Khamis, 25 Julai 2013

BN kekal kemenangan di Kuala Besut



Calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (dua, kiri) memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada Rabu dengan majoriti 2,592 undi. Turut serta ialah Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri). BN memperoleh 8,288 undi manakala PAS 5,696 undi.

BESUT: Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada Rabu dengan majoriti 2,592 undi.

PRK Kuala Besut menyaksikan calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman memperoleh 8,288 undi manakala calon PAS, Endut @ Azlan Yusof mendapat 5,696 undi.

BN berjaya menambah majoriti sebanyak 158 undi.

Che Long Tidak Tunjuk Muka Lepas Tewas

Calon PAS, Endut @ Azlan Yusof serta penyokong parti itu tidak hadir di tempat penjumlahan undi di Dewan Majlis Daerah Besut.

Kelibat Azlan yang dikenali sebagai 'Che Long' tidak kelihatan ketika pegawai pengurus pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut menjemput calon Barisan Nasional (BN) dan PAS naik ke pentas sebelum keputusan rasmi diumumkan.

Secara keseluruhan Azlan hanya menang di lima saluran daripada 37 saluran dalam kawasan DUN Kuala Besut.

Lima saluran tersebut ialah satu saluran di Sekolah Kebangsaan Kampung Nangka, serta masing-masing dua saluran di pusat mengundi Kampung Baru dan Bukit Puteri.

DUN Terengganu Kekal Status Quo 17:15

BN berjaya mengekalkan status quo kedudukan kerusi di DUN Terengganu apabila berjaya mempertahankan kemenangan di Kuala Besut dengan majoriti 2,592 undi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lepas, BN menerusi wakilnya, Dr A. Rahman Mokhtar menang di DUN Kuala Besut dengan majoriti 2,434 mengatasi calon PAS, Napisah Ismail.

Kemenangan BN ini sekaligus menafikan sasaran PAS untuk mewujudkan 'DUN Tergantung' di Terengganu dengan agihan kerusi sama banyak 16:16.

Pilihan raya kecil DUN Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dr A. Rahman Mokhtar daripada BN akibat masalah paru-paru pada 26 Jun lalu.

Tiada ulasan: