Khamis, 30 Oktober 2025
Fenomena Artis Gah Umum Perceraian: Antara Hak Peribadi dan Tanggungjawab Sosial
DALAM minggu-minggu kebelakangan ini, masyarakat sekali lagi disajikan dengan berita perceraian selebriti tanah air. Lengkap dengan butiran lafaz talak, kronologi pergolakan rumah tangga dan kenyataan rasmi di laman media sosial.
Fenomena ini bukanlah perkara baharu. Namun, semakin hari kian menjadi budaya tular yang mencetuskan persoalan: mengapa urusan paling peribadi kini dijadikan tontonan umum?
Perceraian adalah urusan yang berat dan penuh emosi. Bukan sahaja bagi pasangan terbabit, tetapi juga bagi anak-anak dan keluarga kedua-dua pihak.
Dalam konteks selebriti, hak untuk menjaga maruah dan aib sepatutnya lebih dititikberatkan, memandangkan mereka sering menjadi perhatian masyarakat dan digelar “public figure”.
Namun begitu, dengan budaya media sosial yang serba terbuka, ramai artis memilih untuk menjadikan platform seperti Instagram atau TikTok sebagai medan meluahkan rasa dan menjelaskan keadaan.
Ada yang menyebut lafaz talak. Ada pula yang bangga menyatakan mereka yang meminta cerai. Walau niatnya mungkin mahu “menjelaskan keadaan sebenar”, kesannya jauh lebih besar, terutama persepsi masyarakat terhadap institusi perkahwinan.
Seorang artis bukan sekadar individu yang dikenali kerana bakat dan rupa paras. Mereka adalah ikon dan contoh teladan kepada ribuan, malah jutaan pengikut.
Justeru, setiap perkongsian mereka di ruang awam mempunyai kesan langsung terhadap nilai dan pemikiran masyarakat, khususnya generasi muda.
Ketika dunia digegarkan dengan berita kemanusiaan di Gaza, ribuan rakyat Palestin kehilangan nyawa akibat kekejaman Zionis, perhatian masyarakat tempatan pula sering dialihkan dengan isu sensasi perceraian artis.
Fenomena ini menunjukkan betapa mudah fokus sosial teralih kepada perkara yang tidak membawa manfaat. Bahkan, kadangkala menormalisasi perbuatan membuka aib dan memperkecilkan kesucian ikatan perkahwinan.
Dalam Islam, perceraian adalah perkara halal yang paling dibenci Allah. Ia dibenarkan hanya apabila tiada lagi jalan perdamaian. Namun, menghebahkan perceraian dan butiran peribadi secara terbuka bukan sahaja tidak membantu, malah boleh menimbulkan fitnah dan menjatuhkan maruah diri sendiri.
Tindakan segelintir artis yang mempamerkan kisah duka rumah tangga di media sosial bukan sahaja mencerminkan kegagalan mengawal emosi, tetapi juga mengundang persepsi bahawa mereka tidak menghormati batas etika dan nilai kesopanan yang menjadi tunjang budaya masyarakat timur.
Media juga perlu memainkan peranan penting dalam menilai nilai berita yang disiarkan. Bukan semua perkara yang mendapat perhatian harus dijadikan tajuk utama.
Etika kewartawanan menuntut keseimbangan antara “hak untuk tahu” dan “hak untuk menjaga maruah manusia”.
Masyarakat pula harus lebih bijak menilai, tidak semua kisah selebriti wajar diikuti, dikongsi atau dijadikan bahan bualan. Rasa ingin tahu tanpa batas hanya menggalakkan lebih ramai artis mengejar perhatian dengan mendedahkan hal peribadi.
Artis mempunyai hak sebagai manusia biasa, termasuk hak untuk berpisah jika itu jalan terakhir. Namun, dalam menjalani kehidupan sebagai tokoh awam, mereka juga mempunyai tanggungjawab moral untuk menjaga adab, maruah, dan kesan sosial terhadap masyarakat.
Apabila perceraian dijadikan tontonan, ia bukan sekadar kisah peribadi, ia adalah cerminan nilai masyarakat yang semakin menipis rasa malu.
Sudah tiba masanya selebriti dan media sama-sama berfikir semula: apakah yang kita mahu wariskan kepada generasi akan datang, nilai sensasi atau nilai insani? – ND 17 Okt 2025
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
Telah dikhabarkan bahawa Dajjal Laknatullah dan para wazirnya telah berada di London untuk acara gilang gemilang Olympic 2012. Mereka telah ...

Tiada ulasan:
Catat Ulasan