Jumaat, 10 Oktober 2025
Isu Hidangan Tidak Halal di Majlis Rasmi: Kementerian, Agensi Kerajaan Harus Lebih Bertanggungjawab
ISU berkaitan penyediaan makanan dan minuman tidak halal, khususnya minuman beralkohol, dalam majlis yang dihadiri pegawai kerajaan atau wakil kementerian bukanlah perkara kecil yang boleh dipandang ringan.
Ia bukan sahaja menyentuh sensitiviti umat Islam, bahkan melibatkan soal perlembagaan, dasar kerajaan serta kewibawaan institusi yang mewakili rakyat.
Insiden terbaru membabitkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang dikritik hebat susulan penglibatan dalam satu majlis yang menghidangkan minuman beralkohol, membuka semula perbincangan mengenai keperluan setiap kementerian, jabatan atau agensi kerajaan lebih peka terhadap jenis hidangan yang disediakan dalam mana-mana majlis anjuran pihak luar.
Isu ini perlu dilihat secara lebih serius dan menyeluruh kerana ia melibatkan maruah perkhidmatan awam, penghormatan kepada agama rasmi negara, serta integriti dasar kerajaan yang menjunjung prinsip keadilan sosial, kepelbagaian dan keutuhan nilai-nilai murni.
Meskipun sesuatu majlis itu bukan dianjurkan oleh pihak kerajaan, sebarang penglibatan wakil kementerian, termasuk kehadiran menteri, timbalan menteri, ketua jabatan atau wakil rasmi kerajaan membawa bersamanya imej dan nama institusi kerajaan itu sendiri.
Tidak seharusnya berlaku keadaan di mana pihak kementerian atau pegawai yang hadir melepaskan tanggungjawab terhadap pemilihan makanan dan minuman atau apa sahaja persembahan di luar konteks kepada pihak penganjur semata-mata.
Sebaliknya, perlu ada inisiatif dan keprihatinan untuk memastikan apa jua hidangan dan persembahan yang disediakan tidak bercanggah dengan prinsip perundangan, dasar kerajaan atau norma masyarakat majmuk di Malaysia, terutama melibatkan hal ehwal Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.
Menghidangkan minuman keras atau makanan tidak halal dalam majlis yang dihadiri oleh wakil kerajaan boleh mengundang kekeliruan awam, kemarahan umat Islam serta menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap integriti kerajaan.
Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama telah lama mengamalkan pendekatan toleransi dan saling menghormati. Maka, langkah-langkah sewajarnya perlu diambil oleh pihak kerajaan untuk mengelakkan sebarang insiden yang boleh menggugat keharmonian ini.
Adalah penting untuk ditegaskan bahawa isu ini bukanlah soal menghalang hak orang bukan Islam, tetapi soal bagaimana wakil rasmi kerajaan yang beragama Islam atau mewakili institusi kerajaan hadir dalam majlis yang tidak selari dengan garis panduan perkhidmatan awam dan nilai-nilai agama yang dipegang oleh majoriti rakyat Malaysia.
Justeru, sudah tiba masanya pihak kerajaan mempertimbangkan penggubalan garis panduan rasmi berkenaan penglibatan kementerian atau agensi kerajaan dalam majlis anjuran luar, termasuk:
Kewajipan menyemak terlebih dahulu protokol majlis, termasuk jenis hidangan yang disediakan.
Arahan agar tidak menghantar wakil ke majlis yang diketahui menyediakan hidangan tidak halal atau minuman beralkohol, sekiranya tiada jaminan pemisahan atau penghormatan terhadap sensitiviti Islam.
Latihan dan pencerahan kepada pegawai-pegawai kementerian mengenai hal-hal sensitiviti agama, etika dan dasar protokol negara.
Dengan pelaksanaan garis panduan ini, sebarang insiden seperti yang berlaku baru-baru ini dapat dielakkan, sekaligus menjaga nama baik kementerian, menghormati sensitiviti masyarakat dan memelihara keharmonian antara kaum dan agama di negara ini.
Kerajaan harus mengambil iktibar daripada insiden yang berlaku. Adalah penting untuk semua wakil kerajaan menyedari bahawa kehadiran mereka dalam mana-mana majlis membawa sekali tanggungjawab moral dan simbolik terhadap dasar dan prinsip negara.
Tidak memadai sekadar menyalahkan pihak penganjur, sebaliknya institusi kerajaan itu sendiri mesti proaktif, tegas dan jelas dalam menilai kesesuaian sesuatu majlis sebelum menyertai atau menyokongnya secara rasmi.
Masyarakat umum, terutamanya umat Islam, mengharapkan kepimpinan yang berprinsip, peka dan bertanggungjawab terhadap nilai-nilai yang dijunjung oleh negara ini. – ND 07 Okt 2025
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
Telah dikhabarkan bahawa Dajjal Laknatullah dan para wazirnya telah berada di London untuk acara gilang gemilang Olympic 2012. Mereka telah ...

Tiada ulasan:
Catat Ulasan