Khamis, 30 Oktober 2025

Pertemuan Setelah 30 Tahun: Kisah Persahabatan, PAKSI dan Kenangan Ashabul Kahfi

Oleh: Manzaidi Mohd Amin SUDAH hampir, malah mungkin lebih tiga dekad lamanya kami, saya, Manzaidi, dan sahabat lama yang juga sudah bergelar Sasterawan Negeri Kelantan tersohor, Saudara Rosli K. Matari, tidak bersua muka. Hilang komunikasi, lenyap jejak dan sirna segala khabar tentang kegiatan masing-masing. Dunia penulisan dan kehidupan membawa kami ke arah haluan yang berbeza, jauh daripada nostalgia yang suatu ketika dahulu menjadi nadi persahabatan kami. Tiga puluh tahun bukan masa yang singkat. Banyak yang berubah: dunia kewartawanan, medan sastera dan wajah masyarakat. Namun, takdir Tuhan sentiasa punya cara yang lembut untuk mempertemukan kembali mereka yang pernah berkongsi makna dalam perjalanan hidup. Akar perkenalan kami tidak bermula secara kebetulan. Ia bertunas daripada sebuah panggilan telefon, satu peristiwa kecil yang akhirnya menjadi benih kepada hubungan panjang antara tiga insan seni: saya, Rosli dan seorang sahabat yang kini telah tiada, Allahyarham Hassan Jali (Al-fatihah). Pada suatu petang yang saya masih ingat dengan jelas, telefon saya berdering. Di hujung talian, suara Hassan Jali, lembut, tetapi ada nada serius. “Man, jom minum. Ada hal nak bincang,” katanya ringkas. Kami bertemu di sebuah kedai kopi di pinggir bandar Kota Bharu, tempat biasa kami berbual tentang dunia seni, politik dan hal kehidupan. Di situ, sambil menghirup kopi panas, Hassan memulakan bicara yang akhirnya membuka lembaran panjang dalam hidup saya. Katanya, dia baru menerima satu tugasan besar, mengarah sebuah teater berunsur sejarah keagamaan hasil tulisan Rosli K. Matari. Nama Rosli waktu itu hanya berlegar samar dalam ingatan saya. Kami jarang bertemu kerana beliau sibuk dengan tugasnya sebagai pendidik dan penulis prolifik yang sentiasa berada di medan kreatif. Dan, jika bertemu pun pada majlis atau program sastera di Gelanggang Seni, Kota Bharu. Namun, sebaik duduk bersetentang di kedai kopi, saya melihat wajah Hassan penuh keresahan. Dia berterus terang, “Aku bimbang, Man! Aku nak pentaskan teater ni, tapi takut tak dapat sambutan. Orang Kelantan bukan jenis suka sangat dengan kesenian dan kesusasteraan”. Saya terpinga-pinga mendengarnya. Lalu saya bertanya, “Apa masalahnya, Abang Hassan. Ini bumi Kelantan, bumi ambia, bumi Serambi Mekah. Takkan rakyat Kelantan tak minat teater berunsur keagamaan, lebih lagi kisah Ashabul Kahfi, yang ramai tahu daripada al-Quran, tapi jarang dilihat di pentas?” Hassan mengangguk. “Betul,” katanya. “Tapi yang membelenggu jiwa aku bukan soal sambutan, tapi soal watak. Ada watak seorang raja kafir, dan watak itu akan dilakonkan oleh pelakon beragama Islam. Aku risau tentang soal akidah”. Ketika itu barulah saya faham keresahannya yang sebenar. Rupa-rupanya, di sebalik kegusaran itu, Hassan sebenarnya mahu saya terlibat sama dalam projeknya, bukan sebagai pelakon, tetapi sebagai wartawan yang boleh membantu mencari kejelasan hukum. “Aku nak kau tulis story dan dapatkan pandangan mufti,” katanya dengan nada penuh harapan. Saya faham maksud tersiratnya. Dan keesokan harinya, saya menulis laporan khas mengenai niat Hassan untuk mementaskan teater tersebut dan isu watak raja kafir itu. Artikel itu diterbitkan dalam Berita Harian ruangan Sastera dan Budaya. Keesokan harinya, kisah itu mencetuskan gelombang. Bukan sahaja Mufti Kelantan memberi pandangan, bahkan Menteri Besar Kelantan ketika itu, arwah Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, turut tampil memberikan komen. Kedua-duanya menzahirkan pandangan yang sama, tidak bersetuju watak raja kafir dibawakan oleh pelakon Muslim. Arahan rasmi menyusul: jika teater itu mahu diteruskan, skrip perlu dipinda. Watak raja kafir mesti dilakonkan oleh pelakon bukan Islam. Dalam masa seminggu, laporan saya menjadi bualan, ada yang menyokong, ada yang menentang. Hassan akhirnya akur, dan perubahan dibuat seperti yang disarankan. Ironinya, selepas semua kekalutan itu, pementasan Ashabul Kahfi mendapat sambutan di luar dugaan. Tiket habis dijual, dan dewan penuh dengan penonton. Saya masih ingat wajah gembira Hassan pada malam itu. Di sebalik riak keletihan, ada kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Pementasan itu bukan sahaja berjaya mengangkat karya Rosli ke pentas, tetapi juga membuka mata banyak pihak, bahawa rakyat Kelantan sebenarnya haus akan karya yang berjiwa, karya yang membawa nilai dan pemikiran Islam secara halus dan mendalam. Di situlah saya belajar sesuatu, seni yang tulus niatnya tidak akan gagal. Ia mungkin diuji dengan salah faham, tetapi akhirnya akan diterima apabila masyarakat melihat keikhlasan dan ketulusan di sebalik pengkarya. Namun, selepas itu, hidup membawa kami jauh berbeza arah. Selepas saya meninggalkan Berita Harian Kota Bharu pada tahun 2004 dan berpindah ke Shah Alam, Selangor, hubungan kami bertiga terputus begitu sahaja. Saya sering tertanya-tanya, adakah Rosli menyimpan rasa hati terhadap saya kerana laporan itu menimbulkan kontroversi? Soalan itu saya simpan bertahun-tahun lamanya. Sehinggalah pada tarikh 16 September yang lalu, ketika saya menyertai Bengkel Penulisan Skrip Teater dan Persembahan Monolog anjuran PAKSI di Rumah Kebun Cikgu Sharifah dan Pak Kassim, Kampung Cita Jaya, Tanah Merah, takdir mempertemukan kami semula. Hari itu menjadi saksi kepada satu pertemuan yang saya tidak jangka. Di tengah-tengah suasana santai dan penuh semangat seni, muncul sosok yang amat saya kenali, Rosli K. Matari. Kami berpandangan seketika sebelum saling mendekat. Tiada kata yang keluar selain senyuman. Saat kami berjabat tangan, genggaman itu terasa hangat dan penuh makna, seolah memulihkan segala jarak dan diam yang memisahkan kami selama lebih tiga puluh tahun. Beberapa hari kemudian, saya membaca artikel tulisan Rosli K. Matari dalam majalah Dewan Sastera (bertarikh hari ini, 10 Oktober 2025). Dalam tulisannya itu, beliau mengimbas semula kenangan pementasan monolog di Tanah Merah, dan turut menyentuh kisah lama Ashabul Kahfi. Ternyata beliau tidak pernah menyimpan rasa marah atau kecewa terhadap saya. Malah, melalui tulisannya itu, saya tahu beliau menghargai perjuangan kami dulu. Dan di situ, saya menghela nafas panjang. Terima kasih, sahabat dan tidak terlewat untuk mengucapkan setinggi tahniah atas penganugerahan Sasterawan Negeri Kelantan 2019-2020 dan Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) 2021. Anda sememangnya layak. – ND 10 Okt 2025

Tiada ulasan: