Khamis, 25 Julai 2013

Al-Fatihah: Seniwati veteran Umi Kalthum meninggal dunia


Allahyarhamah Umi Kalthum
KUALA LUMPUR - Seniwati veteran Datin Umi Kalthum, 81, meninggal dunia di rumahnya di Taman Ukay Prima, Saujana Melawati hari ini.

Menurut anak keempat Allahyarham, Noorkumalasari, 57, ibunya tidak bergerak ketika dikejutkan untuk bangun bersahur kira-kira jam 4.30 pagi ini.

"Mak tidak ada penyakit dan beliau masih cergas walaupun sudah mencecah 81 tahun. Kali terakhir saya menemuinya dua hari lepas ketika menghantar sambal ikan bilis dan kami berborak seperti biasa," katanya kepada Bernama.

Noorkumalasari berkata, jenazah Allahyarham akan dimandikan di Masjid Al-Mardhiyah, Taman Melawati sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Klang Gate, Hulu Klang dekat Kuala Lumpur sebelum solat Zuhur.

Allahyarham meninggalkan lapan orang anak, empat lelaki dan empat perempuan, 22 orang cucu dan seorang cicit hasil perkahwinannya dengan pelakon Allahyarham S.Roomai Noor.

Semasa hayatnya Umi Kalthum atau nama sebenarnya Patimah Bahudin berlakon dalam lebih 20 buah filem antaranya Bawang Putih Bawang Merah, Raden Mas, Laila Majnun, Menanti Hari Esok dan Syukur 21.

Sementara itu, seniwati Rosnani Jamil, 77, rakan seangkatannya dalam bidang seni berkata, beliau terkilan kerana hajatnya untuk berbuka puasa dengan Allahyarham yang dirancang pada 3 Ogos depan tidak kesampaian.

"Kami rancang nak jumpa pada majlis buka puasa anjuran Persatuan Kebajikan Artis Veteran di bangunan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), tetapi Allah terlebih dahulu menjemputnya, saya reda," katanya.

Seniman Datuk Aziz Satar, 88, pula berkata, beliau mengenali Allahyarham di Singapura pada 1956.

"Hubungan kami sebagai kawan tak pernah putus. Allahyarham seorang yang suka ketawa dan saya selalu mengusiknya bila kami berjumpa," katanya.

Tiada ulasan: