Jumaat, 7 November 2014

Pas Selangor marah pemimpinnya jumpa SIS


Susulan perjumpaan dan perbincangan beberapa pemimpin Pas termasuk dari Selangor dengan Sisters In Islam (SIS) di Damansara Height semalam, menimbulkan kemarahan pucuk pimpinan parti negeri itu.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad hari ini, menegaskan tindakan beberapa Ahli Parlimen Pas mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor terhadap SIS berkenaan liberalisme dan pluralisme bukan pendirian parti itu.

Katanya, laporan beberapa media mengatakan kumpulan yang mengadakan perjumpaan dengan SIS itu adalah pimpinan Pas Negeri Selangor adalah tidak benar.

“Terdapat media yang melaporkan, salah seorang dari mereka adalah Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor. Laporan ini sama sekali tidak benar dan Pas Selangor kesal dengan tindakan tidak profesional media tersebut.
“Kami juga melihat tindakan mempertiaikan keputusan Jawatankuasa Fatwa secara terbuka adalah satu tindakan yang tidak wajar,” katanya dalam kenyataan kepada media di Shah Alam, hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa bersama bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah mengadakan perbincangan dengan SIS untuk mencari jalan penyelesaian berhubun pengharaman terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.

Iskandar berkata, beliau khuatir tindakan yang dilakukan segelintir pemimpin Pas itu akan membuka ruang untuk semua fatwa-fatwa dipertikaikan.

Keadaan yang sedemikian, katanya, sudah tentu akan mewujudkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

“Tindakan Ahli-ahli Parlimen Pas itu telah dibuat tanpa berbincang dengan Pas Selangor walaupun kami mengadakan pertemuan mingguan wakil-wakil rakyat pada setiap pagi Rabu.

“Wakil-wakil rakyat tidak sepatutnya bertindak bersendirian kerana mereka bertanding dalam pilihan raya umum di atas tiket parti (Pas), bukan tiket individu,” katanya.

Oleh itu, jelas beliau, tindakan pemimpin berkenaan akan dilaporkan kepada Pas Pusat untuk tindakan selanjutnya.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran