Rabu, 24 Disember 2014

Tiga Beranak Maut, Seorang Parah Akibat Kejadian Letupan Di Gurun


Orang ramai berkumpul melihat tempat kejadian letupan


GURUN, 24 Dis (Bernama) -- Tiga beranak maut manakala seorang lagi anggota keluarga itu cedera parah dalam satu kejadian letupan yang berlaku di sebuah rumah di Taman Ria Mesra di Gurun petang Rabu.

Letupan kira-kira 4.50 petang itu menyebabkan seorang anggota tentera yang dikenali sebagai Ayob, berusia dalam lingkungan 30-an, anak perempuannya Nor Hidayu Shahirah Ayob, lapan, dan anak lelakinya Mohamad Idham Shahmi, lima, maut.

Sementara itu, isteri Ayob yang dikenali sebagai Sharifah Haslinda, 37, mengalami kecederaan parah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Ahmad Shahabuddin berkata walaupun laporan awal mengatakan letupan berpunca daripada tong gas tetapi pihaknya tidak menolak kemungkinan letupan itu daripada sejenis bahan letupan.

"Ini berdasarkan pengamatan impak letupan oleh pihak bomba ketika melakukan kerja pemadaman sebaik tiba di lokasi kejadian.

"Ketika menjalankan pemeriksaan, kita mengenal pasti impak yang cukup kuat terutama kesan-kesan lubang pada dinding rumah terbabit yang diyakini berpunca daripada bahan letupan dan bukannya letupan tong gas memasak seperti yang didakwa," kata Ahmad ketika ditemui di lokasi.

Beliau berkata pihaknya masih menjalankan siasatan dan meminta bantuan daripada Skuad Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat pemeriksaan kerana khuatir masih terdapat bahan yang boleh meletup di dalam rumah terbabit.

Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.57 petang, dan tiga jentera bersama 14 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Yan dan Sungai Petani dikerahkan ke tempat kejadian, dengan jentera pertama tiba pada 5.13 petang.

Letupan itu menyebabkan kerosakan kepada sekurang-kurangnya lapan rumah berdekatan dan memusnahkan dua kereta.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, manakala mangsa yang cedera dirawat di hospital sama. - BERNAMA

Tiada ulasan: