Jumaat, 3 Oktober 2025

Kemalangan di Plaza Tol: Isu Brek Lori Terabai, Kerusi Bayi Pula Jadi Kambing Hitam

TRAGEDI di Plaza Tol Bukit Kajang, Lebuhraya Kajang Silk (Silk), yang meragut nyawa seorang bayi selepas dirempuh sebuah lori yang didakwa mengalami kegagalan brek baru-baru ini, telah mencetuskan gelombang simpati dan kemarahan orang ramai. Namun, lebih mengejutkan bukan sekadar insiden itu, tetapi kenyataan susulan daripada pihak berwajib khususnya Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang dilihat lebih menekankan kegagalan ibu bapa mangsa menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan, berbanding punca utama kemalangan itu. Dalam insiden tersebut, siasatan awal mendapati lori berat yang merempuh beberapa kenderaan di plaza tol berkenaan mengalami masalah brek. Pemandunya pula dilaporkan sempat melompat keluar dari kenderaan sebelum perlanggaran berlaku, iaitu satu tindakan yang menimbulkan persoalan mengenai etika dan profesionalisme pemandu kenderaan berat dalam situasi kecemasan. Lebih membimbangkan, tiada penjelasan tuntas diberikan mengenai status penyelenggaraan lori tersebut. Apakah ia diselenggara mengikut piawaian? Adakah syarikat pengangkutan terlibat mempunyai rekod buruk berkaitan keselamatan? Kenapa lori yang dipercayai bermasalah dari aspek teknikal masih dibenarkan berada di atas jalan raya? Semua persoalan ini penting kerana ia menyentuh isu sistemik yang lebih besar, keselamatan jalan raya yang sepatutnya dipantau secara menyeluruh, bukan sekadar dari sudut pemandu kenderaan persendirian. Kenyataan Menteri yang menegur ibu bapa tidak menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak memang tepat dari segi prinsip kerana sememangnya terbukti dapat mengurangkan kecederaan dan kematian dalam kemalangan jalan raya. Namun, menumpukan kritikan terhadap keluarga mangsa yang sedang berduka, dalam situasi di mana mereka menjadi mangsa kecuaian pihak lain, adalah tindakan tidak sensitif dan tidak adil. Lebih lagi apabila punca kemalangan sebenar, iaitu kegagalan sistem brek lori dan kemungkinan pengabaian penyelenggaraan oleh syarikat pengangkutan seolah dipinggirkan dari perbincangan awam. Kita tidak boleh menafikan terlalu banyak insiden melibatkan lori dan kenderaan berat yang membawa maut, berpunca daripada masalah teknikal atau keletihan pemandu. Ini menimbulkan persoalan besar terhadap kecekapan sistem pemeriksaan kenderaan komersial, pematuhan peraturan oleh syarikat logistik serta keberkesanan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa. Apakah pemeriksaan berkala oleh PUSPAKOM benar-benar ketat dan bebas manipulasi? Apakah lesen dan permit pengendalian lori diberikan tanpa pemantauan menyeluruh terhadap sejarah syarikat? Dan apakah hukuman terhadap pelanggaran prosedur ini cukup berat untuk mencegah tragedi? Jika punca utama kemalangan ini, iaitu lori dengan brek rosak, tidak diangkat sebagai isu paling utama, maka kita sebenarnya mengabaikan akar masalah dan hanya merawat simptomnya sahaja. Sudah tiba masanya naratif kemalangan jalan raya di Malaysia disusun semula. Dalam mana-mana tragedi, fokus utama mestilah kepada punca kemalangan dan sistem yang membolehkan ia berlaku, bukan menyalahkan mangsa atas aspek-aspek kecil, lebih-lebih lagi apabila ia bukan penyebab utama tragedi. Teguran mengenai penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak wajar, tetapi ia perlu dilontarkan dalam suasana yang sesuai, dengan empati, bukan dalam bentuk menyalahkan mangsa dalam waktu berdukacita. Yang lebih utama ialah memastikan lori dan kenderaan berat benar-benar selamat di atas jalan raya. Kecuaian dalam penyelenggaraan, kelemahan penguatkuasaan dan sikap lepas tangan syarikat pengangkutan mesti ditangani secara serius. Jika tidak, kemalangan seperti ini akan terus berulang dan setiap kali itu juga kita akan melihat mangsa terus dipersalahkan, sementara pelaku sebenar terus beroperasi tanpa hukuman. – POJOK ND 1 Okt 2025

Tiada ulasan: