Jumaat, 10 Oktober 2025
Isu Kewarganegaraan Pemain Naturalisasi: Antara Keperluan Sukan dan Keadilan Rakyat
ISU kewarganegaraan tujuh pemain bola sepak yang mewakili pasukan Harimau Malaya kembali mencetuskan kekeliruan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.
Keadaan ini menjadi semakin celaru selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberikan penjelasan dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini – satu penjelasan yang, bagi sebahagian besar pemerhati, menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.
Inti kebimbangan ramai ialah soal ketelusan dan kesaksamaan dalam pemberian taraf kewarganegaraan.
Rakyat melihat, apabila individu itu mempunyai nilai komersial atau potensi memberi keuntungan kepada negara seperti pemain bola sepak berbakat, makanya proses kelulusan seolah menjadi luar biasa cepat dan mudah.
Sebaliknya, ramai pemohon biasa, termasuk mereka yang telah menetap di Malaysia selama puluhan tahun, terus menunggu tanpa jawapan yang pasti.
Adakah nilai seseorang di mata kerajaan diukur berdasarkan sumbangan sukan dan populariti atau berdasarkan prinsip keadilan dan hak asasi yang dijamin Perlembagaan?
Lebih mengelirukan apabila kerajaan dilihat menggunakan peruntukan undang-undang yang dikatakan telah dimansuhkan bagi mempertahankan pemberian taraf kewarganegaraan kepada pemain tersebut.
Sekiranya benar peruntukan itu sudah tidak lagi terpakai, tindakan ini bukan sekadar teknikal, tetapi boleh menjejaskan integriti sistem perundangan negara.
Kewarganegaraan bukan sekadar dokumen, tetapi simbol kesetiaan, identiti dan tanggungjawab kepada negara. Maka, sebarang proses yang melibatkan pemberiannya mesti dilakukan secara telus, sah dari segi undang-undang dan tanpa pengecualian istimewa.
Ramai warganegara berpendapat, wujudnya “dua darjat” dalam pelaksanaan dasar kewarganegaraan. Pemohon biasa, termasuk anak-anak tanpa kerakyatan yang lahir di Malaysia sering kali menunggu sehingga 10 atau 20 tahun, malah ada yang meninggal dunia sebelum sempat menerima keputusan.
Namun, dalam kes pemain bola sepak profesional, kelulusan dilihat berlaku dalam tempoh singkat, kononnya demi “kepentingan negara dalam bidang sukan”.
Walaupun sukan memang berperanan dalam membina imej dan perpaduan nasional, alasan tersebut tidak sepatutnya dijadikan tiket untuk mengabaikan prinsip keadilan pentadbiran.
Tidak dapat dinafikan, kehadiran pemain naturalisasi telah membantu meningkatkan prestasi skuad Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.
Namun, pencapaian di padang tidak boleh dijadikan alasan untuk melonggarkan prinsip undang-undang atau mempercepatkan proses bagi sesetengah individu semata-mata.
Malaysia perlu mengimbangi dua kepentingan penting, iaitu pertama, kepentingan strategik sukan dan pembangunan bakat antarabangsa, dan kedua, keadilan serta ketelusan dalam proses pentadbiran negara.
Sekiranya kerajaan terus memilih jalan pintas dalam isu ini, ia hanya akan melemahkan kepercayaan rakyat terhadap sistem dan menimbulkan persepsi bahawa undang-undang boleh ditafsir sesuka hati.
Rakyat kini menuntut agar kerajaan mendedahkan secara terbuka asas undang-undang dan kriteria yang digunakan dalam pemberian taraf kewarganegaraan kepada pemain-pemain tersebut.
Di samping, mempercepatkan proses permohonan bagi ribuan individu tanpa kewarganegaraan yang telah lama bermastautin di Malaysia, dan
Menubuhkan satu mekanisme audit atau semakan bebas terhadap semua keputusan kewarganegaraan bagi memastikan tiada salah guna kuasa.
Hanya dengan langkah sedemikian, baharulah kerajaan dapat mengembalikan keyakinan rakyat bahawa prinsip “keadilan untuk semua” masih menjadi pegangan utama pentadbiran. – ND 10 Okt 2025
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
Telah dikhabarkan bahawa Dajjal Laknatullah dan para wazirnya telah berada di London untuk acara gilang gemilang Olympic 2012. Mereka telah ...

Tiada ulasan:
Catat Ulasan