Khamis, 17 Mei 2012

Rasuah, Maruah - Pakatan Rakyat Yang Murah

Kalau bekas Naib Pengerusi DAP pun nak dirasuah supaya tutup mulut, tidak mustahil ada dalam kalangan pemimpin Pas dan PKR turut menerima habuan yang sama asalkan berterusan memberi sokongan dan membela DAP.

Pengakuan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, yang beliau cuba dirasuah dengan tawaran wang ringgit dan jawatan dalam agensi kerajaan negeri membuktikan perbuatan rasuah berlaku secara berleluasa dalam Pakatan Rakyat (PR).

Nyata dan terbukti, sokongan padu diterima PR selama ini adalah kerana rasuah. Pemimpin Pas dan PKR sanggup menerima sejumlah wang dan jawatan-jawatan tertentu dalam organisasi parti, kerajaan negeri dan NGO yang ditawarkan dengan syarat bersedia membela pemimpin DAP dan pemimpin kanan PKR sehingga usaha mereka menawan Putrajaya menjadi kenyataan.

Tawar RM50,000 tutup mulut

KUALA LUMPUR 16 Mei - Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menyifatkan tindakan bekas partinya cuba merasuah beliau sebanyak RM50,000 supaya menutup mulut dalam isu peletakan jawatannya sebagai biadab.

Katanya, beliau berasa cukup terhina apabila Setiausaha Politik Lim Guan Eng, Zairil Johari Khir menghubunginya dan menawarkan wang tunai RM50,000 selain jawatan sebagai fello kanan di Institut Penang, sebuah badan pemikir milik kerajaan negeri.

Tambahnya, sebagai seorang pemimpin veteran parti yang berpegang teguh kepada prinsip keluhuran demokrasi, beliau tidak boleh menerima kebiadaban tersebut dan memutuskan tindakan melepaskan jawatan serta meninggalkan DAP adalah tepat.

"Kelmarin Zairil Khir menghubungi saya dan mengulangi tawaran wang tunai sebanyak RM50,000. Saya menganggap tawaran tersebut sebagai penghinaan sepenuhnya. Ia datang daripada seorang yang tidak mempunyai rasa hormat.

"Apakah dia fikir saya jenis orang yang begitu? Saya menganggap tawaran ini sebagai cubaan untuk merasuah, saya fikir ia biadab dan saya tidak akan berkerja lagi dengan lelaki ini," katanya dalam temubual eksklusif dengan akhbar The Star yang disiarkan hari ini.

Dalam temu bual tersebut juga, Tunku Abdul Aziz secara terbuka mengakui beliau tidak mempercayai Guan Eng kerana dakwanya, Setiausaha Agung DAP tersebut memiliki perwatakan dan sikap yang berbeza berbanding bapanya, Lim Kit Siang.

Katanya, sepanjang kemelut antara beliau dengan pucuk pimpinan DAP ekoran kritikan terhadap perhimpunan Bersih 3.0, hanya Kit Siang yang menemuinya sebanyak dua kali manakala Guan Eng langsung tidak berbuat apa-apa.

"Saya telah menawarkan diri untuk melepaskan jawatan dalam DAP secara bermaruah jika ia dianggap sebagai langkah yang paling sesuai mengembalikan semula keharmonian dalam parti selepas kritikan saya terhadap perhimpunan Bersih 3.0 lalu.

"Tetapi tiada jawapan diberi, Guan Eng tidak membalas surat saya, beliau tidak mempunyai kesopanan untuk berbuat demikian tetapi Kit Siang menemui saya dua kali, dia rakan lama dan saya mempercayainya, tetapi bukan Guan Eng, dia seorang yang berbeza," katanya.

Selasa, 15 Mei 2012

Manusia angkuh mewarisi sikap, sifat Firaun

KETIKA Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan membuat keputusan mengharamkan rusuhan jalanan atau demonstrasi yang mempunyai niat tidak baik, melanggar undang-undang dan boleh mencetuskan huru-hara di negara ini, sahut menyahut pemimpin Pas mengeluarkan kenyataan menolak keputusan itu.

Nik Abdul Aziz Nik Mat: "Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang mengharamkan perhimpunan yang menurut majlis itu bertujuan tidak baik sepertimana yang berlaku dalam perhimpunan 28 April lalu, dibuat hanya menggunakan sebelah mata."

Mustafa Ali: "Saya mahu tanya jawatankuasa yang buat keputusan itu, fahamkah mereka maksud dan tujuan Bersih 3.0 diadakan. Sepatutnya mereka kena kaji dan tanya semua pihak tentang apa yang berlaku, bahkan boleh jumpa saya sendiri untuk mendapat gambaran sebenar. Keputusan yang dibuat adalah tidak betul."

Idris Ahmad: "Majlis Fatwa Kebangsaan hanya mendapat maklumat di sebelah pihak sahaja. Sepatutnya kena tanya dan bincang dahulu apa itu Bersih 3.0. Jangan mereka hanya faham Bersih itu hanya air mutlak dalam bab Feqah sahaja iaitu air yang suci, lagi menyucikan. Amat malang rakyat Malaysia apabila kewibawaan Majlis Fatwa yang sepatutnya mempertahankan kredebiliti mereka yang dianggotai oleh 14 mufti dan ulamak di negara ini telah mengeluarkan hukum tanpa mendapat penjelasan daripada pihak kedua. Apakah ini disiplin Majlis Fatwa Kebangsaaan?"

Itu antara tiga komen daripada tiga pemimpin Pas, sebaik sahaja Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan membuat keputusan berhubung perhimpunan haram dan rusuhan puak Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Kasar dan angkuh komen ketiga-tiga pemimpin Pas ini mempersoal dan mempertikaikan fatwa yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Seolah-olah mereka bertigalah yang paling teralim, terulama, terwarak dan tersolehin di muka bumi ini.

Seolah-olah mereka bertiga sahaja yang layak bercakap mengenai hukum hakam agama Islam, agama Kristian, agama Yahudi dan agama Nasrani. Seolah-olah mereka bertiga ini yang tahu dosa pahala, syurga neraka.

Alangkah malangnya nasib tiga manusia ini, 'alim ulamak' akhir zaman yang membawa kemungkaran yang Nabi Muhammad SAW maksudkan sebelum Baginda wafat.

Namun begitu mereka bertiga ini hanya berani angkuh dan garang terhadap orang-orang Islam sahaja. Tetapi apabila dengan DAP, lembut gigi daripada lidah meraikan perbezaan pendapat dari DAP hatta kepala mereka dipijak sekali pun.

Beberapa hari lalu, Karpal Singh sekali lagi dengan begitu keras menolak hukum hudud yang pernah diperjuangkan selama ini. Karpal heret bersama keputusan yang dibuat Muktamar Pas tahun lalu serta meminta Hadi Awang menutup mulut dari bercakap pasal hudud. Begitulah hinanya dan tidak bermaruahnya seorang presiden sebuah parti yang besar.

Lebih malang,lebih hina, lebih jijik dan lebih hanyir lagi apabila tidak ada sepatah pun suara bantahan dari Hadi Awang atau Nik Abdul Aziz atau Mustafa Ali atau Idris Ahmad atau Pemuda Pas yang berani menyanggah kenyataan Karpal.

Sebaliknya dengan tidak bermaruah dan penuh dengan kebaculannya Hadi Awang bersama beberapa orang kuatnya muncul dalam sidang media di Kuala Lumpur Ahad lalu dengan berkata, kalau ada perbezaan, itu perbezaan yang kita raikan antara satu sama lain.

Apa yang diungkapkan oleh Majlis Fatwa mereka tolak dan tentang habis-habisan. Bukannya dibincang lanjut atau sebagainya. Tetapi apabila bersama DAP mereka raikan perbezaan pendapat. Dalam sidang media yang sama juga Hadi Awang telah mengumumkan isu hudud tidak lagi berbangkit. Ertinya, tutup buku.

Sebagaimana dipetik Harakahdaily:

KUALA LUMPUR: Pas berpendirian isu hudud sudah lama selesai dan Pakatan Rakyat harus menumpukan perhatian kepada isu-isu bersama seperti yang termaktub dalam Buku Jingga.

Presidennya, Abdul Hadi Awang berkata, Pas akan terus bersama-sama Pakatan Rakyat dalam menangani masalah kemiskinan, menegakkan keadilan, mempertahankan Islam sebagai agama persekutuan, kebebasan mengamalkan agama-agama lain dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

"Saya tidak mahu ulangi lagi (kenyataan tentang hudud) kerana saya mahu tumpu perkara yang sekarang. Perkara itu (hudud) tunggu kita memerintah dahulu. Sekarang kita tumpu cabaran pilihan raya ke-13.

"Saya berpijak di atas apa yang saya buat. Isu (hudud) ini tak berbangkit. Isu ini dah selesai kita bincang dulu,” kata beliau pada sidang media di ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Abdul Hadi berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan berhubung kenyataan karpal yang mahu beliau berhenti mengeluarkan kenyataan mengenai hudud.

Sebelum ini, Abdul Hadi dilaporkan berkata, isu hudud bukan menjadi fokus dan isu utama Pas dalam pilihan raya ini.

Dr Khadijah : Pluralisme Agama Melalui Kalimah Allah

Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Madya Dr Khadijah Mohd Hambali berkata, walaupun ada dalam kalangan umat Islam bersetuju memberikan kalimah Allah kepada penganut Kristian dengan alasan untuk berdakwah, namun beliau berpendapat perkara itu tidak akan berlaku kerana ia lebih mendatangkan kemudaratan dan menjurus kepada pluralisme agama.

"Saya tidak melihat perkara itu akan berlaku. Sebab bila mereka dah gunakan perkataan kalimah Allah itu, mereka sebenarnya cuba menyamatarakan kedudukan Allah orang Islam dengan Allah mereka.

"Jadi di sini, lahirnya bentuk-bentuk pluralisme agama…Ini adalah salah satu taktik atau serangan pemikiran yang dilakukan oleh masyarakat Barat kepada masyarakat Muslim supaya mereka boleh menerima bahawa agama kita ini adalah sama betul, sama benar dan sama-sama menuju kepada akhirat," katanya.

Menurutnya, ini adalah satu bentuk gerakan Kristianisasi yang telah melanda masyarakat Islam tanpa disedari umum.

Jumaat, 11 Mei 2012

Bush Bersalah? Laku Ke Keputusan Dari Malaysia?

Usaha kerajaan Malaysia mengambil berat jenayah yang dilakukan bekas Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush amat dihormati dan dibanggai sekali. Tetapi sebagai negara kecil yang petanya tidak pernah ada dalam kepala otak Bush, sejauhmana beliau akur dengan keputusan itu?

Dan sekiranya keputusan itu dihantar ke Kedutaan AS, adakah Presiden Obama dan pihak mahkamah di negara itu menerimanya dan akan menghantar Bush ke Malaysia untuk menjalani hukuman? Kadang-kadang tertanya-tanya juga negara kecil nak menghukum negara besar yang angkuh seperti AS.



















Tribunal Perang Dapati Bush, Tujuh Yang Lain Bersalah Lakukan Jenayah Perang

KUALA LUMPUR: Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCT) pada Jumaat mendapati bekas Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush dan tujuh sekutu beliau bersalah bagi tuduhan 'melakukan jenayah penderaan dan jenayah perang'.

Ketujuh-tujuh mereka ialah Dick Cheney, bekas naib presiden Amerika Syarikat; Donald Rumsfeld, bekas Setiausaha Pertahanan; Alberto Gonzales, yang pernah menjadi penasihat kepada Presiden Bush; David Addington, dahulunya ketua penasihat kepada naib presiden; William Haynes, bekas ketua penasihat kepada Setiausaha Pertahanan; Jay Bybee, bekas Penolong Peguam Negara; dan John Yoo, bekas timbalan penolong Peguam Negara.

Dengan sebulat suara, bekas Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Lamin Mohd Yunus, yang mengetuai kuorum tribunal memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

"Dengan ini kami mendapati tertuduh bersalah di atas pertuduhan," kata Hakim Lamin.

Empat hakim lain dalam panel terdiri Tunku Sofiah Jewa, Alfred Lambremont Webre, Prof Salleh Buang dan Mohd Saari Yusuf. Panel membuat keputusan setelah mendengar keterangan daripada lima saksi pendakwaan dan hujah pihak pendakwaan dan pihak pembelaan.

Perbicaraan berlangsung empat hari bermula 7 Mei, dengan mendengar keterangan daripada tiga saksi, manakala dua saksi memberi keterangan secara akuan bersumpah.

Prof Gurdial Singh Nijar mengetuai pasukan pendakwaan, manakala Jason Kay Kit Leon yang dilantik selaku 'amicus curae' (rakan mahkamah) bagi mewakili pihak tertuduh.


Kelapan-lapan tertuduh didakwa melakukan jenayah penderaan dan bahawa mereka dengan sengaja mengambil bahagian dalam merangka dan mengeluarkan perintah dan arahan eksekutif dengan membelakangkan konvensyen dan undang-undang antarabangsa iaitu Konvensyen Terhadap Penderaan 1984, Konvensyen Geneva 1949, Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia dan Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung perang yang dilancarkan Amerika Syarikat dan yang lainnya ke atas Afghanistan pada 2001 dan Iraq pada Mac 2003.

Selain itu, dan/atau berdasarkan serta lanjutan daripada situ, tertuduh memberi kuasa, membiarkan perlakuan penyeksaan dan kejam, layanan buruk dan tidak berperikemanusiaan terhadap mangsa dengan mencabuli undang-undang dan perjanjian antarabangsa dan konvensyen berkenaan.

Ketika membaca keputusan 19 muka surat itu, Lamin berkata, selepas menimbang keterangan yang dikemukakan oleh pendakwaan dan penghujahan oleh kedua-dua pihak, tribunal itu berpuas hati bahawa kelapan-lapan tertuduh itu bersalah dan disabitkan sebagai penjenayah kerana melakukan penyeksaan dan kejam, layanan buruk dan tidak berperikemanusiaan terhadap mangsa jenayah perang itu.

Beliau berkata, Bush bersalah melakukan jenayah perang memandangkan beliau telah mengeluarkan perintah seperti dalam memorandum bertarikh 7 Februari 2002, yang mengisytiharkan banduan al-Qaeda adalah di luar perlindungan Konvensyen Geneva, dengan hasrat agar perintah ini mendapat tindakan segera dan mengetahui bahawa AS mencabuli Konvensyen Penyeksaan dan Konvensyen Geneva serta gagal campur tangan untuk menghalang pencabulan itu.


"Pendakwaan telah membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa tertuduh Richard B. Cheney, bekas naib presiden AS, mengetahui apa yang sedang berlaku dan secara khusus, bahawa perintah yang dikeluarkan oleh Bush dan Rumsfeld telah dikeluarkan dan diambil tindakan," kata hakim itu yang mengambil masa satu setengah jam untuk membacakan keputusannya.

Lamin berkata, lapan tertuduh itu terlibat dalam rangkaian arahan, memo, nasihat perundangan dan tindakan yang mewujudkan pelan dan tujuan bersama untuk melakukan Jenayah Penyeksaan dan Perang, termasuk dan tidak terhad kepada pelan bersama dan tujuan untuk melakukan jenayah berkaitan dengan 'Perang ke atas Keganasan' dan peperangan yang dilancarkan oleh AS dan lain-lain di Afghanistan dan Iraq.

Tribunal turut mendapati tertuduh secara individu dan bersama bertanggungjawab terhadap semua jenayah yang dilakukan untuk meneruskan rancangan dan tujuan bersama mereka di bawah prinsip yang diwujudkan oleh Artikel 6 Piagam Tribunal Tentera Antarabangsa.

Lamin berkata, tribunal itu mendapati tertuduh telah melakukan jenayah terhadap Pengadu Mangsa Jenayah Perang yang hadir di hadapan tribunal itu.

Tribunal itu telah mendengar keterangan daripada seorang warga Iraqi, Abbas Abid, 48, yang mendakwa dia diseksa ketika ditahan di penjara Al-Jadiria, bekas tahanan Guantanamo Bay Moazzam Begg, 41, dan bekas banduan penjara Abu Ghraib Jameelah Abbas Hameedi, 57.


Dua lagi saksi yang tidak hadir, Ali Sh Abbas, 45, dan Rhuhel Ahmad, 27, memberi keterangan mereka menerusi akuan berkanun.

"Tribunal berharap berbekalkan keputusan ini, saksi (pengadu dan mangsa dalam kes ini) akan, pada masa depan, mencari sebuah negara atau sebuah entiti kehakiman antarabangsa, yang berupaya dan bersedia melaksanakan bidang kuasa dan menguatkuasakan keputusan tribunal ini terhadap lapan orang yang disabitkan kesalahan dan kerajaan mereka," katanya.

Lamin berkata, tribunal itu menyedari sepenuhnya bahawa keputusannya semata-mata bersifat perisytiharan dan tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan, tiada kuasa untuk mengenakan apa-apa hukuman melibatkan pemenjaraan terhadap mana-mana seorang atau kelapan-lapan tertuduh.

"Apa yang kami boleh lakukan ialah mengesyorkan kepada Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCC), yang kami kini lakukan, untuk menyerahkan keputusan sabitan kesalahan oleh tribunal, bersekali dengan rekod prosiding ini, kepada Ketua Pendakwaan Mahkamah Jenayah Antarabangsa, selain Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Majlis Keselamatan," katanya.

Dalam keputusan itu, tribunal berkenaan, antara lain, mencadangkan kepada KLWCC supaya nama kelapan-lapan orang yang disabitkan kesalahan itu dimasukkan ke dalam Daftar Penjenayah Perang suruhanjaya dan diberi publisiti yang sewajarnya. -BERNAMA

Allahu Akbar...Bulan lebih besar dan bercahaya

PADA 6 Mei lalu, penduduk Bumi sekali lagi berpeluang menyaksikan keindahan bulan penuh besar. Kejadian yang diberi julukan supermoon oleh peramal bintang, Richard Nolle pada tahun 1979 itu ibarat acara tahunan yang dinanti-nanti.

Fenomena global itu banyak dirakamkan oleh jurugambar profesional terutama di mercu tanda ternama. Imej bulan besar di sebalik Patung Jesus di Rio de Janeiro, Brazil dan bersebelahan Kuil Poseidon, berhampiran Athens, Greece menunjukkan betapa indahnya kejadian alam itu.

Bagaimanapun, sebahagian besar warga Britain terlepas detik itu gara-gara awan tebal yang meliputi langit negara tersebut. Hanya penduduk di kawasan barat laut dan barat daya England dan Wales dapat menyaksikan bulan paling besar sepanjang tahun ini itu.

Secara saintifik, fenomena bulan besar terjadi apabila bulan menghampiri Bumi pada jarak yang lebih dekat daripada biasa. Tahun ini, kedudukan bulan dicatatkan pada jarak 356,955 kilometer (km) dari Bumi berbanding jarak biasa kira-kira 384,000km.

Bulan besar membuatkan bulan kelihatan 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih cerah daripada bulan penuh lain. Perigi (perigee) ialah terma saintifik paling tepat untuk bulan penuh tersebut. Perlu diketahui bahawa setiap bulan penuh yang terjadi mempunyai saiz yang berbeza.

Hal itu disebabkan ia beredar pada orbit berbentuk bujur dan mempunyai dua bahagian. Bahagian pertama dikenali sebagai perigee manakala bahagian kedua dipanggil apogi. Saat bulan penuh terjadi, perigee berada pada jarak 50,000km lebih dekat dengan Bumi daripada apogi. Kesannya, bulan perigee tampak lebih besar dan bercahaya.

Tidak disangkal, jarak yang dicatatkan ketika bulan besar menunjukkan perbezaan daripada bulan penuh waktu lain. Namun, ukuran sebenar rumit untuk ditentukan.

Wakil Pejabat Meteorologi Amerika Syarikat (AS), Dan Grey memberitahu, bulan besar kelihatan mengagumkan ketika ia berada di garisan ufuk. Posisi bersebelahan rumah atau pokok memberi gambaran betapa besarnya bulan itu kelihatan.

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) milik AS juga berpendapat, waktu terbaik menikmati pemandangan bulan besar itu adalah ketika ia menghampiri horizon.

Bulan pada kedudukan rendah tampak amat besar apabila dilihat di celahan pokok, bangunan atau objek-objek yang berada di hadapannya. Ia merupakan alasan yang tidak difahami pakar astronomi dan psikologi sendiri.

Dr. Robert Massey dari Persatuan Diraja Astronomi AS pula menyatakan, mata manusia berfungsi dengan baik bagi mengimbangi perubahan kecerahan bulan sehingga tiada yang perasan pertukaran ketara tersebut. Apa yang dikesan kebanyakan orang ialah saiz bulan itu sahaja.

Para saintis menambah, sejauh mana pun kedudukan bulan, ia tidak akan menjadikan manusia tidak siuman, melakukan jenayah atau kepercayaan lain yang dianggap karut.

Pakar psikologi, Scott Lilienfeld dari Universiti Emory, Atlanta, AS mengatakan, tanggapan bulan penuh menyebabkan kelakuan aneh merupakan antara mitos terbesar dunia.

"Orang berpegang pada kepercayaan tersebut berpandukan kepekaan mereka terhadap sesuatu insiden. Sekiranya berlaku perkara luar biasa ketika bulan besar, mereka terus melabelkannya sebagai kejadian aneh.

"Namun, apabila tiada apa terjadi, mereka sekadar mendiamkan diri. Kesimpulannya, segala kejadian yang berlaku dalam jangka masa bulan besar hanyalah kebetulan," ujar Lilienfeld.

Kekarutan tersebut timbul daripada cerita rakyat yang dipercayai disampaikan sejak Zaman Pertengahan. Antara kisah pelik yang dikaitkan dengan fenomena bulan besar ialah pertambahan bayaran untuk kemasukan hospital, peningkatan kadar jenayah dan perubahan tingkah laku manusia.

Majoriti kajian moden bagaimanapun menunjukkan hal sebaliknya. Tiada perkaitan antara fasa bulan dengan insiden jenayah, sakit atau tindak-tanduk manusia. Kenyataannya, pengaruh bulan terhadap Bumi amat kecil berbanding khabar angin yang diwartakan.

Air pasang

Setiap tahun, bulan besar tampil dengan saiz yang berbeza. Tahun lalu, kedudukan bulan dicatatkan sejauh 356,575km iaitu jarak paling hampir pernah direkodkan sejak dua dekad lalu.

Fenomena tahun ini telah menenggelamkan pancuran meteor daripada sisa-sisa komet Halley yang melewati Bumi setiap 76 tahun. Namun, kesan utama terhadap cuaca planet yang berada pada kedudukan ketiga dari matahari ini ialah air pasang.

Walaupun kedengaran berbahaya, menurut kenyataan Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) AS, hal itu bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan. Di kebanyakan tempat, graviti bulan besar menarik pasang surut air hanya beberapa sentimeter (sm), lebih tinggi daripada biasa.

Kawasan daratan pula hanya dinaiki air sehingga 15sm tetapi tidak akan mencetuskan banjir besar.

Pengarah Jabatan Astronomi Muzium Astronomi dan Planetarium Chicago, AS, Geza Gyuk menjelaskan, menjelang bulan baharu atau penuh, air pasang akan berada pada tahap yang tinggi.

Fenomena tersebut boleh menyebabkan ribut dan banjir tetapi belum ada bukti saintifik mengaitkannya dengan gempa bumi atau bencana alam lain.

"Bulan besar telah berlaku sejak berbilion tahun dahulu. Tiada apa yang istimewa tentang fenomena ini melainkan langit malam yang cantik," ujar Gyuk lagi.

Tsunami Jepun

Beberapa hari sebelum fenomena bulan besar tahun lalu, Jepun dilanda tsunami dan gempa bumi paling dahsyat pernah dialami negara tersebut. 12 Mac 2011 menjadi detik hitam buat rakyat Jepun yang kini bangkit perlahan-lahan daripada malapetaka tersebut.

Secara kebetulan, pada 19 Mac tahun yang sama, fenomena bulan besar pula terjadi sekali gus menimbulkan spekulasi tentang hubung kaitnya dengan bencana di Jepun.

Tidak dinafikan, bulan besar mampu memberi impak terhadap aktiviti seismik disebabkan interaksi graviti yang kuat antara bulan, matahari dan Bumi.

Bagaimanapun, tiada bukti jelas yang boleh mengaitkan fenomena tersebut dengan kejadian gempa bumi dan tsunami di Jepun.

"Gempa bumi di Jepun terjadi ketika kedudukan bulan berada pada jarak normal dengan Bumi.

"Mungkin ada beberapa kejadian gempa bumi yang mempunyai sedikit perkaitan namun kejadian di Jepun tidak dikira," begitu penerangan oleh pemerhati astronomi untuk Balai Cerap Griffith di Los Angeles, Anthony Cook.

Selasa, 8 Mei 2012

Dr Mashitah... Dekat Di Hati

Pengunjung Pesta Buku Antarabangsa 2012 yang berlangsung selama 10 hari dari 27 April hingga 6 Mei lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur berpeluang menikmati diskaun istimewa bagi pembelian buku baru termasuk karya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Tiga buku nukilan Dr Mashitah diberi diskaun sehingga 25 peratus bersama lima lagi buku terbaru Berita Publishing Sdn Bhd (BPSB) yang dijual sehingga hari terakhir karnival itu.

Ketika ditemui, Dr Mashitah berkata, beliau menulis buku yang dekat di hatinya iaitu Tanyalah Ustazah, Langit Terbuka dan Moderat: Antidot Barisan Nasional Menentang Politik Matlamat Menghalalkan Cara, khusus untuk bahan bacaan rakyat pelbagai peringkat.

"Saya hasilkan buku yang sebelum ini mendapat pertanyaan ramai pihak seperti 'Tanyalah Ustazah' menghimpunkan persoalan masyarakat mengenai banyak perkara dan ada antara mereka mengemukakan soalan hampir sama.

"Dengan itu saya rasa perlu terbitkan buku yang dapat menjadi rujukan mereka. Begitu juga dengan buku Moderat yang cukup dekat dengan diri saya kerana ia membincangkan konsep wasatiyyah sebenarnya, membandingkan sejarah wasatiyyah dengan pentadbiran hari ini.

"Ia pun diterbitkan mengguna kertas yang tidak terlalu tebal, kecil dan sesuai di bawa ke mana saja, sekali gus menggalakkan orang ramai membaca walau di mana mereka berada," katanya selepas Majlis Pelancaran Buku Terbaru Keluaran BPSB.

Hadir sama, Pengerusi BPSB, Datuk Mohd Bisharuddin Mohd Noor Basha; Ketua Pengarang BPSB, Datuk A Kadir Jasin; Pengarah Eksekutif BPSB, Juhaidi Yean Abdullah dan Pengurus Besar Kanan BPSB, Zaini Zainuddin.

Buku yang dilancarkan ialah Semoga Hijrahku Abadi ditulis Datuk Malek Noor dan Raihanah Abdullah; buku masakan, Jamuan Petang Bersama Chef Anuar (Chef Mohd Anuar Draman) serta Sajian Eksotik Warisan Bugis (Dr Shahrim Karim dan Norsyahidah Ismail).

Turut dilancarkan, Anjung Seri Bonus Bilangan 11 dan Terapi Sel Hidup-Dimensi Perubatan Regeneratif yang ditulis Datuk Dr Abdul Halim Abdul Jalil.

Isnin, 7 Mei 2012

Gambar fenomena bulan besar

NEW YORK - Imej bulan penuh yang paling besar dan cerah pada tahun ini dapat dilihat kelmarin selepas ia berada dekat dengan Bumi.
Pakar-pakar berkata, bulan itu kelihatan 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih cerah berbanding pada hari biasa.

Jarak bulan dengan Bumi ketika itu ialah 357,000 kilometer.

Beberapa jurugambar agensi berita antarabangsa berjaya merakamkan gambar bulan itu di beberapa buah bandar raya utama. Seorang penulis buku 50 Great Myths of Popular Psychology, Scott Lilienfeld dari Universiti Emory di Atlanta, Amerika Syarikat menyatakan terdapat kepercayaan tinggi bahawa kelakuan ganjil akan berlaku ketika bulan penuh. - Agensi