Jumaat, 10 Oktober 2025
Pembubaran DUN Sabah dan Dinamika PRN Ke-17
PENGUMUMAN pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini menandakan bermulanya satu lagi episod penting dalam landskap politik negeri di bawah bayu.
Pembubaran ini membuka jalan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijangka berlangsung dalam tempoh 60 hari seperti termaktub dalam perlembagaan.
Langkah ini bukan sahaja menandakan tamatnya penggal pentadbiran sedia ada, tetapi juga bakal menjadi ujian besar terhadap kekuatan dan kesepaduan parti-parti politik yang kini berdepan perpecahan, penjajaran semula serta perubahan sokongan yang ketara sejak PRN Sabah 2020 dan PRU15.
PRN terdahulu menyaksikan pertandingan sengit antara blok kerajaan dan pembangkang. Gabungan tidak rasmi antara Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) serta Parti Bersatu Sabah (PBS) berjaya menumbangkan kerajaan Warisan – Pakatan Harapan (PH).
Keputusan ketika itu ialah Warisan memperoleh 29 kerusi, PN (17 kerusi), BN (14 kerusi), PBS (tujuh kerusi), Bebas (tiga kerusi), PKR (dua kerusi) dan UPKO (satu kerusi).
Gabungan kerajaan baharu memperoleh 38 kerusi, cukup untuk membentuk kerajaan negeri dengan Hajiji Noor dilantik sebagai Ketua Menteri.
Namun, selepas PRU15 pada November 2022, politik Sabah berubah secara mendadak apabila Hajiji dan ADUN BERSATU Sabah keluar parti, menubuhkan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), sekali gus memisahkan diri daripada pengaruh BERSATU pusat.
Tindakan ini mencetuskan krisis dalaman GRS, diikuti penarikan sokongan BN Sabah yang diketuai Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Januari 2023.
PH Sabah pula, dalam langkah strategik memberi sokongan kepada Hajiji untuk mengekalkan kerajaan negeri, sekali gus mewujudkan pakatan baharu tidak rasmi antara GRS dan PH di Sabah.
PRN kali ini bakal menyaksikan persaingan pelbagai penjuru, dengan parti-parti berikut dijangka bertanding ialah GRS yang kini diterajui Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) pimpinan Hajiji.
Ia juga dianggotai beberapa parti tempatan termasuk STAR, SAPP dan bekas komponen PN dengan fokus GRS dijangka kepada isu pembangunan luar bandar, otonomi Sabah serta kestabilan politik.
PH pula dianggotai PKR, DAP dan Amanah. Walaupun kini bekerjasama secara longgar dengan GRS, PH dijangka tetap bertanding secara berasingan di kerusi tertentu dengan memberi tumpuan kepada reformasi institusi dan hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
BN diterajui UMNO Sabah di bawah kepimpinan Bung Moktar. Selepas menarik sokongan terhadap Hajiji, hubungan BN-GRS masih tegang dan BN dijangka bertanding bersendirian atau membentuk pakatan baharu.
Warisan Diketuai Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Masih kekal sebagai parti pembangkang utama di Sabah dan dijangka memainkan isu autonomi, penurunan kuasa serta kritikan terhadap ketidakstabilan kerajaan negeri.
PN mungkin bertanding secara terhad, terutama jika BERSATU dan PAS memilih untuk masuk gelanggang di Sabah. Namun, pengaruh PN kini terhad berbanding PRN 2020.
Parti Bersatu Sabah (PBS). Walaupun sebahagian daripada GRS, PBS sering menzahirkan pendirian sendiri, khususnya berkaitan hak Bumiputera bukan Islam dan MA63. Namun, kedudukannya sebagai ‘kingmaker’ bergantung kepada jumlah kerusi yang ditandingi dan dimenangi.
Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), UPKO, dan lain-lain parti tempatan. Parti kecil dan baharu seperti KDM (diketuai Datuk Peter Anthony) serta UPKO dijangka turut serta khususnya di kawasan Kadazandusun Murut (KDMR).
Beberapa isu utama dijangka menjadi fokus kempen pilihan raya kali ini. Antaranya, stabiliti politik – Dengan kerapnya perubahan gabungan dan sokongan sejak 2020, pengundi mungkin mahukan kerajaan yang lebih stabil dan berprinsip.
Autonomi Sabah dan MA63 – Isu lama, tetapi tetap relevan. Siapa yang benar-benar memperjuangkannya?
Ekonomi dan pembangunan luar bandar, termasuk infrastruktur asas, pendidikan dan peluang pekerjaan.
Kos sara hidup dan subsidi – Isu nasional yang memberi kesan kepada Sabah, terutama kawasan pedalaman.
Isu pendatang tanpa izin (PTI) – Isu sensitif yang terus menjadi kebimbangan penduduk tempatan.
PRN Sabah ke-17 bukan sekadar pertarungan antara individu atau parti, tetapi satu referendum terhadap hala tuju masa depan negeri.
Dengan pelbagai parti tempatan yang semakin mengukuh dan pengaruh parti nasional semakin berubah, keputusan pilihan raya ini akan mencerminkan aspirasi sebenar rakyat Sabah, sama ada mereka mahu meneruskan kesinambungan atau mengubah haluan.
Yang pasti, Sabah akan terus menjadi negeri yang paling dinamik dalam politik Malaysia. – ND 06 Okt 2025
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
Telah dikhabarkan bahawa Dajjal Laknatullah dan para wazirnya telah berada di London untuk acara gilang gemilang Olympic 2012. Mereka telah ...

Tiada ulasan:
Catat Ulasan