Sabtu, 20 Disember 2014

Pembunuhan Kejam Pengasas Bank Melayu Pertama

maarof zakaria dibunuh

Bagi mereka yang tinggal di kota metropolitan Kuala Lumpur, nama Jalan Maarof bukanlah satu nama yang asing.

Jalan Maarof yang terletak berdekatan Dataran Maybank Bangsar ini diambil bersempena nama seorang tokoh ekonomi Melayu yang merupakan pengasas Bank Kebangsaan Melayu di Klang Street.

Di era pra-kemerdekaan, orang Melayu menghadapi kesukaran dalam urusan ekonomi terutama bagi urusan membuat pinjaman daripada bank.

Pada waktu itu,hanya terdapat dua bank iaitu The Chartered Bank dan bank milik China bernama Overseas Chinese Banking Corporation.

Namun, kedua-dua bank ini tidak memberi kemudahan pinjaman wang kepada orang Melayu pada waktu itu.





Hal ini menyebabkan ramai orang Melayu terpaksa beralih angin kepada ceti-ceti haram yang memberi pinjaman dengan kadar bunga yang tinggi.

Maarof Zakaria (Allahyarham), seorang bekas peguam dan Pegawai Daerah di Perak yang hidup sezaman dengan nasionalis negara seperti Pak Sako (Ishak Haji Muhammad).
Allahyarham melihat perkara ini sebagai satu kemelut ekonomi Melayu yang perlu diselesaikan sebelum ia bertambah meruncing. Dan hasilnya, pada Julai 1947, sebuah Bank Kebangsaan Melayu telah diasaskan olehnya di atas sebidang tanah berkeluasan 27 ekar.

Bank ini telah membuka saham bernilai 2 juta khas untuk orang Melayu pada ketika itu.

Pada beliau (Maarof), sebagai tuan tanah (Tanah Melayu), orang Melayu perlu bijak menguasai bidang ekonomi sebelum dapat menguasai lain-lain bidang seperti politik.

Namun, langit tidak selalunya cerah. Selepas enam bulan beroperasi, Maarof telah ditemui mati dan mayatnya digantung dalam hutan berdekatan Lake Garden.

Hasil siasatan polis, pembunuhan tersebut tidak bermotifkan rompakan atau samun kerana jam tangan Rolex dan wangnya tidak diambil.

Jelas, ini merupakan satu konspirasi pembunuhan terancang dalam usaha menghapuskan tokoh ekonomi Melayu itu.

Siapa pembunuhnya? Itu misteri yang masih belum dapat diselesaikan sehingga kini.

Alfatihah untuk Allahyarham Maarof..

Seniman Mustapha Maarof (Allahyarham) adalah anak kepada Allahyarham.

Tiada ulasan: