Jumaat, 12 Disember 2014

Kemenangan sensasi, Malaysia ke final Piala AFF Suzuki



HANOI – Malaysia melangkah ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2014 selepas membenam Vietnam 4-2.

Anak-anak buah Dollah Salleh nyata mempamer aksi memberangsangkan dan lebih berani hingga berjaya merobek gawang lawan sebanyak empat kali pada babak pertama.

Gol pertama Harimau Malaya dihasilkan menerusi sepakan penalti Safiq Rahim selepas Indra Putra Mahayuddin dijatuhkan pada minit ke-4.


Norshahrul Idlan Talaha kemudian menggandakan gol pada minit ke-15, apabila bijak mencuri peluang hasil salah faham antara pemain pertahanan dan penjaga gawang Vietnam.

Selepas ketinggalan dua gol, tuan rumah meningkatkan asakan dan berjaya merapatkan kedudukan selepas dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-21.

Harimau Malaya yang tidak mudah gugup kembali melancarkan serangan dan mencetak gol ketiga selepas pemain pertahanan Vietnam tertampan bola ke gawang sendiri.

Ketika babak pertama hampir berakhir, Kapten, Shukor Adan membuatkan Stadium My Dinh terus senyap dengan menanduk gol keempat Malaysia.

Vietnam hanya mampu menambah gol pada babak kedua, sekali lagi menerusi Le Cong Binh.
Pada perlawanan akhir nanti Malaysia akan bertemu Thailand yang terlebih dahulu melangkah ke final selepas menewaskan Filipina 3-0.

Tiada ulasan: