Khamis, 30 Oktober 2025

Jangan Terlalu “Israel” Dalam Mengecam Zionis

ISU Palestin-Israel bukanlah perkara asing bagi umat Islam. Ia telah berlarutan puluhan tahun dan setiap kali kekejaman rejim Zionis Israel memuncak, seluruh dunia Islam, termasuk Malaysia pasti akan bangkit menzahirkan kemarahan dan solidariti terhadap rakyat Palestin yang ditindas. Dari sekecil-kecil anak di sekolah hingga ke warga emas di kampung, sebut sahaja nama Israel, pasti hati akan panas dan darah mendidih. Namun, dalam semangat membela saudara seagama di bumi Gaza itu, ada batas dan kebijaksanaan yang perlu dijaga. Niat yang baik sekalipun boleh tersilap langkah jika tidak diiringi dengan pertimbangan akal dan sensitiviti masyarakat. Inilah yang berlaku dalam insiden terbaharu melibatkan Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza anjuran Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia, apabila wujud beberapa perahu dalam acara itu yang mengibarkan bendera Israel kononnya sebagai sebahagian daripada lakonan semula insiden Global Sumud Flotilla (GSF). Menurut penganjur, tindakan itu hanyalah sebahagian daripada simulasi untuk menggambarkan kekejaman tentera laut Israel terhadap aktivis kemanusiaan dalam misi bantuan ke Gaza. Mereka juga telah tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa tiada niat untuk menyinggung mana-mana pihak. Namun, persoalan yang timbul bukan soal niat semata-mata, tetapi soal kebijaksanaan dalam menzahirkan niat tersebut. Dalam konteks masyarakat Malaysia, khususnya umat Islam, bendera Israel bukan sekadar sehelai kain, tetapi simbol kepada penjajahan, kezaliman dan darah yang tumpah di bumi Palestin. Ia membawa beban sejarah, emosi dan sensitiviti yang sangat mendalam. Maka, apabila ia dikibarkan walaupun untuk tujuan lakonan atau pendidikan, kesannya tetap menyentuh hati ramai pihak. Simbol dan lambang mempunyai kekuatan luar biasa dalam membentuk persepsi. Lihat sahaja bagaimana bendera, lagu kebangsaan atau logo pertubuhan mampu membangkitkan semangat dan emosi rakyat. Dalam hal ini, pengibaran bendera Israel, walaupun atas nama simulasi, menimbulkan kekeliruan kepada orang awam, terutama apabila dilihat dari jauh atau melalui media sosial tanpa penjelasan konteks. Imej ratusan perahu dengan sebahagiannya mengibarkan bendera Israel memberi gambaran yang bercanggah dengan mesej utama acara itu, iaitu solidariti terhadap Gaza. Malah, bagi sesetengah pihak, ia boleh dianggap sebagai satu bentuk penghormatan tidak langsung terhadap musuh yang sedang dikutuk. Tindakan Polis Kelantan yang akan mengambil keterangan daripada penganjur merupakan langkah tepat dan wajar. Ia bukan bertujuan menghukum semata-mata, tetapi untuk memastikan perkara seperti itu tidak berulang. Dalam situasi yang penuh emosi seperti isu Palestin, tindakan penguat kuasa penting untuk meredakan kemarahan masyarakat dan memulihkan kepercayaan bahawa sensitiviti agama serta solidariti ummah masih dihormati. Langkah polis ini juga harus dilihat sebagai peringatan kepada mana-mana pihak penganjur program seumpama itu agar lebih berhati-hati dalam merancang bentuk dan persembahan acara. Demonstrasi, perarakan atau simbol solidariti boleh dilakukan dengan pelbagai cara, menggunakan bendera Palestin, doa bersama, kutipan derma, forum kesedaran, mahupun seni persembahan yang kreatif, tanpa perlu menampilkan simbol yang menyakitkan mata dan hati rakyat. Pepatah Melayu ada menyebut: “Jangan sampai marahkan nyamuk, kelambu dibakar”. Dalam kita marah terhadap rejim Zionis, jangan sampai cara kita menzahirkan kemarahan itu menyerupai perbuatan musuh yang kita benci. Kemarahan terhadap Israel dan simpati terhadap Palestin adalah fitrah yang datang dari hati manusia yang punya rasa kemanusiaan. Namun, kemarahan itu mesti disalurkan dengan cermat dan bijaksana. Islam sendiri mengajar kita agar bertindak dengan hikmah, bukan dengan emosi melulu. Nabi Muhammad SAW pernah mengingatkan bahawa kekuatan bukan terletak pada kehebatan menzahirkan marah, tetapi pada kemampuan menahan dan mengawal kemarahan itu dengan akal dan iman. Oleh itu, peristiwa ini wajar dijadikan pengajaran penting. Dalam membela Palestin, kita tidak perlu meniru atau menampilkan simbol Israel untuk menggambarkan kezaliman mereka. Cukup dengan menceritakan penderitaan rakyat Palestin, menonjolkan keberanian para aktivis kemanusiaan dan menyalurkan bantuan dengan cara yang betul. Solidariti tidak diukur dengan seberapa kuat kita menjerit atau seberapa banyak simbol musuh kita tunjukkan, tetapi dengan sejauh mana tindakan kita memberi makna sebenar kepada perjuangan rakyat Palestin. Maka, benarlah kata pepatah moden, jangan terlalu “Israel” dalam mengecam Israel. – ND 14 Okt 2025

Tiada ulasan: