KUALA LUMPUR - Selepas lapan hari
meringkuk di penjara, pasangan blogger kontroversi, Alvin Tan dan Vivian
Lee hari ini dibebaskan dengan jaminan setelah Mahkamah Tinggi di sini, membenarkan semakan kehakiman mereka berhubung isu jaminan.
Hakim Datuk Azman Husin membenarkan semakan selepas meneliti nota
prosiding Mahkamah Sesyen dan mendengar hujahan kedua-dua pihak yang
terlibat dalam permohonan berkenaan.
Beliau membuat keputusan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah dan Seksyen 35 Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman.
Beliau bagaimanapun mengekalkan perintah Hakim Mahkamah Sesyen,
Murtazadi Amran agar ketiga-tiga pertuduhan terhadap mereka dibicarakan
bersama kerana membabitkan saksi-saksi yang sama.
Selain menetapkan jaminan RM30,000 dengan dua orang penjamin setiap
seorang, Hakim Azman turut mengenakan empat syarat tambahan iaitu
pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.
Pasangan itu juga dilarang memuat naik sebarang artikel, gambar lucah
atau provokatif serta apa-apa tulisan dan komen di dalam internet yang
boleh menyentuh sensitiviti agama dan kaum atau yang boleh menyebabkan
permusuhan.
Alvin dan Vivian turut ditegah menggunakan peranti komunikasi seperti
telefon pintar atau sebarang gajet yang membolehkan mereka mengakses
internet dan memuat naik perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum
dan agama.
Selain itu, mereka juga diperintah melapor diri di balai polis berdekatan pada 1 haribulan setiap bulan.
Pada 18 Julai lalu, Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan
pihak pendakwaan agar Alvin atau nama sebenarnya Tan Jye Yee, 25, dan
Vivian atau Lee May Ling, 24, tidak dibebaskan dengan jaminan.
Ini kerana menurut pendakwaan, mereka mempunyai kecenderungan memuat
naik artikel atau komen yang boleh menyinggung perasaan dan
membangkitkan kemarahan orang ramai.
Pasangan terbabit yang turut dikenali dengan nama Alvivi kemudian ditahan di Penjara Sungai Buloh dan Kajang.
Pada 18 Julai lalu, mereka mengaku tidak bersalah menerbitkan satu
penerbitan menghasut di laman Facebook Alvin and Vivian - Alvivi di
pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers iaitu kandungan
gambar dan komen yang bertajuk ''Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut
Teh..wangi, enak, menyelerakan !!!'' berserta logo halal.
Bagi pertuduhan kedua, Alvin dan Vivian didakwa mempamerkan gambar-gambar lucah di http://alviviswingers.tumblr.com/ di tempat sama, antara 6 Julai dan 7 Julai lalu, antara pukul 9 malam dan 2 pagi.
Pasangan itu juga didakwa memuat naik di laman Facebook mereka satu
kandungan gambar dan komen yang sama, berkemungkinan menyebabkan
perasaan permusuhan atas alasan agama di kalangan penganut agama
berlainan.
Mereka didakwa mengikut Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan serta Akta
Penapisan Filem 2002 dan kes itu akan disebut semula pada 23 Ogos ini.
Terdahulunya Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff berhujah,
mahkamah itu perlu mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak
pembebasan dengan jaminan kerana terdapat bukti pasangan terbabit akan
mengulangi perbuatan mereka.
Menurut beliau, kecenderungan itu dapat dilihat melalui beberapa siri
tweet mereka antara 12 dan 13 Julai lalu dan kepentingan awam perlu
dijaga bagi memastikan tidak akan berlakunya sebarang keresahan di
kalangan kaum.
Ishak turut dibantu oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin dan Nadia Mohd. Izhar.
Sementara itu, peguam Chong Joo Tian berhujah, kecenderungan itu
tidak wujud kerana anak-anak guamnya itu telah menerbitkan permohonan
maaf terbuka melalui laman sosial Facebook, YouTube dan Twitter malah
turut menukar gambar yang memaparkan Bak Kut Teh itu kepada gambar
karipap dan ketupat.
Beliau berkata, apa yang dinyatakan melalui tweet adalah sebelum permohonan maaf terbuka dibuat.
''Facebook telah disekat, permohonan maaf dah dibuat dan saya percaya
anak guam saya telah menyesal apabila ditahan. Jadi, apa lagi
pendakwaan mahu?,'' kata peguam terbabit.
Joo Tian turut membangkitkan isu, Alvin telah diletakkan di lokap
berasingan dengan banduan lain (isolation detention) yang disifatkan
sebagai satu bentuk hukuman.
Sementara itu, kedua-dua tertuduh tidak sempat dibawa ke mahkamah
petang ini untuk dibebaskan dan akan dibawa semula pagi esok bagi
perintah pembebasan.
Ishak bagaimanapun menyifatkan, tidak wajar peguam itu menyamakan penahanan berasingan sebagai satu bentuk hukuman.
Hakim Azman mencelah bagi meredakan keadaan: ''Kalau letak sekali
takut kena hentam. Kesian kat dia. Kita pun nak jaga dia. Tengok betapa
prihatinnya pihak pendakwaan.''
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan