Khamis, 30 Oktober 2025

Bila “Anak-Anak Emas” Muhyiddin Bertukar Menjadi Duri Dalam Daging

NAMPAKNYA drama dalaman Parti BERSATU belum sampai babak akhir. Terkini, bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad membongkar kisah di sebalik tabir, kisah yang mungkin lebih menarik daripada mana-mana skrip politik yang pernah ditayangkan di kaca televisyen. Menurut Dr. Marzuki, gerakan untuk menjatuhkan Presiden BERSATU itu bukan baru semalam tercetus, malah telah lama dirancang, iaitu sejak Muhyiddin yang lebih mesra dengan panggilan “Abah” sendiri meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2021. Seperti kisah klasik politik Malaysia, segala-galanya bermula bukan dengan letusan, tetapi dengan bisik-bisik halus, iaitu perubahan sikap, panggilan tidak berjawab, mesej WhatsApp yang dibiarkan dua tanda biru tanpa balasan. Katanya, sebaik sahaja Muhyiddin turun dari takhta Putrajaya, ada segelintir pemimpin kanan parti yang tiba-tiba “tidak lagi kenal” siapa yang pernah mengangkat mereka dari barisan belakang menjadi menteri. Orang kata, “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik jadi menteri”. Nampaknya pepatah itu benar-benar hidup dalam parti yang kononnya berjuang atas nama prinsip dan perjuangan Melayu-Islam. Lebih menarik, Dr. Marzuki mendedahkan bahawa seorang pemimpin muda, yang pernah menjadi “anak emas” Muhyiddin – ya, istilah itu bukan kecil maknanya, mula bersuara lantang bahawa presiden parti itu “sudah tidak relevan”. Hebat sungguh semangat reformasi dalam parti itu; dari anak emas terus menjadi “anak derhaka” politik. Barangkali begitulah nasib menjadi ketua tanpa kuasa, ketua parti tanpa kerusi Kabinet, umpama raja tanpa istana atau lebih tepat lagi, kapten kapal yang diabaikan oleh anak-anak kapal yang sibuk berebut dayung. Dr. Marzuki juga sempat mengenang detik sebelum PRU15, apabila beliau secara santai bertanya sama ada Muhyiddin mahu bersara saja, memandangkan parti semakin tenat, pemimpin sudah tidak hormat, dana parti entah ke mana dan PAS pula ketika itu masih berfikir sama ada mahu berpeluk dengan BERSATU atau kembali kepada kekasih lama, UMNO. Namun, seperti watak tragedi politik yang keras kepala, Muhyiddin menolak untuk menyerah. Beliau kononnya berkata, “takkan nak tinggalkan bala tentera ketika perang”. Heroik bunyinya, walaupun bala tenteranya ketika itu separuh sudah mencari jalan keluar masing-masing. Akhirnya, beliau memilih untuk terus mara ke medan PRU15, dengan senjata utama, iaitu semangat dan mungkin sedikit nostalgia zaman beliau digelar “Abah.” Ternyata, pada waktu itu gelombang Abah benar-benar menjadi fenomena. PAS memilih PN dan BERSATU pun menumpang tuah. Sebanyak 74 kerusi Parlimen bukan angka kecil, cukup untuk menggegarkan dua blok besar lain dan menampar ego mereka yang pernah mentertawakan PN sebagai “parti nyamuk.” Tapi seperti biasa dalam politik Malaysia, kejayaan sementara itu bukan jaminan kekal. Kerana selepas PRU, kisahnya kembali sama: PN gagal membentuk kerajaan, dan jari telunjuk mula mencari sasaran. Siapa lagi kalau bukan Muhyiddin, dituduh terlalu keras kepala, terlalu “berprinsip,” dan terlalu enggan berkompromi dengan Pakatan Harapan. Dalam bahasa politik moden, “berprinsip” kini bermaksud tidak pandai berkira-kira. Ironinya, ketika dulu semua orang menyanjung ketegasan Muhyiddin menolak kerjasama dengan PH, kononnya bukti integriti perjuangan, kini prinsip yang sama dijadikan alasan untuk menuduhnya punca kegagalan PN membentuk kerajaan. Politik memang seni yang indah. Ia boleh mengubah kebajikan menjadi kesalahan dan kesetiaan menjadi kelemahan. Di sinilah, kita melihat sisi paling menarik dalam politik BERSATU, parti yang lahir daripada semangat melawan pengkhianatan, kini bergelut dengan pengkhianatan dari dalam rumah sendiri. Barangkali Muhyiddin kini faham bagaimana rasa menjadi Tun Dr. Mahathir Mohamad suatu ketika dulu, dikelilingi “pejuang” yang hanya berjuang selagi ada habuan. Persoalannya kini, adakah Muhyiddin masih berpegang pada semangat “biar putih tulang, jangan putih mata”? Atau adakah beliau kini sekadar melihat tulang-tulang perjuangan yang sudah reput, dikelilingi oleh mereka yang sedang menulis bab baru kisah politik mereka, tanpa “Abah” di bab hadapan? Apa pun, satu hal pasti, dalam BERSATU, tiada yang kekal setia, hanya yang kekal berjawatan. – ND 28 Okt 2025

Tiada ulasan: