Khamis, 30 Oktober 2025

Keputusan KPM Beri Keistimewaan Kepada Perogol, Tamparan Kepada Mangsa dan Rakyat

KEPUTUSAN Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan empat pelajar Tingkatan Lima, pesalah kes rogol ke atas pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah, menduduki peperiksaan SPM merupakan langkah mengecewakan, selain mencabar moral masyarakat dan menghina maruah mangsa. Keputusan itu bukan sekadar soal prosedur pendidikan. Ia adalah soal nilai dan keadilan. Ia menzahirkan mesej berbahaya bahawa pelaku jenayah seksual masih boleh mendapat ruang istimewa, sementara mangsa dibiarkan bergelut dengan trauma dan stigma. Dalam masyarakat yang kononnya berpegang pada prinsip “pendidikan untuk semua”, kita harus bertanya, untuk siapa sebenarnya sistem ini berpihak? Mangsa rogol bukan sekadar kehilangan maruah, tetapi sering kehilangan suara dan masa depan. Apabila pelaku diberikan kelonggaran khas untuk menduduki peperiksaan, tanpa jaminan jelas bahawa keadilan untuk mangsa telah ditegakkan, ia memberi isyarat bahawa sistem lebih prihatin terhadap masa depan pelaku berbanding penderitaan mangsa. Kita tidak boleh terus bersembunyi di sebalik alasan “hak pendidikan” apabila hak asasi mangsa sendiri telah dirampas secara zalim. Hak pendidikan tidak boleh dijadikan perisai untuk menutup kejahatan. Tiada siapa menafikan bahawa setiap remaja, termasuk pesalah juvana, berhak kepada pendidikan. Tetapi hak ini tidak boleh diterjemahkan sebagai keistimewaan tanpa pertanggungjawaban. Sekiranya pelaku benar-benar mahu menduduki peperiksaan, biarlah ia dilakukan dalam pusat tahanan, bukan dengan campur tangan khas atau keputusan luar biasa yang menimbulkan persepsi berat sebelah. KPM perlu sedar, “memberi peluang kedua” tidak bermaksud “menghapuskan akibat”. Pelaku jenayah mesti menanggung kesan perbuatan mereka, dan pendidikan hanya boleh menjadi sebahagian daripada proses pemulihan, bukan pelarian daripada tanggungjawab moral dan sosial. Lebih parah, keputusan ini diumumkan tanpa penjelasan menyeluruh, seolah masyarakat tidak berhak tahu bagaimana dan mengapa kelonggaran ini diberikan. Ketika mangsa masih bergelut dengan trauma, tindakan sebegini menunjukkan kurangnya empati dan kepekaan daripada pihak berkuasa. Kementerian sepatutnya tampil dengan pelan pemulihan dan perlindungan untuk mangsa terlebih dahulu, bukan hanya memperjuangkan hak pelaku. Jika sistem terus beroperasi begini, jangan terkejut jika masyarakat, khususnya wanita dan remaja, hilang keyakinan terhadap institusi negara. Kita tidak boleh mendidik pelajar dengan nilai moral jika sistem sendiri menghantar mesej songsang bahawa kesalahan boleh “ditebus” dengan peperiksaan. Keputusan seperti ini menjadikan institusi pendidikan kelihatan longgar terhadap jenayah seksual, dan itu adalah pengkhianatan terhadap prinsip keselamatan serta maruah pelajar. Sekolah dan kementerian sepatutnya menjadi benteng melindungi pelajar, bukan tempat di mana pelaku diberi ruang istimewa. Pendidikan tanpa nilai keadilan hanyalah retorik kosong. KPM perlu menilai semula keputusan ini dengan segera. Hak pelaku untuk belajar tidak boleh mengatasi hak mangsa untuk mendapatkan keadilan. Negara ini tidak boleh terus mengamalkan dasar “simpati pada pelaku, diam pada mangsa”. Kita menyeru agar kerajaan, kementerian dan masyarakat secara keseluruhannya berdiri bersama mangsa, bukan sekadar dengan kata-kata, tetapi melalui dasar yang benar-benar menjunjung keadilan dan maruah manusia. Keadilan tidak boleh dibahagi dua. Jika sistem lebih cenderung melindungi pelaku daripada memulihkan mangsa, maka kita bukan sedang mendidik, tetapi sedang menormalisasi kekejaman. – ND 18 Okt 2025

Tiada ulasan: