan rakyat daripada musibah apabila mereka
hadapi masalah. Sama ada bantuan dari persekutuan, negeri, atau
agensi-agensi, kita akan beri kerjasama dengan semua pihak,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan