Ng Mun Tatt, 21, yang cedera di muka dan badannya berkata, ketika ditahan, kumpulan itu tidak mengaitkannya dengan perbuatan menghina Melayu atau Islam, berbeza dengan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang disebarkan.
Beliau yang mengadakan sidang media bersama abang iparnya, Mak Wai Weng berkata, keluarganya menganggap kejadian itu dilakukan pihak yang mahu mendapatkan wang tebusan.
"Saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kata-kata menghina masyarakat Melayu dan agama Islam dalam laman sosial Facebook dan Twitter, selain mengakui tidak fasih berbahasa Melayu," katanya.
Katanya, pada hari kejadian, dia bersama teman wanitanya dan beberapa rakan pergi ke sebuah restoran di Taman Sri Muda.
"Tidak sampai 10 minit, saya didekati dua lelaki yang meminta mengikuti mereka dan tiga lagi lelaki ke sebuah flat sebelum meminta saya menghubungi keluarga untuk mendapatkan wang.
"Mereka menutup mata saya dengan kain serta menumbuk dan memukul saya menggunakan kayu seluruh badan. Saya juga dibawa ke tiga bank untuk memaksa saya mengeluarkan wang," katanya.
Mun Tatt berkata, selepas itu, dia dibawa ke satu kawasan kebun kelapa sawit dan ketika di sana, dia terus dipukul dan dipaksa menghidu gam.
Katanya, dia ditelanjangkan kumpulan itu sebelum perkataan 'saya hina agama Islam' ditulis pada badannya dengan alasan jika dia melarikan diri, tentu akan dipukul orang Melayu yang ternampak apa tertulis pada badannya.
Mun Tatt berkata, dia hanya mengetahui dakwaan diculik kerana menghina orang Melayu dan Islam selepas dimaklumkan kakaknya yang menyatakan seseorang memuatkan dakwaan itu dalam Facebook, selain membaca laporan akhbar berbahasa Cina, sehari selepas kejadian.
Sementara itu, Wai Weng berkata, dia dihubungi seorang lelaki yang tidak dikenali jam 5.15 pagi Isnin lalu memintanya memasukkan RM5,000 ke dalam akaun milik Mun Tatt jika mahu adik iparnya itu dilepaskan.
Katanya, beliau yang pada mulanya meminta jumlah itu dikurangkan kepada RM500 kerana tidak dapat mencari wang RM5,000 kemudian melakukan pemindahan RM3,000 ke akaun adiknya selepas dipersetujui lelaki berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan