Selasa, 16 Disember 2008

Kendali kelas penulisan, jadual makin padat

HARI ini adalah minggu ketiga saya diberi tanggungjawab dan amanah untuk mengendalikan kelas/bengkel penulisan. Kali ini pesertanya ialah senior wartawan dan junior wartawan.

Minggu pertama sebelum Aidiladha, saya kendalikan kelas/bengkel kepada Editor, Penolong Editor, Senior Sub-Editor, Junior Sub Editor, Ketua Wartawan dan Penolong Ketua Wartawan.

Kelas/bengkel ini penting bagi Sinar Harian bagi memantapkan lagi gaya penulisan yang sebelum ini cara, gaya, kaedah penulisan dan pemberitaan itu agak 'muda'. Ia disebabkan oleh kebanyakan wartawan kami dalam kalangan lepasan IPT.

Adanya kelas/bengkel selama lima hari ini bermula hari ini, aku amat mengharapkan satu perubahan dari segi cara, gaya, kaedah penulisan dan pemberitaan dapat dilihat. Ini penting kerana akhbar Sinar Harian mula menjadi pilihan pembaca dari pelbagai peringkat profesion.

Maknanya, pengisian hidup aku seharian penuh dengan kerja rutin dan sambilan. Sampai kadang-kadang lupa makan minum, tanpa rehat dan tidur secukupnya. Bangun pagi, mata merah, muka berkerutuk, kedut macam tak cukup tidur (memang tak cukup tidur pun).

Tapi aku seronok dengan keadaan sekarang. Aku dapat lupakan kenangan lalu dan kehidupan dunia luar. Aku dapat mengenali Tuhan dengan lebih rapat, setelah sekian lama agak renggang denganNya. Ibadat ini aku masukkan dalam jadual harian, selain yang rutin.

Aku masukkan aktiviti ibadat dalam aktiviti 'lepak' yang telah aku buang. Aku gabungkannya kerja baru iaitu mencari dan menyediakan bahan untuk kelas/bengkel dengan kerja rutin menyunting berita.

Kehidupan aku sekarang ke arah kesempurnaan, insya-Allah.

Isnin, 15 Disember 2008

Laman blog Tok Mun kutip dana

BEKAS calon bebas Parlimen Kuala Terengganu, Maimun Yusof, 89, mewujudkan laman blog sendiri bagi mengutip dana untuk digunakan sebagai wang pertaruhan bertanding merebut kerusi itu pada pilihan raya kecil kawasan itu 17 Januari depan.

Maimun yang lebih dikenali sebagai Tok Mun berkata, laman blog yang diwujudkan sejak dua minggu lalu, dijangka dapat membantunya mendapatkan tajaan yang diperlukan.

Menurutnya, laman blog itu dihasilkan dengan bantuan seorang penyokongnya yang menawarkan perkhidmatan tersebut secara percuma.

"Saya memang berharap untuk bertanding pada pilihan raya kecil ini, cuma masalah sekarang adalah faktor kewangan.

"Jadi dengan adanya laman blog ini, ia boleh membantu saya mendapatkan dana tersebut," katanya.

Menurutnya, selepas mendapat berita kematian Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Razali Ismail pada 28 November lepas, dia menyimpan hasrat untuk bertanding sekali lagi selepas berbuat demikian pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu.

Tok Mun akan mengupah dua orang untuk menjadi pencadang dan penyokongnya pada hari penamaan calon, 6 Januari depan.

"Buat masa ni saya sudah peruntukkan duit sendiri sebanyak RM1,000 untuk diberikan kepada mereka iaitu RM500 seorang kepada pencadang dan penyokong saya pada hari penamaan calon ini," katanya.

Namun menurutnya, itu sekadar perancangan awal sahaja jika wang pertaruhan mencukupi. Dia juga mempunyai strategi sendiri untuk menghadapi pilihan raya kecil ini.

"Jika pilihan raya lepas, saya menggunakan logo kunci namun kali ini saya akan gunakan lambang istana sebagai tanda penguasaan.

Pada pilihan raya umum lalu, Maimun memperoleh 685 undi, manakala Razali (32,562 undi) dan calon Pas, Mohamad Sabu (31,934 undi).

Ahad, 14 Disember 2008

Pesanan kepada orang cantik

SETIAP orang adalah unik. Setiap orang ada kelebihan dan kekurangannya yang tertentu. Tidak ada manusia yang sempurna kecuali Rasululluh SAW kerana baginda telah ditentukan maksum.

Selebihnya tidak terkecuali daripada sifat lemah, buruk, hina, sakit dan bermacam-macam perkara lagi.

Anda tidak perlu berasa susah hati lantaran gemuk, tidak menarik, terlalu rendah malah cacat. Biar bagaimana keadaan anda, anda tetap unik. Tanpa anda alam ini tidak sempurna.

Memang Allah menjadikan manusia pelbagai rupa dan gaya. Di situlah berkuasanya Allah. Dia berhak dan mampu berbuat apa sahaja mengikut kehendak-Nya. Kita memang tidak ada pilihan untuk mempersoalkan itu ini, mempertikaikan itu ini.

Anda mungkin berasa rendah hati melihat kekurangan yang ada pada diri anda. Nah, anggap ia sebagai satu kelebihan. Jika anda sangka anda buruk, ia satu kelebihan yang tiada pada orang cantik.

Anda sangka kecantikan sentiasa membawa untung? Tidak, tidak selalunya begitu. Kadang-kadang kecantikan memusnahkan. Setelah anda dikenali sebagai cantik, ketakutan anda terhadap keburukan lebih besar daripada jika anda semulajadinya buruk.

Orang cantik fobia menjadi buruk. Setiap kedutan di wajah akan dirawat dan setiap kedutan begitu menyusahkan dirinya. Saat menjadi buruk pasti tiba, bagaimanakah perasan si cantik menghadapi hari tua mereka? Bukankah rasa susah yang tiada kesudahan?

Kadang-kadang seekor semut diberikan sayap oleh Allah supaya dia boleh terbang dan menerjah api.

Samalah halnya, kadang-kadang seseorang manusia itu diberikan kecantikan supaya dengan kecantikan itu dia boleh berbuat sebanyak-banyak kemungkaran untuk diberikan balasan setimpal di akhirat. Tontonlah filem atau drama di TV. Kisah hidup orang cantik selalunya penuh duri.

Jika anda buruk, setidak-tidaknya anda bebas rasa riak dan takbur. Penghuni neraka kebanyakannya wanita sebagaimana disabdakan Rasullah SAW: "Wanita itu tentu yang cantik tapi gagal memahami untuk apa kecantikan itu diberikan Allah kepadanya. Dan wanita itu tidak terkecuali juga yang buruk sebab dia berterus-terusan saja mempertikaikan kerja Tuhan.

Siapakah wanita penghuni syurga itu, barangkali yang cantik dan dia sentiasa faham kecantikan itu ukuran manusia. Cantik pada pandangan Allah adalah ketaatannya terhadap semua perintah dan larangan Allah.

Barangkali juga yang buruk, tetapi dia faham Allah tidak memandang rupa paras tapi apa yang ada di dalam hatinya.

Wahai orang cantik, orang buruk, orang rendah, orang cacat, semuanya itu hanyalah ukuran manusia dan ukuran manuisa selalunya sasar. Hargailah diri anda sebab kewujudan anda mambuktikan kekuasaan Allah!

Jadual tugasan minggu ini

15 DISEMBER 2008 / (Isnin)
11 pg – 1 tgh hari
Wartawan baru
Taklimat Pengenalan SH – En Jalil Ali

2 ptg – 6 ptg
Bengkel ICT – Pn Erni

16 DISEMBER 2008 / (Selasa)
9 pg – 1 tgh hari
Wartawan baru & skuad
Bengkel Gaya Penulisan I SH – En Manzaidi


2 ptg – 6 ptg
Bengkel Gaya Penulisan II SH – En Shahruddin

17 DISEMBER 2008 / (Rabu)
9 pg – 1 tgh hari
Wartawan baru & skuad
Bengkel Penulisan I – En Jalil Ali

2 ptg – 6 ptg
Bengkel Penulisan II – Pn Sri Diah

18 DISEMBER 2008 / (Khamis)
9 pg – 1 tgh hari
Wartawan baru & skuad
Media dan Undang-undang – Pn Zuwita

2 ptg – 6 ptg
People Turn Around – En Azam / En Aslam

19 DISEMBER 2008 / (Jumaat)
9 pg – 12.45 t/hari

Wartawan baru
Program ‘The Road, the car and you’ (1) – En Aslam

2 ptg – 6 ptg
Program ‘The Road, the car and you’ (2) – En Syed

22 DISEMBER 2008 / (Isnin)
9 pg – 6 ptg
Wartawan baru
Bengkel Fotografi – En Izahar

23 DISEMBER 2008 / (Selasa)
9 pg – 1 ptg
Wartawan baru
Bengkel Penulisan 3 – Datuk Hafifi

Jumaat, 12 Disember 2008

Sekilas Pandang

Saya tidak takut jika digantung... gantunglah

"SAYA tidak risau kerana tidak bersalah, sebaliknya saya bercakap benar dan tetap menjadi ahli UMNO yang masih mendapat sokongan bahagian, Pemuda, Wanita dan Puteri yang percayakan kepemimpinan saya. Jangan menganggap kerana hanya satu amaran, saya boleh menerimanya. Saya tidak takut jika akan digantung... gantunglah!”

Itu adalah kenyataan Datuk Zaid Ibrahim kepada wartawan dalam sidang media di Kota Bharu pada 13 April 2005. Saya kemukakan soalan itu berhubung amaran diterimanya daripada Lembaga Disiplin UMNO kerana terlibat politik wang pada pemilihan peringkat bahagian parti itu tahun 2004.

Saya bertanyakan soalan itu kerana beberapa hari sebelum itu beliau membuat kenyataan hendak bersara daripada politik. Tetapi selang sehari kemudian, dia menarik balik. Hari ini, setelah tiga tahun lapan bulan berlalu, hasrat itu menjadi kenyataan. Dia bukan lagi digantung, tetapi sudah dipecat daripada UMNO.

Penglibatan Zaid dalam politik sudah lengkap. Dia hanya mengambil masa lapan tahun untuk memegang semua jawatan dalam parti. Dari memegang jawatan Ketua Bahagian (Kota Bharu) pada tahun 2001, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan tahun 2003, Ahli Parlimen Kota Bharu tahun 2004 dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mac 2008.

Walaupun hanya memegang jawatan menteri selama empat bulan 28 hari, tetapi cukup untuk menyatakan Zaid sebagai pemimpin yang berjaya dalam karier politiknya, berbanding pemimpin lain yang masih kekal di peringkat cawangan atau bahagian. Tidak naik-naik.

Bagaimanapun, dari awal terlibat secara langsung dalam politik, Zaid sudah berhadapan dengan pelbagai isu dan kes. Antaranya, ketika menjadi Ketua UMNO Bahagian, Timbalan Pengerusi UMNO dan Ahli Parlimen, dia telah diberi amaran oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana didapati bersalah mengikut Perkara 2.2 Tata Etika Ahli UMNO iaitu membenarkan agennya memberi wang bagi pihaknya ketika pemilihan peringkat bahagian.

Berikutan itu, jawatan ketua bahagian di pangku oleh Datuk Mohd Fatmi Che Salleh (sekarang memang jawatan itu tanpa bertanding), manakala jawatan timbalan pengerusi diberikan kepada Datuk Dr Awang Adek Husin (dilantik oleh Pak Lah). Namun, statusnya sebagai Ahli Parlimen dikekalkan.

Inilah sikap tidak berhati-hati pemimpin bernama Zaid. Dia tidak menggunakan jawatan-jawatan yang diimpikannya sejak sekian lama itu sebaik mungkin. Dia lupa, ketika mula melangkahkan kaki kali pertama di Kota Bharu pada tahun 1994 adalah untuk merebut jawatan ketua bahagian, tetapi setelah mendapatnya, dia mengabaikannya.

Saya wartawan pertama dipilih oleh Zaid menerusi konconya untuk membantu beliau mempromosi kehadirannya di Kota Bharu dan hasratnya hendak terlibat dalam politik. Hasil daripada artikel dua muka surat itu (disiarkan pada tahun 1994), media cetak dan elektronik mula buka mata dan mendekati beliau.

Saya juga wartawan pertama yang banyak membantunya di Kota Bharu dan kemudian ke Tumpat ketika beliau menaruh keyakinan besar dipilih oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sebagai calon pilihan raya pada tahun 1999 (tetapi sehari sebelum nama calon diumumkan, namanya tiba-tiba dipadamkan daripada senarai itu) oleh pihak tertentu.

Ketika memegang jawatan timbalan pengerusi, beliau meminta pandangan saya mengenai bentuk program untuk dilakukannya. Saya kemudian mencadangkan agar dia membela nasib 500 peneroka di Ulu Kelantan yang ketika itu berhadapan masalah dengan kerajaan negeri. Akhirnya, usaha itu berjaya dan peneroka mendapat semula hak mereka menerusi perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Ini semua adalah perjuangan murni Zaid, tetapi malangnya, dia gagal mengawal sikap gelojohnya menyebabkan dia kecundang di separuh jalan dan akhirnya meletak jawatan sebagai menteri pada 15 September lalu serta dipecat sebagai ahli UMNO oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 3 Disember lalu iaitu selepas 22 hari menerima surat tunjuk sebab dari UMNO berkaitan surat terbukanya kepada Pak Lah dan perjumpaannya dengan
Ahli-Ahli Parlimen berhubung desakan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pemecatan itu juga ada kaitan dengan beberapa tindakan beliau, termasuk menghadiri majlis perasmian Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Stadium Melawati, Shah Alam dan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Pulau Pinang yang turut dihadiri anggota Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang. (Siaran 7hb Disember 2008)