Sabtu, 6 April 2013

Anwar Kekal Di Permatang Pauh

BUKIT MERTAJAM: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Keputusan itu sekali gus menamatkan spekulasi bahawa dia merancang untuk bertanding di Perak baru-baru ini.

Beliau berkata, dia ingin bersama pengundi dan penyokong setianya di kawasan tersebut.

Katanya, beliau terhutang budi dengan penduduk di Permatang Pauh yang sentiasa menyokongnya walaupun dia tidak lagi bersama parti memerintah dan kerajaan.

"Isteri saya (Datuk Seri Dr Wan) Azizah (Wan Ismail) pada awalnya tidak bersetuju apabila saya memberitahunya bahawa saya sedang mempertimbangkan untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun di Perak.

"Beliau berkata rakyat di Permatang Pauh adalah penyokong setia yang sentiasa berdiri dibelakangnya dan PKR selama ini," katanya pada ceramah di Taman Seri Pauh, Permatang Pauh di sini, Jumaat.

Terdahulu, ketika sesi bertemu penduduk di Kubang Semang, Anwar berkata beliau memerlukan masa untuk membuat keputusan mengenai kerusi yang akan ditandingi iaitu sama ada akan mempertahankan kerusi Permatang Pauh atau berubah angin ke Perak.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat memenangi tiga kerusi Parlimen Parit Buntar, Bagan Serai dan Gopeng di Perak pada pilihan raya umum 2008.

Menurut beliau, keputusan untuk mempertimbangkan Perak adalah sebagai strategi politik untuk meningkatkan sokongan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail akan bertanding di kerusi Tambun, kata Anwar.

Anwar merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh sejak 1982 apabila beliau menyertai Umno.

Isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengambil alih kerusi tersebut pada pilihan raya umum 1999 apabila beliau dipenjarakan atas tuduhan liwat dan rasuah.

Anwar memenangi semula kerusi Permatang Pauh menerusi pilihan raya kecil pada Ogos 2008 selepas kerusi tersebut dikosongkan oleh Wan Azizah.

Jumaat, 5 April 2013

Penyanyi Aishah Tanding Parlimen Jempol?

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengumumkan penyanyi yang terkenal dengan lagu Janji Manismu, Aishah akan menjadi calon mewakili parti itu di Parlimen Jempol.

Dipetik dari portal berita Antarapos pada Khamis, beliau yang lebih dikenali sebagai ‘Mat Sabu’ mengumumkan perkara tersebut pada ceramah anjuran PAS Bukit Bintang di Gombak.

Aishah atau nama penuhnya Wan Aishah Wan Ariffin yang dipetik sebagai berkata, beliau masih belum bersedia untuk bertanding pada pilihan raya kali ini.

“Berderau darah saya. Tetapi ini keputusan PAS Pusat. Walaupun ikut kata hati saya, tunggulah sepenggal dua lagi (untuk bertanding),” katanya kepada Antarapos.

Hisap Rokok Tidak Boleh Jadi Calon PAS Di Kelantan - Nik Aziz

PETALING JAYA: Setiap calon PAS yang bertanding sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen di Kelantan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) mesti bebas rokok.

Ini ditegaskan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am PAS.

"Kalau hisap rokok, tak boleh jadi calon," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat pimpinan tertinggi pakatan pembangkang di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, Khamis.

Nik Abdul Aziz sebelum ini dilapor pernah menegur sesetengah pemimpin dan penyokong PAS di Kelantan yang merokok di khalayak ramai dan pernah melarang tabiat itu.

Mesyuarat itu berlangsung sehari selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat bagi memberi laluan kepada PRU13.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberi jaminan pihaknya tidak akan menimbulkan kekacauan pada PRU-13.

"Di pihak DAP dan rakan-rakan yang lain, kita jamin penyokong dan anggota kita akan berkempen secara aman, berdisiplin dan mengikut undang-undang serta tidak akan membuat kekecohan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut disertai Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan pemimpin lain pakatan pembangkang.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak hadir kerana mempunyai urusan lain. - BERNAMA

Wan Azizah Tidak Bertanding - Anwar

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13.

Perkara itu dimaklumkan suaminya, yang juga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui temu bual secara langsung dengan Al-Jazeera pada Rabu, menurut laporan laman berita rasmi PKR, KeadilanDaily.com diwww.keadilandaily.com pada Khamis.

"Azizah mampu untuk memimpin parti semasa saya berada dalam penjara. Beliau mengetuai parti tetapi memutuskan untuk tidak bertanding pilihan raya," kata Anwar dipetik dalam portal itu. - BERNAMA

Pemilihan Calon Jadi Tumpuan

KUALA LUMPUR: Pemimpin politik kedua-dua pihak turun di ibu negara pada Khamis ketika kegelisahan mengenai pemilihan calon pilihan raya umum ke-13 mula memuncak, sehari selepas Parlimen ke-12 dibubarkan.

Datuk Seri Najib Tun Razak mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno diikuti mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Menara Dato Onn di sini untuk memperkukuh segala kelonggaran sebelum mengemukakan manifesto BN pada Sabtu ini, dengan perdana menteri juga berjanji akan mengumumkan nama calon lebih awal sebelum hari penamaan calon.

Momentum bergerak laju apabila Suruhanjaya Pilihan Raya dijangka menentukan tarikh penamaan calon dan hari pengundian, yang dispekulasi bahawa segalanya akan berakhir menjelang bulan ini.

Najib yang akan mengetuai BN ke medan tempur buat pertam kali berkata pengumuman lebih awal daripada biasa calon BN akan membolehkan mereka lebih bersedia dan bertemu pengundi lebih awal.

"Tunggu pengumuman. Saya tidak mahu berkata apa-apa sekarang tetapi akan ada perubahan. Ia penting untuk mempunyai unsur kejutan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan kedua-dua mesyuarat tersebut.

Menghadapi pertempuran sukar untuk memperoleh semula kehilangan yang dialami pada pilihan raya umum 2008, BN dijangka mengemukakan 40 peratus calon muka baru.

Najib mengesahkan beliau akan mempertahankan kubu Pekan apabila dimintamengulas keputusan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di Perak dan tidak lagi mempertahankan kerusi kawasan Parlimen Permatang Pauh.

"Saya tidak pernah termimpi untuk meninggalkan Pekan. Secara politiknya,saya akan hidup dan mati di Pekan," kata Najib yang menjaga Pekan sejak 1976, tempat kelahiran dan kawasan ayahanda beliau, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang meninggal dunia ketika menjadi perdana menteri kedua.

Manifesto BN, kata Najib mengandungi komitmen BN untuk meneruskan transformasi negara dan ekonomi demi kemakmuran rakyat.

Menurut Anwar, isteri beliau dan Presiden PKR, Datin Wan Azizah Wan Ismail tidak akan bertanding walaupun dilaporkan sebelum ini beliau akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri di Selangor.

Anwar memberitahu stesen Al-Jazeera pada Rabu, bahawa isterinya mengambil keputusan tidak bertanding apabila Anwar ditanya mengenai soal nepotisme dalam PKR kerana beliau merupakan penasihat PKR sementara anak perempuan mereka Nurul Izzah naib presiden PKR.

Wan Azizah tidak kelihatan apabila Anwar dan pemimpin parti pembangkang yang lain berhimpun selama tiga jam di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya sebelum Anwar muncul dan berkata perbicangan peruntukan kerusi dikalangan mereka akan disambung pada Jumaat.

PAS diwakili Mursyidul Am yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat sementara DAP diwakili Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Selepas pembubaran semalam, 48 hingga 78 jam seterusnya adalah kritikal bagi BN dan pembangkang untuk menentukan senarai calon mereka. Dari apa yang dlihat terdapat beberapa lagi perkara yang masih perlu diatasi dan dijangka proses tawar-menawar dan pertukaran akan berterusan sehingga hari penamaan calon," kata penganalisis politik.

Pertarungan kali ini akan menyaksikan BN dan pakatan pembangkang merebut 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi DUN di 12 buah negeri kecuali Sarawak yang telah mengadakan pilihan raya negeri pada April 2011.

DUN Johor dan Selangor bubar hari ini, sementara tiga negeri lagi yang diperintah pembangkang iaitu Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah masih belum dibubarkan.

Lim dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, DUN negeri masing-masing akan dibubar esok sementara Nik Abdul Aziz menghadap Sultan Muhammad V malam Khamis. - BERNAMA

Rabu, 3 April 2013

UCAPAN PEMBUBARAN PARLIMEN KE-12

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat secara langsung melalui televisyen pada Rabu bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-13 diadakan.
BERIKUT ialah teks ucapan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pembubaran Parlimen Malaysia ke-12 pada Rabu.

Bismillahirahmanirahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

1. Pertama-tamanya marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmatnya saya, Timbalan Perdana Menteri dan anggota jemaah menteri dapat bersama-sama secara langsung dengan Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian pada pagi ini.

2. Saya ingin memaklumkan kepada rakyat Malaysia bahawa pada pagi ini saya telah pun menghadap Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan menyembah warkah kepada Baginda memohon perkenan supaya Parlimen ke-12 dibubarkan pada hari ini Rabu, 3 April 2013. Sehubungan dengan itu selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan baginda telah pun memperkenankan bagi Parlimen Ke-12 dibubarkan berkuat kuasa hari ini.

3. Sehubungan dengan itu saya menasihatkan kepada ketua-ketua kerajaan negeri yang berkenaan untuk menghadap Ketua-ketua Negeri mereka bagi mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri masing-masing agar pilihan raya umum dapat diselaraskan secara serentak di seluruh negara.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

4. Hari ini, 4 tahun yang lalu, pada tanggal 3 April 2009, saya telah pun mengangkat sumpah untuk memikul amanah serta tanggungjawab sebagai Perdana Menteri negara Malaysia yang tercinta. Dalam tempoh tersebut saya bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, anggota Jemaah Menteri dan anggota-anggota pentadbiran yang lain telah dengan segala ikhtiar serta upaya mencetus dan melaksanakan perubahan dan pembaharuan berpaksikan kepada Falsafah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan serta dipandu oleh Dasar Transformasi Nasional.

5. Dalam tempoh empat tahun yang lepas rakyat Malaysia telah dapat mengalami dan menyaksikan sendiri bagaimana fasa perancangan Prakarsa Transformasi Nasional yang melibatkan Program Transformasi Kerajaan, Ekonomi, Politik dan Sosial telah dilaksanakan seterusnya membuahkan hasil dalam meningkatkan kesejahteraan hidup mereka dan kemakmuran negara.

6. Kerajaan yang ada pada hari ini ialah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan ini ialah kerajaan yang meletakkan kepentingan tuan-tuan dan puan-puan rakyat Malaysia di atas segala-galanya. Kami merupakan kerajaan yang apabila berjanji menepati janji, kami merupakan kerajaan yang apabila diberi amanah akan menjunjung dan memeliharanya. Bukan sikap kami menanam tebu di bibir. Sesungguhnya bukti komitmen kami mampu dinilai serta diukur daripada prestasi dan “Track record” kami sepanjang empat tahun yang lalu.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,

7. Pembubaran ini akan membuka laluan kepada bermulanya proses pilihan raya umum bagi kali yang ketiga belas untuk negara semenjak tahun 1959 iaitu apabila kita mula mengadakan pilihan raya umum pertama pasca merdeka.

8. Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai asas pemerintahan. Kuasa mutlak untuk memilih kerajaan berada di tangan rakyat.

9. Sejarah telah menunjukkan bahawa kebugaran demokrasi Malaysia telah berjaya menyediakan asas yang subur untuk kestabilan dan kemakmuran nasional yang telah dinikmati warganegara ini selama lebih lima dekad.

10. Amalan demokrasi di Malaysia kekal dan berjaya kerana walaupun bersifat sengit dan amat berdaya saing namun pada akhirnya ia berjaya kerana semua pihak menghormati proses dan keputusannya.

11. Saya ingin menyeru agar tradisi ini diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan nasional. Semua parti politik yang memilih untuk terlibat di dalam proses pilihan raya kali ini perlulah bertanggungjawab. Janganlah kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat terhadap parti masing-masing maka ada pihak yang cuba menyemai racun syak wasangka dan seterusnya merosakkan kepercayaan kepada integriti proses pilihan raya yang bakal diadakan.

12. Insaflah dan ambillah iktibar dari apa yang telah berlaku di negara-negara lain di mana taktik ini telah cuba diguna pakai. Kesan akhirnya proses dan keputusan pilihan raya di negara-negara tersebut tidak lagi diyakini dan mana-mana kerajaan yang dipilih termasuk dari parti yang mengamalkan taktik tersebut telah ditolak rakyat. Negara akhirnya menjadi tidak stabil, pelabur hilang keyakinan, kemakmuran nasional merudum dan akhirnya rakyat menderita.

13. Sejarah selama ini telah membuktikan bahawa di Malaysia semenjak merdeka lagi proses pilihan raya yang diadakan bersifat berwibawa, adil dan telus. Kerajaan yang telah dipilih hasil pilihan raya umum sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri ialah kerajaan yang mendapat sokongan serta keyakinan majoriti rakyat sesuai dengan amalan demokrasi sarwajagat.

14. Amalan demokrasi sebagai teras pemerintahan merupakan mekanisme terbaik yang pernah dicipta manusia. Hakikatnya perbezaan pendapat, idea dan pandangan bukannya penyebab malapetaka atau punca perpecahan malah jika ditangani dan diurus secara baik sejarah telah menunjukkan ia mampu mendatangkan rahmat yang akan membahagiakan rakyat dan memajukan negara.

15. Marilah kita sama ada parti kerajaan mahupun parti pembangkang memberikan komitmen untuk memelihara keutuhan proses demokrasi dan menghormati keputusan yang akan dibuat oleh rakyat. Marilah kita sama-sama berdoa agar pilihan raya ini akan berjalan dengan lancar, aman dan selamat.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

16. Saya ingin memberi jaminan bahawa kerajaan yang ada akan meneruskan tugas dan tanggungjawabnya sesuai dengan prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sehingga selesai proses pilihan raya.

17. Saya juga ingin menyeru di samping memberi jaminan kepada semua rakyat Malaysia serta parti politik yang terlibat, bahawa jika berlaku sebarang peralihan kuasa sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri ia akan dan perlu berlangsung secara aman dan tertib. Inilah iltizam kita dalam menjunjung prinsip demokrasi, inilah tekad kita dalam menggerakkan transformasi politik, inilah komitmen kita dalam menghormati suara dan mendahulukan kepentingan rakyat.

18. Kepada semua rakyat Malaysia terutamanya yang tinggal di Pantai Timur Sabah janganlah bimbang dan takut. Laksana dan tunaikanlah tanggungjawab tuan-tuan dan puan-puan sebagai warganegara Malaysia, pihak keselamatan negara akan menjalankan tugas mereka untuk memastikan persekitaran yang selamat untuk tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

19. Setiap undi tuan-tuan dan puan-puan adalah penting, jangan bazirkan ia, janganlah dipertaruhkan masa depan anak-anak dan negara Malaysia. Fikir dan renungkanlah dengan sebaik-baiknya sebelum membuat keputusan, ini kerana undi saudara dan saudari akan menentukan bukan sahaja hala tuju negara dan negeri tetapi juga untung nasib anak cucu kita semua.

20. Dalam pilihan raya ini tuan-tuan dan puan-puan bukan sahaja bertanggungjawab memilih wakil saudara dan saudari bagi setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tetap juga memilih kerajaan yang akan mendukung aspirasi tuan-tuan dan puan-puan.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

21. Saya berdiri di sini dengan penuh rasa tawaduk dan terhormat kerana diberi kepercayaan untuk mengkhidmati tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Saya dan rakan-rakan amat menghargai dan menjunjung tinggi kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat dan akan memberikan yang terbaik demi untuk Malaysia dan warganya.

22. Di sini saya selaku Ketua Kerajaan Barisan Nasional ingin merakamkan rasa penghargaan dan ucapan kasih kepada rakyat Malaysia kerana telah memberi kepercayaan kepada kami Kerajaan Barisan Nasional untuk menerajui kepimpinan negara semenjak lima tahun yang lepas. Mulai hari ini saya dan rakan-rakan kepimpinan BN akan turun dan bertemu rakyat di seluruh pelosok negara bagi meyakinkan warga Malaysia kenapa kami BN perlu diberi peluang kembali untuk membentuk kerajaan dengan majoriti yang kukuh.

23. Kami akan menggunakan mandat kukuh yang diberi, Insyaallah untuk melipatgandakan lagi usaha bagi melakar masa depan yang lebih baik, yang lebih bermakna, yang lebih sejahtera untuk saudara dan saudari serta anak cucu kita semua. Ayuh teruskan perjalanan kebangsaan untuk mencapai wawasan nasional ke arah Malaysia yang maju dan berpendapatan tinggi. Ingatlah pencapaiannya bukan secara automatik ia memerlukan kita melipatgandakan usaha dan meneruskan kesinambungan kejayaan yang ada.

24. Marilah kita bersama-sama berganding bahu, berpimpin untuk menjadikan impian ini sebuah realiti, Malaysia yang maju, makmur dan selamat, penuh dengan peluang serta sarat harapan bagi semua. Demi Malaysia, usaha bakti kita curah, kepada Tuhan kita berserah.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

Parlimen Dibubar Hari Ini

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menandatangani warkah yang dipersembahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) bagi memohon perkenan baginda untuk pembubaran Dewan Rakyat di Istana Negara di sini hari ini
PETALING JAYA: Parlimen Malaysia penggal ke-12 dibubar secara rasmi pada Rabu bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) diadakan.

Pembubaran berkenaan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi ucapan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen kira-kira pukul 11.30 pagi.

Menurut Najib, pembubaran berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ketika beliau menghadap baginda awal pagi Rabu.

"Pada pagi ini saya telah pun menghadap Yang Di-Pertuan Agong dan menyembah warkah kepada baginda memohon perkenan supaya Parlimen ke-12 dibubarkan pada hari ini.

"Sehubungan itu selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, baginda telah pun memperkenankan agar Parlimen ke-12 dibubarkan berkuat-kuasa hari ini," katanya.

Beliau sebelum itu mempengerusikan mesyuarat Kabinet terkahir di Putrajaya.

Pada sidang media khas itu juga Perdana Menteri meminta semua ketua kerajaan negeri mendapatkan perkenan daripada ketua negeri masing-masing bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri.

"Saya menasihatkan kepada ketua-ketua kerajaan negeri yang berkenaan untuk menghadap ketua-ketua negeri mereka bagi mendapatkan perkenan pembubaran DUN masing-masing agar pilihan raya umum dapat diselaraskan secara serentak seluruh negara," katanya.

Sementara itu Najib turut menasihatkan semua parti politik yang akan bertanding pada PRU akan datang supaya mengamalkan prinsip demokrasi demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan nasional.

"Semua parti politik yang memilih untuk terlibat di dalam proses pilihan raya kali ini perlulah bertanggungjawab. Janganlah kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat terhadap parti masing-masing maka ada pihak yang cuba menyemai racun syak wasangka dan seterusnya merosakkan kepercayaan kepada integriti proses pilihan raya yang bakal diadakan.

"Insaflah dan ambillah iktibar dari apa yang telah berlaku di negara-negara lain di mana taktik ini telah cuba diguna pakai. Kesan akhirnya proses dan keputusan pilihan raya di negara-negara tersebut tidak lagi diyakini dan mana-mana kerajaan yang dipilih termasuk dari parti yang mengamalkan taktik tersebut telah ditolak rakyat. Negara akhirnya menjadi tidak stabil, pelabur hilang keyakinan, kemakmuran nasional merudum dan akhirnya rakyat menderita," katanya.