Beliau berkata dana itu akan
diuruskan sepenuhnya oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan akan mula
disalurkan selepas berakhirnya bencana itu.
“Bantuan ini akan diagihkan
melalui MKN berdasarkan kriteria yang akan ditetapkan,” katanya kepada
pemberita selepas melakukan tinjauan melalui udara di jajahan terjejas
teruk akibat banjir seperti Tumpat dan Tanah Merah.
Najib turut mengumumkan
pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), yang dijadual akhir Januari
depan, dipercepat kepada pertengahan bulan itu.
Mengulas lanjut, Najib berkata dana RM500 juta itu merangkumi bantuan bagi mangsa yang kediaman dan kenderaan mereka rosak akibat banjir.
Beliau bagaimanapun berkata ia
tidak meliputi peruntukan yang akan ditentukan kemudian untuk membaiki
kerosakan kepada institusi pendidikan, bangunan kerajaan, masjid, surau
dan lain-lain.
“JKR (Jabatan Kerja Raya) akan
menyelaraskan kerja baik pulih (infrastruktur awam) yang perlu dilakukan
sebaik sahaja banjir ini selesai nanti,” katanya.
Beliau menegaskan segala usaha
bantuan perlu dilakukan pada tahap semaksimum mungkin oleh semua pihak
termasuk agensi kerajaan berkaitan.
Najib berkata beliau dimaklumkan
MKN bahawa bencana kali ini amat serius memandangkan ada lokasi
tertentu yang sebelum ini tidak pernah dilanda banjir, kali ini terjejas
teruk.
“Saya diberitahu keadaan amat
kritikal yang mana sesetengah tempat air masih naik, dan ada juga tempat
yang tak pernah banjir, kini mengalami keadaan banjir yang begitu
serius.
“…dan ada juga tempat di mana
mereka (penduduk) terpaksa lari ke atas bukit dan lereng bukit, dan
(ada) juga tempat pemulihan banjir yang secara mendadak diwujudkan
kerana keadaan banjir di luar dugaan yang berlaku kali ini,” kata Najib.
Sehubungan itu, perdana menteri
berharap semua agensi terlibat memastikan tumpuan diberi sepenuhnya
kepada usaha menyelamat dan memberi bantuan kepada mangsa banjir.
“Saya amat berharap kerjasama semua pihak untuk pastikan bahawa fasa pertama ini kita dapat beri tumpuan iaitu menyelamat dan beri bantuan seperti makanan, selimut, tikar, lilin dan sebagainya,” katanya.
Perdana menteri menarik perhatian bahawa keadaan lebih runcing kerana air naik begitu tinggi disertai arus begitu deras selain terputus bekalan elektrik.
“Ini bererti bekalan air bersih juga tak dapat disampaikan dan mangsa banjir di tempat pemindahan sementara terpaksa berada dalam gelap tanpa bekalan elektrik,” katanya.
Mengulas sama ada kerajaan pusat
akan mengisytiharkan darurat bencana untuk Kelantan, Najib berkata buat
masa ini masih belum ada keperluan untuk berbuat demikian selepas
mengambil kira implikasi yang akan berlaku.
“Sekiranya kerajaan umumkan
darurat, antara implikasi yang akan timbul ialah pihak insurans akan
terlepas daripada bayar ganti rugi…dan ganti rugi disebabkan kerosakan
harta benda serta kenderaan adalah tinggi.
“Sebab itu kalau kita declare
(isytihar darurat), bererti ini termasuk dalam kategori forced measure,
dan syarikat insurans tak perlu jelaskan pampasan,” katanya lagi.
Selain itu, perdana menteri
berkata segala usaha telah ditingkatkan sepenuhnya seperti dalam keadaan
darurat sebenar, dan agensi-agensi berkaitan telah diarah menggiatkan
lagi usaha menyelamat dan menambahkan bantuan.
Ditanya mengenai anggaran
kemusnahan di seluruh negara akibat bencana ini, beliau berkata,
penilaian masih belum dapat dilakukan selagi banjir masih belum reda
sepenuhnya.
Dalam sidang media sama, Najib
turut berkata beliau amat berbangga dan berterima kasih atas komitmen
tinggi dan pengorbanan yang ditunjukkan semua anggota pasukan
keselamatan dan penjawat awam di waktu bencana sebegini.
“Memang mereka bertungkus lumus, berkorban besar untuk membantu mangsa banjir. Kerajaan amat menghargai sumbangan yang telah dan sedang dilakukan mereka,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan