Jumaat, 10 Oktober 2025

Hidangan Arak dalam Majlis Rasmi: Bukan “Isu Kecil” Bila Menyentuh Sensitiviti Umat Islam

KENYATAAN Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming yang menyifatkan hidangan arak dalam sebuah majlis rasmi di sebuah hotel sebagai “isu kecil” mencetuskan reaksi dan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat Islam. Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya serta kehadiran arak di meja menjadikan acara itu tular dan dipersoalkan oleh orang ramai. Namun, lebih mencetuskan polemik apabila isu ini diringankan, bahkan dianggap remeh oleh seorang menteri kanan Kabinet. Kenyataan sedemikian tidak sahaja menyentuh sensitiviti umat Islam, tetapi juga menimbulkan persoalan besar terhadap kefahaman dan komitmen para pemimpin terhadap semangat Perlembagaan Persekutuan yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa “Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian dalam Persekutuan.” Ini bukan satu peruntukan yang boleh ditafsir secara longgar atau diambil ringan. Ia merupakan asas kepada sistem kenegaraan Malaysia yang telah dipersetujui sejak merdeka. Menghidangkan arak dalam majlis rasmi yang melibatkan wakil kerajaan dan menteri bukanlah sekadar soal protokol atau kesilapan teknikal. Ia membawa implikasi simbolik bahawa elemen yang bercanggah dengan prinsip Islam boleh diterima dan diraikan dalam acara negara. Sekiranya majlis ini dianjurkan oleh pihak swasta atau bukan berunsurkan rasmi, reaksi mungkin berbeza. Namun, dalam konteks ini, ia membabitkan integriti dasar dan prinsip pemerintahan. Malaysia ialah negara majmuk dengan masyarakat pelbagai agama dan budaya. Tidak dinafikan arak adalah sebahagian daripada budaya dan kepercayaan sesetengah masyarakat bukan Islam. Islam juga tidak pernah menghalang penganut agama lain mengamalkan kepercayaan masing-masing. Namun, dalam ruang rasmi yang melibatkan kerajaan, sensitiviti terhadap Islam sebagai agama Persekutuan perlu diberi keutamaan. Ia bukan soal menghalang, tetapi meletakkan garis panduan jelas mengenai apa yang patut atau tidak patut berlaku dalam acara melibatkan pemimpin negara. Jika hidangan arak dianggap norma dalam acara rasmi, maka di mana garis pemisah antara amalan peribadi dan dasar negara yang berpaksikan Islam? Sebagai menteri Kabinet, kenyataan yang dikeluarkan membawa implikasi besar. Kenyataan bahawa isu ini hanyalah perkara kecil boleh dilihat sebagai suatu pengabaian terhadap nilai-nilai yang dijunjung oleh majoriti rakyat. Ia bukan sahaja boleh mencetuskan keresahan awam, bahkan membuka ruang kepada polemik yang tidak perlu jika dibiarkan berpanjangan tanpa penjelasan jelas dan berprinsip. Apa yang lebih membimbangkan apabila pemimpin yang telah mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong untuk menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan tidak lagi mengendahkan semangat terkandung di dalamnya. Jika nilai dan prinsip asas seperti kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan boleh dianggap isu kecil, maka apakah jaminan bahawa prinsip-prinsip lain akan terus dipelihara dengan serius? Isu ini memerlukan penjelasan terbuka, bukan untuk membesarkan perkara remeh, tetapi bagi mengelakkan persepsi bahawa kerajaan bersikap sambil lewa terhadap perkara melibatkan agama dan perlembagaan. Ia juga satu isyarat penting agar semua pihak, tanpa mengira latar agama dan kepercayaan dapat memahami had dan tanggungjawab dalam kerangka kenegaraan Malaysia. Pemimpin kerajaan perlu lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama. Kenyataan terbuka seperti ini tidak sahaja mencederakan persepsi rakyat terhadap kerajaan, bahkan boleh menjejaskan keharmonian yang selama ini dijaga dalam keadaan serba kompleks. Menghormati Islam sebagai agama Persekutuan bukan bermaksud menindas agama lain, tetapi meletakkan keutamaan pada asas yang telah disepakati dalam pembentukan negara ini. Ia juga bukan soal menolak kepelbagaian, tetapi menegakkan prinsip keadilan yang seimbang dengan identiti nasional. Dalam usaha membina negara yang inklusif dan progresif, para pemimpin mesti sentiasa berwaspada dan bijak menilai sensitiviti masyarakat. Apa yang mungkin dianggap remeh oleh sesetengah pihak, boleh menjadi bara dalam sekam jika terus dipandang ringan. – ND Nota Editor: Artikel ini mencerminkan pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi penerbit. Penerbit menggalakkan wacana yang sihat dan terbuka selagi ia bersifat membina dan menghormati perbezaan. - ND 08 Okt 2025

Tiada ulasan: