Ahad, 5 April 2015

Henti spekulasi berhubung nahas helikopter

Orang ramai diminta menghentikan sebarang spekulasi berhubung nahas helikopter awam yang terhempas di Kampung Sungai Pening di Semenyih, petang semalam, sebagai menghormati keluarga mangsa.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata tindakan segelintir pengguna media sosial yang membuat pelbagai spekulasi termasuk mengaitkan kejadian itu dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) oleh kerajaan adalah sesuatu yang tidak wajar.

"Ada yang menyatakan (pengguna media sosial) kejadian itu adalah balasan Allah SWT kerana kita (kerajaan) melaksanakan CBP dan zalim kepada orang miskin.

"Jangan buat cerita tidak baik daripada kejadian itu. Ia langsung tidak mempunyai kaitan dengan CBP dan hanya akan mengguriskan perasaan anggota keluarga," katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan CBP di restoran makanan segera KFC Cawangan Simpang Renggam, di sini, hari ini.

Nahas helikopter AS365N2 Dauphin itu mengorbankan kesemua enam orang di dalamnya iaitu Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia yang juga bekas menteri Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, juruterbang Kpt Clifford William Fournier, pembantu operasi Aidana Baizieva, Pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran dan usahawan Datuk Tan Huat Seang.

Najib, Muhyiddin Ziarah Keluarga Allahyarham Jamaluddin Jarjis

 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menziarahi keluarga Allahyarham Tan Dr Jamaluddin Jarjis di The Mines, Seri Kembangan, Selangor, seorang daripada enam mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Sabtu.

Najib yang berpakaian baju Melayu serba putih, tiba pada pukul 12.20 tengah hari, bersama-sama isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, anak perempuannya Nooryana Najwa, dan menantunya Daniyar Kessikbayev.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menziarahi anggota keluarga Allahyarham Jamaluddin.

Turut berangkat Sultanah Pahang, Sultanah Hajah Kalsom dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Khamis, 2 April 2015

UMNO dan PRU 14 - Oleh Tun M

1. Ramalan oleh masyarakat sekarang ialah UMNO dan BN akan kalah Pilihanraya Umum ke-14 kerana terlalu banyak tuduhan yang dibuat terhadap Najib yang tidak dijawab olehnya.

2. Ia bermula dengan kes pembunuhan Altantuya, wanita Mongolia yang terlibat dengan skandal pembelian kapal selam.

3. Dua orang anggota polis dituduh menembak mati wanita berkenaan, dibicara, didapati bersalah, kemudian didapati tidak bersalah dan dibebaskan. Kemudian dibicara semula dan dikena hukum bunuh.

4. Seorang daripada mereka berada dalam tahanan tetapi Sirul seorang lagi berada di Australia. Dia membuat kenyataan bahawa dia diarah untuk membunuh.

5. Rakyat tertanya-tanya siapa yang memberi arahan. Sebagai pengawal peribadi Dato Sri Najib, dakwaan Sirul perlu disiasat untuk menentukan siapa yang memberi arahan. Tetapi selain daripada Najib berkata Sirul “merepet”, tidak ada siasatan yang dibuat. Ini adalah nyawa manusia. Amatlah zalim jika Sirul dibunuh kerana menjalankan arahan.


6. Kemudian kes 1MDB. Tuduhan penyelewengan dalam urusan wang berbillion Ringgit oleh Jho Low telah dibuat dengan bukti-bukti yang jelas. Tuduhan ini tidak dijawab selain dari berkata ia adalah pembohongan.

7. Kononnya aset 1MDB berjumlah 52 billion sedangkan hutang hanya 42 billion. Aset tidak jadi keuntungan sebelum dijual (dicairkan). Kenapa untuk membayar faedah sebanyak 2 billion pun terpaksa hutang dari Ananda Krishnan. Kalau 1MDB tidak rugi kenapa terpaksa hutang. Kenapa wang Kerajaan sebanyak 1 billion diberi kepada 1MDB setelah hutang dibayar?

8. Kononnya wang yang disimpan di Cayman Island sudah dibawa balik. Tetapi separuh disimpan dalam bank Swiss (BSI) di Singapura. Di mana pergi separuh lagi dari 6 billion? Kenapa wang ini tidak diguna untuk bayar faedah 2 billion.

9. Kononnya disimpan di Singapura kerana Bank Negara akan menyoal simpanan lebih dari 50 juta. Jikalau duit itu duit kita yang hanya disimpan di Cayman, apa masalahnya menjelaskan kepada Bank Negara punca wang itu. Lagi pun duit ini dimiliki oleh 1MDB yang dikuasai penuh oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.

10. Soalan-soalan lain berkenaan 1MDB tidak dijawab selain daripada berkata asetnya besar. Soal harga tanah Kerajaan yang dibeli oleh 1MDB tidak dijelas. Sudah tentu jika dibeli dengan harga yang murah dan dinaik nilai berkali ganda, aset ini menjadi besar. Tetapi Kerajaan rugi banyak dengan tanah miliknya dijual dengan harga yang tidak mencermin harga pasaran.

11. US$700 juta dibayar kepada Petro Saudi untuk apa? Sudahkah ditentukan Petro Saudi memiliki konsesi kawasan minyak dan gas di Argentina dan Turkmenistan sebelum membayar wang yang begitu banyak.
 
12. Jho Low dilapor dalam New York Times, London Times dan Sarawak Report terlibat dalam pengurusan berbillion Ringgit duit 1MDB. Siapa dianya Jho Low yang begitu dipercayai oleh Dato Sri Najib. Pegawai Malaysia yang dilantik mengurus dana 1MDB mengaku mereka diarah oleh Jho Low yang mendakwa ia mendapat kepercayaan penuh dan arahan dari Dato Sri Najib.

13. Gambar-gambar Jho Low dan kelakuannya, umurnya yang amat muda serta cara hidupnya tidak menggambarkan peribadi yang menyakinkan orang ramai. Tetapi dia dilapur membeli rumah di New York dan Hollywood beratus juta Ringgit. Kemudian rumah-rumah ini dijual kepada anak tiri Najib dengan harga ratusan juta Ringgit bagi setiap satu kerana kononnya Jho Low telah jumpa rumah yang lebih indah di Hollywood yang harganya lebih tinggi.

14. Dari mana datangnya duit beratus juta kepada Riza Aziz tidak dapat dijelas. Keluarga Tun Razak termasuk Najib menafikan duit ini adalah dari keluarga. Pelaburan ratusan juta dalam filem “Wolf of Wall Street” oleh Riza datang dari mana?

15. Dan banyaklah lagi tuduhan dan soalan terhadap 1MDB yang ditubuh oleh Dato Sri Najib dan dikuasai sepenuh olehnya sebagai penasihat yang tidak dijelas dan dijawab selain dari menafi dan mendakwa semuanya bohong belaka. Laporan-laporan dalam akhbar di New York dan London amat memalukan negara.

16. Sementara itu, walaupun Kerajaan menghadapi kekurangan wang yang besar dan terpaksa hutang, Dato Sri Najib sebagai Perdana Menteri membeli sebuah lagi pesawat mewah. Umum mengetahui pesawat ACJ319 yang sedia ada diguna bukan sahaja untuk tugas rasmi tetapi sebagai kenderaan peribadi untuk Dato Sri dan Datin Sri.

17. Dalam keadaan ekonomi tidak menentu, dalam keadaan rakyat terpaksa bayar cukai yang lebih tinggi, dalam keadaan nilai Ringgit yang menurun teruk, dalam keadaan kos sara hidup meningkat dan rakyat dilanda banjir dan kehilangan ratusan juta Ringgit, Kerajaan membazirkan wang ratusan juta untuk pesawat mewah walaupun sudah ada pesawat-pesawat milik Kerajaan.

18. Cara pembelian tidak dapat menyembunyi bahawa akhirnya Kerajaan terpaksa menanggung beban pembelian ini. Jika syarikat bukan Kerajaan yang secara rasmi membeli, bayaran melalui lease (sewa) lebih tinggi daripada belian secara langsung kerana terpaksa memberi keuntungan kepada pemilik dan faedah yang dimasukkan.

19. Selain daripada ini dasar-dasar pemerintahan Dato Sri Najib terhad kepada pemberian wang percuma, menimbul kemarahan orang Melayu dengan mengenepikan Dasar Ekonomi Baru kerana ingin mendapat sokongan orang Cina. Namun penolakan BN dalam PRU 13 membuktikan orang Cina tolak pemerintahan Najib.

20. Sesungguhnya rakyat, baik Melayu, Cina, India atau suku kaum Sabah dan Sarawak sudah tidak percaya lagi kepada Dato Sri Najib. Ahli UMNO dan pemimpinnya perlu sedar bahawa UMNO dan dengan itu BN akan kalah jika Dato Sri Najib memimpin UMNO hingga PRU 14. Apabila UMNO kalah, orang Melayu akan kutuk kepimpinan yang menjadikan parti keramat ini begitu lemah sehingga ditolak oleh bangsa Melayu sendiri. Sekali UMNO kalah, ia tidak akan dapat dipulih semula.

21. Ramai juga ahli dan pemimpin UMNO yang setia secara buta tuli kepada pemimpin. Saya juga setia tetapi kesetiaan saya ialah kepada parti dan orang Melayu yang diwakili olehnya. Bukanlah mudah bagi saya menulis blog ini. Tetapi demi bangsa dan Negara saya terpaksa dedah semua ini.

22. Saya belum nyanyok walaupun umur hampir 90 tahun. Sesiapa yang berkata saya nyanyok sebenarnya menipu diri.

23. Melayu hanya akan selamat jika bersikap bangsa lebih utama daripada diri sendiri.

Kerajaan timbang cadangan buka kaunter aduan GST di tempat awam

Kerajaan akan menimbang cadangan membuka kaunter aduan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di tempat-tempat awam bagi memudahkan pengguna.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata cadangan itu akan dibincang secepat mungkin bagi menyelesaikan rungutan pengguna yang mahukan lebih banyak akses membuat aduan GST.

"Itu cadangan yang sangat baik. Saya akan terus bawa ke mesyuarat dengan pihak kastam (Jabatan Kastam Diraja Malaysia) dan KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) supaya kaunter-kaunter ini boleh dibuka di pusat beli-belah dan mana-mana tempat awam yang sesuai," katanya dalam kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini, Khamis.

Pelaksanaan GST pada kadar enam peratus, bermula semalam, adalah bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan.

Sementara itu, Ahmad menafikan laporan akhbar yang menggambarkan situasi panik dan kelam kabut pada hari pertama pelaksanaan GST.

Katanya, kira-kira 800 laporan berkenaan GST yang diterima semalam adalah rendah jika dibandingkan dengan kira-kira 15 juta pengguna di Malaysia. -- BERNAMA

Shahidan sifatkan ADUN pembangkang Perak biadab

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun)pembangkang berpakaian serba hitam pada Istiadat Pembukaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Selasa lepas sebagai biadab.

Beliau berkata pembangkang boleh melakukan protes di luar dewan jika tidak bersetuju dengan sesuatu perkara tetapi adalah tidak wajar ia dilakukan semasa dalam persidangan DUN.

"Mereka sebut 'Dewan Yang Mulia' tapi mereka tidak muliakan dewan dengan sikap mereka, melakukan sesuka hati dengan berpakaian hitam.

"Persidangan dalam dewan kena ikut etika, ini bukan dewan bawah pokok jambu, bawah pokok ceri, mereka boleh buat sesuka hati," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Khamis.

Beliau mengulas tindakan Adun pembangkang yang berpakaian serba hitam pada Istiadat Pembukaan Dewan Undangan Negeri Perak, yang turut dihadiri Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Semalam, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata Sultan Nazrin murka dengan tindakan Adun pembangkang itu sehingga menyebabkan baginda menitahkan mereka untuk tidak menghadiri sesi bergambar dan majlis santapan.

Shahidan yang juga anggota Parlimen Arau berkata selain daripada mematuhi etika berpakaian, Adun juga perlu menjaga percakapan sebagai menunjukkan mereka menghormati dewan.

"Pakaian untuk hadir ke dewan mestilah pakaian yang dibenarkan. Speaker berhak mengeluarkan sesiapa (daripada dewan) yang berpakaian di luar ketentuannya," katanya.-- BERNAMA

Empat letupan bom gegar bandar Pattani

PATTANI (Selatan Thailand) Pattani digegarkan lagi dengan kejadian empat letupan bom serentak menyebabkan seorang awam cedera parah.

Ketua Polis Daerah Muang Pattani, Pol Col Kirati Waeyusuf berkata, letupan berlaku pukul 2 pagi Khamis di kawasan pekan dengan sasaran adalah syarikat peniagaan dan bekalan elektrik.

Letupan hanya beberapa jam selepas kerajaan Perdana Menteri, Jen Prayuth Chan-Ocha membatalkan penguatkuasaan undang-undang tentera dan menggantikannya dengan Artikel 44 Perlembagaan Sementara yang memberi kuasa mutlak kepada Majlis Keselamatan Kebangsaan untuk Keamanan dan Ketenteraman (NCPO) yang diketuai Prayuth mengeluarkan arahan dan perintah.

Bom pertama meletup hadapan bilik pameran syarikat kereta Isuzu yang menyebabkan cerminnya pecah dan tiga buah kereta rosak juga merosakkan 10 premis perniagaan lain.

Bom kedua meletup di hapadan bilik pameran motosikal, 30 meter daripada kawasan letupan pertama yang menyebabkan lima buah motosikal dan sebuah kereta rosak.

Bom ketiga meletus hadapan kedai menjual minumn keras di Jalan Yarang yang menyebabkan cerminnya pecah, sebuah kereta dan tiga buah rumah rosak.

Manakala letupan bom keempat berlaku tepi tiang elektrik yang mengakibatkan lima tiang elektrik tumbang dan bekalan elektrik di bandar Pattani terputus selama 30 minit.

Ia mencederakan seorang orang awam apabila tiang elektrik tumbang ke atas motosikalnya.

Pihak polis percaya mereka yang melakukan kesemua serangan itu tidak kurang daripada 10 orang.
--BERNAMA

Fenomena gerhana bulan penuh Sabtu ini

Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh pada 4 April ini, satu-satunya gerhana bulan yang dapat dilihat di Malaysia pada tahun ini.

Mengikut satu kenyataan yang dikeluarkan Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) di sini pada Isnin, fasa fenomena tersebut bermula pada 5.01 petang, iaitu bulan memasuki bayang-bayang penumbra.

Kemuncak gerhana berlaku pada 8 malam dan fenomena itu berakhir pada 10.59 malam, iaitu bulan keluar dari bayang-bayang penumbra.

Menurut kenyataan itu, di Sabah, bulan akan terbit lebih awal berbanding di semenanjung iaitu sekitar 6 petang dan untuk itu penduduk di Sabah dapat menyaksikan fenomena tersebut bermula dari fasa separa sehingga tamat keseluruhan gerhana.

"Di semenanjung pula, bulan hanya akan terbit sekitar 7.20 malam dan ini bermakna fasa gerhana bulan penuh bermula sejurus selepas bulan terbit," menurut kenyataan berkenaan.

Lokasi terbaik untuk melihat fenomena tersebut adalah di kawasan yang paling timur dengan ufuk yang tidak terlindung.

Sehubungan itu, ANGKASA dan Jabatan Mufti Selangor akan mengadakan program pencerapan bulan dan planet Musytari, melihat bintang Sirus dan buruj Belantik (Orion) di perkarangan Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Selangor.

Selain itu, ANGKASA juga akan membawa Mini Planetarium bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menonton tayangan filem pendek astronomi secara percuma.

Untuk mendapatkan perkembangan terkini tentang fenomena tersebut, orang ramai boleh melayari laman sesawang, Facebook dan Twitter: Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) atau hubungi talian 03-22734403/5484. -- BERNAMA