Jumaat, 3 Oktober 2025

Wajarkah FIFA Mengenakan Tindakan ke Atas Pasukan Bola Sepak Malaysia?

DUNIA bola sepak negara dikejutkan dengan pengumuman rasmi oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang memaklumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain untuk skuad kebangsaan. Dakwaan serius ini membabitkan tujuh pemain yang telah beraksi dalam dua perlawanan rasmi Kelayakan Piala Asia 2027. Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel, semuanya pemain naturalisasi yang telah diberi peluang menyarung jersi Harimau Malaya. FIFA dalam kenyataannya menyatakan, siasatan dalaman mendapati wujud pemalsuan dokumen dalam proses pendaftaran dan pengesahan status kewarganegaraan bagi tujuan kelayakan mewakili Malaysia di pentas antarabangsa. Ini bukan sahaja satu pelanggaran terhadap Artikel 5 dan 7 Statut FIFA berkaitan kelayakan pemain, malah juga mencemarkan integriti pertandingan antarabangsa. Menurut FIFA, kesalahan utama adalah pemalsuan dokumen dikemukakan FAM kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan FIFA sendiri. Dokumen tersebut termasuk surat pengesahan kewarganegaraan dan bukti hubungan keturunan yang diperlukan untuk memenuhi syarat kelayakan di bawah Artikel 7, “Acquisition of a new nationality”. Siasatan awal menunjukkan, beberapa dokumen dikemukakan untuk menyokong tuntutan pemain sebagai warganegara Malaysia atau berketurunan Malaysia adalah tidak sah, tidak sahih dan dalam beberapa kes, palsu sepenuhnya. Tindakan FIFA ini bukan sekadar memberi tamparan hebat kepada FAM, malah boleh memberi kesan besar kepada prestasi skuad negara dan reputasi bola sepak Malaysia secara keseluruhan. Antara tindakan yang berkemungkinan diambil termasuk pembatalan keputusan perlawanan melibatkan pemain tidak layak, denda kewangan yang tinggi terhadap FAM, penggantungan penyertaan Malaysia dalam kejohanan antarabangsa untuk tempoh tertentu dan individu dalam FAM yang terlibat boleh dikenakan tindakan peribadi, termasuk larangan aktif dalam bola sepak. Sekiranya, keputusan perlawanan melibatkan pemain yang tidak layak dibatalkan, ia akan menjejaskan kedudukan Malaysia dalam kumpulan Kelayakan Piala Asia 2027, sekali gus menjejaskan peluang ke kejohanan tersebut. Persoalan utama yang berlegar kini adakah tindakan FIFA ini wajar atau terlalu keras terhadap FAM? Dari sudut peraturan, FIFA berhak penuh untuk menguatkuasakan undang-undang berkaitan kelayakan pemain. Isu pemain naturalisasi bukan sesuatu yang baru dan FIFA telah lama memperketatkan syarat kelayakan susulan banyak negara cuba “memanipulasi” sistem dengan mengambil pemain luar yang tiada pertalian sebenar dengan negara mereka. Dalam kes Malaysia, jika benar berlaku pemalsuan dokumen, maka tindakan FIFA adalah sah di sisi peraturan dan selari dengan komitmen mereka untuk menjaga integriti bola sepak antarabangsa. Namun, terdapat juga suara menyatakan, FAM mungkin menjadi mangsa kelemahan sistem semakan dokumentasi dalam negara, bukan dengan sengaja melakukan pemalsuan. Sekiranya ini terbukti, maka pendekatan lebih inklusif dan bimbingan dari FIFA mungkin lebih sesuai daripada hukuman terlalu keras. FAM setakat ini belum memberikan penjelasan penuh kepada media berhubung dakwaan FIFA. Namun, satu kenyataan rasmi telah dikeluarkan menyatakan, badan induk bola sepak negara akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan dan sedang menjalankan audit dalaman ke atas proses naturalisasi dan pendaftaran pemain import. Menurut sumber dalaman, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi meneliti semua rekod dan dokumen berkaitan pemain import dalam skuad kebangsaan. FAM juga dijangka menghantar rayuan kepada FIFA serta mengemukakan dokumen tambahan bagi mempertahankan kesahihan proses naturalisasi tersebut. Berita ini menerima pelbagai reaksi daripada rakyat Malaysia. Di media sosial, ramai peminat meluahkan rasa kecewa dan marah terhadap FAM atas kecuaian yang boleh menggagalkan usaha membawa Harimau Malaya ke pentas lebih tinggi. Ada juga yang mempersoalkan keperluan terus bergantung kepada pemain naturalisasi dan menggesa supaya pembangunan bakat tempatan diberi keutamaan. Apa jua hasil siasatan nanti, satu perkara jelas, iaitu isu ini perlu dijadikan pengajaran besar buat FAM dan seluruh ekosistem bola sepak negara. Sistem pengesahan dokumentasi, proses naturalisasi dan integriti pentadbiran perlu dikaji semula secara menyeluruh. Tidak ada jalan pintas dalam membina pasukan kebangsaan yang berjaya. Pemalsuan atau kelemahan sistem hanya akan membawa padah lebih besar di pentas dunia. FIFA telah bertindak berdasarkan bukti yang dikumpul. Kini giliran Malaysia pula membuktikan bahawa kita masih berpegang kepada prinsip integriti dalam sukan, dan bersedia berubah ke arah yang lebih profesional dan telus. – POJOK ND 28 Sept 2025

Tiada ulasan: