Jumaat, 12 Disember 2014

MAHB sedia jawab segala persoalan berhubung pembinaan KLIA2

Liow Tiong Lai dan Badlisham Ghazali meninjau masalah apron KLIA2 yang mendap.
Liow Tiong Lai dan Badlisham Ghazali meninjau masalah apron KLIA2 yang mendap.

Segala isu yang dibangkitkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) akan dijawab dengan sebaik mungkin.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Seri Badlisham Ghazali berkata, pihaknya kini dalam peringkat penelitian dan perbincangan bagi memberi penjelasan terhadap segala persoalan yang timbul.

“Kami menerima dengan hati terbuka dan kini sedang meneliti setiap isu yang disuarakan oleh PAC dan berjanji akan menjawab setiap satu perkara tersebut kerana setiap isu itu bersangkutan.


“Kita tidak tahu bila, namun akan cuba memberi jawapan kepada PAC secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai melawat KLIA2.

Beliau mengulas laporan PAC yang dibentangkan di Parlimen pada 25 Nov lepas mengenai dakwaan kegagalan syarikat pengendali lapangan terbang itu menimbang status KLIA2 sebagai lapangan terbang kos rendah yang turut meningkatkan perbelanjaaan operasi syarikat pengendali penerbangan terbabit.

Badlisham berkata isu pemendapan di apron KLIA2 tidak menjejaskan operasi di lapangan terbang tersebut walaupun kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan sejak Jun lalu.

Sementara itu, Liow berkata menjadi tanggungjawab MAHB untuk menjawab isu yang dibangkitkan oleh PAC dengan telus dan terbuka.

“Semua isu harus dijawab oleh MAHB dan ia turut membabitkan faktor keselamatan di lapangan terbang berkenaan termasuk isu pemendapan di apron,” katanya.

Beliau berkata kos keseluruhan pembaikan tersebut masih belum diperoleh berikutan kerja-kerja pembaikan masih berjalan.

Tiada ulasan: