Selasa, 5 Julai 2016

Letupan di pusat hiburan Puchong angkara IS - KPN

Khalid Abu Bakar menunjukkan gambar suspek yang diburu pasukan polis.
Khalid Abu Bakar menunjukkan gambar suspek yang diburu pasukan polis.
 
Letupan bom tangan di pusat hiburan, Movida Bar& Launge, di Bandar Puchong Jaya pada 28 Jun lalu merupakan angkara kumpulan militan Islamic State (IS-Daesh) di negara ini.
 
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengesahkan perkara itu berkata, siasatan terperinci polis berjaya membongkar serangan yang dilakukan empat anggota kumpulan militan itu atas arahan ahlinya yang berpengaruh warga Malaysia, Muhamad Wanndy Mohamad Jedi atau Abu Hamzah Al-Fateh yang berada di Syria.
 
Katanya, berikutan itu polis berjaya menahan dua daripada empat suspek yang dipercayai terlibat dalam serangan pertama IS di negara ini yang menyebabkan enam orang tercedera.
 
"Hasil siasatan secara terperinci selama ini, polis mengesahkan bahawa serangan letupan bom di pusat hiburan Movida adalah angkara pengganas IS.
 
"Hasil risikan dan bertindak atas maklumat orang awam, kita sudah menahan dua suspek yang dipercayai melemparkan bom tangan granit dalam serangan itu manakala dua lagi suspek merupakan rakan mereka sedang giat diburu," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman di sini.
 
Dua suspek letupan bom di sebuah pusat hiburan yang dibur polis. 
 
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kedua-dua suspek itu ditahan di Pelabuhan Klang pada 1 Julai lalu dan polis berjaya mengenaipasti identiti dua lagi rakan mereka dan yakin akan ditahan tidak lama lagi.
 
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak dua suspek melaporkan ke balai polis berhampiran.
 
Berikutan kejadian letupan itu, polis mempertingkatkan siasatan secara lebih giat berjaya menahan 13 lagi suspek individu yang dipercayai terlibat dalam rancangan melakukan serangan di beberapa lokasi tertumpu dan pemimpin kanan termasuk Perdana Menteri di negara ini.
 
Penahanan itu turut melibatkan dua anggota polis berpangkat pegawai rendah yang bertugas di Pulau Pinang dan Kedah.
 
Menurut Khalid, daripada 15 yang ditahan, tujuh ditahan di Kedah, empat di Selangor, dua di Kuala Lumpur dan masing-masing seorang suspek di Melaka dan Pulau Pinang menerusi operasi yang dilakukan antara 28  Jun hingga 1 Julai lalu.
 
Dua anggota polis itu ditahan selepas salah seorang terlibat dalam aktiviti samun untuk mendapatkan dana kegiatan IS manakala seorang lagi anggota cuba melindungi suspek IS daripada ditangkap polis, tambah beliau.
 
"Mereka tidak mempunyai talian persaudaraan atau sebagainya, cuma cuba melindungi suspek daripada polis.
 
"Kesemua suspek ditahan adalah lelaki warga tempatan berusia lingkungan 19 hingga 52 tahun untuk disiasat dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA," ujarnya.
 
Polis telah mempertingkatkan kawalan skeselamatan seluruh negara bagi memastikan keselamatan rakyat dan negara sentiasa terjamin daripada ancaman IS, katanya.
 
Dalam pada itu, Khalid menasihati pengusaha premis pusat hiburan supaya menutup operasi mengikut waktu yang ditetapkan.
 
"Pengusaha pusat-puat hiburan, judi dan snuker yang sah dan dibenarkan di sisi undang-undang sila tutup operasi ikut waktu yang diarahkan, janganlah operasi sehingga lewat pagi, kelonggaran keselamatan digunakan pennjenayah," tegasnya. - MalaysiaGazette

Tiada ulasan: