Sebagaimana dijanjikan, hari ini saya meluangkan sedikit masa untuk memaparkan rentetan sejarah politik mengenai Zaid Ibrahim. Apa yang saya paparkan ini adalah berdasarkan pengalaman saya dengan beliau bermula tahun 1994 sehingga Januari 2008 lalu.
Saya mengenali Zaid Ibrahim pada tahun 1994 melalui seorang rakan yang beriya-iya minta saya menulis berita mengenai Zaid. Berita bersifat promosi yang antara lain bertujuan untuk memperkenalkan Zaid kepada ahli UMNO Kota Bharu dan rakyat Kelantan khususnya.
Ketika itu, tiada siapa pun termasuk saya mengenali Zaid dan tidak ada seorang pun tahu siapa Zaid, melainkan konco-konco yang membawanya balik ke Kelantan.
Ketika pertama kali bertemu dengannya (di kediaman beliau di Pasir Hor, Kubang Kerian - rumah paling besar dan mewah ketika itu), beliau memakai kot, bertali leher dan bercakap sleng mat salleh.
Tanpa segan silu saya beritahu kepadanya, saya dari surat khabar Melayu, bukan Inggeris dan bos (saya bahasakan dirinya sebagai bos) perlu bercakap dalam bahasa Melayu (sebenarnya saya tidak faham bahasa mat salleh) untuk mudahkan saya buat artikel mengenainya. Dia setuju.
Dalam perbualan (temu ramah) itu, dia tidak dapat lari daripada menyelitkan bahasa orang putih (sebenarnya hampir 70% isi pertuturannya mat salleh). Ini membuatkan saya terkial-kial dan membiarkan dia dengan gayanya. Nanti bila selesai temu ramah itu saya akan rujuk pada rakan yang mahir dalam bahasa mat salleh.
Artikelnya keluar dalam akhbar Bacaria. Dua muka surat penuh. Dia beli 1,000 naskhah surat khabar itu untuk dia tabur atau berikan kepada ahli UMNO Bahagian Kota Bharu. Tujuannya dia mahu promosikan dalam surat khabar ialah untuk bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu yang ketika itu disandang oleh Datuk Ahmad Rastom.
Ternyata kekuatan Datuk Rastom sukar digugat. Zaid kalah teruk dalam pertandingan itu. Sejak berita itu keluar, saya tidak lagi mendekati Zaid kerana pada saya, dia bukan taraf saya untuk dirapati (sebab utamanya, dia cakap mat salleh. Saya memang fobia gila).
Tetapi sejak itu juga, dia sering hubungi saya dan ajak berjumpa sambil-sambil minum dan makan satay di Kubang Kerian. Ada tikanya saya terima pelawaan itu dan ada tikanya saya tolak dengan baik. Apapun, hubungan kami semakin akrab. Banyak masalah berkaitan politik, dia minta saya membantunya. Saya hanya membantu sekadar yang mampu.
Hampir-hampir pilihan raya umum tahun 1999, nama Zaid dikatakan naik sebagai calon. Tetapi tidak tahu di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) mana. Dia membuat persiapan untuk menonjolkan dirinya, tetapi malang, usahanya itu dihalang dan disekat oleh orang-orang dipercayai orang Datuk Ahmad Rastom. Saya berusaha mendapatkan maklumat kenapa UMNO Bahagian Kota Bharu menolak kehadiran Zaid.
Jawapan samar-samar yang dengar ialah "Zaid orang Anwar Ibrahim". Saya tidak percaya dan buang tuduhan itu kerana saya menganggap itu adalah sawo atau propanganda orang politik untuk menolak kehadiran orang politik lain. Akhirnya Zaid terpaksa akur, dia tidak diterima oleh ahli dan rakyat Kota Bharu.
Dia minta tolong saya ikhtiar. Saya berjumpa Datuk Ibrahim Ali yang ketika itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan memintanya membantu saya. Beliau cadangkan saya membawa masuk Zaid ke Tumpat. Ketika itu di Tumpat, ketuanya, Datuk Mansor Salleh sedang berperang dengan Datuk Kamaruddin Jaafar. Datuk Kamaruddin balik ke Tumpat untuk merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian itu.
Dengan bantuan Datuk Ibrahim, saya berjumpa dengan beberapa pemimpin peringkat cawangan di Tumpat dan aturkan beberapa program untuk Zaid. Program pertama beliau di Tumpat ialah menyampaikan bekalan makanan kepada penduduk miskin yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Tumpat di gugusan pulau di Pulau Beluru, Tumpat.
Ternyata, kehadiran di Tumpat mula diterima oleh ahli UMNO Bahagian itu dan penduduk Tumpat khususnya. Ketika itu, saya langsung tidak mengesyaki Zaid mempunyai agenda (sebagaimana dituduhkan oleh orang-orang Datuk Ahmad Rastom - yang Zaid adalah orang Anwar). Saya juga hampir-hampir hendak menggunakan nama satu persatuan untuk membeli iklan ucapan terima kasih kepada Zaid atas keprihantinannya menyampaikan bantuan bekalan makanan kepada penduduk.
Sehari ketika hari penamaan calon, Zaid dan saya termasuk para penyokongnya komited Zaid akan dicalonkan sebagai Ahli Parlimen Tumpat. Sehingga jam 3 petang pun Zaid memanggil saya ke rumahnya untuk berbincang mengenai kempen pilihan raya. Kiranya, saya ketika itu menjadi orang penting beliaulah.
Keesokkan hari, ketika semua pemimpin termasuk Zaid dan saya berdebar-debar menunggu Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan nama calon, saya terpaksa tinggalkan Zaid seketika kerana perlu membuat liputan. Sayakan wartawan, mana boleh berkepit dengan Zaid 24 jam. Saya perlu utamakan kerja saya sebagai wartawan. Habis kerja, bolehlah saya membantunya.
Tetapi saya tidak bersikap prejudis. Saya tidak pernah menggunakan akhbar tempat saya bekerja untuk menaikkan Zaid. Dan Zaid pun faham keadaan itu. Saya tidak mahu dikatakan saya telah dipergunakan (walaupun pemimpin dan orang kuat Pas sudah menganggap begitu kepada saya).
Sehingga jam 4 petang pada hari penamaan calon, saya terkejut mendapati nama Zaid tidak ada dalam senarai orang yang dicalonkan sama ada sebagai Ahli Parlimen atau DUN. Saya cuba menghubungi Zaid untuk memaklumkan perkara itu. Malangnya, dia sudah tahu lebih awal dan ketika dia menerima panggilan saya, dia sudah berada di airport hendak balik ke Kuala Lumpur.
Ternyata nadanya cukup kecewa. Sebelum naik kapalterbang. Dia sempat mengucapkan terima kasih kepada saya kerana membantunya selama ini. Dia juga minta maaf pada saya menyebabkan saya tidak cukup tidur kerana menghabiskan banyak masa membawanya ke hulu ke hilir. DARI SITULAH BERMULANYA DENDAM ZAID TERHADAP DR MAHATHIR. Dia juga turut bermasam muka dengan Datuk Ibrahim Ali.
Lama dia menyepi diri. Jarang-jarang sekali dia balik ke Kota Bharu dan cuba berkompromi dengan Datuk Rastom, tetapi tidak berjaya. Akhirnya, setelah dua kali kalah dalam merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, rezeki Zaid mula nampak. Dalam perebutan jawatan sebelum berlaku pilihan raya umum 2004, dia berjaya menewaskan Datuk Rastom.
Antara kejayaannya pada peringkat awal memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu ialah menyiapkan pembinaan pejabat UMNO Kota Bharu yang terbengkalai sejak tahun 1990.
Sebelum itu, Zaid bergerak menerusi badan bukan kerajaan (NGO) seperti menubuhkan Yayasan Orang Kurang Upaya (YOKUK) di Padang Tembak, Pengkalan Chepa dan menjadi Presiden Persatuan Pelindung Pengguna Kelantan iaitu persaingan kepada Persatuan Pengguna Kelantan. Betullah kata orang tua-tua, kalau niat tidak ikhlas, bukalah persatuan apapun, tidak akan kekal lama. Memang benar Persatuan Pelindung mula malap.
Sebelum tiba tarikh pilihan raya umum tahun 2004, Zaid dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan. Pengerusi ketika itu ialah Datuk Mustapa Mohamed. Ketika memegang kerusi nombor dua UMNO Kelantan itu, beliau hilang arah. Tidak tahu hendak rancang apa-apa aktiviti.
Sehinggalah pada satu hari, beliau memanggil saya ke rumahnya. Kami makan tengah hari dan dia tanya saya, apa dia nak buat? Katanya, dia adalah Timbalan Pengerusi, tetapi tak tahu hendak buat apa-apa. Katanya lagi, dia takut nanti Tok Pa terasa hati kerana timbalan melebihi ketua. Saya ketawa kerana berbaur nada lucu. Nampak sangat kebodohannya apabila diberi tanggungjawab sebagai pemimpin. Sebelum ini beriya-iya hendak merebut jawatan, tetapi apabila sudah diberi tanggungjawab, beliau tidak tahu hendak mulakan di mana.
Saya bagi cadangan kepadanya. Kata saya, "Bos boleh pergi ke kawasan pedalaman di Dabong untuk bela peneroka di sana. Mereka sekarang ini dalam keadaan tertekan setelah kerajaan Pas hendak mengambil semula tanah yang mereka teroka sejak 40 tahun lalu.
Saya katakan kepadanya, sebelum ini peneroka itu dibela oleh Datuk Ibrahim Ali, tetapi kerana dia dipecat, dia tidak lagi boleh berbuat demikian. Jadi bos kena teruskan kesinambungan itu.
Mendengar nama Datuk Ibrahim, Zaid tiba-tiba tersedak. Saya perasan dan cuba jelaskan kepadanya. "Bos... saya tahu bos tak boleh dengar nama Datuk Ibrahim dan Dr Mahathir. Bos benar-benar fobia dengar nama tu sebab peristiwa 1999.
"Dalam soal ini, bos kena fikirkan nasib peneroka. Bos tak boleh fikirkan Ibrahim Ali. Kalau bos setuju, petang nanti saya uruskan program bos ke sana (Kampung Mahligai, Dabong - 157 kilometer dari KB).
Akhirnya Zaid akur dan setuju. Majlis lawatannya ke kawasan ulu diatur. Peneroka menyambut baik usaha Zaid untuk membawa kes itu ke mahkamah. Ringkaskan cerita, kerajaan negeri kalah, peneroka menang. Inilah kejayaan Zaid.
Tiba pilihan raya umum tahun 2004 (ujian pertama bagi Pak Lah setelah Dr Mahathir letak jawatan), Datuk Zaid dipilih sebagai calon ADUN Bunut Payong. Dia tidak puas hati dan buat piket di depan pejabat UMNO Negeri. Dia desak Tok Par agar letakkan dia di kerusi Parlimen, bukan DUN. Kecoh satu Kelantan pada hari itu menyebabkan pengumuman nama calon ditarik balik dan ditangguh.
Semua negeri sudah mempunyai senarai nama Ahli Parlimen dan DUN, hanya Kelantan belum. Ini kerana gara-gara Zaid enggan dicalonkan kerusi DUN. Sikap tamaknya mula nampak. Dia hubungi saya untuk buat kenyataan akhbar, tetapi dari situ saya mula tawar hati dengan sikapnya. Saya mula bersikap dingin dan menganggapnya sebagai manusia yang tidak pernah berterima kasih.
Semua Ketua-ketua Bahagian di Kelantan setuju untuk bertanding di peringkat DUN, tiba-tiba dia seorang enggan menerimanya. Hancur rancangan UMNO Kelantan untuk merampas Kelantan daripada Pas. Ketika itu, masih kedengaran suara-suara melaungkan, "pecat Zaid...dia orang Anwar"... Saya tertanya-tanya kembali. Ungkapan yang pernah saya dengar pada pertengahan 1990-an, kedengaran lagi pada awal 2000.
Pendekkan cerita: Zaid dilantik sebagai Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri oleh Pak Lah. Portfolio dia ialah menjaga hal ehwal undang-undang dan mahkamah iaitu portfolio yang diberikan Dr Mahathir kepada Datuk Ibrahim ketika memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1998 hingga 1999.
Di pendekkan cerita lagi: Zaid mengungkit kembali kes enam hakim yang dipecat dan mengheret Tun Mahathir. Beliau menggunakan jawatan menteri untuk membalas dendam kepada Tun Mahathir.
Kemudian beliau mula menunjukkan belangnya dengan mempertikaikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hingga sanggup meletakkan jawatan sebagai menteri. Dia buat demikian bukan kerana hendak tunjukkan jaguh, tetapi untuk memperlihatkan siapa dirinya sebenar.
Sehinggalah hari ini, beliau yang pernah mempertikaikan ketuanan Melayu menonjolkan dirinya bersama barisan pemimpin atasan DAP di Pulau Pinang. Kehadirannya adalah untuk mempromosikan 'Bangsa Malaysia', bukan bangsa atau orang Melayu. Wallahu'alam.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
2 ulasan:
salam link blog saudara
Silakan dan terima kasih atas lawatan ke blog ini.
Catat Ulasan