Jumaat, 30 November 2007

Suara Orang Kita

Menang sorak, kampung tergadai
Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Kesebelas atau dengan kata lain ‘Sidang Bajet’ berakhir dua hari lalu.


Seperti tahun-tahun sebelum ini, suasana persidangan DUN yang berlangsung hampir seminggu itu tidak banyak berubah.

Bertikam lidah antara wakil kerajaan dengan pembangkang, tidak menjawab soalan dengan tepat, perli memerli, kata mengata, ingkar arahan Speaker, menjawab secara sinis dan sindir serta tepuk meja merupakan adegan biasa yang boleh dilihat dalam persidangan itu.

Ada yang tanya, sidang DUN kali ini tidak tegang seperti sebelum inikah. Kita jawab, "Mahu tidak tegang, bukan setakat perang mulut, malah hampir mencetuskan suasana seperti apa yang berlaku dalam sidang dewan di negara Taiwan".

Cuma tidaklah sehebat di Taiwan yang menyaksikan wakil kerajaan dan pembangkang tarik menarik rambut atau baju, tumbuk menumbuk muka atau perut, baling membaling kerusi atau fail dan lempar melempar kasut atau selipar tumit tinggi.

Di Kelantan semuanya terkawal dan wakil kedua-dua pihak pun masih lagi waras.

Bila rakyat tanya kenapa boleh jadi begitu? Kita hanya mampu menjawab, "Entahlah, barangkali mungkin itu syarat persidangan kot". Padahal kita ada jawapan lain yang lebih baik, tetapi kerana malas memanjangkan cerita, kita hanya jawab pendek dan selamba.

Jawapan sebenar ada pada tubuh badan wakil rakyat berkenaan. Hanya mereka tahu kenapa perkara itu berlaku. Semuanya terletak kepada Yang Berhormat-Yang Berhormat yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya umum mahupun pilihan raya kecil.

Mereka ini yang akan menentu atau mencorakkan sama ada dewan itu bersidang dalam suasana harmoni atau sebaliknya. Ketegangan bukan berpunca daripada campur tangan pemerhati, juga bukan kerana faktor tiada bekalan elektrik, tetapi ia berpunca daripada hati atau niat seseorang wakil rakyat.

Kalau mereka masuk ke dewan dengan niat hendak mencari jalan penyelesaian yang dihadapi rakyat dan mencari kaedah terbaik bagaimana hendak meningkatkan ekonomi negeri, insya-Allah persidangan itu akan berlangsung dalam suasana perdebatan yang sihat.

Segala masalah berbangkit dapat diselesaikan. Tetapi jika mereka masuk ke dewan untuk mengutuk pihak lawan dengan kata-kata kesat seperti ‘tidak cerdik’ atau ‘jakun’, tentunya ia akan menimbulkan ketegangan, dan ketegangan itu tidak akan berakhir walaupun sampai berterusan sampai ke hari kiamat selagi mereka yang ‘bertitle’ Yang Berhormat ini tidak ubah perangai.

Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, (muka surat 510) perkataan ‘jakun’ membawa erti penduduk asli Semenanjung Malaysia (yang tinggal di hutan Pahang, Johor dan Negeri Sembilan). Inilah antara perkataan atau ayat yang dilemparkan seorang YB dari wakil kerajaan kepada seorang ADUN dari pembangkang menyebabkan berlaku ketegangan dan hampir berlaku sepak menyepak.

Bagaimanapun, suasana itu dapat dikawal apabila beberapa orang YB dari kedua-dua pihak cuba menenangkan keadaan dan ia kembali seperti biasa apabila Speaker mengarahkan dua ADUN berkenaan duduk di kerusi masing-masing dan memberi tumpuan kepada sesi perbahasan.

Sejarah menunjukkan dalam tempoh 17 tahun sejak 1990, masalah rakyat di negeri ini tidak pernah dapat diselesaikan. Pelbagai isu berbangkit selama ini sehingga kini belum dapat diatasi sepenuhnya seperti penempatan rakyat miskin, perumahan, tanah, peneroka haram, pembalakan haram, kemiskinan tegar dan sebagainya.

Sepatutnya, persidangan DUN tempat terbaik untuk semua pihak mencari jalan penyelesaian, bermuafakat dan bermuhasabah diri. Mencari kelemahan diri dan baiki. Bukan hanya tahu membantah terhadap pihak yang mengemukakan cadangan.

Umum tahu, di luar gelanggang (Sidang DUN) Pas dan UMNO atau BN merupakan musuh tradisi yang sukar untuk disatukan. Tetapi di dalam gelanggang Pas merupakan kerajaan, manakala BN adalah pembangkang. Mereka harus sepakat. Menolak unsur dendam, benci, marah dan tidak sehaluan yang bersarang dalam diri. Yang penting ketika itu ialah masa depan rakyat dan negeri khususnya.

Jadilah pemimpin yang matang dan profesional ketika berada dalam dewan. Jangan berperangai seperti kebudak-budakan. Kawal tutur kata, awasi gerak laku dan berhati-hati dengan ucapan. Ini kerana sidang DUN itu dirakam dan videonya dijual di merata kedai.

Malulah kalau rakyat tengok gelagat kita. Selama ini kita selalu menyebut "dewan yang mulia ini" di depan rakyat. Tetapi apabila rakyat melihat gelagat kita yang menjerit-jerit dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada pihak lawan, rakyat tidak akan menghormati lagi kemuliaan dewan, sebaliknya beranggapan dewan tidak ubah seperti pentas ceramah.

Bezanya pentas ceramah tidak mempunyai pihak lawan, tetapi di dewan rakyat ada pihak lawan. Ini yang dikhuatiri akan berlaku. Persepsi rakyat terhadap kemuliaan dewan selama ini akan terhakis dengan sendirinya setelah melihat gelagat pemimpin mereka. Gelagat yang memalukan tercetus daripada isu yang remeh temeh.

Akhirnya apa yang mereka dan rakyat dapat? Mereka (ADUN) hanya menang sorak, sedangkan (rakyat) kampung tergadai. Rakyat di bawah terus terhimpit dengan masalah yang tidak dapat diselesaikan dari setahun ke setahun, dari sepenggal ke sepenggal.

Bilakah sesi tegang dalam DUN akan berakhir? Jawapannya, selagi YB-YB tidak mengamalkan sikap profesional sebagai Yang Berhormat, selagi itu kata putus dan suasana panas akan berlanju-tan. Rakyat akan muak dengan adegan-adegan seumpama itu.

Abe Li

Mulai hari ini - setiap Jumaat, saya akan cuba paparkan coretan saya iaitu Abe Li dan Suara Orang Kita untuk tatapan pelayar blog ini. Walaupun ia disiarkan dalam akhbar Sinar Harian setiap Jumaat di muka surat K20, namun saya terpanggil untuk memaparkan dalam laman ini.
MANDUL : DBP SAMA MACAM ORANG KELANTAN…
// ADA orang cakap di parlimen bahawa Jawatankuasa Istilah Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) kini telah ‘mandul’. Kata YB berkenaan DBP gagal mengembangkan istilah bahasa Melayu, banyak ambil istilah orang putih dan mudah sahaja jadikan istilah kita.
Sungguhpun Abe Li bukan pakar bahasa, bukan juga Ahli Yang Berhormat, apa yang dicakapkan di dewan itu menarik bunyinya. Sebab itu Abe Li rasa hendak tumpang semangkuk.
Selama ini yang Abe Li tahu istilah mandul itu ditujukan kepada orang perempuan yang telah berkahwin tetapi tidak boleh beranak. Mandul hanya pada perempuan, kita tidak boleh kata lelaki mandul.
Ada pun orang lelaki @ suami yang tidak dapat menghamilkan isterinya tidak boleh dipanggil mandul, sebab ada istilah yang lebih tepat untuk lelaki seperti ini, iaitu ‘mati pucuk’.
Kini istilah mandul telah diluaskan penggunaannya. Apa sahaja yang tidak produktif, atau tidak berkesan, boleh disebut mandul.
DBP mandul sebab bahagian istilahnya lembab, gagal mencapai matlamat mengembangkan istilah Melayu. Lepas ini jika ada mana-mana organisasi atau PBT atau apa sahaja yang tidak menepati sasaran, boleh juga kita kata mandul.
Maka boleh buat ayat begini: "Majlis daerah sekian-sekian telah diberi anugerah penyapu kerana mandul."
// ARAKIAN maka murkalah bos DBP, Datuk Dr Firdaus Abdullah dengan tuduhan mandul itu. Nampaknya dia tidak setuju betul anak buah pimpinannya dituduh mandul, lebih-lebih lagi apabila tuduhan itu dibuat di parlimen.
Katanya apa yang dinyatakan oleh YB berkenaan bukan sahaja satu penghinaan tetapi sekali gus memperlekeh usaha yang dilakukan oleh DBP dan ahli akademik juga pakar bahasa yang bertungkus lumus selama ini.
Bukanlah hendak memujuk atau menyatakan simpati, tetapi pada hemat Abe Li Dr Firdaus tidak perlu berasa terhina. Sebab bukan DBP sahaja yang mandul, ada sekian banyak agensi dan PBT lain di seluruh negara yang juga boleh dimasukkan dalam istilah mandul.
Malah, kalau hendak dikira DBP sendiri, bukan bahagian istilah sahaja yang mandul. Kepimpinan DBP patut insaf, dan mengakui bahawa banyak bahagian-bahagian lain di organisasi tersebut juga telah mandul.
// ABE LI tidak tahu setakat mana kemandulan Jawatankuasa Istilah DBP seperti yang didakwa di Dewan Rakyat itu. Sebagai orang biasa, kerdil pula, Abe Li melihat perkembangan bahasa kita seperti adanya sahaja.
Tetapi sekadar meneliti istilah-istilah baru berdasarkan Kamus Dewan, mungkin ada benarnya tuduhan bahawa jawatankuasa tersebut belum berjaya memperkaya khazanah istilah bahasa Melayu.
Apa yang jelas kita terlalu banyak mengambil istilah Inggeris untuk dengan mudah dijadikan istilah kita. Kata Dr Firdaus DBP telah berjaya mencipta lebih sejuta istilah baru sejak agensi itu ditubuhkan.
Bagi Abe Li tidak ada apa yang hendak dimegahkan walaupun kita mencipta 10 juta istilah, sekiranya istilah-istilah tersebut hanya saduran dari istilah-istilah Inggeris.
Mudah sangat hendak menmbah istilah kita: hanya cari mana-mana istilah Inggeris yang menarik, kemudian diubah ejaan atau ditukar sebutannya, dan diisytiharkan sebagai istilah Melayu!
Maka jadilah istilah-istilah baru bahasa Melayu seperti ‘administrasi’ (dari perkataan Inggeris administration), aktual (actual), bajet (budget), detergen (detergent), konsultansi (consultant), konsekuen (consequence), paracut (parachute) dan banyak lagi.
// BUKAN tidak boleh mengambil istilah asing untuk dijadikan istilah kita. Sekiranya kita memang tidak ada istilah untuk sesuatu perkara, tentu sekali kita boleh ambil istilah asing.
Sebagai contoh, tidak ada istilah Melayu untuk ‘carbon dioxide’, maka kita boleh tukar istilah itu untuk dimelayukan menjadi ‘karbon dioksida’.
Kita tidak ada istilah ‘bicycle’, jadi tidak salah untuk kita menukar istilah asal Inggeris itu menjadi ‘basikal’. Demikian juga halnya ‘rocket’ menjadi ‘roket’.
Tetapi apa perlunya kita mengambil istilah-istilah Inggeris untuk menggantikan istilah-istilah yang memang telah sekian lama wujud dalam perbendaharaan kata kita?
Mengapa perlu guna ‘administrasi’ sedangkan kita sudah ada perkataan ‘pentadbiran’? Kenapa guna ‘detergen’, kita boleh pakai ‘serbuk’ atau ‘cecair pencuci’?
Kita sudah ada istilah ‘belanjawan’ dan telah digunakan sejak sebelum perang dunia, kenapa tiba-tiba perlu diubah menjadi ‘bajet’?
Apa kurangnya ‘akibat’ maka kita perlu menggunakan ‘konsekuen’? Kenapa perlu pakai ‘konsultansi’ bukankah kita sudah ada ‘perunding’. Kenapa ‘paracut’ dan tidak ‘payung terjun’?
Pada hemat Abe Li apa yang perlu ditambah ialah istilah yang tidak ada dalam bahasa Melayu, bukan membuang istilah yang sedia ada untuk ditukar kepada istilah yang diklonkan dari bahasa Inggeris.
// KALAU setakat ambil istilah orang puteh kemudian tukar jadi istilah Melayu tidak payah tubuh jawatankuasa khas di DBP, sebab kawan-kawan Abe Li di Kelantan pun pandai cipta istilah Inggeris menjadi istilah daerah.
Orang Kelantan sudah lama guna istilah ‘pozik’ yang diambil dari istilah Inggeris ‘deposit’ (pendahuluan). ‘Rizak’ (keputusan) adalah dari istilah asal ‘result’, ‘saksobar’ dari perkataan ‘shaft absorber’, dan ‘giabok’ dari perkataan ‘gear box’.
Malah, di Kelantan ‘gear box’ tidak sahaja merujuk kepada alat ganti kenderaan, tetapi digunakan seharian untuk sejenis hidangan yang amat digemari, iaitu ‘sup giabok’.

Khamis, 29 November 2007

Duta berani redah demo 1,000 aktivis anti-Malaysia


Beginilah keajaiban negara bernama Malaysia.


JAKARTA: Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Zainal Abidin Mohamed Zain memerlukan hanya tiga minit untuk menyuraikan demonstrasi anti-Malaysia, yang sebelum itu berkobar-kobar dan kononnya akan berlangsung satu tindakan nekad di hadapan kedutaan di Jakarta pagi ini.

Lebih 1,000 pendemonstrasi anti-Malaysia daripada kalangan aktivis kebudayaan Reog Ponorogo, yang diapi-apikan semangat anti-Malaysia oleh pelbagai laporan media massa yang menuduh Malaysia telah mengambil dan mengakui berhak terhadap kesenian itu, akhirnya menyuraikan diri selepas mendengar penjelasan itu.

"Saya jelaskan di sini bahawa kerajaan Malaysia tidak pernah mengakui tarian Reog itu berasal dari Malaysia walaupun tarian itu ada di Johor dan Selangor," katanya dengan menggunakan alat pembesar suara.

Kira-kira 150 tahun lalu, rakyat dari Indonesia yang berhijrah ke Malaysia membawa kebudayaannya dan ia dipraktikkan oleh anak cucu mereka di sana sehingga hari ini, katanya dari atas pentas yang berupa sebuah kenderaan yang digunakan oleh pemimpin demonstrasi itu.

Setelah penjelasan yang menggunakan hanya kira-kira 50 patah perkataan sahaja itu, Zainal Abidin terus turun dari pentas itu dan kembali meneruskan tugas di pejabatnya, meninggalkan para pendemonstrasi itu terdiam seperti terpukau.

Akhirnya, sedikit demi sedikit mereka bergegas meninggalkan Jalan Rasuna Said yang sesak di hadapan kedutaan dan tiada satu pun lagi antara puluhan topeng singa Reog itu yang galak menari-nari dengan garang seperti kira-kira sejam sebelumnya.

Beberapa hari sebelum ini, heboh disebarkan khabar bahawa lebih 3,000 Reog (topeng singa berupa beruk) akan berdemonstrasi anti-Malaysia sehinggakan hampir semua stesen televisyen Indonesia membawa van siaran luar mereka bagi menyiarkannya secara langsung peristiwa itu.

Namun, tidak satu pun media massa dalam talian dan televisyen yang meliputi demonstrasi itu melaporkan aspek kecekapan diplomasi Zainal Abidin yang tampil dengan tenang menamatkan demonstrasi itu tanpa sebarang insiden buruk.

Kerana menjangkakan demonstrasi itu akan melibatkan tindakan keras dan kasar, ratusan polis Indonesia telah dikerah berkawal dan pagar dawai tajam anti-perusuh telah dipasang di hadapan pintu masuk ke kedutaan.

Sebelum keluar bertemu pendemonstrasi itu, Zainal Abidin bersetuju menerima beberapa orang wakil mereka di pejabat beliau.

Bercakap kepada Bernama selepas itu, Zainal Abidin berkata terlalu banyak tuduhan jahat dilemparkan terhadap Malaysia sejak kebelakangan ini dengan banyaknya laporan media dan perbincangan di laman web tempatan kononnya Malaysia telah mencuri pelbagai seni dan budaya Indonesia dan mengakui berhak ke atasnya.

"Entah dari mana timbulnya tuduhan kononnya Malaysia juga telah mempaten semua bentuk seni dan budaya itu termasuk batik dan lagu," katanya yang menjelaskan bahawa semua tuduhan itu tidak benar.

Duta Besar itu sendiri telah berkali-kali mengulangi penjelasan tersebut kepada media massa tetapi tuduhan demi tuduhan terus berlaku sehingga beliau berpendapat ada elemen jahat yang ingin merenggangkan hubungan akrab Malaysia dengan Indonesia dengan mengeksploitasikan seni dan budaya.

Eksploitasi seni dan budaya dilakukan oleh elemen jahat ini kerana ia merupakan isu warisan yang dibanggakan oleh rakyat Indonesia dan sangat sensitif di jiwa mereka serta dapat pula dengan mudah digunakan untuk membakar sentimen anti-Malaysia, jelasnya. BERNAMA

Rabu, 28 November 2007

Jenazah Siti Salmah selamat dikebumi

JOHOR BAHARU - Siti Salmah Jasni, gadis yang menderita penyakit Hipertensi Pulmonari dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi semalam selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam, Felda Taib Andak, Kulai, di sini (28hb Nov 2007/Rabu).

Allahyarham yang dilapor kritikal dan mengalami tekanan darah semakin rendah sebelum menghembus nafas akhir pada pukul 5.40 pagi disembahyangkan di Masjid Nur Saadah, Felda Taib Andak sebelum dikebumi selepas solat Zohor.

Siti Salmah, 18, pada 2 Nov lalu, selamat menjalani pembedahan pemindahan jantung dan paru-paru serentak selepas menerima sumbangan jantung dan paru-paru dari keluarga seorang wanita yang meninggal dunia akibat kemalangan di Kedah.

Allahyarham yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) IJN dilapor menunjukkan perubahan positif dari hari ke hari sebelum kritikal dan mengalami tekanan darah semakin rendah sejak malam semalam.

Pagi semalam doktor membuka tiub pernafasan yang dipakai Siti Salmah tetapi memasang semula pada petang setelah organ baru itu didapati belum kuat untuk berfungsi sendiri.

Bapa Allahyarham, Jasni Zainal, 52, berkata, beliau redha dengan kematian anaknya selepas melihat kesungguhan IJN dan menyedari risiko pembedahan yang dilakukan.

"Sudah takdir. Saya berterima kasih dan percaya IJN sudah melakukan yang terbaik untuk Siti Salmah walaupun tidak sangka anak saya akan meninggal dunia selepas melihat keadaannya yang positif beberapa hari lepas," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Jasni, seorang pemandu lori berkata, Siti Salmah anak kelapan dari 12 beradik itu berada dalam keadaan baik tengah hari semalam sebelum mengalami tekanan darah rendah kira-kira pukul 11 malam sehingga awal pagi ini.

"Saya kagum kerana dia masih menerima kenyataan kedua-dua kakinya terpaksa dipotong pada paras lutut kerana menghadapi masalah urat pada 7 Nov lepas.

Hari ini sudah takdir dia meninggal dunia dan saya sempat memenuhi permintaannya termasuk membelikan "walkman" untuk dia mendengar lagu," katanya.

Ibu Siti Salmah, Sabariah Mustafa, 49, pula ketika ditemui turut menyifatkan anaknya itu seorang yang kuat semangat walaupun manja dengan keluarga.

Beliau berkata, Siti Salmah kelihatan sihat tengahari semalam dan sempat memegang erat tangannya ketika beliau melawat anaknya itu.

"Saya juga sedar risiko pembedahan ini. Kejayaan pemindahan jantung terhadap Tee Hui Yee sebenarnya menguatkan semangat kami sekeluarga untuk mencuba pembedahan itu, namun mungkin Tuhan lebih sayangkan anak saya," katanya. - BERNAMA

AL-FATIHAH

Saranan Dr Faiz membujang hingga 2011 tidak sihat, diskriminasi


Saranan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis supaya bakal angkasawan negara, Mejar Dr Faiz Khaleed tidak berkahwin sehingga misi menghantar angkasawan kedua negara direalisasikan pada tahun 2011, disifatkan sebagai tidak sihat.
Ia hanya akan menimbulkan tekanan kepada Dr Faiz dan mereka yang berminat menyertai program angkasawan negara pada masa hadapan.
Cadangan supaya Dr Faiz tidak berkahwin... tidak sihat. Adakah ini satu dasar kerana kenyataan tersebut berunsur diskriminasi.
Ia juga mempunyai elemen tekanan kepada mereka yang berminat menyertai program angkasawan.
Pada 10 Nov lalu, Dr Jamaluddin mengeluarkan kenyataan bahawa Dr. Faiz tidak digalakkan mendirikan rumahtangga sehingga misi penghantaran angkasawan kedua negara selesai pada tahun 2011.
Ia bertujuan memastikan Dr Faiz sentiasa fokus pada setiap sesi latihan yang perlu diikutinya kelak, kata Dr Jamaludin, yang menjelaskan bahawa ia bukanlah satu paksaan, tetapi meminta bakal angkasawan negara itu memikirkan secara serius perkara itu sebelum membuat keputusan untuk berkahwin.
Dr Faiz ketika memberikan reaksi berhubung perkara itu akur dengan saranan menteri itu dan menyifatkan soal perkahwinan bukan masalah utama kerana menyedari keutamaannya pada masa ini adalah untuk menjayakan misi negara.
Turut dibangkitkan ialah isu cadangan pembelian kapsul Soyuz TMA11 yang ditawarkan Russia kepada Malaysia.
Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (BN Larut) menyifatkan pembelian kapsul Soyuz itu boleh menjadi satu mercu tanda dan bahan sejarah untuk tatapan generasi akan datang.

Selasa, 27 November 2007

Penerima organ, Siti Salmah meninggal dunia


KUALA LUMPUR: Siti Salmah Jasni, gadis yang menjalani pembedahan pemindahan jantung dan paru-paru serentak pada 2 Nov lalu, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini (27hb Nov 2007/Selasa).


Jurucakap IJN berkata, Siti Salmah meninggal dunia pada jam 5.40 pagi ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) IJN.


Keluarga Siti Salmah telah membawa pulang jenazah ke Kulai, Johor untuk dikebumikan, katanya kepada Bernama di sini.


Siti Salmah, 18, yang menderita penyakit Hipertensi Pulmonari sejak lima tahun lalu menerima sumbangan jantung dan paru-paru selepas keluarga seorang wanita yang meninggal dunia akibat kemalangan di Kedah bersetuju mendermakan organ itu.


Selepas pembedahan yang dilakukan oleh sekumpulan pakar IJN, Siti Salmah dilaporkan menunjukkan perubahan positif dari hari ke hari.


Semalam doktor membuka tiub pernafasan tetapi memasang semula pada petang setelah organ baru itu didapati belum kuat untuk berfungsi sendiri.


Keadaan gadis itu kemudian dilaporkan kritikal dan tekanan darah semakin rendah sebelum menghembuskan nafas terakhir. BERNAMA.


Al-Fatihah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman. Amin

Laibaikallah hu malabaik

Kepada Jemaah Haji, Saya merakamkan ucapan Selamat berangkat ke Tanah Suci Mekah dan Selamat Kembali Ke Tanah Air.
Semoga kalian memperoleh haji mabrur. Insya-Allah.