Jumaat, 10 Oktober 2025

Pembebasan Peserta Global Sumud Flotilla dan Kezaliman yang Dilihat

GLOBAL Sumud Flotilla (GSF) adalah misi kemanusiaan antarabangsa, melibatkan lebih 40 kapal dan sekitar 500 sukarelawan dari lebih 40 negara. Objektif utama flotilla ini membawa bekalan makanan dan perubatan ke Jalur Gaza, yang kini berada di bawah sekatan ketat Israel. Flotilla bukan misi bersenjata, bukan misi keganasan. Pesertanya adalah doktor, peguam, aktivis hak asasi, Ahli Parlimen dan pertubuhan bukan kerajaan. Mereka mahu memecah sekatan yang dianggap sebagai penyebab penderitaan berpanjangan rakyat Palestin. Israel, melalui angkatan lautnya telah mencegah flotilla ini dalam perairan antarabangsa. Kapal-kapal dihalang dan semua peserta ditahan tanpa sebarang alasan. Beberapa laporan menyebut peserta yang ditahan telah dipindahkan ke pelabuhan Ashdod, kemudian ke Kem Tahanan Ktziot. Turut dilaporkan ialah keadaan yang mengecewakan: peserta mendakwa mereka tidak diberikan rawatan perubatan sewajarnya, ada yang dihalang akses kepada ubat, air, makanan dalam tempoh penahanan. Beberapa orang menyatakan mereka dipaksa berlutut, memakai zip tie, ditahan lama tanpa wakil undang-undang. Namun, seperti biasa, Israel menafikan tuduhan ini, malah mendakwa dengan sandiwara bahawa ‘hak-hak peserta dipelihara dan proses undang-undang dipatuhi’. Banyak negara mengutuk tindakan rejim zionis Israel ini. Malaysia secara khusus menuntut pembebasan segera dan tanpa syarat semua peserta flotilla, termasuk rakyat Malaysia. Pertubuhan hak asasi manusia, NGO antarabangsa dan kumpulan pekerja antarabangsa juga memberi tekanan. International Transport Workers’ Federation (ITF) menegaskan, penahanan dan penyekatan flotilla adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa dan menyeru agar semua aktivis dibebaskan segera. Reaksi dunia Islam dan negara Arab turut memberi tekanan, selain kenyataan dari dari Palang Merah, PBB, UNICEF bahawa blokade bantuan dan penggunaan kelaparan sebagai senjata adalah pelanggaran hak asasi manusia dan mungkin jenayah perang. Walaupun flotilla adalah usaha simbolik dan praktikal membawa bantuan, realitinya keadaan di Gaza sangat parah. Beberapa fakta yang perlu kita sedari: Ribuan trak bantuan termasuk trak perubatan dihalang dari memasuki Gaza, menyebabkan kekurangan ubat-ubatan, vaksin, bahan pembalut dan bekalan asas seperti bahan untuk air bersih. Berpuluh-puluh kemudahan kesihatan rosak atau tidak dapat beroperasi sepenuhnya akibat serangan serta kekurangan sumber. Rakyat Gaza, termasuk kanak-kanak mengalami kerawanan nutrisi yang tinggi, dan risiko penyakit berjangkit meningkat apabila bekalan air bersih dan sanitasi terganggu. Penutupan laluan bantuan, tindakan menyekat bekalan makanan, ubat, bahan bakar dan air dilihat sebagai bentuk hukuman kolektif yang dilarang oleh undang-undang perang antarabangsa. Ada beberapa elemen undang-undang antarabangsa yang dianggap telah dilanggar: 1. Konvensyen Geneva Keempat (Fourth Geneva Convention) — melindungi hak warga awam semasa perang, termasuk hak kepada bantuan kemanusiaan. 2. Protokol Tambahan dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang melarang penggunaan kelaparan sebagai senjata perang. 3. Hak asasi manusia asas — termasuk hak untuk hidup, hak kepada rawatan perubatan, makanan yang cukup, perlindungan dari penderaan atau layanan yang merendahkan martabat manusia. Tindakan yang menghalang bekalan perubatan dan membiarkan orang sakit tanpa rawatan adalah bentuk pengabaian terhadap tanggungjawab ini. Tindakan Israel dalam menghalang dan menahan flotilla yang membawa bantuan asas amatlah menyedihkan dan memilukan. Ada beberapa unsur rasa kecewa dan marah: Kezaliman yang dilihat bukan sahaja fizikal, tetapi juga psikologi — rakyat Palestin, dan mereka yang cuba membantu, dihantar ke dalam situasi di mana hak mereka dinafikan. Di satu pihak Israel mendakwa keselamatan dan kawalan adalah alasan; di pihak lain bantuan itu adalah soal kemanusiaan yang tidak boleh dipolitikkan. Apabila manusia tidak bersenjata, datang membawa ubat dan makanan, disekat, ditahan atau diperlakukan tidak wajar, ini mencerminkan kegagalan kemanusiaan antarabangsa. Walau terdapat tuntutan pembebasan segera tanpa syarat, realitinya prosesnya rumit: Pihak berkuasa Israel menyatakan beberapa orang akan dipulangkan atau dideportasi ke negara ketiga. Kebanyakan negara pengirim dan kerajaan asing telah mengadakan perbincangan diplomatik besar-besaran untuk memastikan keselamatan rakyat mereka dan membolehkan pertolongan konsular. Bagaimanapun, kebebasan dan keselamatan mereka bergantung kepada tekanan diplomatik, liputan media antarabangsa, kesedaran awam, dan pemantauan hak asasi manusia. Dari segi tindakan kekerasan, isolasi kemanusiaan, penyekatan bekalan asas, penahanan aktivis kemanusiaan, semua ini memunculkan pertanyaan: adakah tindakan ini seimbang dengan prinsip-prinsip asas kemanusiaan dan undang-undang perang? Apakah pembenaran moral dan undang-undang bagi menahan orang awam yang membawa bantuan? Adakah sekatan dan penyekatan, terutama terhadap ubat, makanan, bahan api dan air, melebihi apa yang dibenarkan oleh undang-undang antarabangsa? Apakah tindak balas masyarakat antarabangsa cukup kuat? Selama ini banyak kenyataan dibuat tetapi adakah tindakan konkrit seperti undang-undang antarabangsa, mahkamah, pemboikotan, sanksi, atau diplomasi yang berhasil? Bagaimana sekatan kemanusiaan terhadap warga awam di Gaza telah memicu penderitaan besar; Bagaimana bantuan kemanusiaan, yang sepatutnya menjadi hak asas manusia, boleh dihalang oleh kuasa yang lebih besar — dan bagaimana undang-undang antarabangsa diuji. Bagaimana komuniti antarabangsa, termasuk rakyat Malaysia, NGO, organisasi kesihatan, dan negara-negara sahabat, mempunyai tanggungjawab moral dan politik untuk mendesak pembebasan semua peserta flotilla dan memastikan bantuan sampai kepada yang memerlukan. Sekiranya kita harapkan pembebasan, ia bukan saja membawa kelegaan kepada peserta flotilla, tetapi juga memberi mesej kepada dunia bahawa tindakan yang menindas rakyat yang tidak bersalah tidak boleh diterima. Pembebasan peserta harus disusuli dengan keizinan terbuka bagi masuknya bantuan kemanusiaan yang mencukupi ke Gaza, tanpa sekatan yang menjadikan penderitaan rakyat sebagai senjata. – ND 06 Okt 2025

Zionis dan Politik Pembohongan: Antara Naratif Palsu dan Realiti di Gaza

DALAM sejarah konflik moden, sukar untuk mencari satu entiti yang begitu konsisten menggunakan penipuan, manipulasi fakta dan propaganda sebagai alat kelangsungan politik seperti yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel. Bagi pemerhati yang mengikuti perkembangan di Palestin sejak berdekad lalu, corak ini bukan sesuatu yang mengejutkan. Malah, ia telah menjadi sebahagian daripada ‘strategi pertahanan’ Israel – menundukkan kebenaran demi membentuk naratif yang mengabsahkan kekejaman mereka. Terbaharu, dunia sekali lagi menyaksikan bagaimana rejim Zionis sanggup memutarbelitkan fakta secara terang-terangan apabila mendakwa konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) tidak membawa sebarang bantuan kemanusiaan ke Gaza. Tuduhan ini digunakan sebagai alasan untuk menahan para peserta konvoi, yang melibatkan aktivis kemanusiaan antarabangsa, petugas perubatan dan sukarelawan, tanpa asas yang sah di sisi undang-undang antarabangsa. Realitinya, dokumentasi misi GSF jelas menunjukkan kapal-kapal yang terlibat membawa pelbagai bentuk bantuan kritikal: bekalan perubatan, makanan kering, susu bayi, peralatan kesihatan dan keperluan asas yang amat diperlukan oleh penduduk Gaza. Sejak berbulan lamanya, Gaza telah dikepung dan dijadikan medan penderitaan manusia paling parah di abad ini, hasil sekatan berterusan Israel dan sekutunya. Misi GSF bukanlah satu tindakan provokatif, tetapi sebahagian daripada inisiatif global untuk menamatkan pengepungan tidak berperikemanusiaan yang telah berlangsung selama hampir dua dekad. Namun, seperti yang sering berlaku, Israel cuba memesongkan naratif dengan menggambarkan inisiatif damai ini sebagai satu bentuk ancaman kepada keselamatan mereka. Apa yang dilakukan terhadap GSF bukan insiden terasing. Ia merupakan lanjutan daripada pendekatan sistematik rejim Zionis dalam menjustifikasikan tindakan kejam melalui naratif palsu. Sepanjang serangan ke atas Gaza yang semakin kerap sejak Oktober 2023, Israel berulang kali mendakwa bahawa hospital, sekolah, pusat pelarian dan kem penempatan menjadi lokasi persembunyian pejuang Hamas. Tanpa sebarang bukti konkrit, lokasi-lokasi ini dibedil, mengorbankan puluhan ribu nyawa rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak. Taktik ini berfungsi dalam dua hala: pertama, sebagai percubaan untuk mendapatkan ‘lampu hijau’ daripada masyarakat antarabangsa, terutama negara-negara Barat; dan kedua, untuk membentuk persepsi bahawa setiap tindakan Israel adalah ‘tindakan pertahanan’, walaupun hakikatnya ia adalah bentuk pelanggaran hak asasi manusia yang terang-terangan. Dakwaan bahawa GSF tidak membawa bantuan adalah ironis, kerana ia datang daripada negara yang selama ini menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza, termasuk bantuan yang dihantar melalui agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu seperti UNRWA. Rejim Zionis bukan sahaja menyekat bantuan, malah turut menyerang konvoi bantuan dan kem pelarian yang dilindungi oleh undang-undang antarabangsa. Lebih membimbangkan, taktik ini semakin berkesan apabila banyak media arus perdana antarabangsa masih gagal untuk menyoal naratif Israel secara kritikal. Dengan kawalan naratif melalui media, diplomasi dan lobi politik, rejim Zionis berjaya mengekalkan imej ‘berhak mempertahankan diri’ walaupun setiap tindakannya bertentangan dengan norma kemanusiaan sejagat. Dalam era maklumat, kebenaran sepatutnya mudah dicapai. Namun, konflik di Palestin membuktikan kuasa yang menguasai naratif boleh menentukan persepsi umum walaupun realiti di lapangan menunjukkan sebaliknya. Inilah sebabnya mengapa pembohongan dan manipulasi menjadi ‘senjata’ penting dalam arsenal politik Israel. Melalui penipuan bersiri ini, rejim Zionis cuba memadamkan fakta sejarah pencerobohan, penindasan dan pendudukan yang telah berlaku sejak 1948. Mereka ingin dunia lupa bahawa penubuhan Israel itu sendiri berdiri atas pengusiran besar-besaran rakyat Palestin daripada tanah air mereka, satu tragedi yang dikenali sebagai Nakbah. Kebisuan dunia terhadap pembohongan ini adalah bentuk pengkhianatan terhadap prinsip keadilan dan kemanusiaan. Komuniti antarabangsa, termasuk pertubuhan-pertubuhan antarabangsa, kerajaan-kerajaan berdaulat dan media global, mesti berhenti menjadi alat yang membantu menyebarkan naratif palsu Israel. Setiap dakwaan yang dibuat perlu diteliti, disiasat dan jika terbukti palsu, didedahkan secara terbuka. Media bebas, aktivis hak asasi, pertubuhan bukan kerajaan dan individu-individu berprinsip mempunyai peranan yang besar untuk membongkar kebenaran dan menegakkan keadilan. Dunia tidak boleh terus menjadi penonton yang pasif terhadap kezaliman yang diselindungi di balik propaganda politik. Setiap pembohongan yang disusun rapi oleh rejim Zionis hanya akan membina tembok rapuh yang menanti masa untuk runtuh. Kebenaran tidak akan kekal tersembunyi. Selagi ada suara yang berani bersuara, pena yang tidak tunduk, dan hati yang masih hidup dengan nurani, pembohongan ini akan terus dicabar. Apa yang berlaku terhadap misi Global Sumud Flotilla hanyalah satu episod terkini dalam sejarah panjang penipuan dan penindasan Israel terhadap Palestin. Namun, ia juga menjadi satu lagi titik tolak penting untuk membangkitkan kesedaran global bahawa rejim ini tidak boleh dibiarkan terus bermaharajalela tanpa pertanggungjawaban. Kini, tanggungjawab itu berada di tangan dunia. – ND 04 Okt 2025

“Mereka Tidak Pergi Untuk Populariti, Mereka Pergi Kerana Kemanusiaan”

KHABAR mengenai semua kapal dan peserta Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan oleh tentera Zionis Israel semalam, pastinya mengundang pelbagai reaksi. Ada yang bersedih, ada yang marah dan paling malang, tidak kurang juga yang memperlekehkan usaha murni ini. “Sudah tahu bahaya, kenapa pergi?” “Buat kerja sia-sia saja, Israel takkan lepaskan.” “Nak populariti la tu, masuk berita.” Inilah antara komen sinis yang kini membanjiri media sosial. Bacaan sebegini bukan saja menyakitkan hati, malah memperlihatkan betapa dalam masyarakat kita, masih wujud kelompok yang memandang perjuangan dari sudut sempit, skeptikal dan penuh prejudis. Perlu difahami, GSF bukan pelayaran kosong tanpa arah. Ia adalah satu inisiatif global yang disertai oleh aktivis kemanusiaan dari pelbagai negara, termasuk Malaysia, Turki, Jordan, Algeria, Indonesia dan lain-lain. Tujuannya adalah untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan secara terus ke Gaza, melalui laut, sebagai satu cara menolak dasar sekatan haram Israel ke atas Palestin. Mereka tahu risikonya. Mereka tahu sejarah misi-misi flotilla terdahulu, termasuk tragedi Mavi Marmara pada 2010, tapi mereka tetap pergi, kerana mereka sedar, diam itu juga satu bentuk normalisasi terhadap kezaliman. Jika kita tidak bersama mereka, jangan kita mudah menghukum. Mereka yang menyertai GSF bukan calang-calang orang. Ada doktor, sukarelawan, aktivis masyarakat, ilmuan dan pemimpin NGO. Mereka tinggalkan keselesaan hidup semata-mata untuk berlayar ke zon konflik, bukan untuk populariti, tetapi untuk membawa suara rakyat Gaza ke hadapan dunia. Justeru, tanya pada diri kita, apa yang kita lakukan untuk Gaza selama ini? Jika hanya sekadar “scroll” berita dan “like” satu dua posting, apakah kita cukup layak untuk mencerca dan mencemuh mereka yang benar-benar bertindak? Ya, benar. Misi ini ditahan. Kapal tidak sampai ke Gaza. Tapi adakah itu bermaksud misi mereka gagal? Tidak. Malah, setiap kali flotilla dihentikan secara paksa, ia membongkar wajah sebenar rejim Zionis yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa. Ia membuka mata dunia bahawa sebuah negara penjajah sanggup menyerang misi kemanusiaan tanpa sebarang rasa malu. Perjuangan bukan semata-mata soal berjaya atau gagal. Ia adalah soal keberanian untuk melawan ketidakadilan, walaupun tahu mungkin kita kalah di medan dunia, tetapi menang di sisi Tuhan. Tiada siapa melarang kita untuk tidak bersetuju dengan pendekatan flotilla. Tetapi bezakan antara tidak setuju dan mencaci. Bezakan antara berbeza pandangan dan merendahkan perjuangan. Kalau kita tidak mampu menyertai, tidak mengapa. Kalau kita tidak mampu menyumbang wang, tidak mengapa. Tapi jangan kita menyumbang cercaan. Jangan kita jadi golongan yang hanya tahu mengutuk dari tepi. Mereka sedang buat sesuatu. Kita pula? Tugas kita adalah doa, sokong dan didik. Kepada yang membaca ini, marilah kita muhasabah. Dunia hari ini sedang menyaksikan penderitaan yang amat dahsyat di Gaza. Ribuan terbunuh. Hospital musnah. Anak-anak yatim merata. Apa yang kita mampu buat? Jika tak mampu turun ke medan, doakanlah. Jika tak mampu beri bantuan, sebarkan kesedaran. Jika tak mampu jadi suara, jangan pula jadi pembunuh semangat. Kerana dalam perjuangan, bukan semua kita ditakdirkan berada di hadapan. Tapi kita semua ditakdirkan untuk memilih sama ada berdiri di sisi keadilan atau mendiamkan diri bersama penindasan. Kita sering mengagumi sejarah para pejuang Islam dahulu kala, para sahabat yang berperang di medan, para ulama yang melawan penindasan, tokoh-tokoh kemanusiaan yang menulis dengan darah dan air mata. Tapi bila melihat orang zaman ini buat perkara yang sama, kita tuduh mereka gila, cari glamor, sia-sia. Kenapa begitu? Mungkin sudah tiba masanya kita keluar dari mentaliti sinis ini. Kita tidak perlu menjadi hero untuk menyokong perjuangan. Cukup jadi manusia yang masih punya belas, empati, dan doa. – ND 03 Okt 2025

Global Sumud Flotilla: Solidariti Kemanusiaan Dunia yang Dicabar oleh Israel

SATU insiden yang mengejutkan komuniti antarabangsa berlaku apabila tentera laut Israel menahan lebih 400 aktivis daripada misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang dalam perjalanan ke Gaza bagi menyampaikan bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat konflik berpanjangan. Misi ini turut disertai 23 sukarelawan rakyat Malaysia bersama ratusan peserta dari lebih 45 negara. GSF merupakan satu inisiatif antarabangsa diketuai gabungan NGO, aktivis, wartawan, ahli politik, doktor dan pekerja kemanusiaan dari pelbagai latar belakang. Mereka berlayar dari pelabuhan-pelabuhan di Eropah, termasuk Sepanyol, Itali dan Turkiye, dengan lebih 40 kapal membawa bantuan kemanusiaan seperti ubat-ubatan, makanan dan keperluan asas. Tujuan utama flotilla ini adalah untuk menerobos sekatan maritim Israel terhadap Gaza, yang telah dikenakan sejak lebih 17 tahun lalu, serta menuntut hak asasi penduduk Palestin dan kebebasan laluan bantuan kemanusiaan seperti yang dijamin oleh undang-undang antarabangsa. Misi ini disertai oleh aktivis dari sekurang-kurangnya 45 negara, termasuk Malaysia (23 peserta), Turkiye (48 peserta ditahan), Sepanyol (65 peserta, termasuk bekas Datuk Bandar Barcelona Ada Colau), Itali (sekitar 40 peserta), Mexico, Brazil, Ireland, Sweden, South Africa, Indonesia, Pakistan, Qatar, Oman dan beberapa negara lagi. Keanggotaan pelbagai ini mencerminkan solidariti global merentas sempadan bangsa, agama dan ideologi, demi membela nasib penduduk Gaza yang terus terperangkap dalam krisis kemanusiaan. Pada 2 Oktober 2025, Israel telah menahan sekurang-kurangnya 443 peserta flotilla, termasuk warganegara Malaysia, Sepanyol, Itali, Turkiye, Mexico dan Ireland. Insiden itu berlaku di perairan antarabangsa di luar Gaza. Pasukan tentera laut Israel dilaporkan telah menggunakan kekerasan minimum seperti pancutan air tekanan tinggi dan gangguan komunikasi sebelum menghalang laluan dan menunda kapal ke pelabuhan Ashdod. Menurut laporan media, antara aktivis yang ditahan termasuk Ada Colau (Sepanyol), Senator Chris Andrews dan Tadhg Hickey (Ireland), 48 rakyat Turkiye, termasuk pengamal media dan NGO, enam rakyat Mexico, termasuk wartawan dan aktivis sosial serta 23 rakyat Malaysia termasuk tokoh terkenal seperti Zizi Kirana, Heliza Helmi dan Farah Lee. Setakat artikel ini ditulis (3 Okt 2025, jam 8.30 pagi), semua tahanan dilaporkan dalam keadaan stabil dan proses penghantaran pulang sedang diatur oleh pihak berkuasa Israel dengan kerjasama kedutaan masing-masing. Tindakan Israel itu telah mencetuskan kecaman dari pelbagai negara dan pertubuhan antarabangsa. Turkiye menyifatkan penahanan tersebut sebagai “tidak sah” dan melancarkan siasatan kehakiman. Ireland dan Mexico menggesa pembebasan segera warganegara mereka dan mendesak Israel agar mematuhi undang-undang antarabangsa. Malaysia pula melalui Wisma Putra telah mengaktifkan saluran diplomatik serta meletakkan pasukan undang-undang di Jordan sebagai langkah bersiap sedia. Ramai pemerhati antarabangsa menganggap penahanan ini sebagai pelanggaran Konvensyen Geneva dan undang-undang maritim antarabangsa, kerana berlaku di luar perairan Israel dan terhadap misi yang bersifat kemanusiaan. GSF menjadi simbol penting dalam perjuangan masyarakat sivil dunia untuk memecahkan tembok pengasingan Gaza dan menyampaikan mesej bahawa dunia tidak akan berdiam diri terhadap penindasan. Walaupun kapal-kapal tersebut tidak dapat menembusi sekatan fizikal Israel, impaknya tetap besar dari segi kesedaran awam, tekanan diplomatik dan pembentukan solidariti rentas benua terhadap krisis kemanusiaan Palestin. Misi ini juga membuktikan bahawa perjuangan untuk keadilan dan hak asasi tidak lagi tertumpu pada diplomasi tradisional semata-mata, tetapi digerakkan oleh masyarakat sivil yang berani dan komited. Malaysia bersama masyarakat antarabangsa akan terus mendesak pembebasan semua tahanan, penyampaian bantuan tanpa halangan, dan pengakhiran kepada sekatan kejam yang dikenakan ke atas Gaza. GSF mungkin telah ditahan secara fizikal, tetapi semangatnya tetap berlayar, menyampaikan mesej kemanusiaan kepada dunia bahawa Gaza tidak bersendirian. – ND 03 Okt 2025

Keegoan Zionis Israel: Manifestasi Kesombongan Politik Tanpa Etika Kemanusiaan

REJIM Zionis Israel telah lama menunjukkan sikap angkuh dan kebal undang-undang dalam setiap tindakan ketenteraannya, terutama terhadap rakyat Palestin yang dijajah dan ditindas sejak lebih 75 tahun lalu. Keegoan politik rejim ini tidak hanya terpancar melalui pelanggaran demi pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa, malah diperkuatkan oleh sokongan tanpa syarat daripada kuasa besar dunia, khususnya Amerika Syarikat. Israel wujud hasil daripada proses kolonisasi dan pengusiran rakyat asal Palestin dan sejak penubuhannya, entiti ini secara konsisten melanggar resolusi-resolusi Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Tindakan merampas tanah, membina penempatan haram serta sekatan kejam ke atas Gaza, semuanya merupakan pelanggaran nyata terhadap Konvensyen Geneva Keempat dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Lebih membimbangkan, setiap kali komuniti antarabangsa cuba mengkritik atau mengambil tindakan, suara-suara itu dibisukan oleh veto Amerika Syarikat di Majlis Keselamatan PBB. Ini menjadikan Israel seperti entiti “di atas undang-undang”, yang tidak perlu menjawab kepada masyarakat antarabangsa, walaupun untuk jenayah sebesar genosid. Sokongan kuat dan berterusan dari Washington memberi “lesen besar” kepada Israel untuk terus bertindak sewenang-wenangnya tanpa risau akan sebarang akibat. Bantuan ketenteraan tahunan bernilai berbilion dolar, veto ke atas sebarang kecaman rasmi, serta kerjasama strategik dalam aspek keselamatan dan perisikan, semuanya menjadikan Israel kebal dan tidak tersentuh. Hal ini mencerminkan satu bentuk ketidakseimbangan kuasa yang kronik dalam sistem antarabangsa, di mana prinsip hak asasi manusia dan keadilan digadaikan demi kepentingan geopolitik dan ekonomi. Dunia yang kononnya “berundang-undang” seolah lumpuh di hadapan keangkuhan Zionis-Israel yang berpayung di bawah kuasa hegemoni global. Perlu ditegaskan, yang menjadi isu utama di sini adalah Zionisme sebagai ideologi politik, bukan agama Yahudi secara keseluruhan. Ramai individu berketurunan Yahudi di seluruh dunia termasuk pertubuhan seperti Neturei Karta dan Jewish Voice for Peace, secara terbuka menolak Zionisme dan menyokong perjuangan rakyat Palestin. Namun, Israel secara licik menyamakan kritikan terhadap Zionisme dengan anti-Semitisme, sekali gus menutup ruang wacana dan mengalihkan perhatian daripada isu sebenar, iaitu penjajahan dan penindasan rakyat Palestin. Taktik ini merupakan satu bentuk manipulasi retorik yang membolehkan rejim tersebut terus memperluas agendanya tanpa dihukum atau dipertanggungjawabkan. Rejim Israel beroperasi dengan prinsip kekuatan mutlak, tanpa nilai etika atau pertimbangan moral terhadap kehidupan manusia yang tidak berdosa. Sekatan ke atas Gaza telah menyebabkan kelaparan, kemusnahan prasarana kesihatan dan pendidikan serta membunuh ribuan rakyat awam, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Ini bukan sekadar “kesilapan tentera”, tetapi strategi sistematik yang selari dengan takrif genosid oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Bahkan, Israel kini dikenakan tindakan undang-undang di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas tuduhan melakukan genosid di Gaza, satu langkah yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah moden terhadap sebuah entiti yang kononnya “demokrasi”. Walaupun rejim Israel terus berselindung di sebalik kekuatan tentera dan perlindungan diplomatik, masyarakat sivil global kini semakin lantang menyuarakan solidariti bersama Palestin. Gerakan Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) telah menjadi antara bentuk tekanan paling berkesan dalam mendesak perubahan. Universiti, syarikat dan organisasi masyarakat sivil di seluruh dunia mula menyedari bahawa diam terhadap kezaliman adalah satu bentuk kerjasama dengannya. Malaysia, melalui pelbagai saluran kerajaan dan NGO termasuk CENTHRA, terus memainkan peranan penting dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin di forum antarabangsa. Namun, usaha ini perlu diperluaskan dan disatukan bersama gerakan di seluruh dunia agar tekanan moral dan politik terhadap rejim Zionis dapat dimaksimumkan. Kejatuhan rejim yang zalim dalam sejarah dunia bukanlah perkara baru, sama ada rejim apartheid di Afrika Selatan atau kejatuhan sistem kolonial di seluruh dunia. Rejim Zionis Israel, walau setinggi mana pun keegoannya hari ini, tidak akan mampu melawan kekuatan kebenaran dan keadilan yang diperjuangkan oleh rakyat Palestin dan masyarakat dunia yang berprinsip. Yang zalim pasti binasa. Yang benar pasti akan menang — cepat atau lambat. – POJOK ND 03 Okt 2025

Jumaat, 3 Oktober 2025

Analisis: Tindakan Israel terhadap Global Sumud Flotilla dan Reaksi Antarabangsa yang Lesu

ISRAEL sekali lagi mencetuskan kontroversi antarabangsa apabila pasukan tenteranya menahan kapal-kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa bantuan ke Gaza. Laporan menyebut bahawa sekurang-kurangnya tiga kapal dari flotilla ini telah diintersep dan diiring ke pelabuhan Ashdod, Israel, manakala 21 aktivis yang berada di atas kapal telah ditahan – termasuk beberapa warganegara asing. Turut terlibat dalam misi ini adalah 34 rakyat Malaysia, yang keberadaan dan keselamatan mereka kini menjadi perhatian utama. Tindakan keras Israel terhadap flotilla bantuan ini sekali lagi mencerminkan pendekatan ketenteraan negara itu dalam menangani misi kemanusiaan, dan menimbulkan persoalan besar terhadap keberkesanan serta kesungguhan masyarakat antarabangsa dalam mempertahankan prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Misi Global Sumud Flotilla merupakan inisiatif antarabangsa yang menghimpunkan aktivis, doktor, ahli akademik, dan sukarelawan dari lebih 30 negara, termasuk Malaysia untuk membawa bekalan perubatan, makanan dan keperluan asas kepada penduduk Gaza yang kini berada dalam krisis kemanusiaan yang kritikal. Namun, sebelum sampai ke destinasi, kapal-kapal GSF telah dihalang secara agresif oleh tentera laut Israel, walaupun mereka belayar di perairan antarabangsa. Beberapa aktivis melaporkan gangguan komunikasi, penggunaan dron dan tindakan provokatif dari kapal perang Israel, termasuk amaran bahawa mereka akan “ditembak” atau kapal mereka “ditenggelamkan” jika terus mara ke arah Gaza. Kapal Handala, yang mengetuai flotilla, akhirnya ditunda ke pelabuhan Israel dan anak kapalnya ditahan untuk soal siasat. Laporan tidak rasmi menyebut bahawa terdapat rakyat Malaysia antara yang ditahan, namun setakat ini belum ada pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa Israel. Tindakan Israel terhadap flotilla bukanlah yang pertama. Sejarah mencatatkan kejadian tragis pada tahun 2010 apabila kapal Mavi Marmara diserang oleh komando Israel di perairan antarabangsa, menyebabkan 10 aktivis terbunuh. Kini, 15 tahun kemudian, pendekatan Israel masih sama – menggunakan kekuatan ketenteraan terhadap misi kemanusiaan, dengan alasan keselamatan dan penguatkuasaan sekatan ke atas Gaza. Yang lebih merisaukan ialah bagaimana Israel terus bertindak secara unilateral tanpa rasa gentar terhadap tekanan antarabangsa. Walaupun kecaman demi kecaman dikeluarkan oleh pelbagai negara dan organisasi, tindakan konkrit untuk menekan Israel hampir tidak kelihatan. Tiada sanksi, tiada tekanan diplomatik berskala besar, dan tiada tindakan ketenteraan atau pemantauan antarabangsa yang serius untuk memastikan bantuan kemanusiaan sampai ke Gaza dengan selamat. Israel, walaupun kecil secara geografi, kelihatan kebal terhadap tekanan antarabangsa – termasuk daripada kuasa-kuasa besar. Prinsip Israel tampak jelas: bertindak dahulu, minta maaf kemudian. Kerajaan Malaysia telah menyuarakan bantahan tegas terhadap tindakan Israel. Kementerian Luar Negeri dan kepimpinan negara menuntut agar semua rakyat Malaysia dalam flotilla diberi perlindungan dan dibebaskan segera. Perdana Menteri turut menyatakan kesediaan Malaysia untuk menggunakan saluran diplomatik melalui negara-negara ketiga bagi menekan Israel, memandangkan tiada hubungan rasmi antara kedua-dua negara. Beberapa negara lain seperti Sepanyol, Itali, Turkiye dan Greece turut menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan flotilla. Itali pada satu ketika menjanjikan perlindungan melalui tentera lautnya, namun tiada tindakan ketenteraan sebenar diambil untuk mengiringi kapal-kapal GSF ke destinasi. Negara-negara Eropah kelihatan lebih berhati-hati, sama ada kerana tekanan geopolitik atau pertimbangan politik domestik. Organisasi antarabangsa seperti PBB, walaupun sering mengeluarkan kenyataan menggesa laluan selamat bagi bantuan kemanusiaan ke Gaza, setakat ini masih gagal membawa isu ini ke peringkat resolusi tegas yang boleh mengikat Israel secara undang-undang antarabangsa. Isu ini membuka perdebatan penting – sejauh manakah masyarakat antarabangsa benar-benar bersedia mempertahankan undang-undang antarabangsa apabila melibatkan Israel? Kegagalan untuk bertindak balas secara konkrit terhadap penahanan flotilla ini memberi isyarat berbahaya kepada dunia: bahawa kuasa tentera boleh mengatasi prinsip kemanusiaan, dan bahawa impunitas (kekebalan daripada hukuman) menjadi norma baharu apabila negara yang kuat berdepan dengan aktivis tanpa senjata. Tanpa tindakan tegas – seperti siasatan bebas, tekanan ekonomi, mahupun tindakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Israel tidak mempunyai insentif untuk mengubah pendekatannya. Dalam masa yang sama, penderitaan rakyat Gaza berterusan, dan misi-misi kemanusiaan yang sah dari sudut undang-undang terus menjadi mangsa intimidasi. Situasi flotilla ini bukan sekadar soal satu kapal atau satu negara. Ia mencerminkan krisis global dalam mempertahankan prinsip hak asasi manusia dan kebebasan laluan bantuan kemanusiaan. Kecaman dan kenyataan sahaja tidak mencukupi. Masyarakat antarabangsa – termasuk ASEAN, OIC dan kuasa-kuasa besar – harus berani mengambil tindakan lebih konkret, berasaskan undang-undang dan moral kemanusiaan. Tanpa keberanian untuk menekan Israel secara tegas, kita akan terus menyaksikan corak yang sama: bantuan dihalang, nyawa dipertaruhkan, dan akhirnya, dunia hanya mampu bersuara selepas kerosakan berlaku. - POJOK ND 2 Okt 2025

Kemalangan di Plaza Tol: Isu Brek Lori Terabai, Kerusi Bayi Pula Jadi Kambing Hitam

TRAGEDI di Plaza Tol Bukit Kajang, Lebuhraya Kajang Silk (Silk), yang meragut nyawa seorang bayi selepas dirempuh sebuah lori yang didakwa mengalami kegagalan brek baru-baru ini, telah mencetuskan gelombang simpati dan kemarahan orang ramai. Namun, lebih mengejutkan bukan sekadar insiden itu, tetapi kenyataan susulan daripada pihak berwajib khususnya Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang dilihat lebih menekankan kegagalan ibu bapa mangsa menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan, berbanding punca utama kemalangan itu. Dalam insiden tersebut, siasatan awal mendapati lori berat yang merempuh beberapa kenderaan di plaza tol berkenaan mengalami masalah brek. Pemandunya pula dilaporkan sempat melompat keluar dari kenderaan sebelum perlanggaran berlaku, iaitu satu tindakan yang menimbulkan persoalan mengenai etika dan profesionalisme pemandu kenderaan berat dalam situasi kecemasan. Lebih membimbangkan, tiada penjelasan tuntas diberikan mengenai status penyelenggaraan lori tersebut. Apakah ia diselenggara mengikut piawaian? Adakah syarikat pengangkutan terlibat mempunyai rekod buruk berkaitan keselamatan? Kenapa lori yang dipercayai bermasalah dari aspek teknikal masih dibenarkan berada di atas jalan raya? Semua persoalan ini penting kerana ia menyentuh isu sistemik yang lebih besar, keselamatan jalan raya yang sepatutnya dipantau secara menyeluruh, bukan sekadar dari sudut pemandu kenderaan persendirian. Kenyataan Menteri yang menegur ibu bapa tidak menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak memang tepat dari segi prinsip kerana sememangnya terbukti dapat mengurangkan kecederaan dan kematian dalam kemalangan jalan raya. Namun, menumpukan kritikan terhadap keluarga mangsa yang sedang berduka, dalam situasi di mana mereka menjadi mangsa kecuaian pihak lain, adalah tindakan tidak sensitif dan tidak adil. Lebih lagi apabila punca kemalangan sebenar, iaitu kegagalan sistem brek lori dan kemungkinan pengabaian penyelenggaraan oleh syarikat pengangkutan seolah dipinggirkan dari perbincangan awam. Kita tidak boleh menafikan terlalu banyak insiden melibatkan lori dan kenderaan berat yang membawa maut, berpunca daripada masalah teknikal atau keletihan pemandu. Ini menimbulkan persoalan besar terhadap kecekapan sistem pemeriksaan kenderaan komersial, pematuhan peraturan oleh syarikat logistik serta keberkesanan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa. Apakah pemeriksaan berkala oleh PUSPAKOM benar-benar ketat dan bebas manipulasi? Apakah lesen dan permit pengendalian lori diberikan tanpa pemantauan menyeluruh terhadap sejarah syarikat? Dan apakah hukuman terhadap pelanggaran prosedur ini cukup berat untuk mencegah tragedi? Jika punca utama kemalangan ini, iaitu lori dengan brek rosak, tidak diangkat sebagai isu paling utama, maka kita sebenarnya mengabaikan akar masalah dan hanya merawat simptomnya sahaja. Sudah tiba masanya naratif kemalangan jalan raya di Malaysia disusun semula. Dalam mana-mana tragedi, fokus utama mestilah kepada punca kemalangan dan sistem yang membolehkan ia berlaku, bukan menyalahkan mangsa atas aspek-aspek kecil, lebih-lebih lagi apabila ia bukan penyebab utama tragedi. Teguran mengenai penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak wajar, tetapi ia perlu dilontarkan dalam suasana yang sesuai, dengan empati, bukan dalam bentuk menyalahkan mangsa dalam waktu berdukacita. Yang lebih utama ialah memastikan lori dan kenderaan berat benar-benar selamat di atas jalan raya. Kecuaian dalam penyelenggaraan, kelemahan penguatkuasaan dan sikap lepas tangan syarikat pengangkutan mesti ditangani secara serius. Jika tidak, kemalangan seperti ini akan terus berulang dan setiap kali itu juga kita akan melihat mangsa terus dipersalahkan, sementara pelaku sebenar terus beroperasi tanpa hukuman. – POJOK ND 1 Okt 2025