Rabu, 24 Disember 2014

Dakwaan Kelantan darurat disebabkan banjir tidak benar

Suasana banjir di sekitar Pasar Besar Kuala Krai, Kelantan. (Gambar dari FB PDRM)
Suasana banjir di sekitar Pasar Besar Kuala Krai, Kelantan. (Gambar dari FB PDRM)

KOTA BHARU – Polis negeri Kelantan mengumumkan dakwaan mengatakan kononnya Kelantan telah diisytiharkan darurat berikutan banjir buruk yang melanda negeri itu adalah tidak benar.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, pihaknya sedang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir dan usaha menyelamat mangsa sedang giat dijalankan oleh semua agensi kerajaan berkaitan.

“Kita belum isytihar apa-apa setakat ini, bagaimanapun masyarakat perlu berjaga-jaga,” katanya.

Beliau menegaskan keadaan banjir di Kelantan masih lagi terkawal meskipun setakat ini, jalan untuk ke Kelantan hanya boleh dilalui menggunakan udara manakala laluan darat melalui Terengganu.

Mazlan berkata masyarakat perlu berhenti menyebarkan maklumat palsu berkaitan banjir di negeri itu kerana ia hanya akan memburukkan lagi keadaan.

“Orang ramai mengambil peluang membuat maklumat palsu dan kita menasihatkan supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan sedia ada,” katanya.

Sementara itu, dalam usaha menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap di Kuala Krai, Mazlan memaklumkan pihaknya menggunakan khidmat helikopter untuk melaksanakan operasi itu.

“Helikopter sedang digunakan untuk memantau mangsa banjir yang terperangkap dan ia juga menunjukkan arah kedudukan mangsa kepada bot penyelamat.

“Jadi orang ramai perlu memberi isyarat seperti mengibarkan kain atau apa-apa sahaja kepada pihak berkuasa bagi memudahkan proses menyelamat,” katanya.

Tambah beliau, bot-bot juga ditempatkan di kawasan tertentu.

Semalam, media melaporkan fenomena ‘New Moon’ iaitu kedudukan bulan berhampiran dengan bumi yang menyebabkan air pasang merupakan antara faktor yang mencetuskan banjir luar biasa di kawasan Pantai Timur pada tahun ini.

Tiada ulasan: