Khamis, 30 Oktober 2025
Tukar Nama Port Dickson Kepada Pantai Dermaga? Jangan Sampai Kita Hilang Akar
CADANGAN menukar nama Port Dickson kepada Pantai Dermaga yang dikemukakan oleh Pertubuhan Pemerkasaan Identiti Malaysia (IDENTITI) bersama beberapa NGO lain baru-baru ini, kononnya bagi memperkukuh identiti tempatan dan menghapuskan sisa penjajahan, mungkin kedengaran mulia pada permukaannya.
Namun, hakikatnya jika diteliti secara mendalam, cadangan ini lebih mengundang senyum sinis daripada tepukan sokongan kerana mengubah nama bukanlah cara paling bijak untuk membina jati diri bangsa.
Lebih lagi, Port Dickson bukan sekadar satu nama Inggeris yang terpampang di papan tanda jalan, ia telah menjadi jenama yang membawa nilai ekonomi, sosial dan sejarah tersendiri sejak berpuluh dekad. Ribuan pengusaha pelancongan kecil di sana hidup dengan rezeki daripada nama yang sudah dikenali di seluruh dunia itu.
Mungkin ada yang terlupa, identiti Melayu tidaklah begitu rapuh sehingga boleh terhakis hanya kerana satu dua nama Inggeris. Jika begitu mudah terpadam jati diri bangsa, barangkali esok kita juga perlu menukar nama Kuala Lumpur menjadi Muara Lumpur, dan Johor Bahru menjadi ‘Johor Baru-baru Ini’, konon demi memperjuangkan warisan tempatan.
Menurut Pengerusi IDENTITI, Islah Wahyudi Zainudin, pertukaran nama ini dikatakan sebagai simbol mengembalikan maruah bangsa dan menolak pengaruh kolonial.
Malangnya, simbolisme tanpa konteks sering berakhir dengan kosmetik, iaitu sekadar cantik pada kulit, tetapi kosong pada isi.
Ironinya, ramai yang beria mahu memerdekakan nama Port Dickson, tetapi lupa bahawa perjuangan sebenar ialah memerdekakan fikiran, bukan papan tanda.
Tidak ada apa-apa pengaruh penjajah yang menguasai minda rakyat hanya kerana mereka bercuti di Port Dickson. Yang menguasai fikiran kita sebenarnya ialah sikap cepat melatah dan terlalu ghairah mencari simbol perjuangan di tempat yang salah.
Pantai Dermaga mungkin berbunyi puitis, tetapi kita tidak boleh menafikan bahawa Port Dickson telah lama sebati dalam lidah rakyat Malaysia. Ia bukan lagi sekadar nama kolonial, ia adalah sebahagian daripada memori kolektif dari zaman keluarga berkelah di tepi pantai hingga ke hari ini menjadi lokasi popular pelancongan domestik.
Sekiranya benar ingin memperkukuh identiti bangsa, bukankah lebih baik memperkasakan ekonomi setempat, memperindah pantai atau memperkenalkan lebih banyak elemen budaya Melayu dalam pembangunan bandar itu?
Nama boleh ditukar dalam sehari, tetapi nilai dan sejarah tidak boleh dicipta dengan sekadar menukar ejaan di papan tanda.
Identiti nasional bukan dibina dengan menghapuskan segala yang berbunyi asing, tetapi dengan mengisi makna tempatan dalam setiap perkara yang kita warisi.
Kerana pada akhirnya, yang membuat sesuatu tempat itu berjiwa Melayu bukan nama di peta, tetapi rakyat yang mencintainya dengan akal, bukan amarah. – ND 11 Okt 2025
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
Telah dikhabarkan bahawa Dajjal Laknatullah dan para wazirnya telah berada di London untuk acara gilang gemilang Olympic 2012. Mereka telah ...

Tiada ulasan:
Catat Ulasan