Khamis, 30 Oktober 2025
Pulang ke Tanah Air yang Musnah: Luka Palestin Belum Sembuh
LEBIH dua tahun berlalu sejak bumi Palestin sekali lagi diselimuti asap perang. Serangan bertali arus rejim Zionis Israel bukan sahaja meragut ribuan nyawa, tetapi turut menghancurkan setiap inci harapan rakyat Palestin yang ingin hidup dalam aman.
Kini, selepas pengumuman gencatan senjata antara pihak Hamas dan rejim Israel, dengan campur tangan kuasa-kuasa besar dunia, ribuan rakyat Palestin mula pulang ke tanah air mereka.
Namun, apakah yang menanti mereka? Bukan rumah. Bukan kebun zaitun. Bukan sekolah, masjid, atau pasar. Yang tinggal hanyalah batu-batu runtuhan dan debu kesan ledakan bom.
Di sempadan Gaza, ramai yang berjalan kaki pulang dari kem pelarian di selatan. Mereka tidak membawa banyak, hanya beg kecil, sedikit pakaian dan harapan.
Anak-anak memegang tangan ibu mereka sambil menatap kawasan yang dahulunya menjadi kampung halaman.
“Dulu sini rumah kami,” kata seorang wanita, menunjukkan tapak kosong yang kini berlubang besar. “Sekarang hanya batu dan debu”.
Sebahagian besar penempatan di utara Gaza dilaporkan musnah lebih 70 peratus. Rumah-rumah hancur, bekalan air dan elektrik lumpuh, hospital dan sekolah tidak lagi berfungsi.
Apa yang mereka panggil “pulang” kini hanyalah kembalinya mereka kepada realiti yang paling pahit, menjadi pelarian di tanah sendiri.
Perjanjian gencatan senjata yang ditaja Amerika Syarikat dan disokong beberapa kuasa besar dianggap ‘kejayaan diplomasi’. Namun, bagi rakyat Palestin, gencatan itu tidak lebih daripada jeda yang rapuh.
Tiada jaminan keselamatan, tiada komitmen pemulihan, tiada mekanisme pengembalian tanah yang dirampas. Rejim Israel masih mengawal lintasan sempadan, bekalan makanan, ubat-ubatan dan bahan binaan.
Gencatan senjata tidak bermakna kehidupan kembali normal, ia sekadar menghentikan seketika letupan bom yang saban hari memecah langit Gaza.
Sejak lebih tujuh dekad, isu Palestin tidak pernah selesai. Dari Nakba 1948 hingga ke serangan besar-besaran terbaru, sejarah menunjukkan satu pola yang jelas, perampasan tanah secara sistematik dan pembersihan etnik yang berterusan.
Setiap kali perang berhenti, peta Palestin semakin mengecil. Kampung-kampung yang hilang tidak dibina semula, malah tanahnya diambil alih oleh penempatan haram Israel.
Kini, generasi baharu Palestin membesar tanpa pernah melihat rumah asal ibu bapa mereka. Mereka mengenal kampung halaman hanya melalui cerita dan gambar yang disimpan di telefon.
Persoalannya, sampai bila dunia hanya memerhati? Setiap kali gambar kanak-kanak Palestin yang berdiri di tepi runtuhan tular di media sosial, simpati datang seketika.
Namun, bantuan kemanusiaan sering tersekat di pintu sempadan, diplomasi antarabangsa dibelenggu kepentingan politik, dan keadilan terus tertangguh.
Dunia moden yang mendabik dada dengan prinsip hak asasi kini diuji, apakah nilai kemanusiaan hanya untuk sesetengah bangsa?
Namun, di sebalik kehancuran, rakyat Palestin tidak pernah menyerah. Mereka membina semula khemah, mendirikan sekolah-sekolah kecil daripada serpihan papan dan kain terpakai, mengajar anak-anak menulis dan membaca walau tanpa meja dan buku.
“Selagi kami hidup di tanah ini, kami tidak akan hilang,” kata seorang guru muda di Khan Younis. Kata-katanya ringkas, tetapi membawa makna besar, Palestin masih hidup, walau tubuhnya luka parah.
Kepulangan rakyat Palestin ke tanah air bukanlah pengakhiran perang, tetapi permulaan bab baharu perjuangan. Perjuangan untuk membina semula kehidupan dari abu kehancuran.
Setiap batu yang diangkat, setiap anak yang dibesarkan di bawah khemah, adalah simbol keteguhan hati yang tidak mampu dimusnahkan oleh bom atau rejim mana sekalipun.
Selagi mereka masih berdiri di bumi itu, selagi itulah Palestin wujud. – ND 13 Okt 2025
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
Telah dikhabarkan bahawa Dajjal Laknatullah dan para wazirnya telah berada di London untuk acara gilang gemilang Olympic 2012. Mereka telah ...

Tiada ulasan:
Catat Ulasan