Khamis, 27 November 2014

Ucapan Penuh Ketua Wanita UMNO

UCAPAN PENUH KETUA WANITA UMNO BERTAJUK WANITA UMNO ; SRIKANDI NEGARA
 
Alhamdulillah dengan IzinNYA kita terus dikurniakan kesihatan, keberkatan dan kesempatan untuk menghadiri Perhimpunan Agong Pergerakan Wanita UMNO Malaysia Tahun 2014.  Di sini kita berakur janji kepada parti demi mengangkat kesucian Agama, kemuliaan Bangsa dan kesejahteraan Negara.  

Bagi pihak barisan kepimpinan tertinggi Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, saya mengalu-alukan kehadiran 955 orang perwakilan wanita dari 191 bahagian seluruh Negara ke perhimpunan ini.  Tahniah dan syabas saya ucapkan!.  Puan-puan adalah wakil dan perutusan kepada 1,330,926 (satu juta tiga ratus tiga puluh ribu sembilan ratus dua puluh enam) ahli Wanita UMNO menunaikan tanggungjawab seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan UMNO.  Puan-puan jugalah pembawa suara akar umbi dan obor harapan rakyat.
 
Selagi nadi masih berdenyut, selagi siang berganti malam, selagi langit tegak dijunjung selagi itulah perjuangan Wanita UMNO akan terus beristiqamah menggenggam teras Bersatu, Bersetia, Berkhidmat. Ayuh wanita, kita eratkan tali sillaturrahim, bermuafakat, berpakat, bersatu, melangkah seirama waima kita datang dari kali berbeza, namun pastinya pertemuan kita di muara yang sama.

SRIKANDI NEGARA    


Perhimpunan Agong Pergerakan Wanita UMNO kali ini dimulakan dengan tiupan semangat baru apabila kelmarin, 25 November 2014, YAB Presiden UMNO, Dato’ Sri Najib Tun Razak merasmikan Buku Tinta Sejarah Wanita UMNO iaitu SRIKANDI NEGARA. Saya sedut kata-kata keramat          YAB Dato’ Sri Najib dalam Kata Pendahuluan “Hari ini Pergerakan Wanita UMNO bukan lagi menjadi tulang rusuk lelaki tetapi tulang belakang yang menjadi denyut nadi dan pemangkin untuk transformasi kepada budaya baru dalam UMNO”

“Wanita UMNO adalah saf pejuang parti yang telah terbukti dalam pilihanraya kecil dan pilihanraya umum, menjadi barisan hadapan menghadapi parti-parti pembangkang. Kepintaran, kegagahan, kesegaran daya juang Wanita UMNO telah membantu memastikan kemenangan demi kemenangan dalam perjuangan kita yang masih panjang.”

YAB Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyatakan “sebagai tulang belakang parti politik di Negara ini, peranan dan tanggungjawab Pergerakan Wanita UMNO semakin mencabar, terutama dalam memastikan kaum wanita terus bergerak seiring dengan kepesatan kemajuan Negara. Hakikatnya walaupun Wanita UMNO telah melepasi usia enam dekad, namun perjuangan kita semua belum berakhir.”

WANITA UMNO SRIKANDI NEGARA

Puan-puan yang dihormati sekelian,

Keunggulan sifat wanita, dalam lembut ada tegasnya. Semangat hebat. Tutur kata yang petah, kebijaksanaannya terserlah. Srikandi Negara, walau berjuang tanpa senjata, tapi perjuangannya nekad, tekadnya bulat, niatnya tepat, langkahnya padat, menyuluh kesejahteraan sejagat.
Kita singkap kegemilangan perjuangan Saidina Khadijah Al-Khuwailid penghulu syurga, Aisyah umul mukminin, Ummu Salamah bijak bestari, Fatimah Al-Zahrah anak solehah, Sumaiyah sanggup berkorban nyawa, Nusaibah mujahidah tabah. Mereka adalah diantara Srikandi Islam yang mendahulukan apa yang hak, mengendahkan segala yang nista dan dusta. Mereka menjadi sumber inspirasi Srikandi Negara.
Puan-puan dan tuan-tuan yang dimuliakan,
Bermula dari Puan Sri Puteh Mariah hingga kini, Wanita UMNO adalah Srikandi Negara. Sejak penubuhan Kaum Ibu yang mencecah usia 67 tahun hingga sekarang itulah gelarannya.
Kitalah pahlawan wanita yang gagah berani, yang mewarisi kepahlawanan Tun Fatimah. Kitalah wanita yang bersemangat nasional sejati yang setia berjuang untuk Agama, Bangsa dan Negara.
Semangat kepahlawanan itu tidak pernah luntur bahkan terus menyala dan membara di hati setiap sanubari ahli Pergerakan Wanita UMNO.  Lebih enam dekad Pergerakan Wanita UMNO melebarkan sayapnya, tanpa rasa gentar dan mampu mengatasi apa jua halangan, rintangan dan risiko.  Dalam tempoh itu, kita telah mengalami banyak perubahan besar dan mencapai kemajuan yang amat-amat membanggakan.
Ke hadapan Wanita UMNO akan terus berjuang tanpa mengenal penat lelah menyumbangkan seluruh sumber kekuatan ke arah memperkasakan perjuangan UMNO yang suci lagi murni.
Ke hadapan dengan lanskap politik yang serba baru, perjuangan Wanita UMNO akan lebih menguja. Berbekalkan pengalaman dan kejayaan lalu, Wanita UMNO akan terus menjadi tulang belakang BAHTERA ini bagi  mendepani apa jua halangan dan rintangan kerana kita Srikandi Negara.
Para hadirin sekalian,
Hari ini, saya nak iktiraf puan-puan yang hadir di dewan ini sebagai Srikandi Negara. Semangat pengorbanan dan khidmat tanpa sempadan telah melakarkan banyak kejayaan. Kita menang PRU 13, kita menang beberapa pilihanraya kecil walaupun ada ramalan ahli nujum mengatakan kita akan kalah. Tetapi  berkat sepakat dan tinggi iltizam,  Alhamdulillah semua rintangan dapat kita atasi bersama. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

Wanita UMNO terkenal dengan juara kebajikan, sehinggakan pihak pembangkang mengalah dan mengakui kebenaran hakikat ini.  Kitalah yang berkhidmat untuk rakyat dengan program-program Skuad Sayang, Jalinan Rakyat, Skuad An-Nur, JUWITA dan program-program lain.  Setitik keringat puan-puan yang mengalir ke bumi ini akan menentukan masa depan anak bangsa pewaris Negara.  Malaysia tanah tumpah darahku.
Para hadirin sekelian,
Perhimpunan kali ini adalah kesinambungan sebuah perjuangan yang pernah dimadah oleh Sultan Sir Hishamuddin Alam Shah al-Haj, Sultan Selangor, ketika baginda merasmikan Kongres Melayu Pertama pada bulan Mac 1946 di Padang Kelab Sulaiman, Kuala Lumpur.  Dalam kongres ini, orang-orang Melayu sepakat untuk menyatukan anak bangsa dengan menubuhkan UMNO yang merupakan medan penyatuan bangsa Melayu dan kini bumiputera, di bumi bertuah ini.
Dua prasyarat bagi orang Melayu berjaya. Pertama, mereka mesti berpegang kepada agama. Kedua mereka mestilah bersatu hati. Inilah asas yang diletakkan pada tahun 1946 dan inilah juga semangat perjuangan yang kita kobarkan pada setiap perhimpunan di PWTC. UMNO tidak pernah dan tidak akan berhenti mengobarkan semangat yang menjadi asas penyatuan orang Melayu yang dimulakan di Padang Kelab Sultan Sulaiman itu.
Wanita UMNO melahirkan rasa bimbang kerana kedua-dua perkara yang disebutkan oleh Sultan Sir Hishamuddin Alam Shah al-Haj, kini semakin dilupakan. Jika orang Melayu longgar pegangan agama dan berpecah-belah, tatkala itulah kita akan menemui kehancuran. Jika orang Melayu sudah tidak lagi bersatu hati, tatkala itulah kita akan musnah, ibarat telur sesangkak, pecah satu, pecah semua.
Wanita UMNO percaya bahawa sementara kita ingin melihat sebuah masyarakat yang lebih terbuka, kita mahu kerajaan menentukan bahawa proses itu tidak menyebabkan orang Melayu dan bumiputera berasa terpinggir di tanahair sendiri, tidak dibela.
Teguh dan padunya UMNO selama 68 tahun ditunjangi teras perjuangan suci, demi Agama, Bangsa dan Negara. Zaman berzaman UMNO bertuah dikurniakan pemimpin yang bijaksana sesuai dengan cabaran yang mendatangi Negara seperti Tengku Abdul Rahman ketika rakyat mendambakan kemerdekaan. Tun Abdul Razak ketika Negara perlukan pembangunan. Tun Hussein Onn ketika bangsa perlu disatukan. Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan Malaysia di mata dunia. Tun Abdullah Ahmad Badawi memimpin modal insan dan pada hari ini, YAB  Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak mendahulukan rakyat, mengutamakan pencapaian, mentransformsikan Negara.
Wanita UMNO selaku tulang belakang menyokong kepimpinan Dato’ Sri Najib Tun Razak, Presiden UMNO Malaysia merangkap Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Timbalan Perdana Menteri, Naib-Naib Presiden dan saf kepimpinan parti. Jangan sesiapa pandang remeh sokongan kita Wanita sebagai ibu kepada pucuk pimpinan parti. Kita akan terus memberi kekuatan dan sokongan kepada YAB Dato’ Sri Najib selaku Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri Malaysia supaya beliau dapat menjalankan tugas dengan sempurna dan tenang tanpa perlu menoleh ke belakang, mengkalis jika ada gunting dalam lipatan.
Para hadirin sekalian,
Sejak kebelakang ini saya lihat keadaan politik Negara seolah-olah sudah tidak ada sempadan lagi. Politik digunakan sebagai senjata untuk menghentam dan menembak secara melulu.  Kononnya politik, kebebasan bersuara, hak asasi manusia, menjadi alasan dan alat untuk memusnahkan apa yang telah terbina sejak 57 tahun merdeka. Isu-isu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Negeri-Negeri seperti kontrak sosial, agama, institusi raja-raja, hak keistimewaan dan lain-lain, dijaja, disula, disalai seolah-olah tidak ada batas perundangan demi menakluki Putrajaya.
KEPERLUAN MEMPERTAHANKAN KELUHURAN PERLEMBAGAAN
Latar belakang sejarah pembentukan negara semasa mencapai kemerdekaan dan pembentukan Malaysia hendaklah menjadi asas kefahaman mengenai kontrak sosial di Malaysia. Perlembagaan Persekutuan yang berkuatkuasa pada 31 Ogos 1957 adalah suatu dokumen yang menjadi asas bagi Persekutuan Tanah Melayu yang kemudiannya menjadi Malaysia apabila Sabah dan Sarawak bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu.
Prinsip bahawa Perlembagaan Persekutuan menjadi teras kepada negara Malaysia yang merdeka diperuntukkan dengan jelas mengikut Fasal (1) Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa dengan izin “This Constitution is the supreme law of the Federation and any law passed after Merdeka Day which is inconsistent with this Constitution shall, to the extend of the inconsistency, be void.” Prinsip ini telah dijelaskan dalam keputusan-keputusan mahkamah antaranya seperti penghakiman Hakim Mahkamah Persekutuan Raja Azlan Shah (pada masa itu) dalam kes Loh Kooi Choon v Government of Malaysia. Berdasarkan premis tersebut, masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa hidup berpaksikan asas-asas yang dizahirkan melalui prinsip-prinsip yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perlembagaan Malaysia adalah suatu bentuk tolak ansur antara etnik Melayu, Cina dan India mengenai hak bersama dan masing-masing, kedudukan istimewa serta persetujuan dengan Raja-Raja Melayu dan British bagi mewujudkan suatu kerajaan dengan sistem demokrasi, beraja, bersekutu (federal) serta tidak teokratik (non-theocratic).
Persetujuan Antara Kaum Dalam Menuju Kemerdekaan (1955-1957)
Saya ingin mengajak puan-puan mengimbau kembali sejarah tanah air kita
Penjelasan mengenai kontrak sosial di Malaysia mengambilkira keadaan sosio politik negara dalam masa negara menuju kemerdekaan.
•    Penggubalan Perlembagaan Persekutuan bermula selepas pilihanraya Dewan Undangan Persekutuan pada tahun 1955. Tuanku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Ketua Menteri dan Jemaah Menteri telah dilantik terdiri daripada anggota yang mewakili komposisi kaum iaitu 6 Melayu, 3 Cina serta 1 India.
•    Suatu Constitutional Conference telah diadakan pada bulan Januari dan Februari 1956 yang dihadiri oleh wakil Kerajaan British, 4 wakil Raja-Raja Melayu, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu (YAB Tuanku Abdul Rahman), 3 Menteri Persekutuan serta Pesuruhjaya Tinggi British.
•    Persidangan itu telah bersetuju dengan cadangan kemerdekaan bagi Persekutuan pada Ogos 1957 dan penubuhan suatu Suruhanjaya Kemerdekaan (Suruhanjaya Reid) bagi menggubal Perlembagaan untuk Persekutuan.
Tugas-tugas Suruhanjaya Reid
•    Suruhanjaya Reid terdiri daripada Lord Reid, Sir Ivor Jennings, Sir William McKell, Justice B. Malik and Justice Abdul Hamid yang bertindak mengikut terma rujukan berikut dengan izin:
“To examine the present constitutional arrangements, throughout the Federation of Malaya, taking into account the positions and dignities of Her Majesty the Queen and Their Highnesses the Rulers;
And to make recommendations for a Federal form of constitution for the whole country as a single, self-governing unit within the Commonwealth based on Parliamentary democracy with a bicameral legislature, which would include provision for:
(i)    the establishment of a strong central  government with the States and Settlements enjoying a measure of autonomy (the question of the residual legislative power to be examined by, and to be the subject for recommendations by the Commission) and with machinery for consultation between the central Government and the States and Settelments on certain financial matters to be specified in the Constitution;
(ii)    the safeguarding of the position and prestige of Their Highnesses as constitutional Rulers of their respective States;
(iii)    a constitutional Yang di-Pertuan Besar (Head of State) for the Federation to be chosen from among Their Highnesses the Rulers;
(iv)    a common nationality for the whole of the Federation;
(v)    the safeguarding of the special position of the Malays and the legitimate interest of other communities”. (Para 3 Federation of Malaya Constitutional Commission Report 1956-1957 (“Laporan Suruhanjaya Reid”)
•    Suruhanjaya Reid menjemput semua pertubuhan dan individu menggemukakan cadangan bagi Perlembagaan. Suruhanjaya menerima 131 Memorandum cadangan.
•    Antaranya yang diterima, Memorandum daripada Parti Perikatan yang disediakan oleh suatu Jawatankuasa Kerja yang terdiri daripada anggota UMNO, MCA dan MIC.  Antara yang dikemukakan ialah lebih warganegara diberikan kepada bukan Melayu manakala hak dan keistimewaan Melayu terus dipelihara.
•    118 mesyuarat diadakan bagi mendengar dan berbincang mengenai semua cadangan, termasuk dengan pegawai Kerajaan. Semua pandangan telah diambil kira dalam laporannya dinyatakan dalam laporan Suruhanjaya Reid.  Laporan tersebut diterbitkan di London dan Kuala Lumpur pada 20 Februari 1957.
Perlembagaan Persekutuan Menzahirkan Kontrak Sosial Malaysia
•    Berdasarkan rundingan yang berlangsung dalam menggubal Perlembagaan Persekutuan, perkara-perkara seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, pemeliharaan Tanah Rizab Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu serta adat resam dan pengagihan jawatan dalam kerajaan telah dimasukkan dalam Perlembagaan berkenaan. Bahasa Melayu juga telah dipersetujui sebagai Bahasa Kebangsaan manakala kaum Cina dan India masih boleh menggunakan bahasa masing-masing sebagai medium komunikasi tidak rasmi. Pemimpin Cina dan India juga menuntut agar kewarganegaraan yang diberikan menjadi suatu hak yang tidak boleh dibatalkan dan mereka juga menuntut supaya mereka boleh mengekalkan bahasa, agama dan budaya, dan sebagai warganegara, mereka mempunyai hak dari segi politik sama seperti warganegara yang lain. Semua persetujuan ini dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Bagi setiap suatu perkara yang diberikan kepada kaum Melayu, adalah terdapat peruntukan yang diberikan kepada kaum bukan Melayu. Persetujuan yang merupakan jalan tengah ini dapat dilihat dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu peruntukan mengenai kewarganegaraan (Bahagian III), kebebasan beragama (Perkara 11), pelajaran (Perkara 12) dan bahasa (Perkara 152), kedudukan istimewa kaum Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan perlindungan sah kaum-kaum lain (Perkara 153).
•    Malah dengan tertubuhnya Malaysia hasil daripada gabungan antara Persekutuan Tanah Melayu 1957, Sabah dan Sarawak telah diberikan kedudukan istimewa di bawah Bahagian XIIA Perlembagaan demi memastikan hak-hak rakyat negeri tersebut terpelihara.
•    Harus ditekankan bahawa kajian-kajian ke atas dokumen sejarah sejak sebelum penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948 menunjukkan bahawa kedudukan istimewa orang Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa dan adat resam adalah perkara yang merupakan ‘traditional elements’ yang terus terpelihara (preserved) setelah terbentuknya Negara ini melalui Perlembagaan Persekutuan.  Di samping itu, jaminan seperti Tanah Rizab Melayu turut dinyatakan dalam Perlembagaan demi menjamin kesenambungan kaum Melayu, yang amnya ketinggalan dari segi ekonomi, untuk menikmati dan mempunyai pegangan tanah di Negara sendiri.  Bagi setiap Tanah Rizab Melayu yang dibatalkan maka suatu jumlah keluasan tanah yang sama hendaklah digantikan, begitu berhati-hatinya perlindungan yang diberikan mengikut    Perkara 89 Perlembagaan.
Latar belakang sejarah menunjukkan bahawa kompromi antara semua etnik di Malaysia seperti Melayu, Cina dan India serta peribumi Sabah dan Sarawak tentang hak-hak bersama kaum-kaum tersebut dan hak-hak istimewa serta hasil rundingan dan persetujuan dengan Raja-Raja Melayu dan pihak Inggeris bagi mencipta suatu sistem negara yang mengamalkan ciri-ciri demokrasi, bebas, adil dan makmur telah melahirkan Perlembagaan Persekutuan yang pada hakikatnya merupakan suatu kontrak sosial untuk semua masyarakat di Malaysia.
Kenapa saya bawa sejarah tanah air pada perhimpunan ini kerana di luar sana ada beberapa anasir-anasir terutama yang mempunyai agenda politik, yang mencabul integriti Perlembagaan Persekutuan, yang cuba membawa kepada keresahan semua kaum, yang cuba mau memecah belahkan rakyat Malaysia, yang cuba menggunakan dakyah extremisme untuk meracuni pemikiran rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Mungkin mereka rasakan bahawa kerana kita di dalam UMNO berjuang dengan beradab, tidak mengacu mereka dengan fitnah, tohmahan, mungkin mereka rasakan kita boleh dirogol secara politik tanpa kita menyerang balas, mungkin sebab itu mereka dengan sewenang-wenangnya telah membawa negara Malaysia yang satu ketika dahulu bersatu padu tetapi pada hari ini berada di ambang bahaya dari segi perpaduan.
Di dalam perhimpunan ini saya dan Wanita UMNO secara tegas menyatakan bahawa kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu di luar sana yang mahu mengugat atau mempertikaikan Agama Islam sebagai agama rasmi, hak keistimewaan Raja-Raja, hak keistimewaan Orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang termaktub di dalam Perlembangaan Persekutuan.
Bagaimapun kita sebagai orang Melayu dan Bumiputera mempunyai  tanggungjawab untuk hidup dengan harmoni bersama bangsa-bangsa lain dalam Negara ini dan kita juga mesti menghormati hak-hak bukan Melayu yang termaktub dalam Perlembgaan Persekutuan. Maka saya mohon supaya janganlah sesiapa mempersoalkan kerakyatan dan kewarganegaraan bangsa seperti kaum Cina dan India yang lahir di sini. Jika kita tak mahu mereka mempersoalkan keistimewaan kita sebagai orang asal tanah ini, kita juga mesti menghormati mereka sebagai rakyat yang mempunyai hak di Negara ini.
AKTA HASUTAN 1948
Mengambil kira senario politik yang keterlaluan pada hari ini, suara-suara daripada aktivis politikus yang mirip dan (obsessed) dengan liberalisme maka pada Julai 2012 yang lalu, Kerajaan telah mengumumkan hasrat untuk kemungkinan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional.
Sejak pengumuman itu, pelbagai reaksi, pandangan dan cadangan telah disuarakan oleh pelbagai pihak berhubung isu pemansuhan Akta Hasutan 1948 ini. Ada yang mengalu-alukan pengumuman kemungkinan pemansuhan Akta tersebut yang dianggap kononnya sudah tidak lagi sesuai digunapakai di dalam lanskap sosio-politik hari ini.  Kononnya isu hasutan adalah isu kuno. Kononnya isu hasutan mencabuli hak asasi manusia dan individu untuk bersuara. Kononnya Negara ini dan semua yang telah dibina mesti dibuka seluas-luasnya untuk di kunyah atas nama perjuangan hak asasi manusia. Tetapi pada yang sama begitu ramai dari “the silent majority” yang amat gusar, khuatir serta bimbang akan kesan pemansuhan Akta Hasutan 1948 kelak yang dikatakan boleh mengugat ketenteraman dan kehormanian Negara yang berbilang kaum di Malaysia.
Berdasarkan maklum balas yang diterima setakat ini, terdapat empat pandangan berlainan berhubung isu Akta Hasutan 1948 iaitu:-
(i)    Pertama, terdapat permintaan agar Akta Hasutan 1948 dikekalkan dengan sedikit pindaan sahaja;
(ii)    Kedua, ada juga yang meminta supaya Akta Hasutan 1948 dihapuskan sama sekali;
(iii)    Ketiga, ada yang memilih untuk menggantikan Akta Hasutan 1948 dengan Akta Keharmonian Nasional demi menjaga perpaduan rakyat dan kestabilan Negara; dan
(iv)    Keempat, ada yang berpendapat supaya Akta Keharmonian Nasional diwujudkan sebagai akta baru di samping Akta Hasutan 1948 dikekalkan.

Perkembangan Semasa Yang Tidak Sihat
Saya amat bimbang dengan keadaan semasa yang tidak sihat. Ada pihak-pihak di kalangan masyarakat kita yang dengan sengaja membuat kenyataan-kenyataan yang mempunyai kecenderungan menghasut dan mengambil kesempatan akan isu pemansuhan Akta Hasutan 1948 ini.
Saya dapati bahawa sejak kebelakangan ini telah berlaku peningkatan yang mendadak terhadap perbuatan yang tidak bertanggungjawab oleh sesetengah pihak yang dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bertujuan untuk mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum di Malaysia. Mereka ini juga dengan lantang dan tanpa rasa hormat telah mengeluarkan kenyataan yang menghina dan boleh membangkitkan perasaan tidak setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja yang merupakan paksi kepada sistem Raja Berpelembagaan yang kita amalkan sejak sekian lama  Tidak cukup dengan itu, mereka juga dengan begitu angkuh mempersoalkan perkara, hak, taraf kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang telah diperuntukkan di bawah Perlembangan Persekutuan sejak kita mencapai kemerdekaan.
Kesemua tindakan dan perbuatan tidak bertanggungjawab ini telah menyebabkan rakyat berbilang kaum berasa risau, bimbang dan tergugat akan kedudukan dan hak-hak mereka. Tidak kiralah Melayu, Cina, India dari Sabah, dari Sarawak dan semua yang lain-lain.  Perasaan sebeginilah yang dikhuatiri kelak akan menjadi benih-benih liar yang menyemai perasaan saling berprasangka di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, dan menggugat keharmonian Negara.
Melihat kepada perkembangan tidak sihat ini, maka timbul tanda tanya, apakah masyarakat kita sudah benar-benar bersedia menguatkuasakan kebebasan bercakap dan bersuara tanpa sempadan masing-masing, dan pada masa yang sama menghormati kebebasan dan hak asasi orang lain?
Sebagaimana di negara-negara lain yang menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang (Rule of Law), kebebasan bercakap dan bersuara yang diperuntukkan di dalam perenggan (a) Fasal (1) Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bukanlah suatu hak yang diberikan secara mutlak. Ia perlulah diimbangi dengan keperluan untuk mengekalkan keharmonian, ketenteraman dan keselamatan awam melalui sekatan-sekatan yang sewajarnya sebagaimana dibenarkan di bawah perenggan (a) Fasal (2) Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan sejak 57 tahun yang lalu, namun perlulah diakui bahawa bangsa kita yang terdiri daripada pelbagai kaum ini masih belum cukup teguh semangat perpaduannya. Isu polorisasi kaum menjadi satu isu yang tidak mampu untuk kita sembunyi di bawah karpet ‘hide under the carpet’ ataupun ‘be in denial’. Malah walaupun sebangsa dan seagama, masih lagi ada di antara kita yang mempunyai prasangka di antara satu sama lain dan menjadi gunting dalam lipatan, semata-mata demi kelangsungan politik dan kepentingan peribadi masing-masing.
Kita tidak boleh biarkan perkara ini berlarutan hanya kerana nak menonjol atau mempertahankan hak individu dikala Negara kita di ambang kerasahan.  Maka, sebagai langkah pencegahan adalah amat penting supaya kuasa sewajarnya diperuntukkan bagi membendung tindakan-tindakan yang boleh membakar api perkauman dengan mempersoalkan hal-hal perkara sensitif seperti hak kewarganegaraan mana-mana orang (Bahagian III Perlembagaan Persekutuan), kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan (Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan), kedudukan istimewa Orang Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak (Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan) serta kedaulatan Raja-Raja sebagaimana yang dijamin di bawah Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan.
Sejarah telah membuktikan bahawa hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif sebagaimana yang diperuntukkan di Bahagian III, Perkara 152, 153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan ini adalah hal perkara yang begitu sensitif yang sekiranya dipersoalkan, boleh membangkitkan perasaan prasangka, bimbang dan tergugat di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.
Malangnya, terdapat sesetengah kumpulan yang tidak bertanggungjawab telah membuat tohmahan, bahawa larangan untuk mempersoalkan peruntukan-peruntukan berhubung perkara sensitif di dalam Perlembagaan Persekutuan hanya bertujuan untuk melindungi dan menguntungkan sesetengah kaum serta meminggirkan kaum lain.
Perlu ditekankan di sini bahawa tohmahan sedemikian adalah tidak berasas sama sekali.  Dalam mencapai kemerdekaan daripada pihak penjajah, peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan telah diperhalusi oleh ibu bapa kemerdekaan dengan begitu bijaksana dan penuh tolerensi bagi memastikan ia memberi keadilan yang sewajarnya kepada semua pihak. Justeru, tohmahan sedemikian seakan-akan memperkecil usaha dan tenaga yang telah mereka korban demi memastikan kita dapat hidup sebagai sebuah bangsa yang merdeka hingga hari ini.
Sebagai contoh, masyarakat hendaklah sedar bahawa walaupun Perkara 152 telah mengangkat kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, namun peruntukan yang sama ini juga telah menjamin hak mana-mana orang untuk menggunakan, (selain bagi maksud rasmi) mengajar atau belajar apa-apa Bahasa lain. Begitu juga percaturannya dengan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang diseimbangkan dengan jaminan perlindungan terhadap kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.
Oleh yang semikian, larangan untuk mempersoalkan peruntukan-peruntukan tersebut sebenarnya akan melindungi bukan sahaja sesuatu kaum tertentu malah turut menjamin hak dan kepentingan sah kaum-kaum lain.
Pendirian Wanita UMNO Tentang Halatuju Akta Hasutan 1948
Dalam mempertimbangkan perkara yang melibatkan keselamatan, keamanan dan keharmonian negara, kita tidak boleh mengambil tindakan yang boleh menimbulkan risiko suasana dalam negara yang tidak tenteram.  Lantaran itu, dengan melihat kepada keadaan semasa dan setelah menimbangkan semua pandangan dan pendapat daripada pelbagai pihak, Wanita UMNO selaku tulang belakang UMNO, iaitu parti yang menjadi tulang belakang kerajaan Barisan Nasional telah mengambil keputusan untuk menggesa kerajaan supaya jangan menggantikan atau mansuh Akta Hasutan 1948 dengan undang-undang yang baru tanpa meneliti semua aspek yang berkaitan.
Kami Wanita UMNO tidak bersetuju sama sekali Akta Hasutan 1948 dihapuskan. Saya dan Exco telah membuat ketetapan dan telah disambut baik oleh puan-puan semua dan ahli-ahli Wanita UMNO, dan juga beberapa NGO dan golongan professional dan bukan professional yang terdiri daripada berbilang kaum, bahawa kita akan bergabung tenaga untuk menggerakkan satu kempen untuk mendapatkan satu juta tandatangan menggesa kerajaan supaya tidak memansuh Akta Hasutan 1948 demi keselamatan, keamanan dan perpaduan tanah air. Satu juta tandatangan ini akan diserahkan kepada YAB Perdana Menteri seawal mungkin sebagai bukti bahawa Wanita UMNO memandang serius tentang perkara ini dengan harapan YAB Perdana Menteri dan kerajaan akan mengambil tindakan yang sewajarnya.
Wanita UMNO mendesak kerajaan bagi mengekalkan pemakaian Akta Hasutan 1948 dengan penambahbaikan yang bersesuaian dengan mengambilkira keperluan menjaga hak-hak seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, menjamin keselamatan rakyat dan kepentingan negara. Pada masa yang sama penggubalan Akta Keharmonian Nasional juga wajar diteruskan untuk mempromosi dan menggalakkan semangat harmoni dan saling hormat menghormati di antara semua kaum di Malaysia.

Akta Keharmonian Nasional boleh digubalkan bagi memperuntukkan peruntukan-peruntukan yang bertujuan untuk menggalakkan perasaan muhibah sesama kaum dan keharmonian nasional. Akta ini tidak sewajarnya bersifat menghukum tetapi lebih menumpukan kepada elemen memupuk semangat saling hormat menghormati di antara kaum yang berbeza agama dan kebudayaan.
Elemen pencegahan dan hukuman terhadap perbuatan-perbuatan yang boleh antara lain, mencetuskan ketidakharmonian sesama kaum hendaklah diperuntukkan di bawah Akta Hasutan 1948 yang sedia ada.  Oleh yang demikian, adalah juga disyorkan supaya Akta Hasutan 1948 ini dikekalkan demi mengekalkan mekanisma perundangan yang boleh mengawal perbuatan-perbuatan yang tidak bertanggungjawab sedemikian dan mempunyai kecenderungan menghasut.
Walau bagaimanapun mana-mana peruntukan Akta Hasutan 1948 yang tidak lagi relevan, mengambilkira keterbukaan kepimpinan Barisan Nasional hari ini, bolehlah dipinda maupun dimansuhkan dengan segera. Sebagai contoh, peruntukan yang menghalang rakyat mengkritik Kerajaan dan pentadbiran sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Akta Hasutan 1948 sedia ada, boleh di mansuhkan demi menyediakan ruang yang lebih luas kepada rakyat untuk bebas bersuara. Sesungguhnya pandangan yang membina dan bertujuan untuk menambahbaik pentabiran dan sistem yang sedia ada hendaklah dialu-alukan dan tidak wajar disekat.
Akan tetapi walau apapun hala tuju berhubung Akta Hasutan 1948 yang bakal dipertimbangkan oleh kerajaan kelak, Wanita UMNO bertegas untuk meminta kerajaan berjanji perkara-perkara berikut dilarang dari segi perundangan negara:  
•    Mendatangkan kebencian dan penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia kepada Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja;
•    Mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia; dan
•    Mempersoalkan apa-apa hak, kedudukan, keistimewaan kedaulatan atau prerogatif sebagaimana yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III atau Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutan.
Saya berharap YAB Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri Malaysia serta kabinet akan berfikir panjang sebelum membuat keputusan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948. Jangan menang sorak hari ini kampung digadai pada hari esok. Nanti jika tangis air mata darah sekalipun, kampung tidak akan kembali lagi.
Suara akar umbi yang selama ini istiqamah dan sabar telah menyatakan rasa hatinya. Dengarlah suara hati ini. Dengarlah suara hati yang lahir daripada fikiran yang jernih, yang sentiasa mendahulukan Agama, Bangsa dan Negara dalam setiap langkah untuk maju ke hadapan. Dengarlah, suara hati ini yang tidak mahu dusta dan sengsara terus membayangi perjalanan negara kelak. Biar patah kaki bertongkat sayap, patah sayap bertongkat paruh, namun hak-hak Rakyat Malaysia dalam Perlembagaan akan terus Wanita pertahankan.  
Para perwakilan puan-puan dan tuan-tuan yang dihormati sekalian,
KEPERLUAN UNTUK MEMPERTAHANKAN TANAH RIZAB MELAYU
Tanah Rizab Melayu adalah satu daripada ciri-ciri dalam Perlembagaan Persekutuan yang bertujuan mempertahankan kedudukan istimewa kaum Melayu. Keperluan menghadkan tanah rizab tersebut bukanlah datang dengan begitu mudah hanya semata-mata untuk memberikan keistimewaan kepada kaum Melayu.
Dasar atau keperluan merizab tanah-tanah untuk kaum Melayu diwujudkan kerana keperluan untuk melindungi kaum Melayu yang merupakan penduduk asal dan tetap di Tanah Melayu daripada kehilangan tempat untuk berteduh, bergantung dan tinggal menetap di bumi sendiri, selepas kemasukan kaum-kaum lain seperti Cina dan India yang dibawa masuk ke Tanah Melayu demi menjayakan agenda Empayar British dalam meningkatkan hasil ekonomi dan kekuatan mereka. Hasil daripada percaturan politik pada masa itu, yang mana kuasa politik masih lagi dipegang oleh Raja-Raja Melayu di Negeri-Negeri Melayu, kerajaan British merasakan terdapat keperluan untuk memastikan kepentingan Melayu dilindungi dan dipelihara daripada terhakis di bumi sendiri kerana peningkatan pengaruh kaum lain dalam bidang ekonomi dan perniagaan termasuklah pegangan tanah.  Berdasarkan senario itu, terhasil Enakmen Rizab Melayu bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (pada 1953) serta bagi setiap Negeri-Negeri Melayu yang tidak bersekutu (sekitar tahun 1930an).
Enakmen-Enakmen ini memperuntukkan dasar British bahawa tanah rizab Melayu tidak boleh dijual, dipajak atau dilupuskan dalam apa cara sekalipun kepada mana-mana pihak yang bukan Melayu. Hanya orang Melayu atau syarikat yang diiktirafkan dalam Enakmen tersebut boleh memegang Tanah Rizab Melayu.
Kedudukan Tanah Rizab Melayu sebelum kemerdekaan ini telah diteruskan kesinambungannya dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu dalam Perkara 89 dan 90. Kedua-dua peruntukan ini diwujudkan untuk kaum Melayu sebagai pribumi dan untuk memastikan kaum Melayu terus dapat menetap dan mempunyai legasi yang berterusan untuk generasi akan datang.
Perkara 89(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan antaranya bahawa, mana-mana tanah di sesuatu Negeri yang merupakan tanah simpanan Melayu sebaik sebelum Hari Merdeka mengikut undang-undang yang sedia ada boleh terus menjadi tanah simpanan Melayu mengikut undang-undang itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh suatu Enakmen Badan Perundangan Negeri itu, iaitu suatu Enakmen:
(a)    yang diluluskan oleh majoriti jumlah bilangan ahli Dewan Undangan dan dengan undi tidak kurang daripada dua pertiga daripada ahli-ahli yang hadir dan mengundi; dan
(b)    yang dipersetujui melalui ketetapan setiap Majlis Parlimen yang diluluskan oleh majoriti jumlah bilangan ahli Majlis Parlimen itu dan dengan undi tidak kurang daripada dua pertiga daripada ahli-ahli yang mengundi.
Perkara 89(3) pula memperuntukkan bahawa Kerajaan Negeri boleh mengikut undang-undang yang sedia ada mengisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu:-
(a)    mana-mana tanah yang diambil Kerajaan Negeri melalui perjanjian bagi maksud itu;
(b)    mana-mana tanah lain, apabila permohonan dibuat oleh tuan punya tanah itu, dan dengan persetujuan tiap-tiap orang yang mempunyai hak atau kepentingan mengenainya dan hendaklah, mengikut undang-undang yang sedia ada, dengan serta merta mengisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu, dalam hal jika mana-mana tanah terhenti menjadi tanah simpanan Melayu, mana-mana tanah lain yang sama jenisnya dengan tanah itu dan yang luasnya tidak melebihi keluasan tanah itu.
Peruntukan Perkara 89 yang ketat tersebut adalah suatu jaminan untuk memastikan Kerajaan Negeri tidak melupuskan Tanah Rizab Melayu dengan mudah dan Kerajaan Negeri hendaklah terus menjaga kepentingan tanah yang dipegang oleh kaum Melayu.
Hasil daripada latar sejarah dan peruntukan yang diteruskan dalam Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada, Kerajaan-kerajaan Negeri hendaklah memberikan penekanan untuk memastikan kepentingan kaum Melayu dari aspek pemegangan tanah tetap terus terpelihara pada masa itu dan untuk masa generasi akan datang.
Maka dengan itu Wanita UMNO menggesa Kerajaan Negeri mematuhi dan memastikan semua tanah-tanah rizab Melayu yang telah dibatalkan diganti WAJIB semula mengikut Enakmen Rizab Melayu Negeri masing-masing  bagi tujuan mengekalkan pegangan tanah-tanah rizab untuk orang Melayu.
Saya difahamkan, malangnya, bahawa ada beberapa negeri dimana Tanah Rizab Melayu kian terhapus tanpa gantian wajib. Jika digantipun, tanah gantiannya tidak setaraf terutama dari segi nilai komersialnya. Saya ingin mencadangkan supaya pindaan undang-undang dibuat dengan memberi kuasa kepada Peguam Negara bagi pihak kepentingan umum ‘public interest’ untuk membuat permohonan terhadap Kerajaan Persekutuan maupun Kerajaan Negeri untuk ganti serupa Tanah-Tanah Rizab Melayu yang telah dilupus tanpa diganti semula.
Saya juga menyarankan apa juga tindakan untuk menggantikan semula Tanah-Tanah Rizab Melayu dan menambah jumlah Tanah Rizab Melayu sebagaimana kadar ditetapkan dalam perundangan dapat dilakukan sesegera yang mungkin. Jangan lagi bertangguh-tangguh, memberi seribu satu alasan teknikal yang akhirnya kita nanti akan dipersoalkan oleh anak cucu kerana gagal mengurus kuasa dan mewariskan sebuah negara yang induknya berkepentingan Melayu. Jadikan sasaran untuk memenuhi kuota Tanah Rizab Melayu sebagai KPI Kerajaan Negeri di bawah Barisan Nasional.
PELAN TRANFORMASI PERKHIDMATAN AWAM
Saya bagi pihak Wanita UMNO mengucapkan syabas kepada Ketua Setiausaha Negara di atas pelaksanaan Pelan Transformasi Perkhidmatan Awam demi menyahut seruan Kerajaan dalam menjayakan Agenda Transformasi Negara ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020. Inisiatif transformasi yang dijalankan menggambarkan komitmen dan keprihatinan kerajaan dalam menjadikan Perkhidmatan Awam yang kompetitf dan bersifat global.
Tahniah juga kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan pasukan beliau yang terdiri daripada Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam serta semua yang terlibat yang giat merancang Plan Transformasi ini dan mengimplimentasinya dengan gigih dan penuh komitmen.
Indikator antarabangsa telah menunjukkan perubahan prestasi daya saing Perkhidmatan Awam Negara yang lebih positif di mana kedudukan Malaysia melalui laporan World Competitiveness Yearbook (WCY) 2014 Institute for Management Development (IMD) telah meningkat kepada tangga ke-12 daripada 60 negara seluruh dunia berbanding kedudukan ke-15 pada tahun 2013. Terbaru adalah kedudukan Malaysia dalam World Bank Ease of Doing Business Report 2014 yang melonjak naik dari tempat 12 tahun sebelumnya, ke tempat 6 pada tahun ini.
Ini menunjukkan bahawa usaha transformasi yang dijalankan telah menunjukkan peningkatan terhadap tahap kecekapan Kerajaan sehingga mendapatkan pengiktirafan antarabangsa. Kita harus berasa bangga dan terus berusaha melaksanakan program transformasi dalam menjadikan Malaysia di dalam liga negara maju.
Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Pasukan Keselamatan yang sanggup bergadai nyawa demi menjaga keamanan, kesejahteraan dan kedaulatan Negara. Di mana jua anda berada Wanita UMNO sentiasa mendoakan keselamatan perwira negara.
PERANAN SEKTOR SWASTA
Dalam mencapai matlamat pertumbuhan negara dan meningkatkan daya saing global Malaysia, peranan sektor swasta juga adalah amat penting. Ribuan terima kasih diucapkan kepada pihak swasta, ahli korporat dan professional di atas perkongsian pengalaman dan transformasi sumbangan, komitmen serta penyertaan positif dalam melaksanakan pelaburan dan projek yang menyokong Wawasan 2020. 
Oleh yang demikian, gabungan pintar kerjasama antara kedua-dua sektor awam dan swasta dengan menggunakan kesemua komuniti yang pelbagai perlu dititik beratkan. Perkongsian tulin antara semua komuniti pelbagai kaum di Malaysia perlu digalakkan supaya pengagihan kekayaan seimbang dapat dinikmati oleh semua kaum. Sebagai menyahut seruan YAB Perdana Menteri, “Marilah Kita Terus Berusaha” bersama-sama mencapai sasaran Malaysia Berstatus Negara Maju.
PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG SYARIAH
Para Perwakilan yang dikasihi,
Hari ini kita dapat melihat bahawa sistem perundangan dan proses kehakiman di Malaysia, jauh lebih baik jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini. Wanita UMNO berbangga kerana turut terlibat di dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan perundangan Islam. Syabas Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menjadi dua badan terpenting mengurustadbir undang-undang syariah di Malaysia.
Namun, ada beberapa isu yang perlu diberi perhatian, demi mempertingkatkan lagi kualiti perlaksanaan undang-undang ini. Tidak dinafikan proses pengurusan kes di Mahkamah Syariah semakin baik dengan pengenalan beberapa KPI bagi memastikan keputusan kes dapat diperolehi dengan segera.
Satu isu yang menekan golongan wanita adalah penangguhan penguatkuasaan dan perlaksanaan perintah (lacking of enforcement and execution) kepada pihak yang dituntut. Wanita UMNO merasakan telah tiba masanya untuk pihak JKSM dan JAKIM memberi penekanan yang lebih serius bagi menggerakkan Mahkamah Syariah untuk membantu wanita Islam memperolehi hak mereka melalui perintah Mahkamah yang telah diterima.

Sebagai contoh, perlaksanaan pembayaran perintah nafkah anak boleh tertunggak bertahun-tahun lamanya, disebabkan keengganan bapa untuk mematuhi perintah mahkamah, dan menjadikan perintah tersebut hanya di atas kertas semata-mata (paper judgement). Tanggungjawab Mahkamah Syariah tidak sepatutnya berhenti setakat hanya mengeluarkan perintah, kerana Islam menegaskan bahawa keadilan perlu disempurnakan, sepertimana  wakalah Saidina Umar kepada Abu Musa Al-Ashaari yang menyatakan:-
“ Pengadilan adalah suatu kewajipan yang kukuh dan nyata, dan suatu sunnah yang berkesinambungan. Fahamilah apa yang disampaikan kepadamu, kerana tidak ada gunanya ucapan yang hak apabila tidak dilaksanakan.”
Saya bagi pihak Wanita UMNO ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada penubuhan Badan Sokongan Keluarga (BSK). Walau bagaimanapun saya difahamkan fungsi badan ini dibatasi beberapa sekatan, seperti kekurangan pegawai bertauliah untuk menguruskan kes, dan penolakan beberapa Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN), untuk mengiktiraf BSK sebagai satu badan penguatkuasa di negeri berkenaan. Saya difahamkan BSK telah berjaya menyelesaikan 4,077 kes daripada 4,259 kes di Unit Khidmat Nasihat Perundangan (UKNP) dan juga telah menyelesaikan 1,653 kes daripada 2,608 di bawah Unit Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah (UPPP) sejak tahun 2009 hingga tahun 2013 penubuhannya. Saya yakin jika BSK diberi lebih ruang untuk membantu menyelesaikan isu paper judgement ini, maka lebih banyak isu perintah yang tertunggak dapat diselesaikan.
Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian adalah usaha untuk menyemak semula kaedah pelaksanaan kes supaya Mahkamah Syariah di Malaysia dapat dijadikan sebagai sebuah genuine family court.  Pelaksanaan undang-undang syariah perlu lebih mesra keluarga, dengan tatacara yang lebih mengupayakan penglibatan hakim dalam memberikan keadilan. Ini dapat dicapai jika Mahkamah Syariah menjadi more inquisitorial and less adversarial dalam mengendalikan kes.
Oleh itu, saya bercadang untuk menggerakkan Skuad An-Nur Wanita UMNO sebagai Sahabat Mahkamah Syariah di seluruh Negara dalam  membantu mengenalpasti isu dan menyalurkannya kepada pihak yang berkaitan untuk diperhalusi dan diselesaikan.  Usaha ini bertepatan dengan konsep tolong-menolong sepertimana firman Allah yang berbunyi:-
“...dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa...” – Al-Maidah, ayat 2
PENDIDIKAN
Demi untuk memastikan Malaysia terus mempunyai daya saing dalam menghadapi berbagai cabaran yang berkaitan dengan ekonomi dunia yang semakin pesat berubah, sistem pendidikan negara mestilah mantap dengan perancangan menyeluruh berlandaskan strategi perancangan yang panjang. Pembangunan insan merupakan salah satu kunci utama kepada kelangsungan martabat kita demi jati diri negara supaya dihormati dan dipandang tinggi di mata dunia. Dengan kepesatan teknologi, kita perlu menyediakan anak-anak kita bukan sahaja untuk menghadapi masa hadapan, tetapi membentuk masa hadapan berdasarkan acuan kita sendiri iaitu identiti nasional berdasarkan etika dan kerohanian.  Kita bukan sahaja lagi inginkan anak-anak kita mendapat pekerjaan tetapi mampu mencipta pekerjaan.  Kita bukan sahaja inginkan anak-anak kita tahu menggunakan teknologi tetapi mampu mencipta teknologi yang digunakan oleh warga dunia.  Justeru, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang telah dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dapat memastikan bangsa Malaysia akan terus hidup, akan terus berada setaraf dengan Negara-negara maju di dunia.
Aspirasi pendidikan kita seperti yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 adalah sangat jelas.  Melalui laporan kemajuan pelaksanaan PPPM 2013, beberapa kejayaan awalan telah diraih termasuklah perubahan yang menyerlah kepada anak-anak kita di bilik darjah. Berdasarkan laporan tersebut, antara kejayaannya ialah Program Transformasi Daerah (DTP). DTP yang dilaksanakan secara rintis di Sabah dan Kedah telah menunjukkan keberhasilan yang signifikan oleh kedua-dua negeri ini apabila kadar peningkatan keputusan peperiksaan nasional (UPSR, PMR dan SPM). Di samping itu, program yang dirancang dalam PPPM juga telah menunjukkan hasil seperti peningkatan profisiensi guru Bahasa Inggeris, peningkatan murid dalam penguasaan literasi dan numerasi, peningkatan sehingga 81.7 peratus enrolmen murid prasekolah serta pelaksanaan transformasi pendidikan vokasional.
Dari segi akses dan kualiti, saya melihat Kementerian Pendidikan telah memastikan semua kanak-kanak warganegara akan mendapat peluang pendidikan bertaraf dunia. Manakala dari segi ekuiti, Kementerian Pendidikan juga berusaha untuk merapatkan jurang antara Bandar dan luar Bandar, antara jantina dan sosioekonomi.  Perpaduan menjadi teras penting pendidikan Negara untuk memastikan anak-anak kita menghargai kepelbagaian dalam semangat 1Malaysia. 11 Anjakan perubahan cara bekerja yang dianjurkan dalam Pembangunan Pendidikan Malaysia     2013-2025  jelas menunjukkan bahawa kita berada di landasan yang betul bagi membangunkan modal insan yang bakal menerajui Negara di masa kini dan akan datang.  
Marilah kita bersama-sama menyokong usaha murni ini kerana pendidikan merupakan hak dan tanggungjawab kita semua.  Saya nak minta supaya Kementerian Pendidikan menentukan Pelan Pendidikan Malaysia yang hebat ini menjadi kenyataan. Yang akan menjadi cabaran kepada Kementerian Pendidikan ialah untuk mengimplimentasikan pelan ini.  Saya berharap Kementerian dan semua yang terlibat tidak akan menghampakan harapan ibu bapa yang menyerahkan nasib anak muda di tangan Kementerian Pedidikan.
Puan-puan sekalian,
Bahasa merupakan alat komunikasi yang menjadi pengikat kepada perpaduan kaum di Malaysia dan sistem pendidikan merupakan agen utama ke arah perpaduan masyarakat majmuk.
Kewujudan masyarakat majmuk adalah suatu Sunnah Illahiah yang memerlukan manusia membentuk hubungan yang harmoni. Masyarakat Islam khususnya perlu mencontohi hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dalam meningkatkan nilai persaudaraan dan menguruskan perpaduan antara kaum Ansar dan Muhajirin. Untuk perpaduan dan harmoni dalam ertikata sebenarnya berlaku, maka anak muda Malaysia mesti arif dengan sejarah Negara ini sendiri. Jangan pula gajah di depan mata kita tak tahu dan tak kenal, tetapi kuman di seberang laut kita hanyut mengejarnya.
Saya nak minta Kementerian Pendidikan meneliti semula subjek Sejarah yang diwajibkan kepada pelajar sekolah rendah. Sejarah ini hendaklah berdasarkan kepada sejarah penubuhan Malaysia disebabkan sukatan matapelajaran Sejarah yang diajar kini tiada spesifikasi kepada kecintaan Negara dan sejarah Tanah Melayu. Kalau adapun tidak mendalam, maupun mencukupi. Tak kenal maka tak cinta. Jika anak-anak kita yang berbilang kaum tidak mengenali siapa dia perintis Negara ini, siapa dia yang membawa pembangunan dan lain-lain, maka kita jangan salahkan anak muda kita.
Bagi menentukan anak-anak muda dan generasi akan datang lebih mesra, lebih erat tali silaturrahim, lebih global, maka perlu ada pengikat perpaduan.  Bahasa  adalah salah satu pengikat utama.
Dalam kita memastikan penguasaan Bahasa Melayu dipertingkatkan dan dimartabatkan bagi semua murid Sekolah Menengah mulai Tingkatan Satu, saya pohon pertimbangan Kementerian Pendidikan apalah kiranya jika pada masa yang sama menjadikan Bahasa Arab atau Mandarin atau Tamil sebagai mata pelajaran elektif yang wajib dipilih salah satu di semua Sekolah Rendah dan Menengah oleh semua murid bagi mewujudkan masyarakat yang berkemahiran untuk berkomunikasi dalam pelbagai Bahasa. Alangkah indahnya jikalau generasi akan datang di Malaysia terdiri daripada generasi multi lingual yang petah bercakap dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Arab, Mandarin, Tamil maupun  bahasa-bahasa lain, seperti mana terdapat di banyak negara di Eropah. Saya percaya ia juga akan mengeratkan lagi perpaduan kaum di Malaysia.
EKONOMI DAN AUDIT IMPAK RAKYAT
Wanita UMNO mengucapkan terima kasih dan syabas kepada              YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan atas pembentangan Bajet 2015 dimana pelbagai peruntukan telah disediakan oleh Kerajaan dalam usaha mengkukuh dan melonjakkan pembangunan ekonomi Negara. Yang istimewa apabila YAB Perdana Menteri memberi pengiktirafan kerajaan di dalam Ucapan Bajet Tahun 2015 bahawa kaum wanita merupakan tulang belakang pembangunan Negara. Malah, salah satu daripada tujuh strategi utama yang digariskan dalam pembentangan bajet tersebut adalah Memartabatkan Peranan Wanita.
Syabas juga saya ucapkan kerana pendekatan keseimbangan antara ekonomi modal “capital economy” dan ekonomi rakyat “people’s economy” yang menyentuh kehidupan rakyat dititikberatkan oleh Perdana Menteri.  
Maksud YAB Perdana Menteri ialah sementara kita bercakap mengenai KDNK dan GNI yang merupakan “capital economy,” kita juga jangan lupakan “people’s economy” atau pun “ekonomi rakyat.” Apa guna KDNK kita meningkat tetapi rakyat tidak merasai manfaat peningkatan itu kerana kekayaan berlingkar di sekitar sekumpulan kecil manusia. Maka, di sinilah kita kena bercakap mengenai “ekonomi rakyat.”
Dalam ekonomi rakyat, kita bercakap mengenai pendapatan isi rumah, kos sara hidup, jurang pendapatan antara miskin-kaya dan hal-hal yang secara langsung menyentuh kehidupan rakyat.
Kelemahan UMNO dan kerajaan Barisan Nasional ialah kita tak pandai mengambil kesempatan untuk meraih dividen politik seperti yang dilakukan oleh pembangkang. Hari ini pemimpin Negeri Pulau Pinang dan Selangor berkokok mengenai pencapaian negeri-negeri tersebut dan sengaja buat-buat lupa bahawa prestasi itu adalah hasil pentadbiran dan kepimpinan kerajaan Barisan Nasional sekian lama.
Oleh kerana kita tak pandai mengambil dividen politik, maka orang kata UMNO tak buat apa-apa. Orang lupa bahawa penubuhan institusi seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), sebagai contoh, adalah hasil perjuangan kita. Sejak ditubuhkan ada tahun 1981 sehingga sekarang, PNB telah memberikan pendapatan sebanyak RM105 bilion kepada 10.7 juta orang Bumiputera yang menjadi pemegang unit Amanah Saham Bumiputera. Semua orang yang jadi pemegang saham, memperolehi pendapatan (dividen) tersebut.
Bagi membantu perusahaan mikro dan peniaga kecil, Amanah Ikhtiar Malaysia dan TEKUN telah meluluskan RM7.6 bilion pinjaman sepanjang 2011 sehingga Jun tahun ini. Bagi syarikat yang besar sikit, MARA dan PUNB telah beri pinjaman kepada mereka. Dalam tempoh yang sama, MARA telah memberikan pembiayaan kepada 24,881 buah syarikat manakala PUNB membiayai 2,016 buah syarikat. Manakala, bagi syarikat yang lebih besar pula, TERAJU meluluskan pembiayaan Dana Mudahcara berjumlah RM756.9 juta dan Dana Teras berjumlah RM814.15 juta sehingga Oktober 2014 melalui tiga buah bank.
Orang tak berniaga dapat manfaat melalui unit Amanah Saham Bumiputera, peniaga mikro dapat pembelaan AIM dan TEKUN, perusahaan kecil dapat pembiayaan MARA dan PUNB, manakala yang besar mendapat bantuan TERAJU. Pendek kata, semua orang dapat. Walaupun itu yang kita lakukan, namun orang masih kata kerajaan tak buat apa-apa dan UMNO tidak mendapat dividen politik.
Maka, sebab itulah Wanita UMNO ingin mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan “political impact assessment” kepada semua program yang dilaksanakan oleh rakyat, dan penilaian ini bolehlah dinamakan “Audit Impak Rakyat” (AIR). Selain dari menilai dividen politik, ia juga merupakan satu kaedah mengukur kepuasan rakyat kepada program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Kerajaan membuat program untuk rakyat, maka kita kena dapatkan maklumbalas rakyat sama ada mereka berpuas hati atau tidak terhadap program-program ini. Kita kena tanya rakyat, adakah program ini memberikan impak yang mereka harapkan.
Kita berharap dengan adanya “Audit Impak Rakyat” ini, kerajaan dapat tahu sama ada rakyat berpuas hati atau tidak dengan apa yang kerajaan lakukan. “Audit Impak Rakyat” ini juga boleh mengubah pendekatan kerajaan yang selama ini bersifat “managerial-centric” kepada “people-centric.” Apa guna kita buat bermacam-macam program, tetapi rakyat tak berpuas hati dan parti tidak mendapat dividen politik.
Audit Impak Rakyat” ini juga penting untuk mengukur sejauh mana apa juga program dan bantuan kerajaan benar-benar sampai ke sasaran. Begitu banyak yang kerajaan lakukan untuk meningkatkan ekonomi rakyat tetapi saban masa, rungutan "tidak merasai kek ekonomi" terus kedengaran. Mungkin ada ketirisan di sana sini yang boleh dikesan dan kemudian diperbetulkan melalui "Audit Impak Rakyat” ini.
Puan-puan dan tuan-tuan,
Saya bersyukur kerana wanita di Malaysia terdiri daripada golongan yang rajin, dedikasi dan menjadi rakan pembangunan yang produktif.  Diberikan tugas, dia sempurnakan. Diberikan amanah, dia laksanakan.
Sayang sekali sehingga kini, kita belum lagi mempunyai maklumat lengkap mengenai keusahawanan wanita. Kalau ada pun, ia terletak di merata-rata tempat. Apabila tidak ada maklumat, kita tidak dapat membuat analisis yang tepat. Akibatnya, kita membuat program keusahawanan secara serkap jarang.
Apa yang kita tahu ialah daripada lebih 1 juta syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, sekitar 20% adalah Bumiputera. Daripada lebih 200,000 syarikat Bumiputera, sebanyak 88% adalah perusahaan mikro, iaitu berpendapatan tahunan RM300,000 ke bawah atau mempunyai kakitangan kurang dari lima orang. Itu yang kita tahu.

Apa yang kita tak tahu ialah berapa ramaikah usahawan wanita? Apakah sektor-sektor tumpuan usahawan wanita? Berapa peratuskah kadar pertumbuhan syarikat-syarikat wanita dalam sektor-sektor tersebut? Walaupun Kerajaan memberikan pelbagai insentif kepada usahawan Bumiputera, kita tidak mempunyai program khusus untuk usahawan wanita. Kalau ada pun, ia terlalu kecil dan tidak diketahui oleh kebanyakan wanita.
Sekiranya kita serius untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam keusahawanan dan perniagaan, Wanita UMNO meminta kerajaan untuk membangunkan satu pengkalan data usahawan wanita dan untuk setiap program yang dilaksanakan oleh agensi-agensi pembangunan keusahawan atau “entrepreneurs development organisation,” penyertaan wanita hendaklah mencerminkan satu tahap yang tinggi dan membanggakan.
PINDAAN PERLEMBAGAAN UMNO    
Para perwakilan yang saya hormati,
Pada Perhimpunan tahun lepas, saya telah berucap bahawa Wanita UMNO adalah teras dan tulang belakang kepimpinan parti. Alhamdulillah semasa ucapan Dasar dan Amanat Presiden, YAB Dato’ Sri Najib telah mengiktirafkan Wanita UMNO sebagai tulang belakang dan bukan lagi sayap parti.  Pemuda dan Puteri selaku anak-anak yang kita sayangi dan hargai akan meneruskan perjuangan sebagai sayap dalam UMNO.
Saya juga berucap tentang transformasi politik Wanita UMNO dimana kita tidak harus dilihat sebagai hanya layak dan mampu berjuang isu-isu wanita dan keluarga sahaja, tetapi mesti dilibatkan dalam isu-isu polisi dan politik juga.
Bagi menghadapi cabaran politik semasa, Wanita UMNO tidak boleh lagi menghadkan diri sebagai jentera pilihanraya sahaja, tetapi perlu memperkuatkan pergerakan kita sebagai jentera politik juga.
Pada tahun ini, Wanita UMNO selaku tulang belakang parti mempunyai kekuatan keahlian seramai 1,330,926 (satu juta tiga ratus tiga puluh ribu sembilan ratus dua puluh enam). Selama enam dekad Wanita UMNO telah menjalankan peranan penting dalam menentukan keutuhan dan kestabilan UMNO. Kesungguhan Wanita UMNO sebagai nadi parti, berkhidmat dengan penuh amanah dan kesetiaan diibaratkan lilin membakar diri menerangi orang lain dalam memperjuangkan agenda UMNO.
Melalui Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian tahun ini, saya telah menerima cadangan daripada 171 Wanita UMNO Bahagian (89% dari seluruh Wanita UMNO Bahagian yang bersidang) dan dari 12,483 Wanita UMNO Cawangan (77% dari seluruh Wanita UMNO Cawangan yang bersidang) yang mana mereka telah mengusulkan peruntukan satu tempat tambahan khas diberikan kepada Wanita UMNO bagi jawatan Naib Presiden UMNO Malaysia (3+1) dan Naib Ketua UMNO Bahagian (1+1) apabila Pindaan Perlembagaan UMNO diadakan. Pemilihan untuk jawatan ini adalah melalui Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada tahun pemilihan yang ditetapkan.
Cadangan ini juga mendukung kehendak Fasal 3.4, Peraturan Pergerakan Wanita UMNO iaitu “Membangunkan wanita ke arah mencapai 30% wanita di dalam bidang pembangunan dan pembuat dasar Negara”.
Saya berdoa dan yakin bahawa pucuk pimpinan UMNO akan membuat keputusan yang bijaksana apabila masanya tiba untuk Perlembagaan UMNO dipinda. UMNO dan kepemimpinannya tidak pernah ketinggalan zaman malah mendahului dalam perjuangan untuk semua termasuklah Wanita.  Doa saya, selaku Ketua Wanita UMNO Malaysia, supaya titik sejarah mengarusperdanakan Wanita UMNO ditempat membuat keputusan yang bermakna ini akan berlaku semasa kepimpinan             YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak selaku Presiden UMNO dan YAB Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Timbalan Presiden UMNO. In Sha Allah.  
TALI PERSAHABATAN RAKYAT MALAYSIA
Sidang perwakilan dan para hadiran sekalian,
Saya nak minta supaya marilah kita semua rakyat Malaysia ikhlas muhasabah diri. Lihatlah bumi bertuah ini, adakah seburuknya yang diconteng oleh pembangkang dan mereka yang tidak suka kepada Barisan Nasional. Adakah orang Cina, orang India, Serani, Punjabi atau sesiapapun yang bukan Melayu hidup tertindas di Malaysia ini, mati kelaparan, tidak kaya, tidak ada peluang, tidak ada perniagaan, tidak ada pekerjaan, tidak ada masa hadapan, saya rasa itu satu dusta.  Adakah orang Melayu dan Bumiputera membolot segala-galanya, adakah orang Melayu dan Bumiputera sama ada pemimpin maupun pengikut maupun rakyat jelata, mengkaut kekayaan dan kuasa di bumi bertuah ini. Cukuplah, cukuplah jangan kita di antara rakyat Malaysia berbilang kaum di antara kita acah mengacah, gertak mengertak, cabar mencabar. Adakah orang Melayu dan Bumiputera ditindas tidak bernyawa, teruk sangatkah kehidupan kita di Malaysia ini. Jangan kita himpit di antara kita kepenjuru yang bahaya. Di pentas perhimpunan ini umat Melayu dan bumiputera ini, Wanita UMNO ingin tegaskan, cukuplah. Kita rakyat Malaysia berbilang kaum, kita mesti sayang dan hormat di antara satu dengan yang lain.
Saya selaku Ketua Wanita UMNO Malaysia menghulur tangan tali persahabatan, tali silaturrahim kepada semua rakyat Malaysia berbilang kaum, tidak kira apa fahaman politik, maupun parti, tidak kira apa agama, maupun bangsa, marilah kita bersyukur dengan kenikmatan yang kita kecapi.  Marilah kita balik ke pangkal jalan untuk meluncur kehadapan dan bersatu membina negara yang lebih berjaya dan lebih mulia di bawah kepimpinan Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak selaku Perdana Menteri kita.
Semoga Allah memberkati perjuangan kita bersama kerana Allah demi Agama, Bangsa dan Negara.
WANITA  UMNO  SRIKANDI NEGARA
Mereka adalah srikandi bangsa
Hidup jelas pertahankan negara
Musuh datang gertak tak bisa
Hilang nyawa tak ambil kira
Mereka adalah srikandi rakyat
Hidup sentiasa abdikan ummat
Janji dipegang sumpah diingat
Masa dan tenaga tak indah dilumat
Srikandi Negara ibarat besi
Tahan dikerah tahan diuji
Dijadikan tiang gagah berdiri
Dijadikan pentas yakin dilangkahi
Srikandi bangsa bijak mendidik
Sentiasa berkhidmat penuh cerdik
Membela rakyat tahan ditindik
Membela negara tahan dibedik
Wanita UMNO Srikandi Negara
Berfikir cepat bekerja tangkas
Tunaikan tugas pantang mengira
Tunaikan janji pantang menculas
Dijadikan pemimpin rakyatkan puas
Sayapnya panjang terbangnya bebas……

Selamat bersidang.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh.

Tiada ulasan: