Rabu, 24 Disember 2014

Fenomena ‘New Moon’, Monsun Timur Laut cetus banjir luar biasa

Foto Jabatan Meteorologi
Foto Jabatan Meteorologi

KUALA LUMPUR – Pegawai Meteorologi Kanan, Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata banjir luar biasa yang melanda kawasan Pantai Timur negara adalah disebabkan fenomena ‘New Moon’.

Menurut Dr Mohd Hisham, fenomena itu berlaku apabila kedudukan bulan berhampiran dengan bumi menyebabkan air pasang dan mencetuskan banjir luar biasa.

Lebih buruk, keadaan itu ditambah pula dengan tiupan angin Monsun Timur Laut secara konsisten merentasi Laut China Selatan ke negara ini bermula bulan November hingga Mac.

“Meskipun hujan semakin reda dan tidak lagi lebat, namun air banjir dilihat sukar untuk surut disebabkan fenomena ‘new moon’ yang mana bulan berada dekat dengan bumi yang menyebabkan air pasang lebih tinggi daripada biasa.

“Selain itu, hujan yang tidak berhenti sebelumnya menyebabkan aliran sungai dari hulu ke kuala tidak sampai sehingga menyebabkan air sungai melimpah keluar sehingga menyebabkan banjir teruk,” kata Dr Mohd Hisham.

Tambahnya, hujan lebat dijangka akan berterusan sehingga awal Januari depan akibat daripada tiupan angin Monsun Timur Laut di Kelantan, Terengganu dan Pahang sejak minggu lalu.

“Namun keadaan cuaca dijangka bertambah baik pada hari ini hingga esok berikutan ramalan kami menunjukkan hujan hanya berlaku di satu atau dua tempat di negeri-negeri berkenaan,” katanya.

Musim Monsun Timur Laut yang membawa kepada hujan lebat terbahagi kepada tiga episod, iaitu episod pertama yang berlaku pada akhir bulan November, episod kedua pada 16 hingga 19 Disember diikuti dengan yang ketiga iaitu Isnin lepas hingga esok.

“Walaupun cuaca dijangka baik pada dua hari tersebut, namun kami menjangkakan ada lagi episod keempat iaitu bermula pada 28 Disember sehingga 31 Disember dan mungkin akan berterusan sehingga awal bulan Januari,” katanya.

Dr Mohd Hisham berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan banjir akan berlaku lagi selepas 28 Disember ini di kawasan-kawasan kedudukan rendah dan berdekatan dengan sungai.

“Ketika musim Monsun Timur Laut, kawasan Pantai Timur dijangka mengalami empat hingga lima episod hujan lebat menyeluruh dan berterusan selama tiga hingga tujuh hari pada November hingga Januari 2015, serta kawasan barat Sarawak dan Sabah pada Januari hingga Mac 2015.

“Oleh itu, penduduk yang tinggal di kawasan tepi sungai dan rendah dinasihatkan supaya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk banjir,” katanya.

Tiada ulasan: