Sabtu, 27 Disember 2014

Semua aset tentera dikerah bantu mangsa banjir

Anggota tentera sentiasa sedia dan bekerja keras bagi membantu mangsa banjir.
Anggota tentera sentiasa sedia dan bekerja keras bagi membantu mangsa banjir.

SUBANG JAYA – Kerajaan akan mengerahkan semua aset laut, darat dan udara negara membantu mangsa banjir yang terperangkap, termasuk pesakit-pesakit di hospital di beberapa buah negeri ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semua aset yang boleh dimobilasikan akan dihantar ke beberapa buah negeri memandangkan bencana banjir kali ini adalah diluar jangkaan dan memerlukan persiapan menyelamat yang lebih baik.

“Saya telah maklumkan kepada panglima-panglima tentera yang bertanggungjawab untuk tempatkan aset-aset di kawasan yang dilanda banjir yang teruk, tetapi kita berhadapan dengan cabaran yang besar dengan cuaca yang buruk seperti di Kelantan.
“Pesawat kita seperti helikopter untuk pindahkan mangsa atau mengangkut  bekalan baru tidak dapat dilaksanakan mengkiut kehendak kita,” kata Muhyiddin.

Tambahnya perkara itu akan dilaksanakan sebaik sahaja keadaan cuaca berubah kepada lebih baik.

Setakat ini, beliau menerima laporan lanjut berhubung banjir dari setiap negeri pada setiap dua jam sekali.

Beliau meminta mereka yang menjadi mangsa kepada bencan tersebut supaya sentiasa bersabar dengan jawatankuasa banjir di peringkat negeri dan daerah telah bersiap sedia dengan apa sahaja bentuk bantuan.

Sementara itu, Muhyiddin juga menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan laporan palsu, mahupun khabar angin di media sosial seperti Facebook dan Whatapps berhubung bencana banjir di negara ini.

Beliau bimbang ia akan mencetuskan rasa panik di kalangan masyarakat yang berada di kawasan bencana itu termasuk ahli keluarga mereka yang berada di luar kawasan terbabit.

“Saya bimbang rakyat akan rasa panik, kita nak mengelakkan daripada keadaan sukar dengan menyampaikan berita yang boleh menambah perasaan tekanan dan kesusahan rakyat. Eloknya jangan disebarkan berita-berita yang tidak berasas atau pun berita yang belum pasti,” katanya.

Bagi mengetahui maklumat lanjut berhubung banjir, orang ramai disaran melayari laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN) .

Muhyiddin dijadualkan akan berangkat ke Pengkalan Chepa, Kelantan esok jika keadaan mengizinkan penerbangan beliau mendarat di sana berikutan cuaca buruk yang berubah-ubah.

Jika tidak ke Kelantan, beliau akan ke Kuantan, Pahang dan Terengganu.

Satu mesyuarat khas akan diadakan pada Sabtu ini di ibu negara bagi melaporkan keadaan terkini bencana banjir.

Tiada ulasan: